Month: September 2022

RISALAH FAJAR JUMAAT SIRI 493 – DI SEBALIK UJIAN YANG MENIMPA, ADA KEKUATAN YANG DIBINA

DI SEBALIK UJIAN YANG MENIMPA, ADA KEKUATAN YANG DIBINA

 HAKIKAT SEBUAH UJIAN

Firman Allah SWT:
“Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya…”
(Surah al-Baqarah: 286)

Sesungguhnya dunia ini merupakan gelanggang ujian buat kita. Pastinya, sebagai hamba kita akan diuji dengan pelbagai dugaan dan masalah. Sebagai seorang muslim, kita harus ingat bahawa ujian ini tidak semestinya pahit malah kesenangan dan kegembiraan juga satu ujian buat diri yang bergelar hamba Allah.

Apabila diuji kita mungkin rasa terbeban, tetapi ketahuilah di sebalik ujian itu ada sesuatu yang telah Allah persiapkan untuk kita.Tiada ujian yang datang tanpa terselit kebaikan.Berwasilahkan ujian, kita tumbuh menjadi insan yang lebih kuat dan matang jika kita hadapinya dengan penuh adab.

ANTARA ADAB-ADAB KETIKA DITIMPA UJIAN DAN MUSIBAH

  • Mengucapkan Lafaz Istirjaa`

إنا لله وإنا إليه راجعون

Yang bermaksud:
“Sesungguhnya kami ini adalah kepunyaan Allah dan kepada-Nyalah kami akan kembali”

  • Berlapang Dada dan Bersangka Baik Dengan Allah

– Seorang muslim harus berlapang dada dan bersangka baik dengan segala ketentuan Allah  sekalipun bertentangan dengan keinginan dan kehendak.
– Kadangkala apa yang kita rancang tidak berjalan seperti yang diharapkan, lantas kita bertanya kepada diri dimanakah silapnya?
– Apabila kita tidak menemui puncanya kita mula menyalahkan Allah yang merupakan perancang yang lebih hebat.
– Ingatlah, di saat apa yang kita dapat tidak seperti yang dirancang, jangan mudah mengeluh dan berputus asa tetapi yakin dan percaya serta berbaik sangka bahawa apa sahaja yang ditakdirkan Tuhan itulah yang terbaik walaupun perkara itu tidak kita sukai.

Sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh al-Bazar yang bermaksud:

“Kebahagian manusia ialah memohon pilihan kepada tuhannya dan bersikap reda  terhadap ketentuan. Tanda  daripada kecelakaan manusia ialah meninggalkan usaha istikharah dan tidak reda terhadap ketentuan yang diterimanya.”

  • Bersabar

– Sikap sabar dan reda ketika musibah menunjukkan seseorang itu memIliki keimanan yang tinggi. Mereka yang bersabar akan mendapat ganjaran yang besar daripada Allah. Hipotesisnya, semakin besar ujian yang menimpa, semakin besar pahala yang akan diberikan jika kita bersabar menghadapinya.
– Sabda Nabi SAW: “Sesungguhnya besarnya pahala sebanding dengan besarnya cubaan. Sesungguhnya jika Allah mencintai sesuatu kaum, maka Allah akan menguji mereka. Sesiapa yang reda maka baginya keredaan Allah. Sedangkan sesiapa yang murka maka baginya kemurkaan Allah.”

  • Berfikiran Positif Dan Menyakini Bahawa Setiap Kesusahan Pasti Ada Kemudahan

– Allah berfirman dalam surah  al-Insyirah ayat 5 hingga 6 yang bermaksud: “Oleh itu, maka sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan, bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.”
– Allah menegaskan bahawa sesiapa yang berusaha, Allah akan memberikan hasil yang setimpal dengan usahanya.

Maka ketahuilah, disebalik ujian itu pasti ada sejuta hikmah yang terselit. Tidak lambat, tidak cepat tetapi tepat pada waktunya.

ANTARA HIKMAH-HIKMAH DI SEBALIK UJIAN YANG MENIMPA

  • Allah Meningkatkan Darjat Dan Keimanan

– Setiap ujian yang datang akan mendekatkan diri dan kebergantungan hanya kepada Allah SWT. Yakin dan percaya bahawa setiap apa yang terjadi itu adalah dengan kehendak Yang Maha Pencipta.

  • Memberikan Iktibar Dan Pengajaran Kepada Orang Lain

– Setiap ujian yang berlaku terselit pelbagai rahsia, maksud dan peringatan tidak hanya kepada yang ditimpa musibah tetapi buat seluruh umat manusia. Bagi mereka yang ingin berfikir dan mahu mengambil pengajaran maka mereka pasti akan lebih bersyukur dan bertakwa kepada Allah kerana ujian dan musibah boleh menimpa sesiapa sahaja yang dikehendakinya.

  • Tanah Subur Bagi Mereka Yang Mahu Menyemai

– Ujian dan musibah yang menimpa orang lain membuka peluang kepada mereka yang berharta untuk menghulurkan bantuan.  Jika mereka ikhlas, pastinya akan mendapat balasan yang berlipat kali ganda daripada Allah. Sebagaimana yang diketahui, dunia merupakan tempat bercucuk tanam sebagai bekalan di kemudian hari.

Begitulah hebatnya Allah SWT mendidik jiwa hamba-Nya. Di sebalik ujian, dugaan dan musibah itu tersembunyi pelbagai nikmat dan rahmat yang besar. Hanya hati yang celik sahaja mampu melihat apa yang tersirat di sebalik yang tersurat.

“Setelah Anda Menuruni Lembah Yang Terdalam, Barulah Anda Akan Mengetahui Keindahan Gunung Yang Tertinggi.”
– Richard Nixon –


Nor Azreen binti Nor Jamidi
Kuliah Bahasa Arab,
Universiti Al-Azhar, Kaherah

Muat turun PDF Risalah Fajar Jumaat Siri 493 – Disebalik Ujian Yang Menimpa, Ada kekuatan Yang Dibina

RISALAH FAJAR JUMAAT SIRI 492 – PALESTIN: PERJUANGAN TANPA HENTI

PALESTIN: PERJUANGAN TANPA HENTI

Konflik Palestin merupakan salah satu konflik antarabangsa yang paling rumit dan membarah sejak sekian lama di Asia Barat, lebih 70 tahun berlalu semenjak peristiwa Nakba pada tahun 1948 berlaku. Boleh dianggap sebagai ibu kepada segala persengketaan sedunia secara amnya dan di Asia Barat khususnya.

SEJARAH RINGKAS

Bangsa Yahudi yang berdiaspora di seluruh dunia menganggap diri mereka tidak mendapat layanan yang adil. Penindasan yang ditanggung sekian lama menimbulkan kesedaran dalam diri bangsa Yahudi untuk mengakhiri penderitaan mereka dengan kembali ke negeri leluhur mereka di ‘tanah yang dijanjikan.’

Perjuangan membina negara bangsa dalam satu wilayah yang sama sebagaimana gagasan yang dibawa Theodr Herzl, seorang jurnalis Austria-Hungary berfahaman Zionis, dilakukan dengan  penghijrahan beramai-ramai. Sebelum wujudnya Israel secara haram, tiada satu negara pun di dunia sudi menerima bangsa Yahudi melainkan penduduk Palestin yang mengalu-alukan kehadiran mereka.

Di bawah mandat British, semasa deklarasi Balfour pada tahun 1917, penduduk tempatan diberikan mandat untuk menjaga hak-hak warga Palestin, namun mandat tersebut dilanggar sewenang-wenangnya. Perjuangan merebut kekuasaan dan kedaulatan di kedua-dua belah pihak berterusan hingga ke hari ini. PBB membahagikan 54% tanah dari mandat British kepada Israel manakala baki 46% kepada warga Palestin pada tahun 1947 di mana warga Israel hanya sekitar 31.5% dari jumlah penduduk. Kemuncak konflik tercetus pada 1948. Penyelesaian konflik sama ada melalui penyelesaian satu negara atau penyelesaian dua negara tiada satu pun yang benar-benar berjaya.

USAHA-USAHA MENANGANI KONFLIK

1) Perjanjian Damai

Siri perjanjian damai membabitkan kedua belah pihak sehingga ke hari ini tidak pernah membuahkan hasil yang memuaskan. Gencatan senjata setelah persengketaan memuncak ibarat waktu rehat untuk berhenti seketika buat mengumpul tenaga sementara keduanya kembali berperang. Pencabulan perjanjian tidak pernah berakhir maka tidak hairanlah pihak Hamas khususnya sering menolak meja rundingan malah tegas mengatakan pihak Zionis tidak akan pernah mengenal erti bahasa perjanjian damai melainkan hanya dengan mengangkat senjata sudah layak supaya mereka mengerti bahasa.

2) Menyekat Israel dengan kuasa veto

Memandangkan kewujudan negara haram Israel disokong di kuasa dunia, amat sukar untuk menyekat pengaruh mereka yang memuaskan tuntutan Zionis di peringkat antarabangsa malah PBB terpaksa tunduk membiarkan dasar-dasar yang menguntungkan bangsa Zionis.

Pengaruh kuat bangsa Yahudi memberi kesan besar hinggakan lobi Yahudi amat berkuasa menentukan pemimpin politik pro Zionis manakah yang bakal memegang tampuk pimpinan. Wilayah utama Amerika Syarikat khasnya dikuasai lobi Yahudi yang bertapak kukuh menentukan nasib dan hala tuju dasar negara tersebut.

Meskipun bangsa Palestin disokong beberapa negara kuasa besar lain, pengaruh Amerika Syarikat amat sukar disekat di persidangan antarabangsa.

3) Tekanan antarabangsa

Keangkuhan negara haram Israel dicabar negara-negara yang menyokong Palestin dengan usaha menyekat hubungan ekonomi, diplomatik, kebudayaan dan lain-lain secara dua hala. Malaysia antara majoriti negara-negara di dunia yang tidak mengiktiraf kewujudan negara haram Israel serta tidak menjalinkan hubungan diplomatik dua hala antara negara bahkan kedutaan negara haram Israel tidak dibenarkan dibuka di Malaysia. Atlet negara haram tersebut juga tidak berpeluang beraksi di bumi Malaysia manakala atlet-atlet beberapa negara arab pernah menolak bertanding melawan atlet dari negara haram Israel.

Memboikot barangan dan perkhidmatan keluaran syarikat yang cenderung menyokong Zionis boleh memberi kesan ke atas kelangsungan ekonomi negara haram tersebut.

Namun, usaha memboikot kadangkala amat sulit tanpa ganti kepada keperluan yang ingin diboikot. Rakyat Palestin sendiri kadang kala terpaksa bergantung kepada barangan Israel kerana mengeluarkan sendiri keperluan sememangnya di luar kemampuan, kesan sekatan besar-besaran pihak Zionis. Maka menjadi tanggungjawab bersama mewujudkan ganti yang lebih baik atau menekan pengeluar agar berhenti menyalurkan sumbangan mereka.

Keakraban sebahagian negara-negara arab yang semakin mesra Israel amat membimbangkan. Normalisasi hubungan antara negara arab bakal memburukkan lagi keadaan sedia ada. Membenarkan pesawat komersil dari Israel memasuki ruang udara mereka bagaikan suatu tindakan mengkhianati saudara sendiri. Dasar mesra Israel akan merencatkan usaha boikot dalam kalangan negara-negara arab.

4) Bantuan kemanusiaan melalui NGO

Memandangkan kuasa negara-negara dunia dibatasi kerenah birokrasi dan suara-suara yang dibawa amat terhad di peringkat antarabangsa, segala kekurangan ini wajib diambil alih para NGO yang lebih bebas bergerak di lapangan. Semenanjung Gaza khasnya, telah dikepung bagaikan penjara di segenap penjuru selama lebih sedekad. Rakyat Gaza dibantu NGO dari serata dunia yang bersimpati. Maka bukanlah suatu yang pelik jika ada yang menganggap resolusi terbaik menangani konflik adalah melalui bantuan NGO secara berterusan setelah segala resolusi PBB menemui  jalan buntu.

Konflik Palestin mungkin berterusan hingga ke Hari Kiamat namun usaha membebaskan Palestin wajib dipikul bersama. Harapan sentiasa ada untuk hari esok buat Palestin yang merdeka.

Shakirah Muhammad Faleh Lai
Ijazah Sarjana Qism Hadis,
Universiti al-Azhar.

Muat turun PDF Risalah Fajar Jumaat Siri 492 – Palestin: Perjuangan Tanpa Henti

PROGRAM KEMAHIRAN MAHASISWI 2022 (KEMMAH ’22)

PROGRAM KEMAHIRAN MAHASISWI 2022 (KEMMAH ’22)

KAHERAH, 17 & 18 September 2022 – Ahli Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita Islam (HEWI), Keluarga Pelajar-pelajar Kelantan Mesir 2021/2022 telah menganjurkan Program Kemahiran Mahasiswi 2022 (KEMMAH ’22) bertempat di Wisma Sultan Muhammad V. Program ini bertujuan untuk melahirkan mahasiswi yang berkemahiran dan terkehadapan dalam segenap aspek bertepatan dengan usul kedua KPKM iaitu “Memperkasakan keterlibatan mahasiswi KPKM dalam medan amal islami mengikut acuan Islam”.

Program KEMMAH ’22 merupakan salah satu usaha untuk melahirkan mahasiswi KPKM yang berkemahiran dalam pelbagai bidang dan membina pelapis yang berkualiti dalam gerak kerja. Tema program pada kali ini “Mahasiswi Kreatif, Generasi Produktif” merupakan pembawaan untuk mahasiswi dalam memberi sumbangan kepada KPKM sekaligus menjadi medan rujukan untuk generasi yang akan datang.

Antara slot menarik yang diadakan di bawah KEMMAH ’22:

1. Slot Pertama : Bengkel Asas Jahitan
Oleh: Ustazah Rabiatul Adawiyah binti Abdullah

2. Slot Kedua : Bengkel Dekorasi
Oleh: Ustazah Nur Syahida binti Suhaimi

3. Slot Ketiga: Sidang Planeri – Penjagaan Kesihatan Wanita dan Ilmu Perbidanan
Oleh : Saudari Wan Nur Afini binti Wan Azizan & Ustazah Fauziah binti A.Rahman

4. Slot Keempat: Bengkel Crochet
Oleh: Ustazah Rabiatul Adawiyah binti Abdullah

5. Slot Kelima: Pembentangan Kertas Kerja Seminit Resipi
Oleh: Ustazah Siti Nor Husnina binti Anuar

Keseluruhan slot ini berlangsung dengan jayanya selama dua hari iaitu 17 & 18 September 2022. Setiap aktiviti slot disusuli dengan praktikal yang dipantau oleh para mentor.

Perasmian penutup telah dirasmikan oleh Ustazah Nur Faizah binti Ab Karim, Isteri Atase Pendidikan Negeri Terengganu Timur Tengah. Beliau ada menyatakan dalam ucapannya beberapa kisah berkaitan serikandi Islam terdahulu untuk dijadikan tauladan dan pedoman buat seluruh mahasiswi KPKM untuk menjadi muslimah yang lebih unggul di zaman ini.

Seterusnya program diteruskan lagi dengan penyampaian hadiah kepada peserta terbaik bengkel oleh perasmi, ustazah Nur Faizah diiringi pengarah Program KEMMAH ’22.

Akhir sekali, mudah-mudahan dengan adanya program dan aktiviti sebegini dapat memberi pengalaman baharu kepada mahasiswi KPKM untuk ditimba dan dipraktikkan sekaligus menjadi rujukan buat generasi yang akan datang.

 

“Mahasiswi Kreatif, Generasi Produktif”

Disediakan oleh:

Nik Nur Adlina binti Zakaria
Setiausaha Program Kemahiran Mahasiswi 2022 (KEMMAH ’22)
Keluarga Pelajar-pelajar Kelantan Mesir 2021/2022

RISALAH KESIHATAN SIRI 107 – APA ITU FAKTOR RHESUS (RH) DALAM DARAH

APA ITU FAKTOR RHESUS (RH) DALAM DARAH?

          Faktor Rh atau faktor Rhesus ialah protein yang boleh didapati pada permukaan sel darah merah. Jika sel darah anda mempunyai protein ini, anda Rh positif. Jika sel darah anda tidak mempunyai protein ini, anda adalah Rh negatif.  Bahagian “positif” atau “negatif” jenis darah anda, seperti O positif atau A negatif, merujuk kepada status Rh anda.

Bagaimanakah ia boleh berlaku? Dalam fasa kehamilan, masalah boleh berlaku jika anda Rh negatif dan janin anda Rh positif. Masalah ini boleh dielakkan dengan melakukan rawatan yang tertentu.

UJIAN MENENTUKAN FAKTOR RH

Cara untuk menentukan jenis darah anda dan status Rh adalah  dengan melakukan ujian darah. Sampel darah boleh diambil di pejabat pakar Obstetrik dan Ginekologi (ONG) yang berdekatan dengan kediaman anda. Sampel ini biasanya diambil semasa lawatan penjagaan pra-kehamilan (pranatal) yang pertama.

Perkahwinan harus dielakkan di antara wanita Rh negatif dan lelaki Rh positif. Ini boleh membawa maut kepada ibu dan juga bayi ibu bapa tersebut. Masalah boleh berlaku apabila ibu Rh- dan bayi Rh+. Jenis darah ini dirujuk sebagai tidak sepadan.

IMPLIKASI DARIPADA PERKAHWINAN

Faktor Rhesus yang tidak sepadan ini tidak menyebabkan sebarang masalah untuk kehamilan pertama. Tetapi ia boleh membawa kepada masalah dalam kehamilan kemudian.

Semasa kelahiran, darah ibu dan bayi akan bercampur.  Pada ibu yang Rh-, sistem imun atau sistem pertahanan badan tidak akan mengenali Rh+ dalam darah bayi. Sistem imun ibu akan berfikir bahawa ini pasti bukan milik sel darahnya sendiri tyang tidak mempunyai Rh!

Kemudian selepas kelahiran, sistem imun Rh- ibu akan mencipta antibodi yang akan menyerang mana-mana darah Rh+ yang mereka lihat pada masa hadapan. Ia mengambil sedikit masa untuk ibu membuat antibodi ini, jadi antibodi ini biasanya tidak menjadi isu semasa kehamilan pertama.

Tetapi dalam kehamilan akan datang, jika sistem imun ibu melihat sebarang protein Rh, mereka dilayan seperti penceroboh asing!  Ia akan menyerang mana-mana sel darah Rh+, walaupun sel darah ibu yang belum lahir.

RAWATAN UNTUK RH TIDAK SEPADAN

Apakah rawatan diperlukan jika ibu Rh- dan bayi Rh+? Komuniti perubatan menemui penyelesaian untuk ini pada tahun 1960-an. Jika terdapat risiko Rh tidak sepadan, doktor akan memberikan beberapa siri tangkapan RhoGAM semasa kehamilan.  Suntikan yang pertama diberikan sekitar minggu ke-28 kehamilan dan satu lagi selepas kelahiran.

Suntikan ini menghalang sistem imun ibu daripada membahayakan bayi.  Pada asasnya, RhoGAM menyerap semua sel Rh+ yang dikeluarkan daripada bayi. Tanpa kehadiran sel ini, sistem imun ibu tidak akan menghasilkan antibodi yang menyerang sel darah bayi. Kini sel darah bayi dalam kandungan dilindungi.

Dengan RhoGAM, kita tidak perlu risau tentang  Rh yang tidak sepadan semasa mengandung lagi.  Sentiasa cakna untuk berjumpa doktor sebelum melahirkan anak! Walaupun dalam kes di mana  kumpulan darah tidak sepadan adalah masalah, doktor boleh membantu anda memikirkan pelan terbaik ke hadapan untuk memastikan anda dan bayi anda gembira dan sihat. Wallahu’alam.

Rujukan:
An Rh negative woman is married to an Rh positive man whose father was also Rh negative. What are the possible genotypes of each person in the family
Blood type and pregnancy
– Biologically marriage should be avoided in between a rh male and rh female b rh female and rh male


Mohammed Aiman Farhan bin Azmi

Tahun 5 Perubatan,
Cawangan Al-Azhar

Muat turun PDF Risalah Kesihatan Siri 107 – Apa Itu Faktor Rhesus (RH) Dalam Darah

RISALAH FAJAR JUMAAT SIRI 491 – JIWA MUSLIM MERDEKA

JIWA MUSLIM MERDEKA

Prolog
Daripada kaca mata Islam, manusia sememangnya merdeka sejak awal dilahirkan, yakni tidak boleh diperhamba atau diperbudak kerana menurut Islam, perhambaan diri hanya kepada Allah SWT sahaja dan tidak boleh menyekutukan-Nya. Terpahat dalam sejarah bahawa gagasan yang sama ini jugalah yang dibawa Saidina Umar RA ketika berdakwah kepada Raja Parsi. Bahkan, wahyu juga ada menyebut bahawa kita adalah sebaik-baik umat, sayugianya menyerahkan diri hanya semata-mata kepada Allah SWT dengan mentaati segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya.

Sebelum melangkah lebih jauh, ayuh kita terlebih dahulu menghalakan pandangan kepada tanah air kita, Malaysia. Dalam usia kemerdekaan yang sudah mencapai 65 tahun, sesungguhnya lantunan merdeka yang kita laungkan dengan bangga pada saban tahun itu tidak lain tidak bukan hanyalah pada zahir tanah yang dipijak, merdeka daripada penaklukan kuasa asing, sudah tidak dijajah dan sudah mampu memerintah negara sendiri.

Ironinya, kalimah merdeka itu hanya dipalitkan pada negara sahaja, namun jiwa dan minda rakyatnya masih sama, masih terjajah. Cuba kita tilik semula, adakah diri kita sudah merdeka sepenuhnya daripada segala bentuk penjajahan atau masih lagi diulit agenda-agenda barat?


Realiti pada hari ini

Saban hari, kita dihidangkan dengan pelbagai ragam dan kerenah manusia. Dunia tanpa tembok ini menjana peluang kepada barat untuk memancing umat manusia akan ideologi-ideologi mereka. Mereka menyajikan umpan hiburan-hiburan yang melampau dan menyediakan dasar hiburan sebagai asas utama kebahagiaan jiwa. Umat Islam juga tidak terlepas daripada terpalit untuk berhibur, bersuka ria dan berlumba-lumba untuk menggapai gaya hidup yang mewah. Natijahnya, kita mula terleka dan akhirnya tersasar jauh daripada agama.

Selain itu, bibit-bibit hubungan songsang juga sudah mula menjadi normalisasi di Malaysia. Malah, penukaran jantina juga sudah tidak menjadi suatu yang aneh dan masyarakat seolah-olah sudah terbiasa dengan fenomena ini lantaran semakin hari semakin bertambah golongan yang dipanggil transgender. Lebih malang lagi, mereka menggunakan ‘keistimewaan’ mereka sebagai tiket untuk meraih populariti di muka umum.

Tambahan pula, ajaran keharusan child abortion atau pengguguran janin sudah mula menular di negara-negara barat. Para cendekiawan mereka hebat mendatangkan dalil demi dalil, hujah demi hujah untuk membenarkan perbuatan tersebut. Secara dasarnya, apa yang mereka perjuangkan sebenarnya adalah normalisasi seks bebas. Maka, benarlah kata ulamak:

المعصية تؤدي إلى المعصيات والطاعة تؤدي إلى الطاعات

“Satu maksiat akan membawa kepada maksiat-maksiat yang lain dan satu ketaatan akan membawa kepada ketaatan yang lain.”

Sahabat, beberapa fahaman yang saya datangkan di atas bukan sahaja diamati bahkan dipertahankan kesahihannya. Anak-anak muda terutamanya mudah cenderung untuk mengikut-ikut gaya hidup orang-orang barat tanpa mereka sedari bahawa mereka telah termakan jerat. Panah yang dilepaskan terkena tepat pada sasaran. Lalu, sudah merdekakah akal dan jiwa kita selaku muslim? Sudah bebaskah kita daripada ajaran-ajaran yang nyata bersimpang dengan wahyu, atau masih lagi dijajah hukum ciptaan manusia?

Bagaimana membina jiwa muslim yang merdeka?

Islam meletakkan ilmu sebagai mahkota kehidupan. Ilmu agama yang benar akan menuntun kita untuk sentiasa berjalan di atas syariat Tuhan. Sayugianya, wajib ke atas penuntut ilmu untuk mematangkan ilmu tauhid dan akidah supaya akal dan hati tidak mudah tergelincir daripada landasan agama. Bukan itu sahaja, dalam era yang penuh kebobrokan ini, kita seharusnya mengkaji ideologi-ideologi baru, apakah gagasan dan objektif di sebalik falsafah yang dicipta?

Selain itu, nafsu kita perlu dididik supaya tidak cintakan dunia. Porak perandalah kehidupan sekiranya kita meletakkan dunia di hati dan akhirat di tangan. Kita seharusnya sedar, dunia ini hanyalah tempat persinggahan sebelum menuju negeri yang kekal abadi. Bukankah Tuhan telah mencatit dalam firman-Nya, hanya nafsu yang mutmainnah sahaja yang akan pulang ke syurga?

Seterusnya, kita perlu hayati makna sebenar kemerdekaan. Bebaskan minda kita daripada dijajah fahaman-fahaman sesat. Jangan biarkan ajaran ini membarah dalam jiwa kita. Sedarlah bahawa objektif ideologi sesat yang muncul pada hari ini berpucuk pangkal daripada mahu memisahkan manusia daripada agama.

Epilog

Ketahuilah, perjuangan merebut kemerdekaan amat berat namun, hendak mempertahankan dan mengisi kemerdekaan itu ternyata jauh lebih payah. Sebagai penutup wacana, tugas kitalah untuk membimbing masyarakat di tanah air dalam membentuk peribadi muslim yang merdeka. Ideologi-ideologi baru yang datang selepas Islam adalah hasil rekaan manusia semuanya. Saya tutup dengan kalam Ilahi :

وَمَن يَبۡتَغِ غَيۡرَ ٱلۡإِسۡلَٰمِ دِينٗا فَلَن يُقۡبَلَ مِنۡهُ وَهُوَ فِي ٱلۡأٓخِرَةِ مِنَ ٱلۡخَٰسِرِينَ

“Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi.” (Surah Ali-Imran: 85)

 

Husnaini binti Rosmadi
Kuliah Syariah Islamiah,
Universiti al-Azhar

Muat turun PDF Risalah Fajar Jumaat Siri 491 – Jiwa Muslim Merdeka