RISALAH UBS SIRI 6 – RAHSIA DAN KEISTIMEWAAN SOLAT BERJEMAAH

RAHSIA DAN KEISTIMEWAAN SOLAT BERJEMAAH

Di dalam kehidupan yang lebih mencabar ini, seharusnya perlu ada dalam diri seorang manusia yang beriman suatu amalan yang boleh mendekatkan dirinya kepada Allah SWT. Salah satu amalan yang Allah SWT berikan kepada para hamba-Nya ialah dengan difardukan solat lima waktu sehari semalam.

Di sebalik kefarduan ini, ada perkara yang lebih besar yang Allah SWT ingin hadirkan dalam kehidupan kita seharian. Iaitu melakukan solat fardu secara berjemaah. Di dalam erti kata lain, melakukan solat secara beramai ramai yang dalamnya terdiri daripada seorang imam dan seorang makmum. Para ulama menghukumkan solat secara berjemaah adalah sunat muakkad. Pensyariatan solat secara berjemaah ini boleh dilihat melalui beberapa dalil daripada al-Quran, al-Sunah serta Ijmak.

Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Dan apabila engkau (wahai Muhammad) berada dalam kalangan mereka
(semasa perang), lalu engkau mendirikan sembahyang dengan (menjadi imam) mereka.”
(Surah an-Nisa: 102)

Al- Imam Al-Khatib Al-Syarbini menyatakan bahawa perintah ini diturunkan ketika waktu perang, maka sudah semestinya lebih utama dilakukan ketika dalam keadaan aman.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Solat secara berjemaah lebih baik daripada solat bersendirian sebanyak 27
darjat.”
(Hadis Riwayat Muslim)

Disisi ijmak para sahabat mengatakan bahawa solat secara berjemaah adalah sangat dituntut. Khususnya setelah Rasulullah SAW dan para sahabat berhijrah ke Madinah al-Munawwarah. Bagi orang yang cerdas akal fikirannya akan berkata bahawa solat secara berjemaah ini mempunyai kelebihan yang teramat besar. Namun jika dibandingkan dengan orang yang solat secara bersendirian amatlah kurang kualiti amalan tersebut.

Di antara keistimewaan solat secara berjemaah ialah:
1. Ganjaran pahala yang berlipat kali ganda.
2. Terlepas dari azab api neraka.
3. Mendapat perlindungan Allah pada hari kiamat kelak.
4. Dinaikkan darjat oleh Allah SWT.
5. Diampunkan dosa oleh Allah SWT.

Antara rahsia apabila seseorang itu melazimi solat secara berjemaah adalah:
1. Dapat merasai kelazatan beribadah kepada Allah SWT.
2. Dapat mengeratkan hubungan silaturahim sesama orang Islam.
3. Kekuatan anggota tubuh akan menjadi lebih bertenaga.
4. Hati akan mudah untuk khusyuk.
5. Terhindar dari sifat orang-orang munafik.

Sebenarnya, solat secara berjemaah mampu membina jati diri yang kuat bagi seorang manusia yang beriman. Selain itu, mampu melatih diri kita dalam aspek kepimpinan serta mendapat kedudukan yang mulia disisi Allah SWT.

Kesimpulannya, marilah kita bersama-sama menunaikan solat secara berjemaah serta melaksanakannya dengan terus menerus agar kita semua dicintai dan dirahmati oleh Allah SWT, Tuhan Yang Maha Pengasih lagi Maha Pengampun.

“BERSAMA BERSATU MENJAGA BIAH SOLEHAH”

Ahmad Faris Hamdi bin Mahsor
Kuliah Usuluddin,
Universiti al-Azhar al-Syarif

Muat turun PDF Risalah UBS Siri 6 – Rahsia dan Keistimewaan Solat Berjemaah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *