RISALAH FAJAR JUMAAT SIRI 492 – PALESTIN: PERJUANGAN TANPA HENTI

PALESTIN: PERJUANGAN TANPA HENTI

Konflik Palestin merupakan salah satu konflik antarabangsa yang paling rumit dan membarah sejak sekian lama di Asia Barat, lebih 70 tahun berlalu semenjak peristiwa Nakba pada tahun 1948 berlaku. Boleh dianggap sebagai ibu kepada segala persengketaan sedunia secara amnya dan di Asia Barat khususnya.

SEJARAH RINGKAS

Bangsa Yahudi yang berdiaspora di seluruh dunia menganggap diri mereka tidak mendapat layanan yang adil. Penindasan yang ditanggung sekian lama menimbulkan kesedaran dalam diri bangsa Yahudi untuk mengakhiri penderitaan mereka dengan kembali ke negeri leluhur mereka di ‘tanah yang dijanjikan.’

Perjuangan membina negara bangsa dalam satu wilayah yang sama sebagaimana gagasan yang dibawa Theodr Herzl, seorang jurnalis Austria-Hungary berfahaman Zionis, dilakukan dengan  penghijrahan beramai-ramai. Sebelum wujudnya Israel secara haram, tiada satu negara pun di dunia sudi menerima bangsa Yahudi melainkan penduduk Palestin yang mengalu-alukan kehadiran mereka.

Di bawah mandat British, semasa deklarasi Balfour pada tahun 1917, penduduk tempatan diberikan mandat untuk menjaga hak-hak warga Palestin, namun mandat tersebut dilanggar sewenang-wenangnya. Perjuangan merebut kekuasaan dan kedaulatan di kedua-dua belah pihak berterusan hingga ke hari ini. PBB membahagikan 54% tanah dari mandat British kepada Israel manakala baki 46% kepada warga Palestin pada tahun 1947 di mana warga Israel hanya sekitar 31.5% dari jumlah penduduk. Kemuncak konflik tercetus pada 1948. Penyelesaian konflik sama ada melalui penyelesaian satu negara atau penyelesaian dua negara tiada satu pun yang benar-benar berjaya.

USAHA-USAHA MENANGANI KONFLIK

1) Perjanjian Damai

Siri perjanjian damai membabitkan kedua belah pihak sehingga ke hari ini tidak pernah membuahkan hasil yang memuaskan. Gencatan senjata setelah persengketaan memuncak ibarat waktu rehat untuk berhenti seketika buat mengumpul tenaga sementara keduanya kembali berperang. Pencabulan perjanjian tidak pernah berakhir maka tidak hairanlah pihak Hamas khususnya sering menolak meja rundingan malah tegas mengatakan pihak Zionis tidak akan pernah mengenal erti bahasa perjanjian damai melainkan hanya dengan mengangkat senjata sudah layak supaya mereka mengerti bahasa.

2) Menyekat Israel dengan kuasa veto

Memandangkan kewujudan negara haram Israel disokong di kuasa dunia, amat sukar untuk menyekat pengaruh mereka yang memuaskan tuntutan Zionis di peringkat antarabangsa malah PBB terpaksa tunduk membiarkan dasar-dasar yang menguntungkan bangsa Zionis.

Pengaruh kuat bangsa Yahudi memberi kesan besar hinggakan lobi Yahudi amat berkuasa menentukan pemimpin politik pro Zionis manakah yang bakal memegang tampuk pimpinan. Wilayah utama Amerika Syarikat khasnya dikuasai lobi Yahudi yang bertapak kukuh menentukan nasib dan hala tuju dasar negara tersebut.

Meskipun bangsa Palestin disokong beberapa negara kuasa besar lain, pengaruh Amerika Syarikat amat sukar disekat di persidangan antarabangsa.

3) Tekanan antarabangsa

Keangkuhan negara haram Israel dicabar negara-negara yang menyokong Palestin dengan usaha menyekat hubungan ekonomi, diplomatik, kebudayaan dan lain-lain secara dua hala. Malaysia antara majoriti negara-negara di dunia yang tidak mengiktiraf kewujudan negara haram Israel serta tidak menjalinkan hubungan diplomatik dua hala antara negara bahkan kedutaan negara haram Israel tidak dibenarkan dibuka di Malaysia. Atlet negara haram tersebut juga tidak berpeluang beraksi di bumi Malaysia manakala atlet-atlet beberapa negara arab pernah menolak bertanding melawan atlet dari negara haram Israel.

Memboikot barangan dan perkhidmatan keluaran syarikat yang cenderung menyokong Zionis boleh memberi kesan ke atas kelangsungan ekonomi negara haram tersebut.

Namun, usaha memboikot kadangkala amat sulit tanpa ganti kepada keperluan yang ingin diboikot. Rakyat Palestin sendiri kadang kala terpaksa bergantung kepada barangan Israel kerana mengeluarkan sendiri keperluan sememangnya di luar kemampuan, kesan sekatan besar-besaran pihak Zionis. Maka menjadi tanggungjawab bersama mewujudkan ganti yang lebih baik atau menekan pengeluar agar berhenti menyalurkan sumbangan mereka.

Keakraban sebahagian negara-negara arab yang semakin mesra Israel amat membimbangkan. Normalisasi hubungan antara negara arab bakal memburukkan lagi keadaan sedia ada. Membenarkan pesawat komersil dari Israel memasuki ruang udara mereka bagaikan suatu tindakan mengkhianati saudara sendiri. Dasar mesra Israel akan merencatkan usaha boikot dalam kalangan negara-negara arab.

4) Bantuan kemanusiaan melalui NGO

Memandangkan kuasa negara-negara dunia dibatasi kerenah birokrasi dan suara-suara yang dibawa amat terhad di peringkat antarabangsa, segala kekurangan ini wajib diambil alih para NGO yang lebih bebas bergerak di lapangan. Semenanjung Gaza khasnya, telah dikepung bagaikan penjara di segenap penjuru selama lebih sedekad. Rakyat Gaza dibantu NGO dari serata dunia yang bersimpati. Maka bukanlah suatu yang pelik jika ada yang menganggap resolusi terbaik menangani konflik adalah melalui bantuan NGO secara berterusan setelah segala resolusi PBB menemui  jalan buntu.

Konflik Palestin mungkin berterusan hingga ke Hari Kiamat namun usaha membebaskan Palestin wajib dipikul bersama. Harapan sentiasa ada untuk hari esok buat Palestin yang merdeka.

Shakirah Muhammad Faleh Lai
Ijazah Sarjana Qism Hadis,
Universiti al-Azhar.

Muat turun PDF Risalah Fajar Jumaat Siri 492 – Palestin: Perjuangan Tanpa Henti

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *