RISALAH FAJAR JUMAAT SIRI 486 – RAMADAN: BUKTI ALLAH MENGASIHANI HAMBA-HAMBANYA

RAMADAN: BUKTI ALLAH MENGASIHANI HAMBA-HAMBANYA

Umat Islam adalah umat yang terbaik di sisi Allah SWT. Hal ini demikian kerana Islam adalah satu-satunya kepercayaan yang diiktiraf oleh Allah SWT. Sebagaimana firman Allah SWT yang berbunyi:

إِنَّ ٱلدِّینَ عِندَ ٱللَّهِ ٱلۡإِسۡلَـٰمُۗ

Maksudnya: “Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam.”
(Surah Ali-Imran: 19)

Walaupun Islam merupakan agama yang diiktiraf di sisi Allah, ia masih tidak menjaminkan syurga kepada hamba-hambaNya, terutama yang sering lalai dengan peluang yang diberi. Ini kerana ganjaran pahala tidak diperoleh dengan mudah melainkan perlu melalui ujian dan dugaan daripada Allah SWT. Dan ujian ini adalah tidak lain dan tidak bukan untuk menjadikan hambaNya lebih bertakwa dan taat kepada aturan-aturan Allah SWT.

Antara peluang yang telah disediakan kepada umat Islam ialah kelebihan yang terdapat pada bulan Ramadan. Satu bulan yang sangat mulia, padanya telah diturunkan al-Quran, padanya juga disediakan lailatul qadr, padanya juga syaitan-syaitan telah diikat. Inilah bulan yang paling mulia di sisiNya dan secara automatik dikira sebagai bulan yang membuka peluang kepada umat Islam untuk menggapai reda Allah SWT secara total.

Allah SWT berfirman:

یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ كُتِبَ عَلَیۡكُمُ ٱلصِّیَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى ٱلَّذِینَ مِن قَبۡلِكُمۡ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.”
(Surah al-Baqarah: 183)

Dalam tafsir al-Si’di, penulis ada menyatakan bahawa Allah telah menyebutkan hikmah disyariatkan berpuasa kepada umat Islam adalah لعلكم تتقون (agar kamu semua bertakwa), kerana sesungguhnya ibadah puasa ini merupakan antara salah satu faktor memperoleh ketakwaan dan dapat menjauhi larangan-Nya. Antara bentuk ketakwaan dalam ibadah puasa ialah meninggalkan apa yang diharamkan oleh Allah SWT seperti berjimak di siang hari, makan, minum dan melakukan apa yang sangat diinginkan nafsu.

Selain itu, apabila kita melaksanakan ibadah puasa ini, kita dapat merasakan keadaan golongan fakir miskin yang susah untuk mendapatkan nasi walau hanya sepinggan, apatah lagi lauk ayam atau ikan yang sangat jarang disentuh oleh lidah mereka. Pada bulan Ramadanlah umat Islam sepatutnya dapat merasakan apa yang telah golongan ini lalui seperti menahan rasa lapar dan dahaga ketika cuaca panas membahang.

Tetapi sayangnya, perkara ini semua seperti jawapan kepada soalan yang hanya dihafal ketika ingin menduduki peperiksaan. Bezanya adalah jawapan tersebut ditulis di atas kertas peperiksaan, kemudian dilupakan. Adapun pengetahun berkenaan bulan yang mulia ini, ia hanya disimpan di dalam benak fikiran tanpa mempraktikkannya di bulan Ramadan.

Inilah sikap sesetengah umat Islam yang sentiasa lalai dengan kehidupan dunia yang tidak fana. Manusia masih lalai dengan sentiasa melakukan dosa-dosa kecil seperti mengumpat dan lain-lain.

Syeikh Abd ‘Aziz bin Marzuq al-Tharifi berkata:

التساهل بالمحرمات في رمضان مما ينقص الأجر، وربما أزال ثواب الصيام. يُرْوى عن أنس والنخعي أن الغيبة تفطر الصائم، أي؛تذهب أجره حتى كأنه مفطر

Terjemahan: Ambil mudah dengan perkara haram pada bulan Ramadan adalah antara yang dapat mengurangkan pahala ibadah puasa, bahkan kemungkinan juga tiada langsung pahala puasa. Diriwayatkan daripada Anas dan al-Nakha’ie bahawa perbuatan mengumpat itu membatalkan puasa seseorang; iaitu ganjarannya diambil seakan-akan seseorang itu berbuka puasa.

Namun begitu, Ramadan juga ada persamaan dengan bulan-bulan yang lain dari segi bilangan hari. Bulan mulia ini juga terdapat 30 hari. 30 hari ini adalah peluang kepada umat Islam untuk saling berlumba-berlumba melakukan ibadah kepada Allah SWT. Oleh itu, mereka yang sedar bahawa walau setengah bulan telah berlalu, ketahuilah bahawa ia masih belum terlambat untuk kita melakukan amal ibadah.

Kerana pengakhiran yang baik itu lebih baik daripada permulaan yang baik tetapi kecundang di pertengahan jalan. Sepertimana di dalam hadis yang berbunyi: “إنما الأعمال بخواتيمها”

Akhir sekali, marilah kita sama-sama sentiasa memperbaharui niat dan saling memperingati antara satu sama lain untuk berebut menggali khazanah di bulan Ramadan yang mulia ini.

 !!! فاستبقوا الخيرات

Nik Mukhlis bin Nik Yusri
Kuliah Syariah Islamiah,
Universiti Al-Azhar.

Muat Turun Pdf Risalah Fajar Jumaat 486 – Ramadan: Bukti Allah Mengasihi Hamba-hambaNya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *