MAJLIS RAMAH MESRA BERSAMA ANAK- ANAK KELANTAN

MAJLIS RAMAH MESRA BERSAMA ANAK- ANAK KELANTAN

KAHERAH, 18 MAC 2022 – Keluarga Pelajar-pelajar Kelantan Mesir telah menganjurkan Majlis Ramah Mesra bersama Anak-anak Kelantan bagi meraikan kedatangan delegasi rombongan kerajaan Kelantan yang begitu prihatin terhadap anak-anak Kelantan di bumi mesir. Saban tahun rombongan kerajaan sanggup meluangkan masa untuk bersama dengan anak Kelantan yang berada di sini. Majlis ini dijayakan lagi dengan kerjasama Pejabat Pegawai Kebajikan Pelajar Kelantan Timur Tengah yang menjadi tonggak dalam memastikan kelangsungan pendidikan dan kebajikan pelajar Kelantan di bumi Mesir berjalan dengan lancar.

Majlis ini berlangsung pada hari Jumaat, 18 Mac 2022 bersamaan 15 Syaaban 1443H yang bertempat di Dewan Malaysia Abbasiah Kaherah. Dalam pada itu, majlis ini terbuka kepada semua anak Kelantan yang berada di Mesir untuk menjayakan lagi program ini. Dewan mula dipenuhi anak-anak Kelantan seawal jam 6.00 petang sehingga mencapai 400 orang lebih sehingga akhir program pada pukul 10.30 malam.

Acara majlis dimulai dengan bacaan ayat suci al-Quran, nasyid Asma al-Husna dan lagu Selamat Sultan. Kemudian majlis diteruskan dengan ucapan Ustaz Abdullah Khairi bin Abdullah, Yang Dipertua Keluarga Pelajar-pelajar Kelantan Mesir 2021/2022 dan ucapan Ustaz Khairul Anuar bin Ismail, Pegawai Kebajikan Pelajar Kelantan Timur Tengah. Seterusnya majlis diwarnai lagi dengan ucapan yang dinanti-nantikan iaitu ucapan khas dibawa oleh Yang Berhomat Ustaz Wan Roslan bin Wan Hamat, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO Negeri Kelantan, Yang Berhormat Dato’ Ustaz Hassan bin Mohamood, Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC), dan Yang Mulia Engku Rujhan bin Engku Ismail, Pengarah Yayasaan Islam Kelantan.

Majlis Ramah Mesra merupakan antara usaha untuk menerangkan tentang peranan mahasiswa al-Azhar tentang persediaan untuk terjun ke medan lapangan dalam memperbaiki dan memberi pencerahan agama kepada masyarakat yang kian tenat. Demikian juga, anak-anak Kelantan  turut ditekankan tentang peningkatan mutu pendidikan dari segi ilmu kuliah dan juga nilai tambah yang lain untuk melahirkan pengeluaran cetakan al-Azhar yang lebih proaktif dan produktif. Dalam pada itu, usaha utama majlis ini dijalankan sebagai medan untuk mengeratkan lagi hubungan antara pimpinan kerajaan negeri Kelantan bersama pelajar dengan membuka sesi soal jawab untuk perkongsian dua hala antara hadirin dan para pimpinan kerajaan negeri.

Slot pengucapan diakhiri dengan ucapan penggulungan daripada wakil pimpinan kerajaan negeri. Antara pesanan terahir yang sempat dirakam ialah peranan pelajar al-Azhar sangat besar dalam membangunkan misi dan visi kerajaan Kelantan dalam menegakkan Islam dan membawa masyarakat menjalani nilai hidup Islam dalam kehidupan serta mengelakkan kontroversi yang menyebabkan perpecahan dan perbalahan. Seterusnya majlis menutup tirai dengan acara penyampaian hadiah kepada ketiga-tiga tetamu istimewa yang disampaikan oleh Ustaz Khairul Anuar bin Ismail.

Mudah-mudahan dengan adanya program sebegini dapat meningkatkan lagi kesedaran mahasiswa Mesir akan peranan mereka sekaligus mengeratkan lagi ukhuwah antara pimpinan kerajaan negeri Kelantan dan anak Kelantan di Mesir. Semoga negeri Kelantan terus subur dan mara dalam meneruskan agenda dakwah yang dibawa oleh Rasulullah SAW.

 

Disediakan oleh:

Siti Nursyafilza binti Abdul Ghani
Setiausaha Hal Ehwal Wanita Islam (HEWI),
Keluarga Pelajar-pelajar Kelantan Mesir 2021/2022.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *