MAJLIS SAMBUTAN HARI RAYA AIDILFITRI 2022 (FARHAH ’22)

MAJLIS SAMBUTAN HARI RAYA AIDILFITRI 2022 (FARHAH ’22)

KAHERAH, 3 MEI 2022 – Keluarga Pelajar-pelajar Kelantan Mesir telah menganjurkan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2022 (FARHAH ’22) yang bertempat di Wisma Sultan Muhammad V. Majlis ini dianjurkan bagi meraikan seluruh anak-anak Kelantan yang berada di bumi Mesir sekaligus menautkan hati anak-anak Kelantan dengan tautan tali mahabbah menerusi aktiviti yang dijalankan.

Pada 1 Mei 2022 bersamaan 30 Ramadan 1443H, program dimulakan dengan solat sunat tasbih secara berjemaah yang diimamkan oleh Ustaz Mohd Syahir bin Pandak Jabo, Fasilitator KPKM 2021/2022. Setelah itu, program diteruskan dengan slot Perutusan Hari Raya Aidilfitri yang disampaikan oleh Ustaz Abdullah Khairi bin Abdullah, selaku Yang Dipertua, Keluarga Pelajar-pelajar Kelantan Mesir 2021/2022. Kemudian diakhiri dengan slot Riang Ria Raya bersama ahli KPKM, dengan menjemput beberapa wakil dari kalangan ikhwah dan akhawat serta mutazawwijin bagi memberi sedikit ucapan tentang perasaan dan cara sambutan raya di Mesir.

Keesokkannya, iaitu pada 2 Mei 2022 bersamaan dengan 1 Syawal 1443H, ahli KPKM beramai-ramai telah menunaikan solat sunat Hari Raya Aidilfitri yang bertempat di Masjid Musa Nusair, Hayyu Sabiek. Sejurus selepas solat sunat Aidilfitri, diadakan pula Majlis Musalsal Aidilfitri yang disampaikan oleh Sheikh Rifaat Fauzi Abdul Mutalib yang bertempat di Surau Wisma Sultan Muhammad V.

Pada hari ketiga, iaitu pada 3 Mei bersamaan dengan 2 Syawal 1443H, telah berlangsung Majlis Perasmian Program dan Forum Hari Raya Aidilfitri. Majlis bermula dengan slot Forum Raya santai yang disampaikan oleh dua orang panel, Ustaz Muhammad Faisal bin Kamaruzaman dan Ustazah Wan Khalisah binti Wan Mamat Ramli, serta moderator, Ustaz Abdul Habib bin Sabirin. Kemudian majlis ditangguhkan sebentar bagi memberi laluan kepada ahli untuk menunaikan solat asar secara berjemaah.

Seterusnya, majlis diteruskan dengan slot Perasmian Program yang dipengerusikan oleh Ustaz Mohd Azamuddeen bin Mohammad Shukri. Majlis dimulakan dengan alunan nasyid Asmaul Husna dan bacaan ayat-ayat suci al-Quran oleh Ustaz Mohamad Arif bin Mohd Nasir. Majlis diteruskan dengan mendengar ucapan ringkas daripada Ustaz Ahmad Syuraih Fiqhi bin Mohd Saa’ufi selaku pengarah FARHAH ’22, seterusnya ucapan perasmian yang disampaikan oleh Ustaz Mohamad Uwais Al-Qarni bin Mohamad Hafhiz, Pengerusi Dewan Perwakilan Mahasiswa (MAQAZ) Shoubra sesi 2021/2022  selaku perasmi program sekaligus merasmikan FARHAH ’22 dengan penyempurnaan gimik program. Setelah itu, majlis ditangguhkan sebentar bagi memberi laluan kepada ahli untuk menunaikan solat maghrib secara berjemaah serta makan malam.

Seterusnya, majlis diteruskan dengan slot Riuh Raya Perantau. Slot ini dimulakan dengan persembahan nasyid dan dikir barat, kemudian diikuti dengan cabutan bertuah dan diselangi dengan penyampaian hadiah kepada para pemenang yang terlibat dengan pertandingan yang dianjurkan oleh program. Selepas itu, aktiviti diteruskan dengan pembahagian duit raya kepada cucu-cucu KPKM dan majlis diakhiri dengan tayangan video program.

Semoga majlis ini dapat mengeratkan lagi ukhuwah antara ahli KPKM dan diberkati oleh Allah SWT. Tidak dilupakan, sekalung penghargaan dan tahniah diucapkan kepada AJK pelaksana program yang telah bertungkus lumus bagi menjayakan program ini serta ahli KPKM yang turut sama mengambil bahagian memeriahkan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini. Moga Allah Taala mengampunkan segala dosa kita serta menerima segala amal soleh dan kebajikan kita.

“Aidilfitri Dirai, Ukhuwah Ditauti, Kegembiraan Hakiki Dikecapi”

Disediakan oleh:

Shahida binti Abd Wahab
Timbalan Setiausaha Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2022 (FARHAH ’22),
Keluarga Pelajar-pelajar Kelantan Mesir 2021/2022

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *