Month: July 2022

RISALAH FAJAR JUMAAT SIRI 490 – WANITA, DIRIMU BEGITU BERHARGA

WANITA, DIRIMU BEGITU BERHARGA

Wanita, dirimu begitu berharga. Masakan bapa kita, Nabi Adam AS mampu meneruskan hidup tanpa pendamping di sisi, meski kehidupan Baginda SAW sudah dipenuhi kenikmatan syurga. Betapa tempang kehidupan seorang lelaki tanpamu menyempurnakannya.

Wanita, dirimu begitu berharga. Hatta sebuah surah daripada al-Quran dinamakan dengan dirimu, al-Nisa’. Begitu agung Islam mengangkat darjatmu setelah kedudukanmu dipandang enteng bahkan dipersisih oleh pengamalan jahiliah.

Adakah pengiktirafan ini semata-mata dakwaan? Atau pun benar-benar sebuah realiti? Jika kita amati pada diri seorang wanita, kadang kala semangat juang mereka lebih kental berbanding kaum lelaki. Mereka sanggup berkorban walau diri mereka tergadai asalkan apa yang mereka harapkan tercapai.

Sebagai contoh yang dekat lagi jelas ialah pengorbanan seorang ibu dalam menanggung kehamilan, kelahiran hingga selesai tempoh penyusuan. Kepenatan yang sama sekali tidak dirasai oleh kaum bapa. Oleh hal yang demikian, Nabi Muhammad SAW telah bersabda bahawasanya Baginda memerintahkan kita mentaati ibu tiga kali terlebih dulu berbanding kepatuhan kepada bapa.

Daripada Abu Hurairah RA bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah SAW: ‘’Wahai Rasulullah, siapakah manusia yang paling berhak untuk aku berbuat baik kepadanya?’’. Maka Rasulullah SAW menjawab:

أُمُّكَ ثُمَّ أُمُّكَ ثُمَّ أُمُّكَ ثُمَّ أَبُوكَ

Maksudnya: “Ibu kamu (adalah manusia yang paling berhak untuk kamu berbuat baik kepadanya), kemudian ibu kamu, kemudian ibu kamu, kemudian bapa kamu.” (Hadis Riwayat Muslim)

Namun, pada hari ini, nilai mulia ini telah dieksploitasi dan dimanipulasi ke arah kesesatan. Bahkan ada sebahagian yang memperalatkan kalangan wanita sekadar meneguk secebis harta dunia dan kemasyhuran. Perasaan sedih, terkilan dan juga marah menyelubungi.

Antara yang kita dapat lihat pada hari ini, bumi Malaysia telah meremangkan bulu roma, menyiat sanubari kita apabila mula tumbuh budaya prank menarik tudung, isu pelayan wanita jus buah dan pengakuan anak gadis sebagai Melayu Islam lantas “menelanjangkan” dirinya.

Tiada kata dapat menggambarkan pilu lubuk hati kita. Tragis apabila kelemahan lahiriah seorang wanita di samping sifat kesetiaan dan pengorbanan mereka telah dicandu oleh golongan yang buta mata hati. Tambahan pula, maruah diri mereka telah diperjudikan.

Wanita, dirimu begitu berharga. Ayuh sahabat sama ada wanita mahupun lelaki, kita mainkan peranan di setiap posisi masing-masing. Jom kita berikan penerangan, tunjukkan tauladan, kerapkan pantauan, dekati golongan yang masih samar agar setiap lapisan masyarakat jelas dengan penghayatan mesej Islam.

Bergeraklah, jangan diamkan. Jangan dibiarkan golongan cacamerba mencorak akidah, syariat, budaya dan cara hidup generasi mendatang. Jangan dibiarkan normalisasi maksiat, kecelaruan fikrah dan mati sensitiviti membiak dalam masyarakat kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.

Daripada Anas bin Malik RA, Nabi SAW bersabda, “Sebaik-baik wanita di alam semesta sekaligus pemuka ahli syurga ada empat. Mereka adalah Maryam binti Imran, Fatimah binti Rasulullah SAW, Khadijah binti Khuwailid dan Asiah, isteri Firaun.” (Hadis Riwayat Muslim, Hakim dan Ahmad)

Ayuh kita jadikan mereka suri teladan dan membelek lembaran pengorbanan juang mereka. Selami dan mulakan tapak pertama aplikasi sirah mereka dalam kehidupan kita.

Ingat, wanita solehah sebaik-baik perhiasan dunia. Sayangilah dirimu wahai wanita kerana dirimu begitu berharga.

 

Muhammad Faisal bin Mohd Kamaruzaman
Kuliah Ulum Islamiah,
Universiti al-Azhar.

Muat turun PDF Risalah Fajar Jumaat Siri 490 – Wanita, Dirimu Begitu Berharga

HOMESCREEN WALLPAPER I ♥️ KPKM

HOMESCREEN WALLPAPER I ♥️ KPKM

Sukacita dimaklumkan bahawa Unit Redaksi di bawah Lajnah Penerbitan KPKM 2021/2022 mengeluarkan Homescreen Wallpaper I ♥️ KPKM.

Item menarik seperti berikut:
1) Usul Pertama KPKM 2021/2022
Saiz 18.9
Saiz 16:9

2) Usul Kedua KPKM 2021/2022
Saiz 18.9
Saiz 16:9

3) Pembawaan KPKM 2021/2022
(Ikhwah)
Saiz 18.9
Saiz 16:9

(Akhwat)
Saiz 18.9
Saiz 16:9

Semoga dengan adanya Homescreen Wallpaper ini dapat membantu mencapai matlamat KPKM untuk menjaga biah solehah dan amal islami anak Kelantan di Mesir melalui usul dan pembawaan KPKM sesi ini.

“Merentasi Dunia Dakwah Melalui Penerbitan”

“Belajar dan beramal”
“Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan”
#BersamaBersatu
#BersamaBersatuMenjagaWarisan

MAJLIS SAMBUTAN HARI RAYA AIDILADHA 2022 (ADHA ’22)

MAJLIS SAMBUTAN HARI RAYA AIDILADHA 2022 (ADHA ’22)

KAHERAH, 8, 9, 10 Julai 2022 – Keluarga Pelajar-pelajar Kelantan Mesir telah menganjurkan Majlis Sambutan Hari Raya Aidiladha 2022 (ADHA ’22) yang bertempat di Wisma Sultan Muhammad V. Majlis ini dianjurkan bagi memperingati peristiwa dan kisah pengorbanan yang tersirat disebaliknya iaitu Nabi Ibrahim AS dan anaknya, Nabi Ismail AS di samping mengeratkan lagi tautan ukhuwah dan mahabbah dalam kalangan ahli KPKM.

Pada 8 Julai 2022 bersamaan 9 Zulhijah 1443H, program dimulakan dengan solat sunat tasbih secara berjemaah yang diimamkan oleh Ustaz Muhammad Fikri bin Basri, Ketua Jabatan Fasilitator, Lajnah Dakwah dan Tarbiah KPKM 2021/2022. Setelah itu, program diteruskan dengan slot Perutusan Hari Raya Aidiladha yang disampaikan oleh Ustaz Abdullah Khairi bin Abdullah, selaku Yang Dipertua, Keluarga Pelajar-pelajar Kelantan Mesir 2021/2022. Kemudian majlis pada malam itu diakhiri dengan jamuan ringan bersama semua ahli KPKM yang hadir.

Keesokkannya, iaitu pada 9 Julai 2022 bersamaan dengan 10 Zulhijah 1443H, merupakan hari yang dinanti-nantikan oleh ahli KPKM untuk menunaikan solat sunat Hari Raya Aidiladha beramai-ramai yang bertempat di Dataran Hayyu Asyir bersama-sama dengan mahasiswa dan mahasiswi daripada berlainan negeri. Solat sunat dimulakan kira-kira pada jam 5.30 pagi dan diikuti dengan Khutbah Hari Raya Aidiladha yang disampaikan oleh Ustaz Ku Abdul Muhaimin bin Ku Mat, Koordinator Pembangunan Insan, Majlis Gabungan Badan Kebajikan Anak Negeri sesi 2022.

Sejurus selepas solat sunat Aidiladha, para penggerak program dan ahli yang terlibat membuat persiapan untuk Gotong-royong Sembelihan dan Lapahan haiwan korban yang bertempat di perkarangan Surau Wisma Sultan Muhammad V. Aktiviti sembelihan dan lapahan dihadiri dalam lingkungan 200 hingga 300 orang ahli dan melibatkan 2 ekor unta, 8 ekor khoruf dan 36 ekor kambing. Pada sebelah petang pula, diadakan juga aktiviti merewang bagi sebelah akhawat.

Pada hari ketiga, 10 Julai bersamaan dengan 11 Zulhijah 1443H, tabir ADHA ’22 diteruskan lagi dengan Majlis Perasmian Program serta Muhadharah Sheikh. Majlis dimulakan dengan Muhadharah Sheikh yang disampaikan oleh Sheikh Ali Abdul Basit Muzid, Pensyarah Hadis Wa Ulumuhu, al-Azhar bertajuk “Pengorbanan Nabi Ibrahim AS dan anaknya Nabi Ismail AS”. Setelah itu, majlis ditangguhkan sebentar bagi memberi laluan kepada ahli untuk menikmati jamuan gulai daging unta, kambing dan khoruf yang disediakan oleh pihak program dan menunaikan solat fardu Maghrib secara berjemaah.

Seterusnya, majlis diteruskan dengan slot Perasmian Program yang dipengerusikan oleh ustaz Ahmad Haris bin Rosde. Majlis dimulakan dengan alunan nasyid Asmaul Husna dan bacaan ayat-ayat suci al-Quran oleh ustaz Nik Mohammad Ikhwan bin Nik Mohamed Amin. Majlis diteruskan dengan mendengar ucapan alu-aluan daripada Ustaz Che Muhammad Zulfattah bin Che Zulkifli selaku pengarah ADHA ’22, seterusnya ucapan perasmian yang disampaikan oleh ustaz Che Khairuleffendi bin Che Kamaruzaman, Pegawai Kebajikan Pelajar Kelantan Timur Tengah selaku perasmi program sekaligus merasmikan ADHA ’22 dengan penyempurnaan gimik program.

Seterusnya, majlis diteruskan dengan slot Warna-Warni Aidiladha. Slot ini dimulakan dengan persembahan nasyid daripada ahli KPKM dan persembahan bercerita daripada adik Nurul ‘Athiyyah binti Mohd Supian, cucu KPKM. Kemudian majlis diikuti dengan cabutan bertuah dan diselangi dengan penyampaian hadiah kepada para pemenang pertandingan Anugerah Pakaian Terbaik. Kemudian, majlis diakhiri dengan Solat Isyak secara berjemaah dan bergambar. Majlis Sambutan Hari Raya Aidiladha 2022 (ADHA ’22) melabuhkan tirainya pada jam 10.30 malam.

Akhir kata, semoga majlis ini dapat mengeratkan dan mengukuhkan lagi jalinan ukhuwah antara ahli KPKM serta berjaya merealisasikan setiap objektif dan pembawaan KPKM sekaligus dapat membumikan erti sebuah pengorbanan dan menghakis kesombongan dalam diri setiap ahli khususnya dan umat Islam amnya. Tidak dilupakan, sekalung penghargaan dan tahniah diucapkan kepada AJK pelaksana program yang telah bertungkus lumus bagi menjayakan program ini serta ahli KPKM yang turut sama mengambil bahagian memeriahkan Majlis Sambutan Hari Raya Aidiladha pada tahun ini. Moga Allah Taala mengampunkan segala dosa kita serta menerima segala amal soleh dan kebajikan kita.

“Pengorbanan Dihayati, Menggapai Reda Ilahi”

#RayaBersamaBKAN

Disediakan oleh:

Wan Muhammad Bukhari bin Wan Zaludin
Setiausaha Majlis Sambutan Hari Raya Aidiladha 2022 (ADHA ’22),
Keluarga Pelajar-pelajar Kelantan Mesir 2021/2022

RISALAH FAJAR JUMAAT SIRI 489 – APA YANG PERLU DILAKUKAN SELEPAS IMTIHAN?

APA YANG PERLU DILAKUKAN SELEPAS IMTIHAN?

Tidak dinafikan lagi, imtihan atau peperiksaan merupakan fatrah yang digeruni buat semua penuntut ilmu lebih-lebih lagi kepada para mahasiswa dan mahasiswi universiti al-Azhar al-Syarif, sebagaimana natijah peperiksaan yang bakal keluar tersebut bukanlah diukur hanya kepada kepandaian individu seratus peratus, malah ia perlulah disusuli bersama usaha dan tawakal yang tinggi kepada Allah di samping doa yang berterusan daripada orang sekeliling serta amalan fardi yang dijaga rapi.

Tambahan pula, sifat mahmudah pelajar-pelajar kebiasaan mudah kelihatan apabila musim imtihan. Antaranya ialah qiamullail yang mula menjadi kelaziman, sedekah pula menjadi kewajipan harian manakala kitab kuliah sebagai peneman setia yang dibawa ke mana sahaja. Namun, adakah amalan soleh ini hanya dan perlu berlaku di musim imtihan sahaja? Mari sama-sama kita renungkan.

Bertitik tolak daripada itu, apakah antara aktiviti yang wajar dilakukan bagi mengisi masa lapang selepas imtihan? Adakah sama sahaja cara mengisi masa lapang bagi mahasiswa biasa dengan penuntut al-Azhar?

Allah berfirman di dalam surah al-Asr ayat 1 hingga 3 yang bermaksud:

“Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian kecuali orang-orang yang beramal soleh dan mereka berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.”

Ketahuilah duhai sahabat, dunia ini terlalu singkat untuk kita berfoya-foya menikmati kehidupan dunia yang tidak kekal, adapun akhirat jualah kehidupan yang abadi lagi nikmat. Oleh itu, bagi mencapai matlamat tersebut sudah pasti ia bergantung kepada keimanan dan kebijaksanaan kita dalam memilih cara dan gaya hidup yang terbaik lagi bermanfaat kepada diri.

Perkara pertama yang boleh dilakukan setelah berakhirnya imtihan, adalah dengan memperkemas dan menambah lagi ilmu pengetahuan khususnya ilmu diluar sukatan buku kuliah. Seharusnya fokus mahasiswa terus bercambah untuk menuntut ilmu dari semasa ke semasa dan bukanlah terhenti saat berakhirnya peperiksaan kerana menuntut ilmu ini bermula dari buaian sehingga ke liang lahad. Contohnya, dengan memperkukuh ilmu fardu Ain seperti bab solat, puasa, zakat dan lain-lain sehingga mampu untuk memahami perbahasan-perbahasan ulamak berkaitan perkara asas dan cabangnya. Hal ini penting bagi pelajar jurusan agama yang tidak jauh daripada persoalan yang diajukan berkaitan agama oleh masyarakat kelak.

Selain itu, berusaha mendalami ilmu fardu kifayah seperti ilmu pengurusan jenazah, kelas talaqqi (tahsin) bagi memperbetul bacaan al-Quran dan tajwid dengan bimbingan para masyaikh (guru-guru) yang dipercayai sudah pasti berguna untuk kita. Di samping itu, masa lapang juga boleh diisi dengan melakukan perbincangan ilmiah atau muzakarah kitab bersama rakan agar masa kita tidak terbuang dengan begitu sahaja.

Perkara kedua yang wajar dilakukan juga adalah dengan mengubah rutin harian kita ke arah gaya hidup yang lebih sihat. Seharusnya kita tidak lupa bahawa tubuh badan kita ini merupakan amanah daripada Allah SWT. Justeru, kita mestilah menjaga kesihatan tubuh badan dengan baik dan tidak mengkhianatinya dengan mengambil pemakanan dan melakukan aktiviti-aktiviti yang tidak sihat, seperti tidur yang berlebihan dan menggunakan gajet secara berlebihan tanpa tujuan.

Nabi SAW bersabda, “Tidak berganjak kaki seorang hamba di akhirat nanti melainkan ditanya tentang 4 perkara iaitu, berkaitan umurnya, masa mudanya, ilmunya dan hartanya. (HR. Tarmizi)

Sayugianya, penuntut ilmu itu harus menyusun aktiviti-aktiviti harian yang berfaedah dan bermanfaat kepada diri dan juga orang sekeliling dan bukanlah sebaliknya iaitu mensia-siakan masa yang dikurniakan Allah dengan perkara yang melalaikan. Saranannya adalah membaca bahan ilmiah sebelum tidur selama sejam atau 30 minit sebagai rutin harian, hal ini bagi mengawal penggunaan gajet hingga lewat malam dan untuk mendapatkan tidur dan rehat yang berkualiti.

Ketiga, mahasiswa perlulah cakna akan isu berkaitan kemasyarakatan dengan cara merapatkan lagi hubungan persaudaraan dan persahabatan. Fitrah manusia itu mahu kepada teman. Oleh hal yang demikian, teman atau saudara yang digariskan dalam Islam adalah yang terbaik. Hadis Nabi SAW, “Tidak beriman seseorang manusia sehingga dia menyayangi saudaranya seperti dia menyayangi dirinya sendiri”. (HR. Bukhari)

Hadis ini jelas menerangkan bahawa persaudaraan yang dituntut oleh Islam adalah dengan menyayangi saudara kita sebagaimana kita sayang kepada diri sendiri. Islam melarang umatnya untuk berada sendirian, kerana sabda Nabi SAW “Kambing yang bersendirian lagi mudah disambar serigala daripada kambing berkumpulan”. Serigala yang dimaksudkan di sini adalah syaitan dan kambing itu merupakan manusia, jadi manusia yang suka bersendirian mudah digoda oleh syaitan. Tuntasnya, waktu lapang selepas imtihan ini sangatlah sesuai untuk kita mengeratkan lagi tali persaudaraan antara keluarga dan sahabat-sahabat handai dengan memanfaatkan jaringan siber atau media sosial yang sedia ada untuk berkomunikasi di kala Endemik COVID19 ini. Walaupun jasad yang berjauhan namun tidak menghalang untuk kita terasa sangat dekat dengan melangitkan doa secara berterusan.

Platform media sosial yang terkehadapan pada era ini juga harus dimanfaatkan dengan baik, seperti memperbaharui skill ilmu kemahiran memasak, kemahiran editor dan design grafik yang boleh didapati di facebook, youtube dan lain-lain. Oleh hal yang demikian, hal ini secara tidak langsung dapat mendidik jiwa kita agar sentiasa dalam keadaan positif, proaktif dan tidak bersendirian serta dapat mengisi masa dengan perkara kebaikan. Jika seharian kita penuh dengan aktiviti-aktiviti kebaikan maka, keburukan dapat dicegah lebih awal. Imam Ghazali pernah menyebut “Kemaksiatan itu menyinggah pada waktu lapang.”

Akhir kata, sebagai pemuda kita janganlah mempersiakan baki umur yang dikurniakan ini dengan perkara yang tiada untungnya di dunia mahupun di akhirat. Sayidina Ali RA pernah berkata, “Balas dendam terbaik adalah dengan menjadikan dirimu lebih baik!”. Jadi, ayuhlah penuntut Al-Azhar sekalian, kita masih ada masa untuk berubah! Kita masih mempunyai masa untuk perbaiki diri dan membawa pulang permata kepada masyarakat kerana “sebesar-besar kejayaan bermula dengan langkah yang pertama”.

Siiru ‘ala barakatillah.

Nur Aisyah binti Mustafa
Kuliah Bahasa Arab,
Universiti al-Azhar.

Muat turun PDF Risalah Fajar Jumaat Siri 489 – Apa Yang Perlu Dilakukan Selepas Imtihan?