RISALAH FAJAR JUMAAT SIRI 481 – KONSEP TAWAKAL

KONSEP TAWAKAL

Menjelang musim imtihan, pastinya akan ada beberapa perkara yang akan dipersiapkan dan diambil penekanan oleh mereka yang bergelar guru, pelajar mahupun mahasiswa. Bagi mahasiswa, semestinya persediaan fizikal dan mental amatlah dititikberatkan bahkan penambahan pengisian rohani seperti solat hajat dan memperbanyakkan doa juga turut mendapat tempat dalam senarai perkara yang perlu dilakukan di musim-musim sebegini.

Mengulas persediaan ini, antara perkara yang selalu meniti di bibir-bibir mahasiswa ketika ini juga adalah berkisarkan peringatan, kata-kata semangat dan harapan sebagai booster buat sahabat-sahabat seperjuangan. Hal ini kerana, usaha untuk melakukan persediaan yang baik ini, pasti akan ada perasaan yang negatif hadir menguji kesungguhan mereka waktu ini.

Bertitik tolak dari itu, akan wujudlah segolongan daripada mahasiswa yang beralasan bahawa sudah tidak punya masa untuk mengulangkaji pelajaran dek sikap acuh tak acuh mereka pada sebelumya. Antara sebahagian perkara yang dijadikan penutup bagi kekesalan mereka ini adalah seperti ‘redha awal’, ‘tawakal terus’ dan sebagainya walhal usaha persediaan yang baik belum dilakukan oleh mereka. Maka, daripada ungkapan sebeginilah ia dapat merosakkan kefahaman konsep tawakal itu sendiri.

Umum mengetahui, tawakal merupakan antara sifat yang perlu ada bagi seseorang muslim. Tawakal bermaksud berserah kepada Tuhan setelah melakukan usaha yang diperlukan atau dalam erti kata lain adalah berikhtiar. Tawakal juga adalah manifestasi keyakinan di dalam hati yang memberi motivasi kepada manusia untuk menggantung harapan kepada Allah SWT. Melihat dari makna ini, konsep tawakal tanpa usaha yang diperkatakan itu jelas menyimpang dari kefahaman yang sebenar.

Bak kata pepatah, ‘betulkan yang biasa, biasakan yang betul’.

Oleh itu, sangat penting bagi kita untuk memahami maksud tawakal agar dapat mempraktikkan sifat ini dalam kehidupan kita dengan cara yang sebetulnya. Bukan itu sahaja, dengan memahami konsep dan kelebihan sebenar sesuatu perkara dapat melahirkan rasa kesungguhan dan menjiwai sesuatu perkara itu sendiri.

Mengulas mengenai perkara tersebut, ketahuilah sifat tawakal ini mempunyai kelebihannya. Antara kelebihan mempraktikkan dan  mengaplikasikan sifat ini adalah dapat meningkatkan keimanan seseorang itu sendiri hasil daripada penyerahan segala usaha yang dilakukan kepada Allah dan reda akan segala ketentuan-Nya.

Seterusnya, orang yang bertawakal ini juga tidak akan mudah terpedaya dengan hasutan syaitan serta suara-suara buruk yang menjatuhkan apabila menghadapi sesuatu perkara, kerana mereka ini memiliki keimanan yang kuat serta meletakkan kepercayaan yang penuh kepada Tuhan dalam segala urusan kehidupannya. Bukan sekadar itu sahaja, ia juga dapat menghindarkan diri daripada perasaaan buruk sangka pada segala ketentuan serta ketetapan Tuhan.

Seiring dalam mendapat kebaikan yang pelbagai dalam memiliki sifat ini, sabar serta berlapang dada dalam menerima segala ketetapan tuhan juga amat penting bagi diri orang yang beriman agar tidak buta akan hikmah sesuatu perkara yang ditakdirkan untuknya.

Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 216 yang bermaksud: “…Dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu…”. Ayat ini jelas menjadi penenang dan memujuk hati orang-orang Islam agar tenang dalam percaturan Tuhannya.

Kesimpulannya, jelaslah kepada kita bahawa sifat tawakal yang dituntut kepada umat Islam adalah dengan berusaha bersungguh-sungguh serta menyerahkan segala urusan yang dilakukan kepada Allah demi mendapat keredaan-Nya. Maka tawakal ini, merangkumi padanya tekad, azam, strategi, usaha bersungguh-sungguh serta doa dan diakhiri dengan reda atas segala ketentuan Allah. Semoga segala penat lelah serta kesungguhan yang dilakukan dalam usaha mendapatkan yang terbaik diganjarkan dengan sebaik-baik pembalasan oleh Allah SWT.

Nurwadhihah binti Yusseri,
Kuliah Syariah Islamiah,
Universiti al-Azhar al-Syarif.

Muat turun pdf Risalah Fajar Jumaat Siri 481- Konsep Tawakal

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *