Month: January 2022

RISALAH FAJAR JUMAAT SIRI 482 – JANGAN TERTINGGAL KUNCI IKHLAS

JANGAN TERTINGGAL KUNCI IKHLAS

Seorang yang ikhlas dalam melakukan amal kebaikan, kemuliaannya berada di kedudukan yang tinggi di sisi Allah SWT, namun kedudukan tersebut boleh kembali menjadi rendah apabila dia mula mencari cinta makhluk, pujian dan sanjungan serta mengungkit-ungkit dengan segala kebaikannya.

Perumpamaan bagi orang yang beramal tetapi tidak ikhlas diibaratkan seperti menaiki tangga yang tinggi untuk membuka pintu akan tetapi tertinggal kunci untuk membukanya. Amal yang dilakukan dengan bersusah payah, namun ternyata sia-sia semuanya.

Kita harus ingat kunci segala amal itu diterima adalah ikhlas. Ikhlas itu seperti jantung yang berdegup setiap waktu, berdetak setiap saat dan tidak pernah menonjolkan diri. Apabila Rasulullah SAW ditanya, apakah itu ikhlas? Lantas, Baginda SAW berdiam diri dan bertanya kepada malaikat Jibril AS.

“Aku bertanya kepada Jibril AS tentang ikhlas, apakah ikhlas itu? Lalu Jibril AS bertanya kepada Tuhan Yang Maha Suci tentang ikhlas, apakah makna sebenarnya? Allah SWT menjawab soalan Jibril AS dengan berfirman: Suatu rahsia dari rahsia-Ku yang Aku tempatkan di hati hamba-hamba-Ku yang Ku-cintai.” (HR Muslim)

Betapa banyak jiwa yang melakukan ibadat namun apabila ditanya tentang “Apakah itu ikhlas?” Lalu mereka menjawab, “Aku ikhlas kerana Allah”.

Betapa banyak jiwa yang mencari keredaan Allah SWT, apabila ditanya “Wahai saudaraku, apakah yang kalian tahu tentang ikhlas?” Mereka pantas menjawab apabila seseorang itu melazimi niat kerana Allah SWT dan melakukan sesuatu perkara tanpa dahagakan pujian duniawi.

Ada yang kadang-kadang mendefinisikan ikhlas itu umpama semut hitam di atas batu hitam pada waktu malam yang kelam. Tiada pada zahir, namun ada kewujudannya.

Define your own IKHLAS”

Fudhail bin Iyadh berkata: “Meninggalkan amalan kerana manusia adalah riyak namun beramal kerana manusia adalah syirik, adapun ikhlas itu ialah apabila Allah SWT memelihara kamu dari keduanya.”

MENELUSURI IKHLAS MELALUI SIRAH

  • Ikan Nun dan Nabi Yunus AS

Nabi Yunus AS diutuskan kepada kaumnya untuk mengajak kaumnya mengesakan Allah SWT, berbuat kebaikan dan meninggalkan kemungkaran. Tahun demi tahun berlalu, namun kaumnya masih tidak ada seorang pun yang beriman dalam kalangan mereka. Sehingga datangnya suatu hari, Nabi Yunus AS terlalu marah akan kaumnya yang enggan beriman, lalu Baginda pergi meninggalkan kaumnya yang masih dalam keadaan kesesatan yang nyata dalam keadaan marah.

Baginda pantas meluru ke arah laut dan menaiki kapal menuju ke tengah laut. Nabi Yunus AS seakan lupa bahawa seorang nabi hanya diperintah untuk berdakwah sedangkan hidayah keimanan itu milik Allah. Keikhlasan Nabi Yunus AS diuji Allah SWT. Setibanya Nabi Yunus AS di tengah laut, ombak besar melanda dan Baginda terpaksa dicampakkan ke dalam laut lalu ditelanlah Baginda oleh ikan Nun, dibawa jauh ke dasar laut.

Nabi Yunus AS mulai menangis dan bertasbih kepada Allah SWT. Baginda mulai melakukan perjalanan menuju Allah SWT saat Baginda terpenjara dalam tiga kegelapan. Hatinya mulai bergerak untuk bertasbih kepada Allah SWT, dan lisannya pun mulai mengikutinya. Kisah ini dinukilkan di dalam firman Allah SWT:

“Dan (sebutkanlah peristiwa) Zun-Nun, ketika ia pergi (meninggalkan kaumnya) dalam keadaan marah, yang menyebabkan ia menyangka bahawa Kami tidak akan mengenakannya kesusahan atau cubaan; (setelah berlaku kepadanya apa yang berlaku) maka ia pun menyeru dalam keadaan yang gelap-gelita dengan berkata: “Sesungguhnya tiada Tuhan (yang dapat menolong) melainkan Engkau (ya Allah)! Maha Suci Engkau (daripada melakukan aniaya, tolongkanlah daku)! Sesungguhnya aku adalah daripada orang-orang yang menganiaya diri sendiri.” (al-Anbiya’: 87)

CARA MENDAPATKAN IKHLAS

1) Percaya akan jaminan Allah SWT bahawa:

“Allah tidak akan membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya” (al-Baqarah: 286).

2) Bersabar dengan iman di awal, sewaktu dan di pengakhiran ujian.

3) Percaya dengan Qadak dan Qadar Allah SWT (rezeki, jodoh, ajal dan maut).

4) Menerima ketentuan Allah SWT dengan hati yang lapang dan istighfar.

5) Bersangka baik kepada Allah SWT.

“Aku berada pada sangkaan hamba-Ku, Aku selalu bersamanya jika ia mengingat-Ku, jika ia mengingat-Ku pada dirinya maka Aku mengingatnya pada diri-Ku, jika ia mengingat-Ku dalam suatu kaum, maka Aku mengingatnya dalam suatu kaum yang lebih baik darinya, dan jika ia mendekat kepada-Ku satu jengkal maka Aku mendekat padanya satu hasta, jika ia mendekat pada-Ku satu hasta maka Aku mendekat padanya satu depa, jika ia datang kepada-Ku dengan berjalan kaki, maka Aku akan datang kepadanya dengan berlari.” (HR Bukhari dan Muslim)

Oleh itu, bagi mengikhlaskan diri, kita seharusnya menerima ketentuan Allah SWT dengan penuh keikhlasan.

 

Abdul Azim bin Abd Rahman
Kuliah Syariah Islamiah,
Universiti al-Azhar

Muat turun PDF Risalah Fajar Jumaat Siri 482 – Jangan Tertinggal Kunci Ikhlas