RISALAH FAJAR JUMAAT SIRI 487 – TIP-TIP RINGKAS MENGHAFAL DAN MENGEKALKAN HAFALAN AL-QURAN

TIP-TIP RINGKAS MENGHAFAL DAN MENGEKALKAN HAFALAN AL-QURAN

Sabda Nabi SAW:

عَنْ عَائِشَةَ عن النَّبِيِ صلى الله عليه وسلم قاَلَ : “مَثلُ الَّذِي يَقْرَأُ الْقُرْآنَ وَهْوَ حَافِظٌ لَهُ مَعَ السَّفَرَةِ الكِرَامِ الْبَرَرَةِ
“وَمَثلُ الَّذِي يَقْرَأُ الْقُرْآنَ وَهُوَ يتَعَاهَدُهُ وَهُوَ عَلَيْهِ شَدِيدٌ، فلَهُ أجْرَانِ

Maksudnya: “Sesiapa yang membaca al-Quran dalam keadaan dia menghafalnya maka dia berada bersama dengan utusan mulia yang baik (malaikat), dan sesiapa yang membaca al-Quran dan dia mengulangi bacaannya dan berasa susah maka dia mendapat dua pahala”.

(Hadis riwayat Bukhari, jilid 4, hal. 1882, no. hadis: 4653)

Hadis yang tidak asing lagi bagi kita dalam kalangan penghafal al-Quran di mana menerangkan antara kelebihan mereka yang menghafal al-Quran. Bukan semua orang dipilih untuk menghafal al-Quran. Mungkin pada mulanya kita menghafal al-Quran atas dasar memenuhi syarat silibus kuliah di tempat pengajian kita namun secara hakikatnya, kita dipilih oleh Allah untuk menempuh jalan ini. Maka, ikhlaskan niat kerana Allah, bukan semata-mata kerana ujian. Niatkan juga untuk mendapat syurga dan reda Allah serta syafaat al-Quran di hari akhirat kelak.

Menjaga al-Quran bukanlah satu tugas yang mudah lebih-lebih lagi pada zaman kini. Antara pemangkin semangat dalam menjaga kalam Allah adalah dengan mengetahui kelebihan-kelebihan penghafal al-Quran supaya dapat menjadi motivasi untuk kita terus menghafal dan menjaga kalam Allah.

Selain itu, dalam menjaga hafalan al-Quran seseorang itu perlu ada 3 perkara ni:

  1. Istiqamah (استقامة)
  2. Berterusan (استمرار)
  3. Tetap (استقرار)

Tiga elemen ini sangat penting dalam menempuhi cabaran sebagai penghafal al-Quran. Istiqamah dalam membaca dan menghafal. Seterusnya, disiplinkan diri terhadap masa menghafal untuk mencapai target tersendiri. Selain itu, perlu kepada usaha yang berterusan dan sabar terhadap usaha-usaha sepanjang menghafal dan murajaah. Tidak mudah untuk mencapai mutiara indah tanpa usaha yang berterusan dan juga pengorbanan.

      Para penghafal al-Quran sewajarnya melazimi solat malam serta menjadi orang yang dekat dengan Allah dan beramal dengan isi kandungan al-Quran. Oleh hal yang demikian, ia dapat membantu kita untuk terus istiqamah di jalan ini.

Abu Said al-Kharraz menyatakan:

 حسنات الأبرار سيئات المقربين

Mafhumnya: “Satu amalan biasa bagi orang awam, akan tetapi menjadi keaiban bagi orang-orang yang dekat dengan Allah kerana tidak melaksanakannya.”

Kita juga digalakkan untuk murajaah hafalan dalam solat supaya ingatan lebih kuat. Di samping itu, kita menjadikan al-Quran sebagai wirid walau dimana sahaja kita berada. Sentiasa menyebut dan mengulanginya dapat membantu kita dalam menjaga kalam Allah yang mulia ini.

Seterusnya, perkara paling asas ialah seseorang itu hendaklah membaca terlebih dahulu ayat-ayat yang hendak dihafal dan meneliti baris serta huruf-huruf dengan baik. Kemudian, ulang sebanyak yang mungkin sehingga betul-betul mantap dan beralih kepada ayat yang seterusnya. Sebelum mula menghafal, seeloknya membaca terlebih dahulu sebanyak 20 kali agar dibiasakan dengan sebutan hafalan tersebut.

Setelah siap menghafal, kita mestilah memperdengarkan bacaan hafalan kepada orang lain supaya dapat disemak jika ada sebarang kesalahan dalam menghafal. Ini sangat penting kerana hafalan yang tidak disemak akan sentiasa menjadi salah. Wali’auzubillah. Tambahan pula, dalam membantu kita untuk lebih lancar semasa menghafal, kita boleh mendengar audio bacaan al-Quran terlebih dahulu. Teknik ini juga boleh digunakan semasa mengulang al-Quran jika kita mempunyai kekangan masa yang khusus.

Seterusnya, penghafal al-Quran juga perlu menjaga pemakanan. Amalan makanan sunnah dan menjauhi yang syubhah serta kurangkan pengambilan makanan pedas bagi menguatkan daya ingatan.

Perkara yang paling penting dalam menghafal al-Quran juga adalah memperbanyakkan berdoa kepada Allah agar dimudahkan hafalan. Kesabaran yang tinggi diperlukan di samping sentiasa konsisten dan tidak mudah berputus asa. Jika kita mahu nilaian yang besar, maka kita perlu korbankan tenaga dan jiwa kita untuk al-Quran.

Akhir kalam, al-Quran ini adalah modul yang dapat melahirkan manusia yang bijaksana dan mulia akan tetapi kebanyakan manusia mengendahkannya.

Firman Allah:

ذَ ٰ⁠لِكَ ٱلۡكِتَـٰبُ لَا رَیۡبَۛ فِیهِۛ هُدࣰى لِّلۡمُتَّقِینَ

Maksudnya: “Kitab ini (al-Quran) tiada keraguan padanya, petunjuk bagi orang-orang yang bertakwa.”
(Surah al-Baqarah: 2)

Siapakah orang-orang yang bertakwa? Iaitu orang yang paling mulia di sisi Allah. Sama-sama kita memperbaharui niat dalam menghafal al-Quran. Semoga dipermudahkan untuk mengingati, mengekalkan dan mendaulatkan Kalamullah. Wallahua’lam.

 

Humaira’ binti Mohd Hatta
Kuliah Bahasa Arab,
Universiti Al Azhar.

Muat turun PDF Risalah Fajar Jumaat Siri 487 – Tip-tip Ringkas Menghafal dan Mengekalkan Hafalan Al-Quran

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *