Month: April 2023

PELANCARAN KHAS E-BOOK SINAR SYAWAL

PENGENALAN

Bulan Syawal hadir dengan membawa isyarat kemenangan bagi umat Islam kerana berjaya menjalani ibadah puasa sepanjang Ramadan dan berperang menentang musuh terbesar manusia iaitu hawa nafsu.

Tentunya hati kita bergembira, senang, dan bahagia. Ini menjadi gambaran fitrah dan naluri orang bertakwa yang telah melewati perjuangan serta pengorbanan di bulan Ramadan apabila perlu menahan rasa lapar dan dahaga, melawan hawa nafsu serta syahwat dan melakukan solat, puasa, zikir, doa, sedekah, dan ibadah lainnya.

Selama sebulan penuh mereka memasuki madrasah Ramadan dan dihadapkan dengan berbagai latihan dan tarbiah supaya pada akhirnya cemerlang dengan meraih takwa.

PELANCARAN E-BOOK

Sukacita dimaklumkan Unit Redaksi di bawah Lajnah Penerbitan KPKM 2022/2023 telah menerbitkan e-Book Sinar Syawal sempena Bulan Syawal.

Semoga semua mahasiswa dan mahasiswi dapat mengambil sebanyak mungkin manfaat daripada penulisan ahli-ahli KPKM di dalam e-book ini.

Muat turun PDF Sekarang!

E-BOOK SINAR SYAWAL

RISALAH FAJAR JUMAAT SIRI 500 – RAMADAN BERSAMA AL-QURAN

RAMADAN BERSAMA AL-QURAN

شهر رمضان الذي أنزل فيه القرآن هدى للناس وبينات من الهدى والفرقان

Maksudnya: “Pada bulan Ramadan, bulan yang diturunkan padanya al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan yang batil)…” (Surah al-Baqarah: Ayat 185)

Pendahuluan

Al-Quran merupakan antara nikmat terbesar yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada umat Nabi Muhammad SAW. Diturunkan dari Luh al-Mahfuz oleh malaikat Jibril a.s pada malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Ia menjadi petunjuk kepada sekalian makhluk, penawar bagi pelbagai penyakit serta penyelesai kepada segala permasalahan. Penurunan al-Quran dalam bulan Ramadan menjadi perantis buat umat agar sentiasa itqan bersama al-Quran. Di samping, menghidupkan bulan Ramadan dengan al-Quran dan memaksimakan gagasan ‘al-Zikr’ dan ‘al-Huda’.

Al-Quran dan Interaksi ‘al-Zikr’

Al-Quran sebagai peneman terbaik buat umat. Dalam bulan Ramadan, umat Islam amat digalakkan untuk menghiasi diri dengan kalamullah. Konsep ‘al-Zikr’ iaitu jadikan al-Quran sebagai zikir utama amatlah perlu ditekankan. Ulama telah menyusun beberapa kaedah dalam berinteraksi dengan al-Quran supaya dapat dimanfaatkan pada tahap maksima:

1. Al-Qiraah: Memfokuskan pada bacaan al-Quran secara bersasar dan target khatamkan al-Quran dalam bulan Ramadan. Kadar bacaan adalah statik dan konsisten agar supaya menjadi amalan harian.

2. Al-Tadarus: Memfokuskan untuk menambah nilai pengetahuan berkaitan al-Quran dari sudut tajwid, tafsir, tadabbur dan lain-lain. Target memadai satu ayat sehari khususnya berkaitan tafsir dan menekankan agar proses adalah berterusan.

3. Al-Hifz: Memfokuskan hafalan baharu al-Quran dan pengukuhan hafalan bagi seorang hafiz. Hafalan tidak mensasarkan banyak kadar hafalan tetapi penjagaan hafalan walaupun sedikit.

Al-Quran dan Interaksi ‘al-Huda’

Tatkala manusia berlumba-lumba untuk memperbanyak bacaan al-Quran, namun aspek utama yang tidak boleh dilupakan ialah tujuan utama penurunan al-Quran itu sendiri iaitu sebagai petunjuk (al- Huda). Justeru, perlunya membumikan al-Quran dalam diri dengan mengamalkan segala arahan al-Quran dan meninggalkan segala larangan. Al-Quran bukan sekadar dilafazkan di lisan, bahkan dipraktikkan dalam pengamalan sehingga jadilah umat generasi yang berakhlak al-Quran sebagaimana digagaskan oleh Baginda SAW. Telah datang dalam sebuah riwayat:

Daripada Sa’d bin Hisyam berkata: “Aku bertanya kepada A’isyah; kabarkanlah kepadaku tentang akhlak Rasulullah SAW. A’isyah menjawab; sesungguhnya akhlak Baginda SAW adalah Al-Quran.”

(Hadis Riwayat Ahmad)

Kesimpulan

Al-Quran Nurul Ummah. Cahaya al-Quran yang merupakan petunjuk kepada seluruh alam hendaklah diimplementasikan dalam segenap kehidupan. Seterusnya, generasi al-Quran secara teori dan amali dapat dimanifestasikan. Madrasah Ramadan menjadi pemacu dalam mewujudkan cita islami dan cinta Ilahi. Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Mereka itulah yang tetap mendapat petunjuk daripada Tuhan mereka dan merekalah orang-orang yang berjaya.” (Surau al-Baqarah: Ayat 5)

Tuntasnya, golongan yang berjaya hanyalah golongan yang menjadikan al-Quran sebagai pedoman kehidupan. Ramadan dijadikan sebagai ruang dan peluang oleh sang jauhari dalam menggapai reda Ilahi. Sudah terang lagi bersuluh, when there’s a will, there’s a way.

Ku Abdul Muhaimin bin Ku Mat, Kuliah Usuluddin,
Universiti al-Azhar al-Syarif

Muat turun PDF RISALAH FAJAR JUMAAT SIRI 500 – RAMADAN BERSAMA AL-QURAN

RISALAH FAJAR JUMAAT SIRI 499 – KELEBIHAN MALAM NISFU SYAABAN

KELEBIHAN MALAM NISFU SYAABAN

Nisfu bermaksud separuh dan nisfu syaaban pula bermaksud separuh daripada bulan Syaaban, iaitu jatuh pada malam ke-15. Malam Nisfu Syaaban merupakan malam yang penuh berkat dan rahmat selepas malam Lailatul Qadar dan ia juga merupakan hari buku catatan amalan umat Islam selama setahun diangkat ke langit dan diganti dengan buku catatan yang baru. Malam Nisfu Syaaban juga begitu istimewa kerana terbukanya pintu langit dan malam dimakbulkan doa.

Terdapat nama lain juga selain Malam Nisfu Syaaban iaitu Lailatul Mubarakah (malam keberkatan), Lailatul Barrah (malam pelepasan), Lailatul Qismah Wal Takdir (malam pembahagian dan penentuan), Lailatul Takfir (malam mengkifaratkan dosa), Lailatul Ijabah (malam diperkenankan doa) dan Lailatul Syafaah (malam syafaat).

HUKUM MENGHIDUPKAN MALAM NISFU SYAABAN

Bulan Syaaban merupakan salah satu bulan yang banyak kebaikannya. Diriwayatkan bahawa Nabi Muhammad S.A.W banyak melakukan puasa sunat dalam bulan Syaaban berbanding dengan bulan lain. Ini bertetapan dengan hadis yang diriwayatkan daripada Aisyah R.A:

“Rasulullah SAW tidak pernah berpuasa pada bulan tertentu selain Ramadhan sepanjang tahun, lebih banyak daripada puasanya dalam bulan Syaaban dan Baginda bersabda: “Lakukanlah amalan- amalan sunat yang kamu mampu kerana sesungguhnya Allah tidak akan jemu sehingga kamu merasa jemu”. (HR Al-Bukhari, Muslim dan Abu Dawud)

Baginda juga bersabda “Amalan yang paling disukai di sisi Allah adalah dilakukan secara berterusan walaupun sedikit”. (HR Muslim)

Justeru, bulan Syaaban juga mempunyai satu malam yang penting iaitu malam Nisfu Syaaban. Namun, diharapkan supaya tidak ada orang yang beranggapan bahawa malam Nisfu Syaaban sebagai malam penentuan nasib seseorang pada tahun berikutnya sehingga terdapat segelintir daripada masyarakat sanggup meninggalkan pekerjaan pada malam tersebut untuk menghadiri malam Nisfu Syaaban kerana bimbang terlepas habuannya. Kepercayaan seperti ini amat dibimbangi akan menjejaskan akidah sebagai seorang Muslim.

Walau bagaimanapun, tidak dapat dinafikan bahawa pada malam tersebut digalakkan kepada umat Islam supaya memperbanyakkan ibadat seperti memperbanyakkan bacaan al-Quran, berzikir, berdoa dan qiamullail sebagaimana yang terdapat dalam hadis yang menjelaskan tentang kelebihan menghidupkan malam Nisfu Syaaban iaitu:
Daripada Abu Tha’labaah RA, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:

“Apabila tiba malam Nisfu Syaaban, Allah SWT melihat kepada makhluknya. Kemudian Allah SWT mengampunkan orang yang beriman serta mengabaikan orang yang kufur dan membiarkan orang yang dengki dengan dengkinya sehingga mereka meninggalkannya”.

Seterusnya, terdapat banyak fadhilat dan kelebihan yang boleh kita amalkan dalam bulan Syaaban khususnya pada malam Nisfu Syaaban tersebut dan teramat rugi jika tidak dimanfaatkan sebaik mungkin untuk memperbaiki diri dan melakukan persediaan dari segi mental dan fizikal untuk menuju sebaik-baik bulan iaitu bulan Ramadhan.

AMALAN PADA MALAM NISFU SYAABAN

Islam tidak meletakkan amalan khusus yang mungkin boleh dinisbahkan kepada Nabi Muhammad SAW sebagai sunnah untuk diamalkan pada malam Nisfu Syaaban. Tetapi dalam masa yang sama, kita hendaklah mengambil peluang dengan kelebihan yang ada pada malam tersebut dengan memperbanyakkan amal.
Antara amalan yang boleh dilakukan adalah mengerjakan solat sunat Nisfu Syaaban. Solat sunat ini adalah termasuk dalam solat sunat mutlak yang dilakukan pada waktu malam 15 Syaaban. Ia juga boleh dilakukan selepas menunaikan solat fardhu Maghrib, Isyak atau disertakan dengan mana- mana solat sunat atau qiamullail.

Seterusnya, selepas selesai melakukan solat sunat Nisfu Syaaban, kita digalakkan untuk membaca surah Yasin sebanyak tiga kali. Disebutkan oleh Imam Abdul Ghani bin Ismail An-Nablusi dalam kitabnya iaitu Fadha’il Al-Ayyam Wa Asy-Syuhur amalan para solihin pada malam Nisfu Syaban selepas solat Maghrib adalah membaca surah Yasin sebanyak tiga kali. Bacaan pertama diniatkan agar Allah memberikan umur yang panjang, bacaan kedua diniatkan agar dijauhkan daripada segala bala dan dikurniakan rezeki halal yang melimpah. Manakala bacaan ketiga pula diniatkan supaya tidak bergantung hidupnya kepada orang lain dan diberikan husnul khatimah.

KEISTIMEWAAN MELAKUKAN AMALAN PADA MALAM NISFU SYAABAN

Berikut adalah beberapa pendapat ulama’ berkaitan malam Nisfu Syaaban: Telah berkata Imam As-Syafie RA, Ibnu Rajab RA mengatakan :
“Doa mustajab adalah pada 5 malam iaitu malam Jumaat, malam Aidiladha, malam Aidilfitri, malam awal bulan Rejab dan malam Nisfu Syaaban.”

“Berkaitan malam Nisfu Syaaban pada zaman dahulu para tabi’in daripada penduduk Al-Syam seperti Khalid bin Maidan, Makhul, Luqman bin Amir dan beberapa tabi’in yang lain memuliakannya (malam Nisfu Syaaban) dan mereka bersungguh-sungguh beribadah pada malam itu”.

Akhir sekali, jadikan bulan yang mulia ini sebagai medan untuk memperbanyak dan memperkemaskan lagi amalan yang sedia ada. Ambillah peluang yang Allah berikan ini sebagai proses untuk memperbaiki diri dan persediaan menuju bulan Ramadhan.

Nur Hidayah binti Muhammad Al Karim Kuliah Bahasa Arab
Universiti Al Azhar, Kaherah, Mesir.

Muat turun PDF RISALAH FAJAR JUMAAT SIRI 499 – FADHILAT MALAM NISFU SYAABAN

RISALAH FAJAR JUMAAT SIRI 498 – KELEBIHAN BULAN REJAB

KELEBIHAN BULAN REJAB

Rejab adalah bulan ketujuh daripada bulan-bulan Islam. Terhimpun di dalamnya banyak kelebihan dan keistimewaan yang melebihi bulan lain.

Mengikut al-Jauhari dalam kamusnya as-Sihah, kalimah Rejabdiambil daripada perbuatan (رَجَبَ) yang memberi maknamembesarkan atau mengagungkan. Dinamakan sedemikiankerana masyarakat Arab mengagungkan bulan ini dengan meninggalkan pembunuhan.

Rejab juga salah satu daripada empat bulan haram (bulan suci) iaitu bulan yang diharamkan berlaku peperangan dan kezaliman. Oleh itu, nama lain bagi bulan ini ialah ( الأَصَمّ )kerana padanya tidak didengari suara senjata dan pertumpahan darah. Allah taala berfirman;

إِنَّ عِدَّةَ ٱلشُّهُورِ عِندَ ٱللَّهِ ٱثۡنَا عَشَرَ شَهۡرا فِی كِتَـٰبِ ٱللَّهِ یَوۡمَ خَلَقَ ٱلسَّمَـٰوَ ٰ⁠تِ وَٱلۡأَرۡضَمِنۡهَاۤ أَرۡبَعَةٌ حُرُمࣱۚ ذَ ٰ⁠لِكَ ٱلدِّینُ ٱلۡقَیِّمُۚ فَلَا تَظۡلِمُوا۟ فِیهِنَّ أَنفُسَكُمۡۚ وَقَـٰتِلُوا۟ ٱلۡمُشۡرِكِینَ كَاۤفَّةكَمَا یُقَـٰتِلُونَكُمۡ كَاۤفَّةࣰۚ وَٱعۡلَمُوۤا۟ أَنَّ ٱللَّهَ مَعَ ٱلۡمُتَّقِینَ﴿ ٣٦ ﴾

Maksudnya : Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Ia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah ugama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya)… ( At-Taubah : 36 )

Empat bulan haram yang disebutkan dalam ayat ini ialah bulan Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab. Tiga bulan terawal berturutan manakala satu lagi tunggal.

Intipati daripada ayat ini ialah Allah Taala menyebutkan secara khusus pengharaman perbuatan zalim dalam bulan sucisedangkan perbuatan itu sememangnya haram dan dicela oleh Allah Taala sepanjang zaman. Maka jika seseorang menzalimi diri sendiri dengan melanggar perintah-Nya pada bulan haram maka akan berganda-ganda dosanya sebagaimana berganda dosa si pelaku maksiat di tanah haram. Berkata Qatadah;

العمل الصالح أعظم أجرا في الأشهر الحرم ، والظلم فيهن أعظم من الظلم فيماسواهن، وإن كان الظلم على كل حال عظيما

Maksudnya : Amal soleh lebih besar pahalanya jika dikerjakan di bulan-bulan haram sebagaimana kezaliman di bulan-bulan haram lebih besar dosanya dibandingkan dengan kezaliman yang dikerjakan di bulan-bulan lain meskipun secara umum kezaliman adalah dosa yang besar.

Namun begitu, bulan Rejab ini juga dinamakan dengan ( الأَصَبّ ) kerana Allah Taala melimpahkan rahmat dan pahala yang berganda kepada hamba-Nya yang taat. Maka perbanyakkanlah perbuatan taat untuk meraih redha-Nya serta merebut pahala sebanyak mungkin. Tambahan pula setiap amalan kebaikan yang dibuat akan menghapuskan dosa-dosa kecuali dosa besar sebagaimana firmannya;

وَأَقِمِ ٱلصَّلَوٰةَ طَرَفَیِ ٱلنَّهَارِ وَزُلَفا مِّنَ ٱلَّیۡلِۚ إِنَّ ٱلۡحَسَنَـٰتِ یُذۡهِبۡنَ ٱلسَّیِّـَٔاتِۚ ذَ ٰلِكَذِكۡرَىٰ لِلذَّ ٰكِرِینَ﴿ ١١٤ ﴾

Maksudnya : Dan dirikanlah sembahyang (wahai Muhammad, engkau dan umatmu), pada dua bahagian siang (pagi dan petang), dan pada waktu-waktu yang berhampiran dengannya dari waktu malam. Sesungguhnya amal-amal kebajikan (terutama sembahyang) itu menghapuskan kejahatan. Perintah-perintah Allah yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang-orang yang mahu beringat. ( Hud : 114 )

Kaedah mengatakan berbilang nama menjadi dalil kepadakemuliaan dan kelebihan sesuatu. Sebagai contoh yang jelas, Allah Taala mempunyai banyak nama begitu juga Baginda SAW.. Maka tidak hairanlah umat Islam menyambut bulan Rejab dengan melaksanakan ibadah lebih daripada bulan-bulan lain kerana pada bulan ini ada kelebihan tersendiri. Antara amalan yang disarankan ialah :

– Qiamullail

– Memperbaharui taubat

– Berdoa pada awal malam Rejab kerana ia waktu

mustajab

– Berkata dengan perkataan yang baik ataupun diam

Puasa sunat pada hari Isnin, Khamis dan Hari Putih pada (13,14,15 )

– Melazimi solat sunat terutama sunat rawatib

– Baca al-Quran

– Perbanyakkan zikir terutama istighfar

Sedar atau tidak semua amalan yang dilakukan pada bulan Rejab diteruskan pula pada Syaaban seolah-olah menjadi persiapan bagi menghadapi bulan Ramadan. Allah Taalamenyediakan satu medium untuk hamba-Nya meningkatkan amal ibadah serta berusaha menjauhi maksiat sejauh mungkin agar kedua-dua ini menjadi sebati tatkala menjelma bulan Ramadan.

Ibadah pada bulan ini juga diumpakan seperti perniagaan. Maka apakah ehwal bagi ahli perniagaan? Semestinya bersungguh-sungguh mencari keuntungan dan cuba sedaya upaya untuk mengelak daripada kerugian besar. Begitu jugalah perniagaan dengan Allah Taala yang mana perniagaan ini tidak akan rugi sama sekali.

Selain itu, kelebihan sesuatu bulan bukan sahaja diukurmelalui fadhilat amal bahkan dinilai juga dari segi aspek peristiwayang berlaku di dalamnya. Ulama telah menetapkan satu kaedah bahawasanya sesuatu masa atau zaman dimuliakan dengan apa yang berlaku di dalamnya. Antara kisah yang paling penting dalam bulan Rejab ialah Israk dan Mikraj.

Pada tahun ke-12 kenabian bertepatan pada tarikh 27 Rejab, Allah Taala telah membawa Baginda SAW dalam satu perjalanan, lalu disyariatkan kepada Baginda SAW ibadah solat yang merupakan rukun Islam yang kedua. Selain daripada pensyariatan solat, perjalanan ini juga untuk  menetapkan dan menenangkan hati Baginda SAW selepas kewafatan dua insan tersayang iaitu bapa saudaranya, Abu Tholib dan isteri pertamanya Saidatina Khadijah RA.

Kesimpulannya, bulan Rejab mempunyai banyak kelebihan dan keistimewaan yang tidak patut dipandang remeh oleh kaum Muslimin. Moga-moga pengisian amalan dalam Rejab kali ini lebih bermakna dan lebih mendapat berkat daripada tahun lepas.

اللهم بارك لنا في رجب وشعبان وبلغنا رمضان

Muhammad Ziad Zulmajdi Bin Mat Ali

Kuliah Syariah Islamiah

Universiti al-Azhar, Kaherah, Mesir

Muat turun PDF RISALAH FAJAR JUMAAT SIRI 498 – KELEBIHAN BULAN REJAB