RISALAH FAJAR JUMAAT SIRI 485 – FALSAFAH RAMADAN

FALSAFAH RAMADAN

Seiring dengan perguliran waktu setiap tahun Hijrah, kali ini tetamu mulia, Ramadan bertandang lagi. Ramadan, sebuah nama yang menggetarkan jiwa hamba-hamba-Nya yang ikhlas dan soleh dalam beramal, sebuah nama yang mendorong para salafussoleh untuk membuat persiapan rapi sebelum bertemu bulan ini.

Jika kita mempunyai sebuah kediaman dan mendapat perkhabaran awal bahawa ada seorang tokoh ternama akan bertandang ke rumah, bukankah kediaman kita akan dihias indah? Segala peralatan akan ditukar ganti, kerosakan akan ditampung dan makanan yang lazat akan dihidangkan. Di sini, kediaman ini diibaratkan seperti badan kita secara fizikal dan rohani yang disiapkan bagi bertemu Ramadan nanti.

Ada apa dengan Ramadan?

Apakah hakikat Ramadan sehingga kedatangannya memberi berita gembira kepada sekalian umat Islam?

Sebelum kita menyelam lebih jauh, umum mengetahui bahawa tujuan utama hidup kita di atas muka bumi adalah untuk meraih keredaan Allah Azza wa Jalla. Barang siapa yang melakukan pekerjaan di dunia dengan matlamat mencapai reda Allah, bahkan berjaya mendapatkannya, maka orang ini telah mendapat kebahagiaan di dua tempat, iaitu dunia dan akhirat.

Ayuh lah kita meneliti pula dalil-dalil mengenai Ramadan dan mengaitkannya dengan tujuan hidup kita sekaligus mengorek rahsia dan faedah Ramadan.

(یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ كُتِبَ عَلَیۡكُمُ ٱلصِّیَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى ٱلَّذِینَ مِن قَبۡلِكُمۡ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ)

(Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.)

[Surah al-Baqarah: 183]

Syeikh Izzuddin bin Abdul Salam rahimahulllah taala (wafat pada 660 H) dalam karyanya yang berjudul Maqasid al-Soum mensyarahkan makna takwa di sini dengan penjagaan daripada api neraka dengan sebab puasanya. Hal ini kerana, puasa seseorang boleh menghapuskan dosa besar yang menjanjikan balasan api neraka kepada pelakunya.

Di sini, orang yang terselamat daripada api neraka akan mendapat ketenangan abadi di dunia dan akhirat yang abadi jua.

Seterusnya, Ramadan mempunyai kedudukan tinggi dalam agama kerana bulan ini menjanjikan pelbagai ganjaran baik dan faedah serta pengampunan dosa bagi hamba-hamba-Nya yang berpuasa dengan penuh keimanan dan pengharapan. Antara faedah dan kelebihan berpuasa adalah dapat meninggikan darjat seseorang, mematahkan nafsu syahwat, menggalakkan sedekah, menggalakkan ketaatan dan menjauhkan diri daripada kemaksiatan.

Puasa dikatakan dapat menjatuhkan nafsu daripada keinginan melakukan maksiat kerana nafsu yang kekenyangan akan menjadikannya condong kepada melakukan perkara kemaksiatan dan kesalahan. Tambahan pula, jika nafsu kita kelaparan, kita cenderung untuk mencari keperluan makan dan minum.

Oleh itu, terdapat sesetengah salafussoleh yang mendahulukan puasa berbanding ibadat-ibadat lain. Apabila ditanya mengenai sebabnya; ‘’Keadaan Allah SWT melihat nafsuku mencari-cari makan dan minum lebih aku sukai berbanding Dia melihatku cenderung kepada maksiat.’’

Keadaan berlapar juga akan mengingatkan kita terhadap keadaan penghuni neraka yang kelaparan dan kepanasan. Oleh itu, kita akan berusaha memperbanyakkan amalan ketaatan sewaktu berpuasa di bulan Ramadan supaya selamat daripada api neraka.

Setelah melihat faedah-faedah di atas, kita boleh melihat perubahan pada sikap sebahagian individu yang menghayati makna Ramadan. Namun sayangnya, perubahan ini hanya kekal selama Ramadan dan keadaan kembali seperti asalnya setelah berlalu bulan ini atas alasan ‘keadaan sudah berubah menjadi seperti biasa.’

Hakikatnya, kehidupan beribadat dalam Ramadan adalah sesuatu yang perlu dibiasakan.

Sebelum menutup tulisan ini, sukalah untuk saya nukilkan sebuah kalam Arab:

نصف رمضان قد ذهب، إلا أن ما بقي من الذهب

“Separuh Ramadan telah pergi, dan tidaklah yang berbaki ini lebih bernilai daripada emas.”

Ayuhlah kita terus mengintrospeksi diri dan menggunakan peluang hari berbaki ini untuk menambahkan amalan. Ramadan kali ini, biar lebih baik daripada yang lalu.

Nik Nur Humaira’ binti Nik Yusri
Kuliah Usuluddin Tahun 3,
Universiti Al-Azhar.

Muat turun pdf Risalah Fajar Jumaat Siri 485 – Falsafah Ramadan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *