RISALAH FAJAR JUMAAT SIRI 499 – KELEBIHAN MALAM NISFU SYAABAN

KELEBIHAN MALAM NISFU SYAABAN

Nisfu bermaksud separuh dan nisfu syaaban pula bermaksud separuh daripada bulan Syaaban, iaitu jatuh pada malam ke-15. Malam Nisfu Syaaban merupakan malam yang penuh berkat dan rahmat selepas malam Lailatul Qadar dan ia juga merupakan hari buku catatan amalan umat Islam selama setahun diangkat ke langit dan diganti dengan buku catatan yang baru. Malam Nisfu Syaaban juga begitu istimewa kerana terbukanya pintu langit dan malam dimakbulkan doa.

Terdapat nama lain juga selain Malam Nisfu Syaaban iaitu Lailatul Mubarakah (malam keberkatan), Lailatul Barrah (malam pelepasan), Lailatul Qismah Wal Takdir (malam pembahagian dan penentuan), Lailatul Takfir (malam mengkifaratkan dosa), Lailatul Ijabah (malam diperkenankan doa) dan Lailatul Syafaah (malam syafaat).

HUKUM MENGHIDUPKAN MALAM NISFU SYAABAN

Bulan Syaaban merupakan salah satu bulan yang banyak kebaikannya. Diriwayatkan bahawa Nabi Muhammad S.A.W banyak melakukan puasa sunat dalam bulan Syaaban berbanding dengan bulan lain. Ini bertetapan dengan hadis yang diriwayatkan daripada Aisyah R.A:

“Rasulullah SAW tidak pernah berpuasa pada bulan tertentu selain Ramadhan sepanjang tahun, lebih banyak daripada puasanya dalam bulan Syaaban dan Baginda bersabda: “Lakukanlah amalan- amalan sunat yang kamu mampu kerana sesungguhnya Allah tidak akan jemu sehingga kamu merasa jemu”. (HR Al-Bukhari, Muslim dan Abu Dawud)

Baginda juga bersabda “Amalan yang paling disukai di sisi Allah adalah dilakukan secara berterusan walaupun sedikit”. (HR Muslim)

Justeru, bulan Syaaban juga mempunyai satu malam yang penting iaitu malam Nisfu Syaaban. Namun, diharapkan supaya tidak ada orang yang beranggapan bahawa malam Nisfu Syaaban sebagai malam penentuan nasib seseorang pada tahun berikutnya sehingga terdapat segelintir daripada masyarakat sanggup meninggalkan pekerjaan pada malam tersebut untuk menghadiri malam Nisfu Syaaban kerana bimbang terlepas habuannya. Kepercayaan seperti ini amat dibimbangi akan menjejaskan akidah sebagai seorang Muslim.

Walau bagaimanapun, tidak dapat dinafikan bahawa pada malam tersebut digalakkan kepada umat Islam supaya memperbanyakkan ibadat seperti memperbanyakkan bacaan al-Quran, berzikir, berdoa dan qiamullail sebagaimana yang terdapat dalam hadis yang menjelaskan tentang kelebihan menghidupkan malam Nisfu Syaaban iaitu:
Daripada Abu Tha’labaah RA, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:

“Apabila tiba malam Nisfu Syaaban, Allah SWT melihat kepada makhluknya. Kemudian Allah SWT mengampunkan orang yang beriman serta mengabaikan orang yang kufur dan membiarkan orang yang dengki dengan dengkinya sehingga mereka meninggalkannya”.

Seterusnya, terdapat banyak fadhilat dan kelebihan yang boleh kita amalkan dalam bulan Syaaban khususnya pada malam Nisfu Syaaban tersebut dan teramat rugi jika tidak dimanfaatkan sebaik mungkin untuk memperbaiki diri dan melakukan persediaan dari segi mental dan fizikal untuk menuju sebaik-baik bulan iaitu bulan Ramadhan.

AMALAN PADA MALAM NISFU SYAABAN

Islam tidak meletakkan amalan khusus yang mungkin boleh dinisbahkan kepada Nabi Muhammad SAW sebagai sunnah untuk diamalkan pada malam Nisfu Syaaban. Tetapi dalam masa yang sama, kita hendaklah mengambil peluang dengan kelebihan yang ada pada malam tersebut dengan memperbanyakkan amal.
Antara amalan yang boleh dilakukan adalah mengerjakan solat sunat Nisfu Syaaban. Solat sunat ini adalah termasuk dalam solat sunat mutlak yang dilakukan pada waktu malam 15 Syaaban. Ia juga boleh dilakukan selepas menunaikan solat fardhu Maghrib, Isyak atau disertakan dengan mana- mana solat sunat atau qiamullail.

Seterusnya, selepas selesai melakukan solat sunat Nisfu Syaaban, kita digalakkan untuk membaca surah Yasin sebanyak tiga kali. Disebutkan oleh Imam Abdul Ghani bin Ismail An-Nablusi dalam kitabnya iaitu Fadha’il Al-Ayyam Wa Asy-Syuhur amalan para solihin pada malam Nisfu Syaban selepas solat Maghrib adalah membaca surah Yasin sebanyak tiga kali. Bacaan pertama diniatkan agar Allah memberikan umur yang panjang, bacaan kedua diniatkan agar dijauhkan daripada segala bala dan dikurniakan rezeki halal yang melimpah. Manakala bacaan ketiga pula diniatkan supaya tidak bergantung hidupnya kepada orang lain dan diberikan husnul khatimah.

KEISTIMEWAAN MELAKUKAN AMALAN PADA MALAM NISFU SYAABAN

Berikut adalah beberapa pendapat ulama’ berkaitan malam Nisfu Syaaban: Telah berkata Imam As-Syafie RA, Ibnu Rajab RA mengatakan :
“Doa mustajab adalah pada 5 malam iaitu malam Jumaat, malam Aidiladha, malam Aidilfitri, malam awal bulan Rejab dan malam Nisfu Syaaban.”

“Berkaitan malam Nisfu Syaaban pada zaman dahulu para tabi’in daripada penduduk Al-Syam seperti Khalid bin Maidan, Makhul, Luqman bin Amir dan beberapa tabi’in yang lain memuliakannya (malam Nisfu Syaaban) dan mereka bersungguh-sungguh beribadah pada malam itu”.

Akhir sekali, jadikan bulan yang mulia ini sebagai medan untuk memperbanyak dan memperkemaskan lagi amalan yang sedia ada. Ambillah peluang yang Allah berikan ini sebagai proses untuk memperbaiki diri dan persediaan menuju bulan Ramadhan.

Nur Hidayah binti Muhammad Al Karim Kuliah Bahasa Arab
Universiti Al Azhar, Kaherah, Mesir.

Muat turun PDF RISALAH FAJAR JUMAAT SIRI 499 – FADHILAT MALAM NISFU SYAABAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *