Month: May 2022

RISALAH FAJAR JUMAAT SIRI 487 – TIP-TIP RINGKAS MENGHAFAL DAN MENGEKALKAN HAFALAN AL-QURAN

TIP-TIP RINGKAS MENGHAFAL DAN MENGEKALKAN HAFALAN AL-QURAN

Sabda Nabi SAW:

عَنْ عَائِشَةَ عن النَّبِيِ صلى الله عليه وسلم قاَلَ : “مَثلُ الَّذِي يَقْرَأُ الْقُرْآنَ وَهْوَ حَافِظٌ لَهُ مَعَ السَّفَرَةِ الكِرَامِ الْبَرَرَةِ
“وَمَثلُ الَّذِي يَقْرَأُ الْقُرْآنَ وَهُوَ يتَعَاهَدُهُ وَهُوَ عَلَيْهِ شَدِيدٌ، فلَهُ أجْرَانِ

Maksudnya: “Sesiapa yang membaca al-Quran dalam keadaan dia menghafalnya maka dia berada bersama dengan utusan mulia yang baik (malaikat), dan sesiapa yang membaca al-Quran dan dia mengulangi bacaannya dan berasa susah maka dia mendapat dua pahala”.

(Hadis riwayat Bukhari, jilid 4, hal. 1882, no. hadis: 4653)

Hadis yang tidak asing lagi bagi kita dalam kalangan penghafal al-Quran di mana menerangkan antara kelebihan mereka yang menghafal al-Quran. Bukan semua orang dipilih untuk menghafal al-Quran. Mungkin pada mulanya kita menghafal al-Quran atas dasar memenuhi syarat silibus kuliah di tempat pengajian kita namun secara hakikatnya, kita dipilih oleh Allah untuk menempuh jalan ini. Maka, ikhlaskan niat kerana Allah, bukan semata-mata kerana ujian. Niatkan juga untuk mendapat syurga dan reda Allah serta syafaat al-Quran di hari akhirat kelak.

Menjaga al-Quran bukanlah satu tugas yang mudah lebih-lebih lagi pada zaman kini. Antara pemangkin semangat dalam menjaga kalam Allah adalah dengan mengetahui kelebihan-kelebihan penghafal al-Quran supaya dapat menjadi motivasi untuk kita terus menghafal dan menjaga kalam Allah.

Selain itu, dalam menjaga hafalan al-Quran seseorang itu perlu ada 3 perkara ni:

  1. Istiqamah (استقامة)
  2. Berterusan (استمرار)
  3. Tetap (استقرار)

Tiga elemen ini sangat penting dalam menempuhi cabaran sebagai penghafal al-Quran. Istiqamah dalam membaca dan menghafal. Seterusnya, disiplinkan diri terhadap masa menghafal untuk mencapai target tersendiri. Selain itu, perlu kepada usaha yang berterusan dan sabar terhadap usaha-usaha sepanjang menghafal dan murajaah. Tidak mudah untuk mencapai mutiara indah tanpa usaha yang berterusan dan juga pengorbanan.

      Para penghafal al-Quran sewajarnya melazimi solat malam serta menjadi orang yang dekat dengan Allah dan beramal dengan isi kandungan al-Quran. Oleh hal yang demikian, ia dapat membantu kita untuk terus istiqamah di jalan ini.

Abu Said al-Kharraz menyatakan:

 حسنات الأبرار سيئات المقربين

Mafhumnya: “Satu amalan biasa bagi orang awam, akan tetapi menjadi keaiban bagi orang-orang yang dekat dengan Allah kerana tidak melaksanakannya.”

Kita juga digalakkan untuk murajaah hafalan dalam solat supaya ingatan lebih kuat. Di samping itu, kita menjadikan al-Quran sebagai wirid walau dimana sahaja kita berada. Sentiasa menyebut dan mengulanginya dapat membantu kita dalam menjaga kalam Allah yang mulia ini.

Seterusnya, perkara paling asas ialah seseorang itu hendaklah membaca terlebih dahulu ayat-ayat yang hendak dihafal dan meneliti baris serta huruf-huruf dengan baik. Kemudian, ulang sebanyak yang mungkin sehingga betul-betul mantap dan beralih kepada ayat yang seterusnya. Sebelum mula menghafal, seeloknya membaca terlebih dahulu sebanyak 20 kali agar dibiasakan dengan sebutan hafalan tersebut.

Setelah siap menghafal, kita mestilah memperdengarkan bacaan hafalan kepada orang lain supaya dapat disemak jika ada sebarang kesalahan dalam menghafal. Ini sangat penting kerana hafalan yang tidak disemak akan sentiasa menjadi salah. Wali’auzubillah. Tambahan pula, dalam membantu kita untuk lebih lancar semasa menghafal, kita boleh mendengar audio bacaan al-Quran terlebih dahulu. Teknik ini juga boleh digunakan semasa mengulang al-Quran jika kita mempunyai kekangan masa yang khusus.

Seterusnya, penghafal al-Quran juga perlu menjaga pemakanan. Amalan makanan sunnah dan menjauhi yang syubhah serta kurangkan pengambilan makanan pedas bagi menguatkan daya ingatan.

Perkara yang paling penting dalam menghafal al-Quran juga adalah memperbanyakkan berdoa kepada Allah agar dimudahkan hafalan. Kesabaran yang tinggi diperlukan di samping sentiasa konsisten dan tidak mudah berputus asa. Jika kita mahu nilaian yang besar, maka kita perlu korbankan tenaga dan jiwa kita untuk al-Quran.

Akhir kalam, al-Quran ini adalah modul yang dapat melahirkan manusia yang bijaksana dan mulia akan tetapi kebanyakan manusia mengendahkannya.

Firman Allah:

ذَ ٰ⁠لِكَ ٱلۡكِتَـٰبُ لَا رَیۡبَۛ فِیهِۛ هُدࣰى لِّلۡمُتَّقِینَ

Maksudnya: “Kitab ini (al-Quran) tiada keraguan padanya, petunjuk bagi orang-orang yang bertakwa.”
(Surah al-Baqarah: 2)

Siapakah orang-orang yang bertakwa? Iaitu orang yang paling mulia di sisi Allah. Sama-sama kita memperbaharui niat dalam menghafal al-Quran. Semoga dipermudahkan untuk mengingati, mengekalkan dan mendaulatkan Kalamullah. Wallahua’lam.

 

Humaira’ binti Mohd Hatta
Kuliah Bahasa Arab,
Universiti Al Azhar.

Muat turun PDF Risalah Fajar Jumaat Siri 487 – Tip-tip Ringkas Menghafal dan Mengekalkan Hafalan Al-Quran

 

MAJLIS SAMBUTAN HARI RAYA AIDILFITRI 2022 (FARHAH ’22)

MAJLIS SAMBUTAN HARI RAYA AIDILFITRI 2022 (FARHAH ’22)

KAHERAH, 3 MEI 2022 – Keluarga Pelajar-pelajar Kelantan Mesir telah menganjurkan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2022 (FARHAH ’22) yang bertempat di Wisma Sultan Muhammad V. Majlis ini dianjurkan bagi meraikan seluruh anak-anak Kelantan yang berada di bumi Mesir sekaligus menautkan hati anak-anak Kelantan dengan tautan tali mahabbah menerusi aktiviti yang dijalankan.

Pada 1 Mei 2022 bersamaan 30 Ramadan 1443H, program dimulakan dengan solat sunat tasbih secara berjemaah yang diimamkan oleh Ustaz Mohd Syahir bin Pandak Jabo, Fasilitator KPKM 2021/2022. Setelah itu, program diteruskan dengan slot Perutusan Hari Raya Aidilfitri yang disampaikan oleh Ustaz Abdullah Khairi bin Abdullah, selaku Yang Dipertua, Keluarga Pelajar-pelajar Kelantan Mesir 2021/2022. Kemudian diakhiri dengan slot Riang Ria Raya bersama ahli KPKM, dengan menjemput beberapa wakil dari kalangan ikhwah dan akhawat serta mutazawwijin bagi memberi sedikit ucapan tentang perasaan dan cara sambutan raya di Mesir.

Keesokkannya, iaitu pada 2 Mei 2022 bersamaan dengan 1 Syawal 1443H, ahli KPKM beramai-ramai telah menunaikan solat sunat Hari Raya Aidilfitri yang bertempat di Masjid Musa Nusair, Hayyu Sabiek. Sejurus selepas solat sunat Aidilfitri, diadakan pula Majlis Musalsal Aidilfitri yang disampaikan oleh Sheikh Rifaat Fauzi Abdul Mutalib yang bertempat di Surau Wisma Sultan Muhammad V.

Pada hari ketiga, iaitu pada 3 Mei bersamaan dengan 2 Syawal 1443H, telah berlangsung Majlis Perasmian Program dan Forum Hari Raya Aidilfitri. Majlis bermula dengan slot Forum Raya santai yang disampaikan oleh dua orang panel, Ustaz Muhammad Faisal bin Kamaruzaman dan Ustazah Wan Khalisah binti Wan Mamat Ramli, serta moderator, Ustaz Abdul Habib bin Sabirin. Kemudian majlis ditangguhkan sebentar bagi memberi laluan kepada ahli untuk menunaikan solat asar secara berjemaah.

Seterusnya, majlis diteruskan dengan slot Perasmian Program yang dipengerusikan oleh Ustaz Mohd Azamuddeen bin Mohammad Shukri. Majlis dimulakan dengan alunan nasyid Asmaul Husna dan bacaan ayat-ayat suci al-Quran oleh Ustaz Mohamad Arif bin Mohd Nasir. Majlis diteruskan dengan mendengar ucapan ringkas daripada Ustaz Ahmad Syuraih Fiqhi bin Mohd Saa’ufi selaku pengarah FARHAH ’22, seterusnya ucapan perasmian yang disampaikan oleh Ustaz Mohamad Uwais Al-Qarni bin Mohamad Hafhiz, Pengerusi Dewan Perwakilan Mahasiswa (MAQAZ) Shoubra sesi 2021/2022  selaku perasmi program sekaligus merasmikan FARHAH ’22 dengan penyempurnaan gimik program. Setelah itu, majlis ditangguhkan sebentar bagi memberi laluan kepada ahli untuk menunaikan solat maghrib secara berjemaah serta makan malam.

Seterusnya, majlis diteruskan dengan slot Riuh Raya Perantau. Slot ini dimulakan dengan persembahan nasyid dan dikir barat, kemudian diikuti dengan cabutan bertuah dan diselangi dengan penyampaian hadiah kepada para pemenang yang terlibat dengan pertandingan yang dianjurkan oleh program. Selepas itu, aktiviti diteruskan dengan pembahagian duit raya kepada cucu-cucu KPKM dan majlis diakhiri dengan tayangan video program.

Semoga majlis ini dapat mengeratkan lagi ukhuwah antara ahli KPKM dan diberkati oleh Allah SWT. Tidak dilupakan, sekalung penghargaan dan tahniah diucapkan kepada AJK pelaksana program yang telah bertungkus lumus bagi menjayakan program ini serta ahli KPKM yang turut sama mengambil bahagian memeriahkan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini. Moga Allah Taala mengampunkan segala dosa kita serta menerima segala amal soleh dan kebajikan kita.

“Aidilfitri Dirai, Ukhuwah Ditauti, Kegembiraan Hakiki Dikecapi”

Disediakan oleh:

Shahida binti Abd Wahab
Timbalan Setiausaha Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2022 (FARHAH ’22),
Keluarga Pelajar-pelajar Kelantan Mesir 2021/2022

 

IHYA TARBAWI RAMADAN 2022 (IHTIRAM ’22)

 IHYA TARBAWI RAMADAN 2022 (IHTIRAM `22)

KAHERAH, 2 MEI 2022 – Keluarga Pelajar-pelajar Kelantan Mesir telah menganjurkan Program Ihya Tarbawi Ramadan 2022 (IHTIRAM `22) di bawah Lajnah Dakwah dan Tarbiah KPKM 2021/2022, bertempat di Wisma Sultan Muhammad V, Wisma Tengku Mahkota Kelantan, rumah KPKM serta rumah sewa ahli KPKM yang berada di sekitar Kaherah. Program ini bertujuan untuk menghidupkan bulan Ramadan dengan pengisian yang bermanfaat, memberi kefahaman yang sebenar berkaitan konsep ibadah, melahirkan modal insan yang kuat dari sudut rohani, jasmani, emosi dan intelek, serta mengukuhkan ukhuwah islamiah dalam kalangan ahli dan BKAN Taakhi. Program ini berlangsung selama sebulan bermula 2 April sehingga 1 Mei 2022M bersamaan 1 sehingga 30 Ramadan 1443H.

Majlis Perasmian IHTIRAM `22 didahulukan sebagai acara pembuka tirai IHTIRAM ’22 yang berlangsung pada 31 Mac 2022 yang bertempat di Surau Wisma Sultan Muhammad V. Majlis ini dimulakan dengan ucapan pengarah IHTIRAM `22, Ustaz Mohamad Aziem bin Mohd Zaid seterusnya dirasmikan oleh Ustaz Muhamad Firdaus bin Burhan, Anggota Lembaga Penasihat, Keluarga Pelajar-pelajar Kelantan Mesir 2021/2022. Majlis ini turut disempurnakan dengan gimik perasmian serta tayangan video aktiviti sepanjang IHTIRAM yang lalu.

Program IHTIRAM ’22 dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti yang dijalankan secara rutin harian, mingguan dan aktiviti-aktiviti khas sempena bulan Ramadan. Antara aktiviti harian yang telah dilaksanakan ialah pengisian tazkirah tarawih, tadarus al-Quran, solat sunat tarawih secara berjemaah di Wisma Sultan Muhammad V dan Wisma Tengku Mahkota Kelantan dengan diserikan lagi jemputan imam Shoubra setiap malam Jumaat.

Seterusnya, pihak IHTIRAM’22 telah melaksanakan aktiviti secara mingguan seperti qiamullail, sahur beramai-ramai, tukaran juadah antara ahli dan dimeriahkan lagi dengan kuiz spontan yang dilontarkan selepas kuliah subuh setiap hari Jumaat. Selain itu, pihak program turut mengatur aktiviti-aktiviti ziarah rumah negeri ke rumah sewa di sekitar Kaherah. Di samping itu, pihak program membuka peluang kepada mahasiswi KPKM untuk menunaikan solat tarawih di masjid-masjid pilihan di sekitar Kaherah. Penyertaan aktiviti ziarah masjid dibuka seramai 39 orang. Masjid terpilih yang dikunjungi ialah Masjid Tantawi, Hayyu Sabiek dan Masjid Musyer Tantawi, Tajammuk Khamis.

Didatangkan juga aktiviti menarik yang julung kali diadakan sempena bulan Ramadan tahun ini seperti Pertandingan Syarahan Badar Kubra dan Nuzul Quran yang bertempat di WSMV bagi lelaki dan WTMK bagi perempuan. Pertandingan ini berlangsung pada 14 April 2022.

Pada 17 Ramadan bersamaan 18 April 2022 pula, pihak program mengambil peluang untuk mengadakan Ceramah Nurul al-Quran dengan menjemput sekitar 700 orang ahli KPKM untuk menghadiri ceramah Nuzul al-Quran serta Majlis Berbuka Puasa Bersama BKAN Taakhi (Iftar Ma’an) bersama Badan Kebajikan Pelajar Pulau Pinang Mesir (BKPPPM) dan Dewan Perwakilan (MAQAZ) Shoubra. Diselangi dua hari selepas itu program diteruskan lagi aktiviti pertandingan hafazan al-Quran yang terbuka kepada semua mahasiswa dan mahasiswi yang berada di Mesir.

Pada 10 Ramadan yang terakhir, aktiviti-aktiviti program IHTIRAM’22 digandakan dengan melaksanakan qiamullail secara harian dan sahur secara berjemaah pada setiap malam-malam ganjil. Pada tanggal 27 April 2022, program IHTIRAM’22 melabuhkan tirai program tahunan ini dengan mengadakan Majlis Perasmian Penutup berserta Iftar Jamaie Anak-anak Kelantan. Majlis Khatam Al-Quran juga berjaya dilakukan pada 30 Ramadan 1443H bertempat di Surau Wisma Sultan Muhammad V dan surau Wisma Tengku Mahkota Kelantan. Seterusnya majlis memberi ruang kepada ahli untuk membuat persiapan Hari Raya Aidilfitri untuk menghias dan mendekorasi kawasan-kawasan wisma.

Semoga aktiviti-aktiviti Ihya Tarbawi Ramadan 2022 (IHTIRAM ’22) di bawah Lajnah Dakwah dan Tarbiah KPKM ini dapat melahirkan modal insan yang hebat dari sudut rohani, jasmani, emosi dan intelektual serta dapat menjadikan program ini sebagai lubuk pahala pada bulan Ramadan.

” رمضان كريم,الله أكرم”

Disediakan oleh:

Ahmad Sakini Bin Najemudin
Setiausaha Ihya’ Tarbawi Ramadan 2022 (IHTIRAM ’22),
Keluarga Pelajar-pelajar Kelantan Mesir 2021/2022

MAKLUMAN PENANGGUHAN PROGRAM KPKM

[MAKLUMAN PENANGGUHAN PROGRAM KPKM]

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, para sahabat, ahli keluarga serta rakan-rakan seperjuangan dan pengikut baginda sekalian.

Setelah hampir tiga bulan para mahasiswa dan mahasiswi bertungkus-lumus dalam menunaikan tanggungjawab sebagai seorang penuntut ilmu di bumi Mesir ini, maka pada bulan Mei 2022 akan bermula peperiksaan fasa dua bagi semua bidang pengajian Islam.

Demi memastikan kecemerlangan khususnya dalam bidang akademik, Unit Perancang di bawah Jabatan Timbalan Yang Dipertua, Keluarga Pelajar-pelajar Kelantan Mesir 2021/2022 telah menetapkan tarikh penangguhan program mega yang melibatkan semua ahli KPKM bermula 10 Mei sehingga selesai peperiksaan fasa dua.

Hal ini bertujuan memberi peluang dan ruang seluas-luasnya kepada semua ahli untuk mengulangkaji pelajaran dan memberi tumpuan sepenuhnya kepada akademik seterusnya membuat persediaan yang rapi bagi menghadapi peperiksaan yang akan tiba tidak lama lagi.

Diharapkan semoga dengan penangguhan ini, semua mahasiswa dan mahasiswi dapat menggunakan peluang dan memanfaatkan masa dengan sebaiknya seperti menghidupkan suasana study group bersama rakan-rakan, menghadiri kuliah yang berbaki dan kelas-kelas tutorial yang dianjurkan MGBKAN dan BKAN.

Semoga penetapan ini akan memberi kesan dan impak yang besar dalam memastikan kecemerlangan dan pencapaian akademik ahli terus meningkat pada sesi ini.

Sekian, wassalam.

“Jom Alatul Bersama”

Ustaz Mohammad Haizat bin Mohd Rashid
Timbalan Yang Dipertua,
Keluarga Pelajar-pelajar Kelantan Mesir 2021/2022

HIMPUNAN AKTIVIS KPKM 2022 (HAK ’22) SIRI 2

HIMPUNAN AKTIVIS KPKM 2022 (HAK ’22) SIRI 2

KAHERAH, 9 Mei 2022 – Telah berlangsung Himpunan Aktivis KPKM 2022 (HAK ’22) siri 2, anjuran Jabatan Timbalan Yang Dipertua Keluarga Pelajar-pelajar Kelantan Mesir 2021/2022 pada 9 Mei bertempat di Wisma Sultan Muhammad V. HAK’ 22 siri 2 kali ini bertemakan “Aktivis Berkebolehan Kekuatan Kesatuan”.

Program dimulakan dengan slot pertama iaitu ucapan perasmian yang disampaikan oleh Ustaz Muhammad Iqbal bin Seidi, Timbalan Penyelarasan I, Majlis Gabungan Badan Kebajikan Anak Negeri 2022. Pada slot ini, pengisi telah memberi penerangan berkaitan peranan sebagai aktivis yang menjadi pendokong sesebuah persatuan.

Program diteruskan ke slot kedua yang bertajuk “Critical Thinking dan Brainstorming” yang telah disampaikan oleh Ustaz Sayyidi Muizzuddin bin Mohd Sabri, Penyelia Wisma Kelantan Shoubra diikuti dengan Gerak Kerja Berkumpulan pada slot ketiga. Aktiviti ini dilakukan untuk melatih aktivis menjadi seorang kritis dalam mencari dan melontarkan idea serta bagaimana membawa mesyuarat yang berkesan.

Seterusnya, program diteruskan dengan slot muhasabah dan solusi separa penggal KPKM dan majlis perasmian penutup oleh ustaz Abdullah Khairi bin Abdullah, Yang Dipertua KPKM 2021/2022. Pada slot ini YDP menyatakan harapan beliau agar para aktivis yang juga merupakan tunjang kekuatan bahtera KPKM ini untuk terus bersemangat dalam bekerja dan menjaga demi kelangsungan keluarga kita, Keluarga Pelajar-pelajar Kelantan Mesir seiring slogan YDP KPKM pada sesi ini iaitu “Bersama Bersatu Menjaga Warisan ”. Di Akhirnya, Yang Dipertua KPKM membacakan Resolusi bagi program HAK ’22 supaya aktivis terus komited dan konsisten dalam membantu membawa bahtera KPKM untuk masa akan datang. Program diakhiri dengan sesi bergambar diantara kepimpinan KPKM bersama peserta himpunan aktivis KPKM

Semoga objektif utama program ini dalam memperkasakan kualiti aktivis demi meningkatkan keunggulan dan kemantapan gerak kerja dapat dicapai serta diharapkan agar pengisian yang dikongsi pada program HAK ’22 pada kali ini dapat menambahkan semangat para aktivis untuk bersama-sama membantu dan bekerja di bawah kepimpinan ini.

“Aktivis Berkebolehan, Kekuatan Persatuan”

Disediakan oleh:

Muhammad Hafiz Bin Che Wahid
Setiausaha Himpunan Aktivis KPKM 2022 (HAK ‘22),
Jabatan Timbalan Yang Dipertua,
Keluarga Pelajar-pelajar Kelantan Mesir 2021/2022

 

RISALAH MULTIMEDIA SIRI 40 – PENGENALAN FOTOGRAFI MUDAH ALIH (MOBILE PHOTOGRAPHY)

PENGENALAN FOTOGRAFI MUDAH ALIH (MOBILE PHOTOGRAPHY)

Fotografi mudah alih (mobile photography) merupakan satu genre fotografi baharu yang didatangkan di dalam telefon pintar. Ia termasuk teknik fotografi yang dapat diakses secara mudah dan segera.

Masyarakat hari ini tidak mengira peringkat usia, umumnya pasti mempunyai telefon pintar. Hal yang demikian, ia menjadikan fotografi mudah alih ini sangat mudah diakses terutamanya oleh mereka yang baru mula berjinak di dalam dunia fotografi. Ramai anak muda hari ini yang menunjukkan minat mendalam di dalam seni fotografi mudah alih, bahkan ada juga di antara mereka yang menjadikannya sebagai hobi.

Walaupun fotografi mudah alih dikategorikan sebagai salah satu genre fotografi, namun di dalamnya terdapat pelbagai perkakas pilihan yang dapat menghasilkan genre fotografi yang berlainan. Mudah kata, serba boleh.

Sejak dua dekad yang lalu, telefon bimbit telah mula dimasuki peralatan kamera. Pada awal kemunculannya, gambar yang dihasilkan di dalam telefon bimbit ini tidaklah begitu berkualiti. Namun hari ini, telefon bimbit telah melalui evolusi yang cukup pesat dan dimasuki pelbagai teknologi moden lalu menghasilkan gambar yang lebih baik.

Seiring dengan perkembangan teknologi kamera di dalam telefon pintar, ia juga tidak turut ketinggalan melalui proses pemodenan dan telah menjadi satu unsur penting yang terkandung di dalamnya. Hal ini membuka ruang kepada para pengguna telefon pintar untuk menceburi bidang fotografi tanpa perlu menghabiskan wang dengan mendapatkan kamera yang dijual di pasaran.

Oleh hal yang demikian, satu perkara yang kita tidak boleh nafikan adalah kamera yang terdapat di dalam telefon pintar ini masih tidak mampu menandingi kehebatan kualiti kamera DSLR. Fotografi mudah alih ini tidak menuntut anda menyelidik secara mendalam tentang bahagian dalam kamera tetapi cukup sekadar untuk mengambil gambar sahaja.

Ramai di antara mereka yang masih baharu di dalam dunia fotografi mendakwa agak sukar untuk membawa kamera mereka ke setiap tempat. Hal ini menjadikan fotografi mudah alih ini sebagai satu alternatif yang memudahkan urusan mereka. Tambahan lagi, dengan adanya kamera di dalam telefon pintar, mereka dapat mengambil gambar kenangan secara spontan dan segera di mana-mana tempat dan pada bila-bila masa sahaja. Perkara ini mungkin agak sukar untuk dilakukan oleh kamera biasa.

Mempelajari teknik dan tip di dalam seni fotografi mudah alih sangat membantu untuk menjadikan anda seorang jurugambar yang berkemahiran. Pencahayaan, titik fokus dan sudut yang betul merupakan komponen utama yang perlu dititikberatkan di dalam seni fotografi. Semoga bermanfaat.

Rujukan: photoshootgoals.com

Abid Iman bin Hasmady
Kuliah Syariah Islamiah,
Universiti Al-Azhar

Muat turun pdf Risalah Multimedia Siri 40 – Pengenalan Fotografi Mudah Alih (Mobile Photography)