Month: November 2022

RISALAH KESIHATAN SIRI 109 – SUPLEMEN: SEJAUH MANA KITA MEMERLUKANNYA?

SUPLEMEN: SEJAUH MANA KITA MEMERLUKANNYA?

“Dua kenikmatan yang sering dilupakan oleh kebanyakan manusia adalah kesihatan dan waktu lapang.”

(HR Bukhari)

Makanan tambahan atau lebih dikenali sebagai suplemen merupakan produk hangat yang sering berlegar dalam masyarakat Malaysia umumnya dan di seluruh dunia secara umumnya. Pelbagai spekulasi yang timbul berkenaan makanan suplemen ini. Ada yang menggalakkan pengambilan suplemen dan ada yang menentang secara keras penggunaan suplemen dalam kehidupan seharian. Persoalannya bukanlah siapa yang betul atau salah tetapi siapakah golongan yang memerlukan makanan suplemen ini.

Suplemen merupakan apa-apa yang ditambah kemudian menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka edisi keempat. Makanan tambahan atau suplemen ini boleh diklasifikasikan mengikut kandungan seperti vitamin, protein serta mineral dan mengikut bentuk misalnya pil, kapsul mahupun serbuk. Setiap makanan suplemen mestilah mengikut dos selamat yang telah ditetapkan oleh Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) serta diambil mengikut saranan yang diberikan oleh pakar.

Menurut kajian yang dilakukan pada tahun 2021, lebih daripada separuh responden mengambil makanan suplemen di Malaysia. Di Amerika pula, kira-kira 77 peratus rakyat memakan suplemen tambahan menurut Council for Responsible Nutrition. Makanan tambahan yang sering berada di pasaran ialah suplemen kalsium, suplemen besi, vitamin, probiotik dan omega-3. Kesemua produk suplemen mempunyai khasiat yang tersendiri serta perlulah diambil mengikut manfaat serta mengurangkan mudarat kepada tubuh badan manusia itu sendiri. Herba-herba turut termasuk dalam makanan suplemen mengikut khasiat dan manfaatnya kepada kesihatan.

Apakah fungsi suplemen?

Secara mudahnya, makanan suplemen berperanan sebagai pelengkap nutrien daripada makanan seharian, memperbaiki kekurangan zat akibat penyakit tertentu dan membantu beberapa proses fisiologi. Namun suplemen bukanlah satu bentuk ubat yang mampu menyembuhkan sesuatu penyakit secara terus seperti ubat-ubatan yang dipreskripsi daripada pegawai perubatan yang terlatih.

Banyak salah faham yang berlegar di sekitar penggunaan suplemen ini yang kebanyakan bukanlah berdasarkan fakta yang disediakan oleh pihak berautoriti. Antara mitos yang terkait dengan makanan suplemen ini adalah semua suplemen adalah selamat untuk diambil oleh semua orang. Walhal semua bahan yang berpotensi untuk menyembuhkan turut mempunyai kesan sampingan dan bahaya yang tersendiri. Oleh itu setiap suplemen mestilah diambil dengan berhati-hati dan jika terdapat sebarang kesan sampingan, dapatkan bantuan di fasiliti kesihatan yang berdekatan.

Selain itu, masyarakat selalu beranggapan bahawa makanan suplemen perlulah diambil sebelum makan sedangkan ada beberapa vitamin seperti vitamin A, D, E dan K tidak boleh diambil ketika perut kosong untuk mengelakkan rasa loya dan muntah. Terdapat juga beberapa suplemen yang mempunyai interaksi tertentu dengan ubat-ubatan sehingga mengganggu keberkesanan ubatan tersebut jika diambil tanpa nasihat pakar.

Bilakah kita perlu mengambil suplemen?

Suplemen sering dianggap sebagai makanan utama sedangkan ianya hanyalah sebagai pelengkap kepada zat dan nutrien daripada makanan seharian yang seimbang yang perlu diambil oleh semua lapisan masyarakat mengikut kesesuaian. Antara golongan yang perlu untuk mengambil suplemen adalah orang tua yang kekurangan zat dan vitamin penting yang membantu dalam sistem tubuh badan, perempuan hamil yang memerlukan beberapa zat tambahan bagi menjaga kesihatan dirinya dan kandungannya serta individu yang mempunyai penyakit kronik.

Selain itu, suplemen juga boleh diambil sekiranya kita tidak mampu memenuhi cadangan makanan seimbang yang telah ditetapkan dalam bahagian sayur-sayuran dan buah-buahan melalui pengambil beberapa vitamin penting seperti Vitamin C, Vitamin D dan lain-lain. Namun, cara yang terbaik untuk mendapatkan nutrien yang mencukupi adalah dengan mengamalkan gaya pemakanan yang sihat seperti Pinggan Sihat Malaysia.

Kajian berkenaan keberkesanan suplemen masih lagi berjalan dari semasa ke semasa bagi menambah baik kualiti hidup manusia melalui mengambil makanan suplemen yang memberi impak positif kepada kesihatan manusia. Jangan mudah terpengaruh dengan iklan-iklan yang ditayangkan di media yang sering mendakwa penggunaan suplemen mampu memberi manfaat secara 100 peratus.

Secara kesimpulannya, pengambilan makanan suplemen akan berkhasiat untuk manusia sekiranya diambil mengikut keperluan dan nasihat daripada pakar. Pengambilan suplemen tanpa menjalani pemeriksaan yang teliti daripada pegawai perubatan boleh membawa pelbagai masalah seperti terdedah kepada risiko penyakit yang melibatkan organ hati dan buah pinggang yang berperanan sebagai organ perkumuhan untuk suplemen mahupun ubat-ubatan.

Di samping itu, dapatkan maklumat terkini berkenaan suplemen yang baik mahupun yang bahaya di laman sesawang pihak berautoriti yang dikemas kini dari semasa ke semasa. Ambil suplemen mengikut dos yang ditetapkan serta masa yang sesuai mengikut arahan yang telah diberikan. Pastikan kita semak semula suplemen yang kita makan dengan mengetahui apa manfaatnya, apakah risiko terhadap badan kita, berapa dos dan bilakah waktu yang sesuai untuk mengambil suplemen tersebut. Semoga kita semua mampu menjadi serta membina generasi Malaysia yang sihat serta bijak di masa akan datang.

Nurul Ain binti Md Saufi,

Tahun 6 Kuliah Perubatan,

Universiti Ain Shams

Muat turun PDF RISALAH KESIHATAN SIRI 109 – SUPLEMEN SEJAUH MANA KITA MEMERLUKANNYA

 

RISALAH FAJAR JUMAAT SIRI 495 – BERSAMA KUKUHKAN WARISAN UMMAH

Bersama Kukuhkan Warisan Ummah

Keluarga Pelajar-pelajar Kelantan Mesir merupakan sebuah badan kebajikan anak negeri Kelantan yang menuntut ilmu di Universiti al-Azhar, Mesir. Penubuhan badan ini bertujuan menjaga kebajikan anak negeri Kelantan daripada pelbagai aspek penting antaranya pendidikan, kewangan, penempatan dan keselamatan. Hal ini demi merealisasikan tuntutan Allah SWT di dalam kitab suci al-Quran:

وَتَعَاوَنُوا۟ عَلَى ٱلۡبِرِّ وَٱلتَّقۡوَىٰۖ وَلَا تَعَاوَنُوا۟ عَلَى ٱلۡإِثۡمِ وَٱلۡعُدۡوَ ٰ⁠نِۚ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَۖ إِنَّ ٱللَّهَ شَدِیدُ ٱلۡعِقَابِ

(Surah al-Ma’idah: 2)

Maksudnya:

“Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan dalam melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya).”

Antara aspek utama yang dititikberatkan oleh KPKM adalah pendidikan. KPKM berusaha sedaya upaya memberi galakan dan saranan kepada anak Kelantan bagi meningkatkan pengetahuan mereka melalui kelas tutorial, Majlis Anugerah Kecemerlangan dan kempen pendidikan

Agenda pendidikan ini tidak dapat dilaksanakan dengan jayanya tanpa bantuan yang dihulurkan oleh Kerajaan Negeri Kelantan. Contohnya, sumbangan pendidikan, sumbangan program kecemerlangan, biasiswa dan pinjaman boleh ubah YAKIN serta sumbangan penghantaran mahasiswa ke Mesir.

Di samping itu, KPKM juga amat mementingkan aspek thaqafah dan softskill seperti ilmu turathi, ilmu kontemporari, ilmu kemahiran, teknikal dan siaraya demi melahirkan ulama amilin yang mampu berkhidmat untuk masyarakat bukan sekadar menjadi tenaga pengajar di masjid atau madrasah semata-mata malah mahir dari segenap sudut yang mampu disumbangkan.

Antara usaha yang dilakukan oleh badan kebajikan anak Kelantan ini juga adalah mewujudkan platform penyampaian ilmu seperti Madrasah Tok Kenali, Madrasah Saidatina Khadijah, Akademi Tok Guru, bengkel kemahiran, kursus teknikal dan siaraya dan banyak lagi. Tidak lupa juga agenda dakwah turut diperkasakan melalui Ribat Mahabbah, Muzakarah Berkelompok mingguan dan Kempen Biah Solehah.

Seterusnya, aspek kewangan juga merupakan faktor yang terpenting dalam menjaga kebajikan anak Kelantan. KPKM melancarkan Tabung Kebajikan sebagai persediaan dalam menghadapi kes-kes kecemasan seperti kecurian, kebakaran, kemalangan, bersalin dan kos rawatan tinggi. Kutipan zakat fitrah juga dilakukan pada bulan Ramadan kemudian mengagihkannya kepada anak-anak Kelantan di Mesir yang memerlukan.

Sumbangan kebajikan ini juga turut diperoleh daripada Kerajaan Negeri Kelantan ketika berhadapan situasi darurat seperti situasi pandemik wabak COVID-19. Sumbangan ini diberikan kepada KPKM dan telah diagihkan berupa bahan mentah dan barang runcit kepada anak-anak Kelantan yang terkandas di Mesir ketika itu demi kelangsungan hidup disana.

Anak-anak Kelantan di Mesir amat bersyukur dan berterima kasih kepada Kerajaan Negeri Kelantan kerana menyediakan penempatan di bumi Mesir sejak zaman berzaman. Sehingga hari ini, kita mempunyai premis yang merupakan aset Kerajaan Negeri Kelantan di Mesir sebanyak tiga buah bangunan iaitu Wisma Sultan Muhammad V, Wisma Tengku Mahkota Kelantan dan Wisma Dato’ Bentara Setia.

Tambahan lagi, Kerajaan Negeri Kelantan meluluskan Belanjawan Kelantan 2022 Manfaat Anak Muda Negeri Kelantan sebanyak RM 12.6 juta bagi pendidikan dan membina sebuah bangunan baharu asrama pelajar Kelantan di Mesir. Projek pembinaan ini bertempat di Awal Sabi’, Kaherah, Mesir. Kesemua bangunan ini diuruskan dan diselenggara di bawah Pejabat Pegawai Kelantan di Timur Tengah dengan kerjasama Keluarga Pelajar-pelajar Kelantan Mesir. Tambahan pula, Kerajaan Negeri Kelantan menyumbang sebuah kereta untuk kemudahan pengangkutan dan kebajikan anak-anak Kelantan di Mesir.

Dalam aspek keselamatan pula, KPKM sangat mengambil berat dalam menjaga keselamatan anak-anak Kelantan di Mesir. Antara usaha yang dilakukan adalah menyediakan perkhidmatan musyrif bagi mahasiswi yang keluar pada waktu malam mengikut keperluan, musyrif ke hospital bagi yang sakit dan juga musyrif ke luar negeri bagi mahasiswi.

Begitu juga dengan penubuhan Unit Hisbah yang memainkan peranan penting dalam mencegah kemungkaran yang berlaku seperti kerosakan salah laku sosial di kalangan mahasiswa dan mahasiswi di samping bertindak sebagai ejen penerang dan penasihat terhadap kes-kes yang berkaitan seksual, ragut, rompakan dan sebagainya kepada mahasiswa di Mesir agar berwaspada dalam setiap situasi.

Selain itu, KPKM turut mengadakan program-program kebajikan secara besar-besaran seperti Ihya’ Tarbawi Ramadan, Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri dan AidilAdha, Hari Asyura dan sebagainya. Program-program sedemikian diadakan demi meraikan hari kebesaran Islam di samping mengeratkan ukhuwah sesama anak Kelantan yang berada di Mesir.

Tambahan pula, Bazar Kelantan juga diadakan supaya mahasiswa cakna terhadap ekonomi dan belajar berdikari dalam pengurusan kewangan. Bukan itu sahaja, program anak-anak Kelantan di Mesir dimeriahkan lagi dengan kehadiran rombongan delegasi pimpinan Negeri Kelantan di Pelembahan Nil ini. Pertemuan dan perbincangan bersama para delegasi diatur khusus untuk anak-anak Kelantan di Mesir melalui Seminar Peradaban Kerajaan Negeri Kelantan di Timur Tengah (SPEKTRUM).

Tuntasnya, Keluarga Pelajar-pelajar Kelantan Mesir bukan sekadar keluarga kedua yang menggantikan tugas ibu bapa dan adik-beradik di bumi Mesir tetapi keluarga ini merupakan sebuah organisasi yang mempunyai tunjang kekuatan dan titik kesatuan yang dibina dengan asas dan tapak yang kukuh sepertimana yang telah disebutkan pada huraian diatas.

Diharapkan  kesatuan ini akan terus teguh dan utuh dalam menjaga kebajikan anak-anak Kelantan di bumi Mesir dan diharapkan agar keluarga ini diredhai oleh Allah SWT sehingga ke syurga.

Abdul Habib bin Sabirin,

Ketua Lajnah Penerbitan KPKM 2022/2023,

Kuliah Usuluddin (Syukbah Akidah dan Falsafah),

Universiti al-Azhar, Kaherah, Mesir.

Muat Turun PDF Risalah Fajar Jumaat Siri 495 – Bersama Kukuhkan Warisan Ummah

MUKTAMAR SANAWI KPKM KALI KE-27

LAPORAN MUKTAMAR SANAWI KALI KE 27

18 & 19  OKTOBER 2022, KAHERAH – Keluarga Pelajar-pelajar Kelantan Mesir  telah menganjurkan Muktamar Sanawi Kali Ke-27  yang bertempat di Surau Wisma Sultan Muhammad V , Kaherah, Mesir. Muktamar Sanawi kali ini bertemakan “Bersama Kukuhkan Warisan Ummah”. Ia berlangsung selama dua hari dengan penyusunan program yang bertentatif.

Sebelum itu, antara objektif program yang digariskan adalah mengumpulkan ahli untuk berbincang bagi kebaikan KPKM pada masa akan datang. Kedua, melahirkan ahli yang proaktif dan kritis dalam menyuarakan pendapat dan komentar. Ketiga, memberi kesedaran kepada pimpinan dan ahli akan tanggungjawab serta tugas yang terpundak di bahu masing-masing. Keempat, mendidik pimpinan dan ahli melalui kefahaman medan muktamar sebagai salah satu medan tarbiah. Kelima, mengeratkan ukhuwah dan menyatukan fikrah ahli dan pimpinan dalam menjayakan usul dan  pembawaan yang bakal dibawa oleh pimpinan akan datang. Dan yang kelima, memberikan kefahaman berorganisasi kepada ahli dan pimpinan bagi melahirkan generasi kepimpinan yang berkredebiliti. Dan yang terakhir, menjayakan usul dan pembawaan KPKM dalam setiap aktiviti yang dijalankan.

Majlis ini dimulakan dengan pendaftaran perwakilan pada jam 8.00 pagi sehingga 12.00 tengah hari, kemudian program diteruskan dengan menyanyikan lagu PMRAM dan nasyid Asmaul Husna, mendengar alunan ayat-ayat suci al-Quran daripada ustaz Amirul Aiman bin Razuan, ahli KPKM, mendengar ucapan ringkas daripada ustaz Muhammad Nasrullah bin Mohd Asri, Setiausaha Agung Keluarga Pelajar-pelajar Kelantan Mesir selaku pengarah program. Seterusnya, majlis mendengar ucapan perasmian  daripada ustaz Umar Muhammad bin Ridhuan, Yang Dipertua Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir 2021/2022.

Seterusnya, majlis disambung dengan sesi kedua iaitu pada jam 9.15 pagi sehingga 12.00 tengahari. Majlis dimulakan dengan sesi pelantikan setiausaha sidang Muktamar Sanawi Kali Ke-27 seramai 4 orang, dua lelaki dan dua perempuan. Majlis diteruskan lagi dengan Pembentangan Ucapan Dasar Yang Dipertua oleh Ustaz Abdullah Khairi bin Abdullah, Yang Dipertua KPKM 2021/2022. Setelah selesai pembentangan Ucapan Dasar YDP. Seterusnya, diteruskan lagi dengan slot Perbahasan Ucapan Yang Dipertua daripada muktamirin dan muktamirat yang mengemukakan hujah dan sokongan terhadap ucapan.

Sesi ketiga bermula pada jam 3.30 petang dan majlis diteruskan lagi dengan Pembentangan Laporan Aktiviti Tahunan yang dibentangkan oleh Ustaz Muhammad Nasrullah bin Mohd Asri, Setiausaha Agung Keluarga Pelajar-pelajar Kelantan Mesir 2021/2022 setelah Peringatan MS Kali Ke-26 diluluskan. Selepas itu, majlis diteruskan lagi dengan sesi soal jawab antara ahli dan pimpinan. Pembentangan dimulakan dengan Lajnah Kebudayaan, Kesenian dan Sukan dan berakhir dengan laporan Yang Dipertua. pada jam 4.00 petang majlis diteruskan lagi dengan Pembentangan Laporan Kewangan oleh Ustaz Mohammad Syed A’tif bin Syed Ali , Bendahari Agung KPKM 2021/2022. Pembentangan ini juga diteruskan dengan sesi soal jawab antara ahli dan pimpinan.

Sesi keempat bermula pada keesokan hari 19 Oktober 2022 jam 8.00 pagi, dimulakan dengan pendaftaran perwakilan Sekitar jam 10.00 pagi, majlis diteruskan dengan sesi Pembentangan Usul Yang Diterima, oleh Ustaz Muhammad Amirul bin Azhar yang berbunyi;

 “Meningkatkan Kesedaran Ahli Untuk Memperkasakan Amal Islami Berwakilkan KPKM Melalui:
1) Memupuk Nilai Tanggungjawab Ahli Secara Kolektif
2) Meningkatkan Penjagaan Biah Solehah Dalam Kalangan Ahli
3) Melestarikan Keutuhan Ukhuwah Islamiah Dengan Menyeluruh.”

Seterusnya, pengerusi tetap memberi ruang kepada muktamirin dan muktamirat untuk membahaskan usul ini supaya para ahli yang hadir dapat memahami item yang ingin dibawa bersama pada sesi hadapan.

Kemudian, majlis disambung  dengan pemilihan Pengerusi Sidang MS Kali Ke-28 dan Juru Audit KPKM sesi 2022/2023. Setelah dicadang dan disokong. Maka, terlantiklah dua orang pengerusi tetap dan tiga orang juru audit KPKM 2022/2023. Selepas itu, majlis diserikan dengan penyampaian hadiah bermula Pemenang Pertandingan Rumah Idaman, Pertandingan Swafoto Bersama Pimpinan dan Wallpaper Kalam HEWI, Pertandingan Voice Over Challenge. Anugerah Musyrif Kesihatan, Anugerah Musyrif terbaik dan Anugerah Emas KPKM  turut disediakan  sebagai tanda penghargaan daripada KPKM sebagai penghargaan kepada jasa-jasa yang dicurahkan. Seterusnya, majlis diteruskan dengan ucapan terakhir saf pimpinan AJKT dan AJKH 2021/2022 bermula daripada Ketua Lajnah Kebudayaan, Kesenian dan Sukan dan diakhiri dengan ucapan ustaz Abdullah Khairi bin Abdullah, Yang Dipertua KPKM 2021/2022.

Akhirnya, majlis diserahkan kepada Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Keluarga Pelajar-Pelajar Kelantan Mesir bagi mengumumkan Ahli Jawatankuasa Tertinggi Keluarga Pelajar-Pelajar Kelantan Mesir 2022/2023 dan sesi taaruf. Setelah selesai sesi taaruf Ahli Jawatankuasa Tertinggi, majlis diakhiri dengan ucapan penangguhan Yang Dipertua KPKM 2022/2023 dan bacaan doa.

Disediakan oleh:

Muhamad Haraki bin Zulkiflee,

Setiausaha I Muktamar Sanawi Kali Ke 27,

Keluarga Pelajar-pelajar Kelantan Mesir 2021/2022