MAJLIS SALAM WIDA’ PEGAWAI KEBAJIKAN PELAJAR KELANTAN TIMUR TENGAH

MAJLIS SALAM WIDA’ PEGAWAI KEBAJIKAN PELAJAR KELANTAN TIMUR TENGAH

KAHERAH, 1 MAC 2022 – Keluarga Pelajar-pelajar Kelantan Mesir telah mengadakan sebuah Majlis Salam Wida’ khusus buat Pegawai Kebajikan Pelajar Kelantan Timur Tengah, Ustaz Khairul Anuar bin Ismail bertemakan “Budimu Setulus Hati, Selaut Kasih Kami Hargai” bagi meraikan kepulangan serta mengenang jasa yang telah ditaburkan sepanjang bertugas menjaga kebajikan dan pendidikan mahasiswa Kelantan di bumi Mesir. Majlis ini telah berlangsung pada Selasa, bertempat di Wisma Sultan Muhammad V.

Tirai Majlis Salam Wida’ dimulakan dengan kehadiran undangan dari kalangan mahasiswa dan mahasiswi Kelantan, kemudian diteruskan dengan jamuan makan dan ramah mesra bersama Pegawai. Antara aktiviti-aktiviti yang dijalankan bagi memeriahkan lagi majlis adalah persembahan qasidah, sesi bergambar dan selingan ucapan daripada anak-anak Kelantan.

​Majlis Salam Wida’ diteruskan lagi dengan slot Ucapan Pegawai dan isteri, Puan Nortamziah binti Pauzi. Pengisian bermula dengan bacaan al-Quran yang dialunkan oleh mahasiswa KPKM. Majlis kemudian diteruskan dengan ucapan penghargaan daripada Ustaz Abdullah Khairi bin Abdullah, Yang Dipertua Keluarga Pelajar-pelajar Kelantan Mesir 2021/2022 dan Ustazah Noor Ashikin binti Mohd Azemi, Ketua Hal Ehwal Wanita Islam HEWI Keluarga Pelajar-pelajar Kelantan Mesir 2021/2022 sebagai wakil anak-anak Kelantan.

 

Pengisian ini juga diadakan secara siaran langsung di laman rasmi Facebook KPKM. Antara pesanan dan ucapan al-Fadhil ustaz dalam majlis ramah mesra ialah:

• Kesatuan anak Kelantan di Mesir dalam urusan kebajikan dan pendidikan.
• Perkukuhkan ukhuwah islamiah sesama anak Kelantan sepanjang keberadaan di Mesir dan tidak terputus sehingga kepulangan ke Malaysia.
• Mahasiswa Kelantan perlu menyiapkan diri dengan ilmu dan thaqafah untuk mencorak dan mengubah masyarakat Malaysia ke arah yang lebih baik.
• Terus bersama KPKM dalam membawa agenda kebajikan, thaqafah, pendidikan dan tarbiah kepada seluruh anak Kelantan.
• Pastikan kekuatan ukhuwah, kebajikan dan tarbiah dapat dijaga dengan baik supaya orang akan datang dapat merasa apa yang kita rasa pada hari ini.

Majlis ramah mesra diakhiri dengan serangkap pantun dari al-Fadhil ustaz,

“Dari Kelantan ke Hulu Langat,
Singgah sebentar di Putrajaya,
Tanamkan azam kuatkan semangat,
Anok Kelantan pasti Berjaya.”

Majlis diakhiri dengan tayangan video ucapan penghargaan dan slot bergambar bersama anak-anak Kelantan. Mudah-mudahan dengan adanya Majlis seperti ini, dapat merapatkan lagi ukhuwah antara mahasiswa Kelantan dengan Pejabat Pegawai dan sesama ahli KPKM.

Semoga majlis ini dapat mengeratkan ukhuwah sesama anak Kelantan dan dapat mengukuhkan kesatuan dalam membawa agenda Islam kepada mahasiswa di Mesir dan masyarakat Malaysia secara umumnya. Semoga al-Fadhil ustaz dipermudahkan urusan dan dipermurahkan rezeki selalu.

“Budimu Setulus Hati, Selaut Kasih Kami Hargai”

“Belajar dan Beramal”
“Memurnikan Pemikiran, Melestarikan Kesatuan”
#BersamaBersatu
#BersamaBersatuMenjagaWarisan

Disediakan oleh:

Muhammad Nasrullah bin Mohd Asri
Setiausaha Agung,
Keluarga Pelajar-pelajar Kelantan Mesir 2021/2022

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *