Month: March 2022

SEJARAH PERKEMBANGAN TELEFON PINTAR

SEJARAH PERKEMBANGAN TELEFON PINTAR

Pastinya apabila bercerita tentang telefon, maka sudah tidak asing lagi nama tokoh terkemuka Alexander Graham Bell yang pertama kali mencipta telefon. Kajiannya terhadap alat bantu pendengaran demi menolong isteri dan ibunya yang pekak telah berjaya membawa kepada penghasilan telefon yang pertama pada 7 Mac 1876.

Kemudian, apabila diteliti pada kemunculan telefon bimbit yang pertama, maka kita akan menemukan sejarah pada tarikh 3 April 1973, di mana syarikat Motorola telah mengeluarkan telefon bimbit yang pertama seberat 1.1 kg. Alat bantu komunikasi jarak jauh ini menawarkan durasi panggilan selama 30 minit dan memerlukan 10 jam untuk dicas penuh.

Penggunaan telefon bimbit mula dipopularkan menjelang tahun 90-an yang mana menurut suatu kajian, sebanyak 11 juta pengguna telah memiliki dan menggunakan peranti ini di seluruh dunia. Beberapa tahun pada era ini melihat pelbagai kemunculan variasi telefon bimbit daripada syarikat-syarikat ternama seperti Nokia, Samsung dan banyak lagi.

TELEFON PINTAR PERTAMA

Sebelum mendalami sejarah telefon pintar, haruslah kita mengetahui apakah yang dimaksudkan dengan telefon pintar. Telefon pintar (Bahasa Inggeris: Smartphone) adalah telefon bimbit yang mempunyai ciri pengkomputeran maju dan ketersambungan berbanding dengan telefon bimbit biasa. Telefon pintar membolehkan penggunanya memasang aplikasi canggih di dalamnya berasaskan pelantar telefon seperti Symbian, Android, iOS atau Windows Phone. Ia juga menggunakan sistem pengendalian yang menyediakan satu pelantar untuk pembina aplikasi.

Pada tahun 1992, telefon pintar pertama iaitu IBM’s Simon mula diperkenalkan dan ia mula memasuki pasaran pada tahun 1994. Peranti ini menawarkan beberapa fungsi baru seperti touchscreen, on-screen keyboard dan beberapa aplikasi dalaman yang memikat hati pengguna untuk memilikinya. Telefon pintar ini dijual dengan harga USD 1,100 seunit dan berjaya mencapai pasaran sebanyak 50,000 unit terjual setelah 6 bulan dikeluarkan.

“Simon” juga tidak hanya menjadi sebuah telefon bimbit yang biasa, malah juga memiliki kalendar, buku telefon, jam dunia, tempat mencatat, e-mel, keupayaan menghantar dan menerima faks serta terdapat pemasangan aplikasi permainan.

Seterusnya, sekitar tahun-tahun ini jugalah terdapat pelbagai inovasi yang ditemukan pada telefon pintar seperti flip phone, slider phone, mod getaran, servis emel, skrin berwarna, pemain MP3 dan macam-macam lagi.

TEKNOLOGI INTERNET MENEMUI TELEFON PINTAR

Menurut kamus dewan edisi keempat, perkataan internet boleh didefinisikan sebagai rangkaian komputer antarabangsa yang membolehkan pengguna komputer di seluruh dunia berhubung antara satu sama lain dan mencapai maklumat pangkalan data dari seluruh dunia.

Bermula pada tahun 2000, telefon pintar mula dihubungkan dengan jaringan internet 3G yang membolehkan komunikasi internet tanpa wayar kabel diperluaskan. Inovasi pada peranti mudah alih inilah yang membuka ruang kepada pelbagai jenis lagi penemuan-penemuan baharu pada zaman kini. Hal yang demikian ini juga dapat menyumbang kepada perkembangan teknologi telefon pintar sehingga membolehkannya untuk menghantar pesanan emel yang bersaiz lebih besar, memaparkan tayangan video, menyediakan servis melayari internet dan lain-lain lagi.

Seterusnya, tahun demi tahun berlalu dan kecanggihan teknologi telefon pintar semakin berkembang bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Pada tahun 2007, tokoh ternama syarikat Apple iaitu Steve Jobs melancarkan iPhone yang pertama yang menggegarkan pasaran seluruh dunia. Kini, dunia teknologi melihat bermacam-macam kecanggihan daripada pelbagai jenama unggul seperti Samsung, Google, Xiaomi, Sony, Oppo dan sebagainya bahkan lebih banyak peranti mudah alih yang diperkenalkan seperti komputer riba dan tablet. Sehingga hari ini, boleh dikatakan hampir setiap orang memiliki telefon pintar untuk kemudahan harian daripada pelbagai sudut seperti pendidikan, ekonomi, berita, media sosial dan lain-lain lagi.

Antara kata-kata Steve Jobs yang memberi inspirasi kepada anak muda:

“Your work is going to fill a large part of your life, and the only way to be truly satisfied is to do what you believe is great work. And the only way to do great work is to love what you do. If you haven’t found it yet, keep looking. Don’t settle. As with all matters of the heart, you’ll know when you find it.”

Rujukan:
        1. Artikel History of smartphones daripada laman web simpletexting.com
2. Artikel Cell phone history daripada laman web versus.com
3. Wikipedia

 

Muhammad Khairul Amri bin Mohd Nasir
Kuliah Dirasat Islamiah,
Universiti al-Azhar, Kaherah.

Muat turun PDF Risalah Multimedia Siri 39 – Sejarah Perkembangan Telefon Pintar

MAJLIS APRESIASI

MAJLIS APRESIASI

KAHERAH, 20 Mac 2022 – Saban tahun kerajaan negeri Kelantan menghantar delegasi rombongan untuk meninjau hal ehwal kebajikan dan pendidikan anak-anak Kelantan di bumi Mesir. Ini menunjukkan keprihatinan dan kecaknaan kerajaan negeri Kelantan terhadap ‘anak emas’ mereka yang menuntut ilmu di bumi anbiya’ ini. Bagi meraikan lagi kedatangan delegasi rombongan, Keluarga Pelajar-pelajar Kelantan Mesir menganjurkan majlis pengisian bersama delegasi rombongan yang dinamakan sebagai Majlis Apresiasi yang diadakan di Surau Wisma Sultan Muhammad V.

Majlis ini menggabungkan tiga slot pengisian yang berbeza dan juga dikupas oleh sosok tubuh yang berpengaruh.  Acara majlis yang pertama yang diisi oleh Yang Berhormat Dato Haji Hassan bin Mohamood, Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Negeri Kelantan (BBC) yang bertajuk ‘Tanggungjawab Mahasiswa Dalam Mendepani Cabaran Semasa’. Antara perkara yang ditekankan oleh Yang Berhormat adalah pelajar al-Azhar perlulah belajar bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu agama dan terkehadapan dalam membimbing masyarakat serta perlu elakkan kontorversi yang boleh membawa kepada perpecahan dan perbalahan masyarakat Malaysia.

Kemudian slot kedua diteruskan lagi dengan pengisian yang bertajuk ‘Peranan Graduan Mesir’ yang dibawa oleh Yang Berhormat Ahmad Fathan bin Mahmood, Pengerusi Urusetia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN) dan Yang Berhormat Haji Abd Rahman bin Yunus, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti Negeri Kelantan. Pengisian kali ini lebih kepada penekanan tentang kefahaman dan persediaan yang perlu menjadi nilai tambah dalam diri mahasiswa Islam supaya kepulangan mereka ini dapat memberi sumbangan kepada kerajaan negeri Kelantan.

Pada pukul 7.30 malam, majlis dilanjutkan lagi dengan slot ketiga yang berjudul ‘Masa Depan Islam di Tangan Kita’ yang dibawa khusus oleh Yang Berhormat Ustaz Wan Roslan bin Wan Hamat, Pengerusi Jawatankuasa Belia Sukan dan NGO Negeri Kelantan. Beliau menegaskan tentang misi dan visi perjalanan kerajaan Kelantan dalam membawa agenda “Merakyat Membangun Bersama Islam” yang memastikan rakyat Kelantan secara khususnya dan Malaysia amnya meneladani Islam dalam kehidupan.

Akhir sekali sebagai penutup tirai Majlis Apresiasi, majlis dialukan dengan ucapan Ustas Abdullah Khairi bin Abdullah, Yang Dipertua Keluarga Pelajar-pelajar Kelantan Mesir, Ustaz Khairul Anuar bin Ismail, Pegawai Kebajikan Pelajar Kelantan Timur Tengah, Ustaz Mohamad bin Yusoff, Pengetua SMU(A) Maheliah, Genting, Tumpat dan diakhiri dengan ucapan penutup oleh Yang Berhormat Ustaz Wan Roslan bin Wan Hamat.

Mudah-mudahan dengan adanya program sebegini dapat meningkatkan lagi kesedaran mahasiswa Mesir akan peranan mereka sekaligus mengeratkan lagi ukhuwah antara pelajar dan pimpinan kerajaan Kelantan. Semoga negeri Kelantan terus subur dan mara dalam meneruskan agenda dakwah yang dibawa oleh Rasulullah SAW.

Disediakan oleh:

Muhammad Nasrullah bin Mohd Asri

Setiausaha Agung,
Keluarga Pelajar-pelajar Kelantan Mesir 2021/2022

MAJLIS RAMAH MESRA BERSAMA ANAK- ANAK KELANTAN

MAJLIS RAMAH MESRA BERSAMA ANAK- ANAK KELANTAN

KAHERAH, 18 MAC 2022 – Keluarga Pelajar-pelajar Kelantan Mesir telah menganjurkan Majlis Ramah Mesra bersama Anak-anak Kelantan bagi meraikan kedatangan delegasi rombongan kerajaan Kelantan yang begitu prihatin terhadap anak-anak Kelantan di bumi mesir. Saban tahun rombongan kerajaan sanggup meluangkan masa untuk bersama dengan anak Kelantan yang berada di sini. Majlis ini dijayakan lagi dengan kerjasama Pejabat Pegawai Kebajikan Pelajar Kelantan Timur Tengah yang menjadi tonggak dalam memastikan kelangsungan pendidikan dan kebajikan pelajar Kelantan di bumi Mesir berjalan dengan lancar.

Majlis ini berlangsung pada hari Jumaat, 18 Mac 2022 bersamaan 15 Syaaban 1443H yang bertempat di Dewan Malaysia Abbasiah Kaherah. Dalam pada itu, majlis ini terbuka kepada semua anak Kelantan yang berada di Mesir untuk menjayakan lagi program ini. Dewan mula dipenuhi anak-anak Kelantan seawal jam 6.00 petang sehingga mencapai 400 orang lebih sehingga akhir program pada pukul 10.30 malam.

Acara majlis dimulai dengan bacaan ayat suci al-Quran, nasyid Asma al-Husna dan lagu Selamat Sultan. Kemudian majlis diteruskan dengan ucapan Ustaz Abdullah Khairi bin Abdullah, Yang Dipertua Keluarga Pelajar-pelajar Kelantan Mesir 2021/2022 dan ucapan Ustaz Khairul Anuar bin Ismail, Pegawai Kebajikan Pelajar Kelantan Timur Tengah. Seterusnya majlis diwarnai lagi dengan ucapan yang dinanti-nantikan iaitu ucapan khas dibawa oleh Yang Berhomat Ustaz Wan Roslan bin Wan Hamat, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO Negeri Kelantan, Yang Berhormat Dato’ Ustaz Hassan bin Mohamood, Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC), dan Yang Mulia Engku Rujhan bin Engku Ismail, Pengarah Yayasaan Islam Kelantan.

Majlis Ramah Mesra merupakan antara usaha untuk menerangkan tentang peranan mahasiswa al-Azhar tentang persediaan untuk terjun ke medan lapangan dalam memperbaiki dan memberi pencerahan agama kepada masyarakat yang kian tenat. Demikian juga, anak-anak Kelantan  turut ditekankan tentang peningkatan mutu pendidikan dari segi ilmu kuliah dan juga nilai tambah yang lain untuk melahirkan pengeluaran cetakan al-Azhar yang lebih proaktif dan produktif. Dalam pada itu, usaha utama majlis ini dijalankan sebagai medan untuk mengeratkan lagi hubungan antara pimpinan kerajaan negeri Kelantan bersama pelajar dengan membuka sesi soal jawab untuk perkongsian dua hala antara hadirin dan para pimpinan kerajaan negeri.

Slot pengucapan diakhiri dengan ucapan penggulungan daripada wakil pimpinan kerajaan negeri. Antara pesanan terahir yang sempat dirakam ialah peranan pelajar al-Azhar sangat besar dalam membangunkan misi dan visi kerajaan Kelantan dalam menegakkan Islam dan membawa masyarakat menjalani nilai hidup Islam dalam kehidupan serta mengelakkan kontroversi yang menyebabkan perpecahan dan perbalahan. Seterusnya majlis menutup tirai dengan acara penyampaian hadiah kepada ketiga-tiga tetamu istimewa yang disampaikan oleh Ustaz Khairul Anuar bin Ismail.

Mudah-mudahan dengan adanya program sebegini dapat meningkatkan lagi kesedaran mahasiswa Mesir akan peranan mereka sekaligus mengeratkan lagi ukhuwah antara pimpinan kerajaan negeri Kelantan dan anak Kelantan di Mesir. Semoga negeri Kelantan terus subur dan mara dalam meneruskan agenda dakwah yang dibawa oleh Rasulullah SAW.

 

Disediakan oleh:

Siti Nursyafilza binti Abdul Ghani
Setiausaha Hal Ehwal Wanita Islam (HEWI),
Keluarga Pelajar-pelajar Kelantan Mesir 2021/2022.

PROGRAM KEMAHIRAN SKILLS’22

PROGRAM KEMAHIRAN SKILLS’22

KAHERAH, 20 dan 23 FEBRUARI 2022 – Keluarga Pelajar-Pelajar Kelantan Mesir telah mengadakan Program Kemahiran SKILLS’22 bertempat di Wisma Sultan Muhammad ke-V dan Wisma Tengku Mahkota. Program ini diadakan bertujuan untuk melahirkan ahli KPKM yang mahir dalam pelbagai bidang dan kemahiran. Program ini berlangsung dua hari, 20 dan 23 Februari 2022. Program dilaksanakan dengan penjagaan SOP sepertimana ditetapkan oleh pihak berwajib. Terdapat lima bengkel yang diadakan sepanjang program ini berlangsung iaitu Bengkel Adobe Premiere Pro, Bengkel Fotografi, Audio dan Video, Bengkel Penulisan, Bengkel Vokasional dan Bengkel Adobe Photoshop.

Pada hari pertama, program dimulakan dengan pembentangan Bengkel Adobe Premiere Pro di surau Wisma Sultan Muhammad ke-V. Pada jam 8.30 pagi, para peserta mendaftarkan diri sebelum mendengar taklimat program. Bengkel Adobe Premiere Pro dibentangkan oleh Ustaz Ahmad Nasharuddin Wafri, Ketua Unit Multimedia KPKM disusuli slot latihan pada jam 10.30 pagi. Bengkel ini berakhir dengan penyampaian cenderahati kepada pengisi dan penyampaian hadiah kepada peserta terbaik.

Program diteruskan pada jam 1.00 petang dengan pembentangan Bengkel Fotografi, Audio dan Video oleh pengisi berpengalaman, Ustaz Muhammad Ikmal bin Rakeman, Unit Mentor Graphic Visual, Kelab Karyawan Islam KPKM. Bengkel dimulakan dengan sesi pendaftaran beserta sesi taklimat program. Slot pengisian bengkel ini berlangsung selama satu jam setengah disusuli slot praktikal yang dikendali oleh beberapa orang mentor. Slot ini terbahagi kepada dua kumpulan iaitu kumpulan video dan audio sebelum kedua-dua kumpulan saling bertukar item pengisian. Bengkel berakhir dengan sesi penyampaian cenderahati kepada pengisi dan penyampaian hadiah kepada peserta terbaik program.

Pada hari yang sama, telah berlangsung Bengkel Penulisan di Dewan Dr Tengku Mahkota Fa-ia Petra, Wisma Tengku Mahkota. Bengkel ini terbahagi kepada dua slot utama iaitu slot asas, format dan peraturan dalam penulisan dan slot kedua pula ialah slot penulisan laporan, artikel dan cerpen. Slot pertama disampaikan oleh Ketua Jabatan Fasilitator KPKM, Ustaz Muhammad Fikri bin Basri. Pengisi memberi kefahaman kepada peserta tentang teknik-teknik asas dalam penulisan. Slot pertama berakhir dengan penyampaian cenderahati kepada pengisi. Bengkel diteruskan lagi dengan slot kedua yang dibentangkan oleh Ustazah Nasirah binti Yussoff, Ketua Biro Penerbitan KPKM pada jam 9.30 pagi. Para peserta didedahkan dengan kaedah menulis laporan, artikel dan cerpen dengan betul. Pengisi menyampaikan pembentangan dengan kaedah dua hala yang membuatkan perjalanan pembentangan menjadi lebih mudah dan memfokuskan kepada kefahaman dan permasalahan.

Pada Hari Berikutnya, Program Kemahiran SKILLS’22 diteruskan lagi dengan Bengkel Vokasional dan Bengkel Adobe Photoshop. Bengkel Vokasional telah diadakan di surau Wisma Sultan Muhammad ke-V. Program ini dimulakan dengan pembentangan kertas kerja dan kemudiannya disusuli dengan praktikal yang disampaikan oleh Ketua Lajnah Perumahan KPKM, Ustaz Muhammad Azim Muzhafar bin Mohd Asri. Para peserta didedahkan dengan cara pemasangan pemanas air, kipas, lampu dan paip di kedua-dua belah bahagian ikhwah dan akhawat.

Sementara itu di Dewan Dr. Tengku Mahkota Fa-iz Petra, Wisma Tengku Mahkota telah berlangsung Bengkel Adobe Photoshop. Bengkel ini terbahagi kepada tiga slot utama. Slot pertama iaitu slot Pengenalan Adobe Photoshop & Basic Tools yang telah disampaikan oleh Ustaz Muhammad Asyiq bin Amran, Setiausaha Lajnah Penerbitan KPKM. Slot kedua pula ialah slot Bedah Karya, Teknik Design Berkesan & Latihan yang disampaikan oleh Ustaz Muhammad Amirul Asyraf bin Azman dan juga telah dikendali oleh beberapa orang mentor. Para peserta telah didedahkan kaedah membuat design yang berkualiti dan baik. Selepas berlalu sesi pengisian selama dua jam, bengkel diteruskan dengan slot praktikal dan slot komentar. Pengisi dan mentor memberikan komentar kepada hasil kerja para peserta agar kekurangan dan kelemahan dapat diperbaiki dan dibaik pulih. Bengkel ini diakhiri dengan penyampaian cenderahati kepada pengisi dan hadiah kepada dua orang peserta terbaik.

Semoga para peserta dapat mengambil manfaat sebaik mungkin daripada program yang telah dianjurkan oleh KPKM dan memberi khidmat dengan menjadi pelapis kepada persatuan ini kelak. Tidak dilupakan juga sekalung penghargaan dan tahniah diucapkan kepada eksekutif dan ajk pelaksana program yang telah berhempas pulas menjayakan program serta semua ahli KPKM yang mengambil bahagian menyertai bengkel yang dianjurkan. Semoga Allah Taala mengampunkan segala dosa kita serta menerima segala amal kebajikan kita.

“Mahasiswa Berilmu dan Berkemahiran”

Disediakan oleh :

Abid Iman bin Hasmady
Setiausaha Program Kemahiran SKILLS’22,
Keluarga Pelajar-Pelajar Kelantan Mesir 2021/2022

HIMPUNAN AKTIVIS KPKM 2022 (HAK ’22)

HIMPUNAN AKTIVIS KPKM 2022 (HAK ’22)


KAHERAH, 15 FEBUARI 2022
– Telah berlangsung Himpunan Aktivis KPKM (HAK ’22) anjuran Jabatan Timbalan Yang Dipertua Keluarga Pelajar-pelajar Kelantan Mesir (KPKM) pada 15 Febuari bertempat di Wisma Sultan Muhammad V. HAK’ 22 bertemakan “Aktivis Berkebolehan Kekuatan Kesatuan”.

Program dimulakan dengan slot pertama iaitu ucapan perasmian yang disampaikan oleh Ustazah Amira Nuraina bin Mohamad Ruslan, Anggota Lembaga Penasihat KPKM 2021/2022 yang bertajuk Sejarah KPKM. Pada slot ini, pengisi telah memberi penerangan berkaitan sejarah penubuhan KPKM dan tokoh-tokoh yang memperjuangkan kebajikan anak-anak Kelantan dahulu yang menjadi titik tolak kepada pembentukan KPKM pada hari ini.

Program diteruskan ke slot kedua yang bertajuk Pengurusan Gerak Kerja yang disampaikan oleh Ustaz Ahmad Rusydan Suhail bin Rosihan, Ketua Lajnah Dakwah dan Tarbiah KPKM 2021/2022. Kemudian,  program diteruskan lagi ke slot pengisian mengenai Kesetiausahaan dan Kebendaharaan. Slot ketiga ini dibentang oleh ustaz Muhammad Nasrullah bin Mohd Asri selaku Setiausaha Agung KPKM 2021/2022 dan ustaz Syed Mohammad Atif bin Syed Ali selaku Bendahari Agung KPKM 2021/2022.

Seterusnya, slot majlis perasmian penutup dan pelancaran Kempen Hisbah yang telah disempurnakan oleh Yang Dipertua KPKM, ustaz Abdullah Khairi bin Abdullah. Pada slot terakhir ini YDP menyatakan harapan beliau agar para aktivis yang juga merupakan tunjang kekuatan bahtera KPKM ini untuk terus bersemangat dalam bekerja dan menjaga demi kelangsungan keluarga kita, Keluarga Pelajar-pelajar Kelantan Mesir seiring slogan YDP KPKM pada sesi ini iaitu “Bersama Bersatu Menjaga Warisan ”. Program diakhiri dengan sesi bergambar diantara kepimpinan KPKM bersama peserta himpunan aktivis KPKM.

Semoga objektif utama program ini dalam memperkasakan kualiti aktivis demi meningkatkan keunggulan dan kemantapan gerak kerja dapat dicapai serta diharapkan agar pengisian yang dikongsi pada program HAK ’22 pada kali ini dapat menambahkan semangat para aktivis untuk bersama-sama bekerja di bawah kepimpinan ini.

“Aktivis Berkebolehan, Kekuatan Persatuan”

Disediakan oleh:

Muhammad Hafiz Bin Che Wahid
Setiausaha Himpunan Aktivis KPKM 2022 (HAK ‘22),
Jabatan Timbalan Yang Dipertua,
Keluarga Pelajar-pelajar Kelantan Mesir 2021/2022.

MAJLIS SALAM WIDA’ PEGAWAI KEBAJIKAN PELAJAR KELANTAN TIMUR TENGAH

MAJLIS SALAM WIDA’ PEGAWAI KEBAJIKAN PELAJAR KELANTAN TIMUR TENGAH

KAHERAH, 1 MAC 2022 – Keluarga Pelajar-pelajar Kelantan Mesir telah mengadakan sebuah Majlis Salam Wida’ khusus buat Pegawai Kebajikan Pelajar Kelantan Timur Tengah, Ustaz Khairul Anuar bin Ismail bertemakan “Budimu Setulus Hati, Selaut Kasih Kami Hargai” bagi meraikan kepulangan serta mengenang jasa yang telah ditaburkan sepanjang bertugas menjaga kebajikan dan pendidikan mahasiswa Kelantan di bumi Mesir. Majlis ini telah berlangsung pada Selasa, bertempat di Wisma Sultan Muhammad V.

Tirai Majlis Salam Wida’ dimulakan dengan kehadiran undangan dari kalangan mahasiswa dan mahasiswi Kelantan, kemudian diteruskan dengan jamuan makan dan ramah mesra bersama Pegawai. Antara aktiviti-aktiviti yang dijalankan bagi memeriahkan lagi majlis adalah persembahan qasidah, sesi bergambar dan selingan ucapan daripada anak-anak Kelantan.

​Majlis Salam Wida’ diteruskan lagi dengan slot Ucapan Pegawai dan isteri, Puan Nortamziah binti Pauzi. Pengisian bermula dengan bacaan al-Quran yang dialunkan oleh mahasiswa KPKM. Majlis kemudian diteruskan dengan ucapan penghargaan daripada Ustaz Abdullah Khairi bin Abdullah, Yang Dipertua Keluarga Pelajar-pelajar Kelantan Mesir 2021/2022 dan Ustazah Noor Ashikin binti Mohd Azemi, Ketua Hal Ehwal Wanita Islam HEWI Keluarga Pelajar-pelajar Kelantan Mesir 2021/2022 sebagai wakil anak-anak Kelantan.

 

Pengisian ini juga diadakan secara siaran langsung di laman rasmi Facebook KPKM. Antara pesanan dan ucapan al-Fadhil ustaz dalam majlis ramah mesra ialah:

• Kesatuan anak Kelantan di Mesir dalam urusan kebajikan dan pendidikan.
• Perkukuhkan ukhuwah islamiah sesama anak Kelantan sepanjang keberadaan di Mesir dan tidak terputus sehingga kepulangan ke Malaysia.
• Mahasiswa Kelantan perlu menyiapkan diri dengan ilmu dan thaqafah untuk mencorak dan mengubah masyarakat Malaysia ke arah yang lebih baik.
• Terus bersama KPKM dalam membawa agenda kebajikan, thaqafah, pendidikan dan tarbiah kepada seluruh anak Kelantan.
• Pastikan kekuatan ukhuwah, kebajikan dan tarbiah dapat dijaga dengan baik supaya orang akan datang dapat merasa apa yang kita rasa pada hari ini.

Majlis ramah mesra diakhiri dengan serangkap pantun dari al-Fadhil ustaz,

“Dari Kelantan ke Hulu Langat,
Singgah sebentar di Putrajaya,
Tanamkan azam kuatkan semangat,
Anok Kelantan pasti Berjaya.”

Majlis diakhiri dengan tayangan video ucapan penghargaan dan slot bergambar bersama anak-anak Kelantan. Mudah-mudahan dengan adanya Majlis seperti ini, dapat merapatkan lagi ukhuwah antara mahasiswa Kelantan dengan Pejabat Pegawai dan sesama ahli KPKM.

Semoga majlis ini dapat mengeratkan ukhuwah sesama anak Kelantan dan dapat mengukuhkan kesatuan dalam membawa agenda Islam kepada mahasiswa di Mesir dan masyarakat Malaysia secara umumnya. Semoga al-Fadhil ustaz dipermudahkan urusan dan dipermurahkan rezeki selalu.

“Budimu Setulus Hati, Selaut Kasih Kami Hargai”

“Belajar dan Beramal”
“Memurnikan Pemikiran, Melestarikan Kesatuan”
#BersamaBersatu
#BersamaBersatuMenjagaWarisan

Disediakan oleh:

Muhammad Nasrullah bin Mohd Asri
Setiausaha Agung,
Keluarga Pelajar-pelajar Kelantan Mesir 2021/2022

 

RISALAH FAJAR JUMAAT SIRI 484 – AMAR MAKRUF NAHI MUNGKAR KEWAJIPAN BERSAMA

AMAR MAKRUF NAHI MUNGKAR KEWAJIPAN BERSAMA

MAKSUD AMAR MAKRUF NAHI MUNGKAR
Berasal daripada peristilahan ayat al-Quran yang bermaksud ‘mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran’.

Menurut pendapat ulama: ‘Nahi mungkar’ adalah mengharamkan segala bentuk kekejian, sedangkan ‘amar makruf’ bererti menghalalkan semua yang baik, kerana itu yang mengharamkan yang baik termasuk yang dilarang oleh Allah SWT.

DALIL

Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.” (Surah Ali-Imran: 104)

Sabda Nabi SAW yang bermaksud:

“Barangsiapa di antara kalian melihat suatu kemungkaran, hendaklah ia mencegahnya dengan tangannya dan jika ia tidak mampu, maka dengan lisannya, dan jika tidak mampu juga, maka dengan hatinya, yang demikian itu adalah selemah-lemah iman.” (HR. Muslim)

KEPENTINGAN AMAR MAKRUF NAHI MUNGKAR

Manusia dilahirkan ke muka bumi ini bersama tanggungjawab yang berat iaitu membawa risalah Allah SWT. Tanggungjawab yang dimaksudkan adalah menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.

Hasil daripada melaksanakan tuntutan ini, maka akan melahirkan masyarakat yang beriman kepada Allah dengan sebenar-benarnya.

Syeikh al-Nawawi al-Bantani di dalam kitab beliau iaitu Tafsir Munir, berkata:

“Amar makruf nahi mungkar merupakan fardhu kifayah. Ia tidak boleh dilakukan kecuali oleh orang yang betul-betul mengetahui keadaan dan siasah masyarakat agar ia tidak terus menjerumuskan orang yang diperintah atau orang yang dilarang dalam perbuatan dosa kepada lebih parah. Kerana sesungguhnya orang yang bodoh malah terkadang mengajak kepada perkara yang batil, memerintahkan perkara yang mungkar, melarang perkara yang makruf, terkadang bersifat keras di tempat yang seharusnya bersikap halus dan bersikap halus di tempat yang seharusnya bersikap keras.”

Selain itu, kita perlulah mengetahui serta mendalami method atau cara yang betul dalam melaksanakan amar makruf nahi mungkar sebagaimana kata-kata Syeikh Abdul Hamid al-Syarwani di dalam kitabnya, Hasyiah al-Syarwani:

والواجب على الأمر والناهي أن يأمر وينهى بالأخف ثم الأخف. فإذا حصل التغيير بالكلام اللين فليس له التكلم بالكلام الخشن وهكذا كما قاله العلماء.

“Wajib bagi orang yang melakukan amar makruf nahi mungkar untuk bertindak yang paling ringan dulu kemudian yang agak berat. Sehingga, ketika kemungkaran sudah bisa hilang dengan ucapan yang halus, maka tidak boleh dengan ucapan yang kasar. Dan begitu seterusnya.”

SYARAT-SYARAT DALAM MELAKSANAKAN AMAR MAKRUF NAHI MUNGKAR

Terdapat lima syarat atau kriteria amar makruf nahi mungkar yang dikemukakan oleh Syeikh Abd al-Qadir al-Jailani al-Hasani dalam kitabnya al-Gunyah li-Thalibi Thariq al-Haq.

Pertama: ia mengetahui sesuatu yang diperintahkan dan sesuatu yang dilarang.

Kedua: Amar makruf nahi mungkar yang dilakukan adalah bertujuan untuk mengecapi reda Allah dan meluhurkan agama-Nya, serta meninggikan kalimat-Nya, bukan kerana riyak, sum`ah dan kebanggaan bagi diri sendiri.

Ketiga: Perintah dan larangannya dilakukan dengan lemah-lembut, ramah dan penuh kasih sayang. Nasihat disampaikan dengan cara yang baik, bukan dengan keras dan marah-marah, agar ia tidak menyamakan musuhnya dengan syaitan yang terkutuk.

Nabi SAW bersabda:

“Tidaklah patut bagi seseorang yang menyeru kepada kebaikan dan melarang kepada kemungkaran, sehingga di dalam dirinya dipenuhi tiga perkara iaitu memahami apa yang diperintahkan, memahami apa yang dilarang dan lemah lembut terhadap sesuatu yang diperintah dan yang dilarang.”

Keempat: Ia mestilah seorang yang penyabar, murah hati, bertoleransi, rendah hati, mampu mengawal hawa nafsu, bijak, dan pemimpin yang memberikan petunjuk.

Kelima: Ia melaksanakan sesuatu yang diperintahkan, menjauhi sesuatu yang dilarang dan tidak berlumuran dengan sesuatu yang dilarang tersebut yang menjadikannya hina dan tercela dihadapan Allah SWT.

Ironinya, amar makruf nahi mungkar adalah suatu kewajipan yang sangat penting. Kewajipan ini terpundak pada semua umat Nabi Muhammad SAW dan bukan pada individu yang tertentu. Ia merupakan tanggungjawab bersama dalam pembinaan modal insan demi melahirkan generasi yang hebat dan berharga bagi masa depan sesebuah tamadun.

Justeru, pembinaan modal insan ini hendaklah dipupuk dari awal lagi seperti kata pepatah “melentur buluh biarlah dari rebungnya”.

“Perjalanan dakwah tiada penghujung. Kita bukan pemula bukan juga pengakhir tetapi penyambung. Jangan berhenti, teruskan berjalan.”


Nor Azreen binti Nor Jamidi

Kuliah Bahasa Arab,
Universiti al-Azhar, Kaherah.

Muat turun pdf Risalah Fajar Jumaat Siri 484 – Amar Makruf Nahi Mungkar Kewajipan Bersama