Category: Kesihatan

RISALAH KESIHATAN SIRI 112 – DEHIDRASI, BAHAYA ATAU TIDAK?

DEHIDRASI, BAHAYA ATAU TIDAK?

Dehidrasi bermaksud badan seseorang itu mengalami lebih banyak kehilangan cecair berbanding cecair masuk ke dalam badan. Apabila jumlah normal cecair yang terdapat di dalam badan berkurang, ia akan menyebabkan berlakunya ketidakseimbangan mineral seperti gula, garam dan elektrolit di dalam badan. Hal ini akan mengakibatkan fungsi di dalam badan seseorang itu akan terganggu.

Dalam badan manusia yang sihat mengandungi 2/3 cecair. Cecair itu berfungsi sebagai pelincir untuk sendi-sendi dan juga mata. Ia juga membantu proses pencernaan makanan, membuang bahan-bahan buangan dan toksin, dan memastikan kulit berada dalam keadaaan yang sihat.

Terdapat dua jenis bagi dehidrasi, iaitu dehidrasi yang ringandan juga teruk.

Antara ciriciri dehidrasi ringan ialah:

– Rasa dahaga yang luar biasa.

– Pening kepala.

– Bibir kering.

– Letih.

– Air kencing berwarna gelap dan berbau kuat.

– Kekerapan membuang air kecil berkurang dari kebiasaan.

Ciriciri dehidrasi yang teruk ialah:

– Kulit dan membran mukus merekah seperti mulut, tekak, hidung, kelopak mata dan telinga.

– Pernafasan laju.

– Lesu.

– Mengalami tekanan darah rendah.

– Degupan jantung laju

– Tidak sedarkan diri atau delirium.

Justeru itu, fungsi di dalam badan akan mula terganggu walaupun hanya kehilangan sedikit cecair dari jumlah yang diperlukan.

Apa yang menyebabkan berlakunya dehidrasi?

Kebiasaannya dehidrasi berlaku disebabkan oleh kurang meminum air dan ini akan menyebabkan badan tidak dapatmenggantikan cecair yang hilang di dalam badan. Selain itu, dehidrasi juga berlaku disebabkan suhu yang tinggi, jumlah aktiviti fizikal yang dilakukan, lebih-lebih lagi dalam keadaancuaca yang panas. Selain itu, cara pemakanan juga boleh menyebabkan berlakunya dehidrasi. Seterusnya, ia juga bolehberlaku disebabkan oleh penyakit seperti kerap muntah dan cirit-birit ataupun berpeluh kerana demam.

Apakah perkara yang perlu dilakukan untuk mengelakkan badan daripada dehidrasi?

– Minum air yang banyak seperti air mineral atau jus buah.

– Makan makanan yang mengandungi kandungan air yang banyak seperti buah-buahan dan sayur-sayuran.

– Tidak terdedah di bawah terik cahaya matahari dalam waktuyang lama.

– Kurangkan aktiviti di luar rumah apabila cuaca panas.

Kesimpulannya adalah, dehidrasi bahaya atau tidak?, jawapannya adalah bahaya. Hal ini kerana dehidrasi boleh mengakibatkan heat injury, masalah buah pinggang dan pembuangan air kecil, hypovolemic shock dan sawan. Jika berlaku dehidrasi yang terlampau serius, ianya boleh membawa maut.

Kesan-kesan dehidrasi:

Heat injury: Heat injury boleh dikenalpasti melaluisimptom-simptom ringan seperti kekejangan otot, kelesuanbadan sehingga ianya boleh menyebabkan strok haba dan meninggal dunia.

– Masalah buah pinggang dan pembuangan air kecil: Dehidrasi dalam kadar waktu yang lama boleh mengakibatkan jangkitan pada salur kencing, pembentukan batu karang dalam buah pinggang dan kegagalan buah pinggang.

– Sawan: Ketidakseimbangan elektrolit di dalam badan akan menyebabkan kekejangan otot di luar kawalan, sawan dan tidak sedarkan diri.

Hypovolemic shock: Ini adalah komplikasi dehidrasi yang paling serius dan boleh membawa maut. Ia berlaku apabila isipadu darah di dalam badan seseorang rendah dan menyebabkan tekanan darah juga rendah yang akan menyebabkan kekurangan oksigen dalam badan.

Bagaimana cara untuk merawat dehidrasi?

Dehidrasi ringan boleh dirawat di rumah hanya dengan hanyameminum air dalam kuantiti yang banyak atau mendapatkan oral rehydration salt (ORS) daripada farmasi yang berdekatan. Untuk pengetahuan semua, kita juga boleh membuat minuman ORS dengan menggunakan bahan-bahan yang terdapat di rumah seperti setengah sudu kecil garam, 6 sudu kecil gula dan 1 liter air minum kemudian campur kesemua bahan-bahan tersebut dan kacau sehingga sebati.

Jika berlaku dehidrasi yang teruk dan serius, anda perlumendapatkan rawatan di klinik ataupun hospital berdekatan.

Akhir kata, seeloknya kita perlu menjaga kesihatan diri dan sentiasa peka dengan tanda-tanda dehidrasi sama ada ianyaringan mahupun teruk. Amalkan beberapa penjagaan sepertiminum segelas air selepas bangun daripada tidur, membawa botol air ke mana sahaja anda pergi dan makan buah-buahan yang mengandungi air yang banyak contohnya tembikai, strawberi, nenas dan mangga kerana mencegah itu lebih baik daripada merawat.

Nuru Qurratil Ain binti Hamdan,

Kuliah Perubatan Tahun 4,

Universiti Al-Azhar.

Muat turun PDF RISALAH KESIHATAN SIRI 112 – DEHIDRASI, BAHAYA ATAU TIDAK?

RISALAH KESIHATAN SIRI 111 – PUASA TERAPI KESIHATAN

Puasa Terapi Kesihatan

 

Dari Abu Hurairah RA, “Dan berpuasalah kamu nescaya kamu sihat…”

Bagi umat Islam, puasa bermaksud menahan diri daripada makan, minum dan melakukan sesuatu perkara yang boleh membatalkan puasa bermula dari terbit matahari (masuk waktu subuh) sehinggalah terbenam matahari (masuk waktu maghrib) iaitu lebih kurang 14 jam sehari. Puasa juga merupakan perkara biasa yang diamalkan secara meluas oleh masyarakat budaya Timur dan Barat.

Antara sebab-sebab untuk berpuasa adalah kerana tuntutan agama, kesihatan dan penyucian. Terdapat pelbagai kaedah berpuasa termasuk menahan diri daripada makan dan minum untuk beberapa jam atau bulan dan ada juga yang hanya menyekat pengambilan makanan tertentu sahaja. Ini adalah untuk melengkapkan puasa mengikut kepercayaan agama masing-masing. Persoalannya, bagaimanakah puasa dapat membantu dalam aspek kesihatan?

Kesihatan terdiri daripada dua komponen iaitu rohani atau jasmani. Uniknya puasa, ia dapat menyembuhkan kedua-duapenyakit rohani dan jasmani yang telah menjadi kebiasaan pada zaman kini. Ini terbukti dengan pengesahan oleh pakar perubatan moden bahawa amalan berpuasa boleh menaiktarafkan kesihatan seseorang.

Pengarah pemakanan di Moscow telah ditanya tentang apakah penemuan yang paling penting pada abad ini, maka jawabnya ialah penemuan cara untuk memastikan tubuh badan kita menjadi lebih sihat iaitu dengan cara berpuasa. Ia merupakan penemuan terhebat pada abad ini yang jauh lebih bernilai daripada segala-galanya kerana puasa diibaratkan sebagai satu rawatan yang unik dan ajaib untuk pesakit-pesakit yang mempunyai masalah kesihatan.

Salah satu kelebihan berpuasa adalah dapat membantu dari segi menambah baik fungsi dan meningkatkan kecerdasan otak. Hal ini kerana akan berlaku proses autofagi di dalam otak dimana proses menghancurkan protein dan organel yang rosak di dalam neuron tertentu di dalam otak. Jika protein yang rosak atau tidak berfungsi berkumpul di dalam neuron tertentu, fungsi neuron akan terjejas seperti mana yang dapat dilihat di dalam penyakit neuro degenerative seperti penyakit Alzheimer’s, Parkinson’s, Huntington’s dan amyotrophic lateral sclerosis (ALS).

Selain daripada itu, puasa dapat membantu mengawal kadargula di dalam darahBanyak kajian telah menunjukkan bahawa amalan berpuasa mampu untuk membantu pengawalan gula di dalam darah terutamanya bagi mereka yang mempunyai risiko untuk menghidap penyakit kencing manis. Amalan berpuasa mampu mengurangkan halangan insulin (insulin resistance) yang boleh meningkatkan sensitiviti badan terhadap insulin, seterusnya membenarkannya mengangkut glukosa daripada salur darah kepada sel badan dengan lebih efisien. Kesannya, gula di dalam darah akan menjadi stabil dan risiko penyakit kencing manis dapat dikurangkan.

Umum mengetahui bahawa gula merupakan penyebab utama diabetes dan ia merupakan magnet kepada segala jenis penyakit. Amalan berpuasa juga boleh mengurangkan risiko bagi perempuan yang sedang mengandung daripada menghidap penyakit kencing manis ketika mengandung (gestational diabetes). Komplikasi gestatational diabetes boleh merisikokan bayi di dalam kandungan untuk mendapat berat badan berlebihan (macrosomia) berbanding ibu yang tidak mempunyai diabetes. Kajian telah menunjukkan bahawa amalan berpuasa bagi ibu yang mengandung pada peringkat trimester kedua mampu mengurangkan risiko untuk mereka menghidap penyakit kecing manis ketika mengandung.

Seterusnya, puasa juga dapat meningkatkan tahap kesihatan jantung dengan mengawal tahap tekanan darahBanyak kajian telah menunjukkan bahawa berpuasa dapat memberi kesan yang baik kepada jantung. Satu kajian telah dibuat ke atas orang dewasa yang mempunyai berat badan yang berlebihan (obes) yang telah berpuasa selama tiga minggu di bawah pengawasan pakar perubatan dan hasilnya telah menunjukkan bahawa tahap tekanan darah, triasilgliserol dan kolesterol mereka menurun secara mendadak.

Di samping itu, puasa juga dapat membantu mengurangkan tahap keradangan, terjadinya sel-sel kanser dan mempercepatkan tempoh pemulihan kerana ia mampu mempengaruhi proses pemulihan di dalam badan. Ketika makanan tiada di dalam perut, anggota badan akan menfokuskan aktivitinya untuk fungsi-fungsi yang lain seperti aktiviti metabolik dan sistem ketahanan badan, berbanding dengan kerja-kerja penghadaman yang tidak diperlukan ketika seseorang itu sedang berpuasa. Kajian telah menunjukkan bahawa sistem ketahanan badan di dalam usus pesakit yang berpuasa bertambah baik berbanding pesakit yang tidak berpuasa.

Tidak dinafikan, puasa juga dapat membantu untuk mendapatkan berat badan yang ideal dengan mengurangkan pengambilan kalori dan meningkatkan metabolismebadanSecara teorinya, menahan diri daripada makan dan minum ketika berpuasa akan mengurangkan jumlah pengambilan kalori makanan dengan syarat tidak mengambil makanan secara berlebihan ketika bersahur dan berbuka. Pengurangan jumlah kalori yang diambil pada kebiasaannya akan membawa kepada pengurangan berat badan.

Puasa juga dapat membantu dalam penghasilan hormon anti penuaan. Ketika berpuasa, hormon pertumbuhan (growth hormoneakan dihasilkan lebih banyak berbanding dalam keadaan tidak berpuasa. Ini akan menyebabkan hormon anti penuaan dan hormon pertumbuhan yang lebih baik dihasilkan di dalam badan.

Kesimpulannya, amalan berpuasa memberi banyak faedahterhadap kesihatan seseorang sebagaimana yang dibuktikan melalui ilmu perubatan dan Sains. Meskipun begitu, hadaf dan tujuan utama seseorang itu berpuasa adalah sebagai tanda pengabdian seorang hamba itu kepada Allah. Itulah yang membezakan antara puasa umat Islam dan orang bukan Islam.Adapun manfaat kesihatan dalam ibadah puasa, ia merupakan satu bonus dan hikmah yang dikurniakan oleh Allah kepada hambahamba-Nya yang taat melaksanakannya.

Saudari Hanan Sofea binti Addli

Kuliah Perubatan,

Universiti Al-Azhar

Muat turun PDF RISALAH KESIHATAN SIRI 111 – PUASA TERAPI KESIHATAN

RISALAH KESIHATAN SIRI 110 – CARA PENJAGAAN GIGI YANG BAIK

CARA PENJAGAAN GIGI YANG BAIK

Mutakhir ini, dapat kita lihat bahawa ada segelintir masyarakat yang kurang peka terhadap kesihatan mulut. Sedangkan, ianya adalah perkara paling utama yang perlu dijaga dengan baik sekali sebelum kesihatan tubuh badan yang lebih khusus. Hal ini kerana, jika badan kita dilihat sihat secara fizikal, tetapi kesihatan mulut tidak diutamakan terlebih dahulu, maka ianya boleh mendatangkan kesan yang buruk kepada tubuh badan kita. Mari kita lihat contoh yang mudah agar dapat difahami dengan lebih jelas lagi. Ada beberapa buah negara yang rakyatnya menghidap pelbagai jenis penyakit bahkan mudah diserang oleh bakteria-bakteria kerana imunisasi badan yang lemah akibat kekurangan nutrisi dalam badan kerana tahap penjagaan mulut yang kurang baik dan tidak diendahkan oleh mereka. Kesihatan mulut ini merangkumi kesihatan gigi yang baik, kesihatan lidah, lelangit dan semua organ yang berada di dalam mulut. Antara kesihatan mulut yang perlu kita titikberatkan adalah kesihatan gigi yang baik. Oleh sebab itu, suka untuk saya kongsikan beberapa langkah mudah penjagaan gigi yang baik dan bersih.

Antara langkah pertama yang paling mudah adalah memberus gigi sekurang-kurangnya dua kali sehari. Langkah ini boleh mencegah pembiakan bakteria-bakteria dan pembentukan plak pada permukaan gigi. Pakar kesihatan gigi juga menyarankan untuk memberus gigi setiap kali selepas makan. Hal ini adalah untuk mengurangkan penempelan sisa-sisa makanan pada gigi dan di celah-celah gigi yang boleh mengakibatkan gigi berlubang jika ia dibiarkan terlalu lama. Tambahan pula, jenis berus gigi dan ubat gigi juga memainkan peranan yang penting dalam menjaga kesihatan gigi. Sebagai contoh, jenis berus gigi yang paling berkesan adalah berus gigi yang lembut dan tidak keras manakala ubat gigi yang paling baik menurut pakar kesihatan gigi adalah ubat gigi yang mengandungi florida. Apabila kita memberus gigi menggunakan berus gigi yang keras, ianya boleh memberikan tekanan yang kuat kepada struktur gigi kita dan akhirnya menyebabkan gigi sakit dan sensitif. Sebaliknya ubat gigi yang berflorida akan merawat semula tisu-tisu di dalam gigi seperti enamel supaya kekal sihat, kuat dan tidak sensitif. Oleh hal yang demikian, memberus gigi merupakan cara yang paling mudah dan berkesan untuk kesihatan gigi yang baik sekiranya setiap individu mengamalkannya sebagai rutin harian dalam kehidupan.

Seterusnya, langkah yang kedua adalah membersihkan gigi menggunakan floss atau berkumur selepas makan. Perkara tersebut amat disarankan oleh pegawai pergigian kerana dapat mencegah pembiakan bakteria-bakteria di dalam mulut akibat sisa-sisa makanan yang tertinggal di celah-celah gigi terlalu lama. Sebagai contoh, apabila kita makan makanan yang bersifat kenyal dan sukar dikunyah seperti daging, makanan tersebut akan melekat di celah-celah gigi kita. Maka kita akan menggunakan lidi kecil untuk mencungkil makanan tersebut dari celahan gigi kita. Sejujurnya, perbuatan tersebut adalah tidak digalakkan sama sekali kerana boleh menyebabkan gigi jarang dan berlubang. Oleh itu, pakar kesihatan gigi menyarankan supaya kita membersihkan gigi selepas makan dengan menggunakan floss gigi dan cecair kumur seperti Listerine untuk menghalang daripada pembentukan plak pada gigi dan mengurangkan risiko penyakit lain di dalam mulut.

Selain itu, mengamalkan pemakanan yang sihat juga menjadi salah satu cara untuk menjaga kesihatan gigi. Hal ini demikian kerana amalan pemakanan yang tidak sihat seperti gula-gula, kek, makanan ringan dan seumpamanya boleh meningkatkan kemungkinan gigi rosak dan berlubang. Amalan pemakanan yang sihat ini perlu dititikberatkan lebih-lebih lagi kepada anak-anak kecil yang masih dalam fasa tumbesaran. Antara contoh makanan yang boleh diberikan kepada mereka adalah sayur-sayuran, buah-buahan dan susu atau produk tenusu yang seumpama dengannya. Kesemua makanan tersebut bukan sahaja baik untuk tubuh badan mereka, malah ianya dapat membantu pertumbuhan gigi yang kuat dan sihat. Namun demikian, terdapat minuman yang tidak sihat untuk gigi, seperti kopi dan teh. Hal ini kerana keduanya boleh menyebabkan gigi menjadi kuning jika tidak dijaga dengan baik. Tambahan lagi, individu yang merupakan penghisap rokok  tegar dan penggemar kopi, gigi mereka akan kelihatan sangat kuning, tidak sihat dan tidak bersih. Namun demikian, bukanlah bermakna gigi yang putih adalah gigi yang sihat dan begitu juga sebaliknya, tetapi perubahan warna pada gigi akan memudahkan pegawai kesihatan gigi untuk mengetahui tahap kesihatan serta kebersihan gigi kita dan juga punca yang menyumbang kepada perubahan warna tersebut. Oleh itu, sudah terang lagi bersuluh bahawa pemakanan dan amalan gaya hidup yang sihat juga menjadi penyumbang kepada kebersihan dan kesihatan gigi yang baik.

Akhir sekali, langkah yang perlu dilakukan oleh setiap individu adalah membuat pemeriksaan gigi sekurang-kurangnya dua kali setahun. Hal ini disarankan oleh pakar kesihatan gigi bagi memastikan gigi dalam keadaan yang sihat serta dapat mengesan kerosakan yang ada pada gigi dengan lebih awal. Misalnya, gigi kita tidak menunjukkan sebarang tanda sakit. Namun, apabila membuat pemeriksaan di klinik pergigian, didapati bahawa gigi kita mempunyai lubang kecil dan terdapat sedikit plak-plak yang terkumpul di bahagian belakang gigi. Maka, pegawai pergigian akan memberikan rawatan secara langsung supaya gigi kita kembali bersih. Tegasnya, langkah yang terakhir ini amatlah disarankan kepada semua golongan umur tidak kira yang tua mahupun yangmuda walaupun langkah yang pertama telah kita laksanakan dengan baik. Oleh sebab itu, pakar kesihatan gigi amat menggalakkan setiap individu untuk membuat pemeriksaan gigi sebagai salah satu langkah dalam menjaga kesihatan gigi yang baik dan sihat.

Natijahnya, kesihatan mulut terutamanya gigi haruslah dijaga dan dirawat dengan baik untuk mengelakkan risiko yang lebih teruk. Terdapat banyak lagi cara yang mudah dan berkesan untuk menjaga gigi dengan baik, namun langkah-langkah diatas perlulah diamalkan dan diingatkan sentiasa kerana ianya merupakan langkah yang asas dan mudah dipraktikkan dalam kehidupan seharian. Sebagai seorang muslim yang amat mementingkan kebersihan diri dalam kehidupan, kita tidak sepatutnya mengabaikan pesanan dan nasihat daripada pakar kesihatan mengenai kebersihan dan kesihatan diri. Dalam erti kata lain, kita tidak seharusnya memandang remeh terhadap kebersihan mulut, tangan, badan dan seumpamanya. Bertepatan dengan mafhum hadis Nabi yang berbunyi: kebersihan itu merupakan separuh daripada iman. Maka, kita perlulah membuktikan petikan itu melalui akhlak, kecaknaan dan kesedaran kita terhadap kebersihan dalaman mahupun luaran. Akhirnya, perkara tersebut bukan sahaja dapat memberikan hasil yang baik kepada diri sendiri, bahkan ianya juga dapat memberi kesan yang baik kepada masyarakat, agama dan negara.

Siti Nur Alia Sofiah binti Mohd Sofberi

Kuliah Pergigian,

Universiti Al-Azhar.

Muat turun PDF RISALAH KESIHATAN SIRI 110 – CARA PENJAGAAN GIGI YANG BAIK

RISALAH KESIHATAN SIRI 109 – SUPLEMEN: SEJAUH MANA KITA MEMERLUKANNYA?

SUPLEMEN: SEJAUH MANA KITA MEMERLUKANNYA?

“Dua kenikmatan yang sering dilupakan oleh kebanyakan manusia adalah kesihatan dan waktu lapang.”

(HR Bukhari)

Makanan tambahan atau lebih dikenali sebagai suplemen merupakan produk hangat yang sering berlegar dalam masyarakat Malaysia umumnya dan di seluruh dunia secara umumnya. Pelbagai spekulasi yang timbul berkenaan makanan suplemen ini. Ada yang menggalakkan pengambilan suplemen dan ada yang menentang secara keras penggunaan suplemen dalam kehidupan seharian. Persoalannya bukanlah siapa yang betul atau salah tetapi siapakah golongan yang memerlukan makanan suplemen ini.

Suplemen merupakan apa-apa yang ditambah kemudian menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka edisi keempat. Makanan tambahan atau suplemen ini boleh diklasifikasikan mengikut kandungan seperti vitamin, protein serta mineral dan mengikut bentuk misalnya pil, kapsul mahupun serbuk. Setiap makanan suplemen mestilah mengikut dos selamat yang telah ditetapkan oleh Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) serta diambil mengikut saranan yang diberikan oleh pakar.

Menurut kajian yang dilakukan pada tahun 2021, lebih daripada separuh responden mengambil makanan suplemen di Malaysia. Di Amerika pula, kira-kira 77 peratus rakyat memakan suplemen tambahan menurut Council for Responsible Nutrition. Makanan tambahan yang sering berada di pasaran ialah suplemen kalsium, suplemen besi, vitamin, probiotik dan omega-3. Kesemua produk suplemen mempunyai khasiat yang tersendiri serta perlulah diambil mengikut manfaat serta mengurangkan mudarat kepada tubuh badan manusia itu sendiri. Herba-herba turut termasuk dalam makanan suplemen mengikut khasiat dan manfaatnya kepada kesihatan.

Apakah fungsi suplemen?

Secara mudahnya, makanan suplemen berperanan sebagai pelengkap nutrien daripada makanan seharian, memperbaiki kekurangan zat akibat penyakit tertentu dan membantu beberapa proses fisiologi. Namun suplemen bukanlah satu bentuk ubat yang mampu menyembuhkan sesuatu penyakit secara terus seperti ubat-ubatan yang dipreskripsi daripada pegawai perubatan yang terlatih.

Banyak salah faham yang berlegar di sekitar penggunaan suplemen ini yang kebanyakan bukanlah berdasarkan fakta yang disediakan oleh pihak berautoriti. Antara mitos yang terkait dengan makanan suplemen ini adalah semua suplemen adalah selamat untuk diambil oleh semua orang. Walhal semua bahan yang berpotensi untuk menyembuhkan turut mempunyai kesan sampingan dan bahaya yang tersendiri. Oleh itu setiap suplemen mestilah diambil dengan berhati-hati dan jika terdapat sebarang kesan sampingan, dapatkan bantuan di fasiliti kesihatan yang berdekatan.

Selain itu, masyarakat selalu beranggapan bahawa makanan suplemen perlulah diambil sebelum makan sedangkan ada beberapa vitamin seperti vitamin A, D, E dan K tidak boleh diambil ketika perut kosong untuk mengelakkan rasa loya dan muntah. Terdapat juga beberapa suplemen yang mempunyai interaksi tertentu dengan ubat-ubatan sehingga mengganggu keberkesanan ubatan tersebut jika diambil tanpa nasihat pakar.

Bilakah kita perlu mengambil suplemen?

Suplemen sering dianggap sebagai makanan utama sedangkan ianya hanyalah sebagai pelengkap kepada zat dan nutrien daripada makanan seharian yang seimbang yang perlu diambil oleh semua lapisan masyarakat mengikut kesesuaian. Antara golongan yang perlu untuk mengambil suplemen adalah orang tua yang kekurangan zat dan vitamin penting yang membantu dalam sistem tubuh badan, perempuan hamil yang memerlukan beberapa zat tambahan bagi menjaga kesihatan dirinya dan kandungannya serta individu yang mempunyai penyakit kronik.

Selain itu, suplemen juga boleh diambil sekiranya kita tidak mampu memenuhi cadangan makanan seimbang yang telah ditetapkan dalam bahagian sayur-sayuran dan buah-buahan melalui pengambil beberapa vitamin penting seperti Vitamin C, Vitamin D dan lain-lain. Namun, cara yang terbaik untuk mendapatkan nutrien yang mencukupi adalah dengan mengamalkan gaya pemakanan yang sihat seperti Pinggan Sihat Malaysia.

Kajian berkenaan keberkesanan suplemen masih lagi berjalan dari semasa ke semasa bagi menambah baik kualiti hidup manusia melalui mengambil makanan suplemen yang memberi impak positif kepada kesihatan manusia. Jangan mudah terpengaruh dengan iklan-iklan yang ditayangkan di media yang sering mendakwa penggunaan suplemen mampu memberi manfaat secara 100 peratus.

Secara kesimpulannya, pengambilan makanan suplemen akan berkhasiat untuk manusia sekiranya diambil mengikut keperluan dan nasihat daripada pakar. Pengambilan suplemen tanpa menjalani pemeriksaan yang teliti daripada pegawai perubatan boleh membawa pelbagai masalah seperti terdedah kepada risiko penyakit yang melibatkan organ hati dan buah pinggang yang berperanan sebagai organ perkumuhan untuk suplemen mahupun ubat-ubatan.

Di samping itu, dapatkan maklumat terkini berkenaan suplemen yang baik mahupun yang bahaya di laman sesawang pihak berautoriti yang dikemas kini dari semasa ke semasa. Ambil suplemen mengikut dos yang ditetapkan serta masa yang sesuai mengikut arahan yang telah diberikan. Pastikan kita semak semula suplemen yang kita makan dengan mengetahui apa manfaatnya, apakah risiko terhadap badan kita, berapa dos dan bilakah waktu yang sesuai untuk mengambil suplemen tersebut. Semoga kita semua mampu menjadi serta membina generasi Malaysia yang sihat serta bijak di masa akan datang.

Nurul Ain binti Md Saufi,

Tahun 6 Kuliah Perubatan,

Universiti Ain Shams

Muat turun PDF RISALAH KESIHATAN SIRI 109 – SUPLEMEN SEJAUH MANA KITA MEMERLUKANNYA

 

RISALAH KESIHATAN SIRI 108 – KECELARUAN IDENTITI

KECELARUAN IDENTITI

Dalam meniti arus modenisasi, generasi millenium kini lebih cenderung ke arah hal-hal keduniaan sehingga menyebabkan mereka alpa terhadap kesihatan fizikal dan mental mereka. Jika perkara ini dibiarkan berterusan, ia akan sedikit sebanyak menjejaskan kemajuan negara kita. Mahukah kita, negara Malaysia masih kekal berada di takuk lama? Hari demi hari, pelbagai jenis penyakit semakin menular dalam kalangan masyarakat menyerang tidak mengira usia tua atau muda. Kita sering mendengar tentang penyakit fizikal seperti kencing manis dan darah tinggi, namun tahukah anda tentang penyakit atau masalah mental yang dipanggil kecelaruan identiti? Kecelaruan identiti adalah suatu gangguan mental yang bercirikan dengan pengekalan sekurang-kurangnya dua personaliti yang berbeza.

Kecelaruan identiti dikaitkan dengan trauma atau penderaan melampau yang dialami oleh seseorang ketika kanak-kanak. Dalam kiraan 90% kes, terdapat sejarah pengabaian atau penderaan kanak-kanak. Tambahan pula, kes lain yang dikaitkan dengan pengalaman peperangan dan prosedur perubatan pada zaman kanak-kanak merupakan salah satu faktor yang menyumbang kepada kecelaruan identiti. Individu yang mempunyai sejarah ahli keluarga menghidapi masalah ini juga berisiko untuk mengalaminya. Pengkaji mendapati mereka yang mengalami kecelaruan identiti mempunyai struktur dan fungsi yang berubah-ubah pada bahagian otak yang mengawal emosi dan dorongan. Walau bagaimanapun, pengkaji tidak pasti sama ada perubahan pada struktur otak yang menyebabkan kecelaruan identiti atau sebaliknya. Semua faktor tersebut bukanlah menjadi syarat wajib yang mesti ada pada setiap penghidap masalah kecelaruan identiti ini.

Antara ciri-ciri dan gejala kecelaruan identiti adalah kewujudan satu atau dua personaliti yang berbeza-beza dalam seseorang individu. Setiap personaliti yang berbeza ini mendominasi diri individu tersebut bergantung kepada waktu dan situasi yang tertentu. Personaliti yang asal sering kali tidak menyedari akan kewujudan personaliti sekunder manakala personaliti sekunder pula berlawanan sifatnya. Selain itu, individu tersebut mungkin akan mengalami beberapa serangan “amnesia” iaitu hilang ingatan yang seawal usia lima tahun. Gejala ini merupakan satu batu asas untuk menentukan individu tersebut menghadapi kecelaruan identiti atau sebaliknya. Ia dapat dilihat apabila doktor mengambil sejarah penyakit pesakit-pesakit dan menyedari terdapat jurang yang besar dan lompong-lompong dalam memori mereka seperti keluarga, sekolah, cikgu dan rakan-rakan.

Di samping itu, mereka juga mengalami masalah psikitri yang lain seperti depresi, masalah batin, halusinasi, keinginan untuk mencederakan diri dan obesiti. Disebabkan individu-individu ini sering bertukar identiti, perasaan mereka juga akan berubah mengikut personaliti yang sedang mendominasi mereka pada ketika itu. Hal ini memberi kesan kepada hubungan yang tidak stabil seperti menyukai seseorang itu pada suatu ketika dan secara tiba-tiba berubah dengan mengatakan individu tersebut tidak penting malah membencinya tanpa sebab. Hubungan antara keluarga, rakan-rakan dan pasangan juga akan terjejas dan menjadi tegang. Dalam pada itu, individu-individu tersebut juga akan sering rasa kosong yang berpanjangan, ingin membunuh diri dan orang lain serta panas baran atau marah tidak bertempat.

Kita perlu mengenal pasti individu-individu yang menghadapi kecelaruan identiti sejak daripada usia muda lagi kerana perkara ini akan menjejaskan kualiti kehidupan individu tersebut jika dibiarkan tanpa tindakan. Pada tahun 1980-an, penyakit ini sukar dikenal pasti yang mengakibatkan tiada atau kurang usaha untuk merawatnya namun disebabkan oleh peralihan zaman yang kini semakin maju, doktor psikiatri dapat mengenal pasti dan membantu dalam proses rawatan penyakit ini. Antara contoh rawatan yang ada ialah psikoterapi. Ia merupakan pendekatan utama untuk penyakit ini. Ahli terapi yang bertauliah akan merangka terapi yang bersesuaian dengan individu tersebut. Contohnya ialah Dialectical Behavior Therapy (DBT). Terapi ini melibatkan individu dan kumpulan. Ia direka khas untuk merawat kecelaruan identiti dengan mengajarkan teknik untuk mengawal dan mengurus emosi, perhubungan dan sikap bertolak ansur ketika mengalami kesukaran.

Kemudian, terdapat terapi yang membantu untuk mendominisasi personaliti utama individu tersebut iaitu terapi tingkah laku kognitif (CBT) merupakan salah satu daripada rawatan psikoterapi. Terapi ini menolong mengurangkan perubahan emosi secara tidak stabil dan keinginan untuk mencederakan diri sendiri. Seterusnya, Terapi Berasaskan Mentalisasi (MBT) yang merupakan salah satu cara membantu dalam mengenal pasti pendapat dan perasaan pesakit pada setiap situasi dan mencipta perspektif alternatif terhadap situasi tersebut. Tambahan pula, ubat-ubatan yang digunakan untuk merawat simptom atau masalah yang turut berlaku juga boleh diberikan kepada mereka. Contohnya antidepresi, antipsikotik dan ubat penstabil emosi.

Akhir kata, kecelaruan identiti memberi kesan yang sangat besar dan boleh meninggalkan kesan luka yang mendalam terhadap seorang individu. Analogi mudah, seseorang yang mengalami kecacatan fizikal pada usia yang muda sudah tentu tidak akan mendapat kembali fizikal mereka yang sihat sempurna apabila menginjak ke usia tua nanti, bukan? Begitulah juga kecacatan psikologi. Rawat sebelum terlambat!

 

Nur Ummul Hasanah binti Nuhairi
Tahun 6 Perubatan,
Cawangan al-Azhar

Muat turun PDF Risalah Kesihatan Siri 108 – Kecelaruan Identiti

RISALAH KESIHATAN SIRI 107 – APA ITU FAKTOR RHESUS (RH) DALAM DARAH

APA ITU FAKTOR RHESUS (RH) DALAM DARAH?

          Faktor Rh atau faktor Rhesus ialah protein yang boleh didapati pada permukaan sel darah merah. Jika sel darah anda mempunyai protein ini, anda Rh positif. Jika sel darah anda tidak mempunyai protein ini, anda adalah Rh negatif.  Bahagian “positif” atau “negatif” jenis darah anda, seperti O positif atau A negatif, merujuk kepada status Rh anda.

Bagaimanakah ia boleh berlaku? Dalam fasa kehamilan, masalah boleh berlaku jika anda Rh negatif dan janin anda Rh positif. Masalah ini boleh dielakkan dengan melakukan rawatan yang tertentu.

UJIAN MENENTUKAN FAKTOR RH

Cara untuk menentukan jenis darah anda dan status Rh adalah  dengan melakukan ujian darah. Sampel darah boleh diambil di pejabat pakar Obstetrik dan Ginekologi (ONG) yang berdekatan dengan kediaman anda. Sampel ini biasanya diambil semasa lawatan penjagaan pra-kehamilan (pranatal) yang pertama.

Perkahwinan harus dielakkan di antara wanita Rh negatif dan lelaki Rh positif. Ini boleh membawa maut kepada ibu dan juga bayi ibu bapa tersebut. Masalah boleh berlaku apabila ibu Rh- dan bayi Rh+. Jenis darah ini dirujuk sebagai tidak sepadan.

IMPLIKASI DARIPADA PERKAHWINAN

Faktor Rhesus yang tidak sepadan ini tidak menyebabkan sebarang masalah untuk kehamilan pertama. Tetapi ia boleh membawa kepada masalah dalam kehamilan kemudian.

Semasa kelahiran, darah ibu dan bayi akan bercampur.  Pada ibu yang Rh-, sistem imun atau sistem pertahanan badan tidak akan mengenali Rh+ dalam darah bayi. Sistem imun ibu akan berfikir bahawa ini pasti bukan milik sel darahnya sendiri tyang tidak mempunyai Rh!

Kemudian selepas kelahiran, sistem imun Rh- ibu akan mencipta antibodi yang akan menyerang mana-mana darah Rh+ yang mereka lihat pada masa hadapan. Ia mengambil sedikit masa untuk ibu membuat antibodi ini, jadi antibodi ini biasanya tidak menjadi isu semasa kehamilan pertama.

Tetapi dalam kehamilan akan datang, jika sistem imun ibu melihat sebarang protein Rh, mereka dilayan seperti penceroboh asing!  Ia akan menyerang mana-mana sel darah Rh+, walaupun sel darah ibu yang belum lahir.

RAWATAN UNTUK RH TIDAK SEPADAN

Apakah rawatan diperlukan jika ibu Rh- dan bayi Rh+? Komuniti perubatan menemui penyelesaian untuk ini pada tahun 1960-an. Jika terdapat risiko Rh tidak sepadan, doktor akan memberikan beberapa siri tangkapan RhoGAM semasa kehamilan.  Suntikan yang pertama diberikan sekitar minggu ke-28 kehamilan dan satu lagi selepas kelahiran.

Suntikan ini menghalang sistem imun ibu daripada membahayakan bayi.  Pada asasnya, RhoGAM menyerap semua sel Rh+ yang dikeluarkan daripada bayi. Tanpa kehadiran sel ini, sistem imun ibu tidak akan menghasilkan antibodi yang menyerang sel darah bayi. Kini sel darah bayi dalam kandungan dilindungi.

Dengan RhoGAM, kita tidak perlu risau tentang  Rh yang tidak sepadan semasa mengandung lagi.  Sentiasa cakna untuk berjumpa doktor sebelum melahirkan anak! Walaupun dalam kes di mana  kumpulan darah tidak sepadan adalah masalah, doktor boleh membantu anda memikirkan pelan terbaik ke hadapan untuk memastikan anda dan bayi anda gembira dan sihat. Wallahu’alam.

Rujukan:
An Rh negative woman is married to an Rh positive man whose father was also Rh negative. What are the possible genotypes of each person in the family
Blood type and pregnancy
– Biologically marriage should be avoided in between a rh male and rh female b rh female and rh male


Mohammed Aiman Farhan bin Azmi

Tahun 5 Perubatan,
Cawangan Al-Azhar

Muat turun PDF Risalah Kesihatan Siri 107 – Apa Itu Faktor Rhesus (RH) Dalam Darah

RISALAH KESIHATAN SIRI 106 – FROSTBITE

FROSTBITE

  • DEFINISI: FROSTBITE adalah kecederaan disebabkan oleh pembekuan kulit dan lapisan tisu di bawahnya. Tahap pertama Frostbite dipanggil sebagai Frostnip, tiada kerosakan kekal pada kulit.
  • Faktor utama terjadi Frostbite:

– Apabila kulit terdedah kepada sekeliling yang mempunyai suhu yang sejuk melampau dalam jangka masa yang panjang, menyebabkan pengecutan pada saluran darah yang ada pada kulit.

– Jika keadaan ini berlarutan, akan menyebabkan kulit yang mendapat nutrisi dan oksigen daripada darah menjadi mati. Dipanggil sebagai ischemia ataupun skin necrosis kerana kekurangan darah.

– Jika kulit dan kawasan tersebut mati, ia dipanggil gangrene.

  • SYMPTOMS ATAU GEJALA FROSTBITE:

– Kulit terasa sejuk dan akan merasa sakit mencucuk

– Kebas

– Kulit akan terlihat merah, putih, putih kebiruan, kelabu, ungu bergantung kepada kulit asal pesakit dan tahap keseriusan Frostbite. Perubahan warna kulit susah untuk dikesan pada pesakit yang berkulit gelap

– Kulit akan menjadi keras atau berkilat seperti lilin

– Pergerakan akan terganggu disebabkan otot dan sendi menjadi kejang

Frostbite sering berlaku pada kawasan yang terdedah seperti jari tangan, jari kaki, hidung, telinga, pipi dan dagu

  • TAHAP FROSTBITE:

Frostnip: Ini adalah tahap awal. Kulit yang terdedah kepada cuaca yang sejuk secara berterusan akan menyebabkan kebas di tempat tersebut. Ketika kulit dihangatkan, pesakit akan merasa sakit dan kesemutan. “Frostnip’ tidak akan mengakibatkan kerosakan kekal pada kulit.

Superficial frostbite: Ini akan menyebabkan perubahan kulit yang tidak terlalu ketara. Kulit akan mula merasa panas (petanda bahawa kulit semakin rosak).

Deep frostbite: Ini akan merosakkan kulit dan lapisan tisu di bawahnya. Kulit akan bertukar menjadi putih atau kelabu kebiruan. Pesakit akan mula hilang deria rasa sakit, sejuk atau ketidakselesaan di tempat tersebut. Otot dan sendi akan mula tidak berfungsi.

  • CARA UNTUK MERAWAT FROSTBITE:

– Kurangkan aktiviti luar jika cuaca sejuk dan berangin

– Memakai pakaian yang tebal

– Lindung muka, telinga dan tangan daripada terdedah

– Banyakkan pengambilan air kosong dan makanan yang sihat

– Banyakkan bergerak supaya pengaliran darah menjadi lancar

 

Saudari Nurfatin Athirah binti Mohd Badrondin
Kuliah Perubatan Tahun 5,
Universiti Al-Azhar.

Muat Turun PDF Risalah Kesihatan Siri 106 – Frostbite

RISALAH KESIHATAN SIRI 105 – PEMAKANAN DAN KESIHATAN

PEMAKANAN DAN KESIHATAN

Firman Allah Taala:

وَكُلُوا مِمَّا رَزَقَكُمُ اللَّهُ حَلَالًا طَيِّبًا ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ الَّذِي أَنْتُمْ بِهِ مُؤْمِنُونَ

Maksudnya: “Dan makanlah dari rezeki yang telah diberikan Allah kepada kamu, iaitu yang halal lagi baik, dan bertaqwalah kepada Allah yang kepadaNya sahaja kamu beriman.”

(Surah al-Maidah: 88)

Merujuk kepada dalil al-Quran dalam surah al-Maidah ayat 88, Allah menjelaskan tentang kepentingan untuk mengambil makanan yang halal dan suci.

Pemakanan merupakan elemen penting yang perlu dititikberatkan dalam aspek kesihatan. Hal ini demikian kerana kesihatan yang baik bermula dari pengambilan makanan yang sihat dan seimbang. Sebagai umat Islam, kita diseru untuk mengamalkan pemakanan yang sihat dan seimbang sejajar dengan dalil yang telah dirakamkan di dalam al-Quran tentang kepentingan mengambil makanan yang halal dari segi syariat dan baik dari segi saintifik. Bertitik tolak dari itu, apakah ciri-ciri pemakanan yang sepatutnya diamalkan dalam memastikan pemakanan yang diambil selari dengan apa yang telah digariskan?

Perut merupakan tempat yang paling buruk untuk diisi dengan penuh (kekenyangan) dan merupakan sarang penyakit. Menjadi satu kewajipan kepada kita untuk meningkatkan kecaknaan dalam aspek pemakanan kerana pemakanan berkadar langsung dengan pembentukan akhlak seseorang. Pemakanan yang baik dapat membentuk individu yang bersahsiah mulia manakala pengambilan makanan yang syubhah atau tidak jelas status halalnya dapat menggelapkan hati yang menghalang seseorang itu daripada melakukan kebaikan. Ia juga mungkin menyebabkan terhijabnya doa seseorang tersebut.

Maka, jelaslah bahawa makanan yang halal adalah sangat penting dalam membentuk akhlak manusia. Selain itu, makanan yang baik (toyyiba) juga menjadi satu aspek yang perlu dititikberatkan selari dengan apa yang telah digariskan di dalam al-Quran. Toyyiba bermaksud baik, dimana pemakanan yang baik bererti pemakanan yang sihat dan seimbang dari segi karbohidrat, protein, vitamin, serat dan lain-lain. Namun, dunia hari ini mempunyai pelbagai jenis makanan yang telah diubahsuai dan menjadi satu ‘trend’ untuk mencuba makanan yang tular namun kurang khasiatnya. Hal ini menjadi satu cabaran buat orang ramai untuk memilih dan menentukan jumlah makanan yang tepat bagi mengamalkan pemakanan seimbang untuk kehidupan lebih sihat.

Diet yang seimbang hanya memerlukan 1700-2000 kalori sehari secara umumnya. Namun, jika kalori yang diambil berlebihan dari kalori yang diperlukan oleh badan, ia akan tersimpan dan terkumpul sebagai lemak. Untuk mencapai pemakanan yang sihat dan seimbang, kita perlu mengelakkan 3 perkara dalam tabiat pemakanan iaitu, ‘3 white toxic S – sugar, salt & cigarette’.

Umum diketahui, gula dan garam menjadi pelengkap rasa dalam sesuatu hidangan. Namun, harus diingat bahawa kita perlu mengambil sesuatu pada kadar yang sepatutnya serta tidak makan setiap apa yang diinginkan oleh hati kerana ia termasuk dalam perbuatan berlebih-lebihan. Ini juga kerana kekenyangan akan membawa perkara negatif seperti yang disebut oleh Imam al-Syafie:

“لأن الشبع يثقل البدن، ويقسي القلب، ويزيل الفطنة، ويجلب النوم، ويضعف عن العباد”

Maksudnya: Kerana kekenyangan (memuaskan nafsu perut dan mulut) membuat badan menjadi berat, hati menjadi keras, menghilangkan kecerdasan, membuat sering tidur dan lemah untuk beribadah. (Rujuk al-Syafi Syarh Musnad al-Syafie, 1:24)

Islam telah menggariskan untuk makan dan minum dalam kadar yang sederhana, dan tidak berlebihan. Sebagai contoh, garam yang berlebihan dapat merisikokan seseorang individu untuk mendapat penyakit darah tinggi yang menjadi ‘silent killer’ atau pembunuh secara senyap dalam kalangan masyarakat.

Di samping itu, gula yang bersifat ‘addictive’ atau ketagih dapat menyebabkan seseorang itu mengambil gula dalam diet secara berlebihan. Gula yang diambil secara berlebihan untuk jangka masa yang panjang dapat meningkatkan risiko seseorang individu itu untuk mendapat penyakit kencing manis. Terdapat pelbagai komplikasi kepada penyakit kencing manis kerana kencing manis merupakan magnet kepada segala penyakit. Ini kerana kencing manis dapat melumpuhkan hampir kesemua sistem di dalam badan kita yang seterusnya akan menimbulkan pelbagai komplikasi lain seperti kegagalan buah pinggang, serangan jantung, katarak mata dan lain-lain.

Selain itu, gaya hidup yang seimbang juga perlu dipraktikkan agar dapat mencapai kesihatan yang baik. Hal ini demikian kerana kesihatan merupakan mahkota yang perlu dijaga dan tidak dapat dibeli dengan wang ringgit.

Gaya hidup yang sihat seperti melakukan senaman dapat menyingkirkan lemak yang berlebihan. Selain itu, dapat kita perhatikan bahawa sunah dan gaya hidup Rasulullah adalah amalan yang terbaik untuk dicontohi dan diamalkan. Misalnya, puasa yang sentiasa menjadi amalan Baginda mempunyai pelbagai rahsia dan manfaat kepada tubuh badan. Hal ini demikian kerana puasa dapat membantu dalam proses penyembuhan dan penghasilan sel-sel yang baru. Contohnya, penghasilan sel-sel otak yang baru dapat meningkatkan kecerdasan minda dan menajamkan daya ingatan seseorang individu.

Kesimpulannya, kita haruslah memupuk kesedaran dalam menjaga kesihatan. Janganlah kita terlalu selesa dalam mengamalkan tabiat pemakanan dan gaya hidup yang tidak sihat yang akhirnya memberi kesan yang buruk kepada diri sendiri. Jika kita mengakui bahawa Rasulullah SAW adalah suri teladan yang terbaik, maka marilah kita sama-sama berubah dan berusaha mengikuti sunah Rasulullah SAW.

Rujukan: https://muftiwp.gov.my/en/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum-cat/4219-irsyad-al-fatwa- siri-ke-426-hukum-membuat-video-food-review-di-media-sosial

Hannan Sofea binti Addli
Kuliah Perubatan Tahun 5,
Universiti Al-Azhar.

Muat Turun PDF Risalah Kesihatan Siri 105 – Pemakanan dan Kesihatan

TIP-TIP PENJAGAAN KESIHATAN GIGI

TIP-TIP PENJAGAAN KESIHATAN GIGI

Nabi Muhammad SAW menuntut umatnya agar selalu menjaga kebersihan gigi dan mulut. Bahkan, Rasulullah SAW membersihkan giginya hampir di setiap awal pekerjaan, solat dan sebelum tidur. Oleh sebab itu, dalam sebuah hadis ada mengatakan:

“Seandainya tidak memberatkan umatku, nescaya aku akan menyuruh mereka bersiwak (menggosok gigi) setiap kali berwuduk.”

(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Jadi, marilah kita sama-sama sentiasa menjaga kesihatan gigi di samping mengamalkan sunnah Nabi Muhammad SAW. Setidak-tidaknya akan dapat pahala mengikuti sunnah Rasulullah SAW. In shaa Allah.

Disini saya akan berkongsi cara-cara penjagaan kesihatan gigi yang betul. Antaranya ialah:

  1. Pemilihan berus gigi yang betul.

Asas pemilihan dan penggunaan yang betul adalah dengan memilih berus gigi yang mempunyai ciri-ciri berikut:

  • Saiz yang sesuai dengan mulut.
  • Pemegang yang selesa dan teguh.
  • Bulu berus yang lembut dan hujungnya membulat.

Sila tukar berus gigi anda:

  • Apabila bulu berus mula kembang atau haus. Bulu yang haus dan kembang tidak berkesan untuk pembersihan.
  • Selepas berlaku jangkitan mulut atau kerongkong seperti batuk, adalah lebih baik untuk menukar berus gigi.
  • Sekiranya tidak, disyorkan berus gigi diganti setiap 2-3 bulan (maksima).

2. Kenali ubat gigi anda.

Pengamal pergigian mengesyorkan penggunaan ubat gigi berfluorida. Hal ini kerana, fluorida dapat menguatkan gigi agar tidak mudah reput dan berlubang.

Adakah fluorida beracun? Jika berlebihan, memudaratkan. Tetapi jika dalam kuantiti yang betul, terbukti bermanfaat. Cukup sebesar sebiji kacang pea (lebih kurang 5 mm).

Jenis Ubat Gigi. Terdapat beberapa jenis ubat gigi yang utama, seperti:

  • Ubat gigi berfluorida.
  • Ubat gigi sensitif.
  • Ubat gigi pemutih.

3. Flos

  • Flos ialah benang khas untuk membersihkan celah-celah gigi.
  • Berus gigi sahaja tidak dapat membersihkan keseluruhan kotoran pada gigi terutamanya di celah-celah gigi. Penggunaan flos ternyata berjaya mengurangkan kerosakan gigi. Bagaimanakah menggunakan flos dengan betul?
  • Apa yang penting adalah dengan membawa benang flos ke bahagian hadapan gigi membentuk huruf ‘C’ (setelah dimasukkan ke celah gigi). Ini penting untuk benang flos itu membersihkan bahagian hadapan gigi juga selain di bahagian celahan gigi.

4. Pemeriksaan gigi secara berkala.

Bertepatan dengan kempen yang dijalankan di Malaysia ‘Ingat hari jadi, Ingat doktor gigi’, pemeriksaan gigi penting untuk anda mengetahui sekiranya anda mempunyai sebarang masalah pergigian dan juga untuk memastikan kesihatan gigi anda sentiasa dalam keadaan baik.

Sikap bertangguh atau membiarkan masalah menjadi serius tidak patut diamalkan. Mencegah lebih baik daripada merawat. Pemeriksaan gigi bukan sahaja mengelakkan anda dari kesakitan tetapi juga boleh menjimatkan kos dan masa.

5. Makanan sihat untuk gigi.

Anda mungkin pernah mendengar bahawa pengambilan gula berlebihan akan menyebabkan seseorang kanak-kanak menjadi hiperaktif atau `tidak boleh fokus’. Bagi menjaga kesihatan gigi, kita perlu berhati-hati dengan pengambilan snek. Tetapi pilihlah snek yang sihat.

Apakah ciri-ciri snek yang sihat?

  • Sayur-sayuran dan buah-buahan tanpa gula tambahan, contohnya seperti: Salad buah-buahan atau sayur campuran.
  • Mengandungi serat atau bijiran seperti kekacang, oat dan gandum tulen. Pilihlah biskut, kek atau minuman berasaskan bijirin tulen tanpa atau kurang gula.
  • Berasaskan produk tenusu seperti susu, yogurt, keju, dadih dan sebagainya. Produk tenusu mengandungi kasein yang bertindak sebagai penampan (buffer) kepada karies.

Kreativiti dan cara penyediaan snek juga sangat penting. Sentiasa kekalkan  kesegaran makanan. Elakkan makanan yang mempunyai pengawet makanan seperti makanan yang diawet dengan cuka, gula, pewarna makanan dan lain-lain.

Kesimpulannya, ketahuilah bahawa Allah SWT menciptakan gigi setiap orang unik dan berbeza walaupun adik-beradik kembar sekalipun, mereka mempunyai bentuk gigi yang berbeza. Sama seperti cap jari yang mana tiada seorang pun di dunia ini mempunyai cap jari yang sama. Susunan gigi kita ini mencipta satu senyuman yang terindah kepada diri kita. Jadi,untuk mengekalkan senyuman yang terindah ini, jagalah kesihatan gigi kita agar ia berkekalan hingga akhir hayat.

Saudari Nurul Basyiirah binti Mohamed
Tahun 3, Kuliah Pergigian Universiti Al-Azhar.

Muat turun pdf Risalah Kesihatan siri 104 – Tip-tip Penjagaan Kesihatan Gigi.

 

 

 

SIHATKAH SAYA?

SIHATKAH SAYA?

   “Zara (bukan nama sebenar), aku sedih. Entah kenapa sejak kebelakangan ni rasa tak selesa nak berinteraksi dengan orang ramai. Mudah rasa lemah badan dan tertekan.” Luahannya itu kubaca dan cuba fahami. Bukan sekali dia menghadapi situasi sebegitu rupa. Mungkin ini masanya untuk meyakinkan sahabat kesayanganku ini supaya berikhtiar menjalani rawatan kesihatan mental sekiranya benar sangkaanku padanya ini.

Pernahkah anda berhadapan dengan situasi berikut? Atau mungkin episod dan kisahnya berbeza.

*****

Apakah maksud kesihatan mental?

Kesihatan mental merupakan kebolehan seseorang individu menyedari potensinya, boleh berdaya tindak terhadap tekanan kehidupan, bekerja dengan proaktif dan boleh menyumbang kepada masyarakat. Keadaan kesihatan mental individu boleh berubah melalui rangsangan faktor luaran dan dalaman. Antara faktor masalah kesihatan mental ialah:

  • Genetik.
  • Bahan kimia dalam otak dalam keadaan abnormal atau tidak stabil.
  • Salah guna dadah.
  • Keadaan penyakit yang memiliki simptom yang sama atau meningkatkan masalah kesihatan mental.
  • Keadaan stress yang berpanjangan juga boleh menyebabkan masalah mental.
  • Faktor luaran dan dalaman. Akronim STRES:
Faktor Luaran (Ekstrinsik) Faktor Dalaman (Personal)
Suasana persekitaran: Perubahan COVID-19 dan stigma masyarakat sekeliling. Support system yang hilang, tidak mampu Serasi/adaptasi dengan suasana baharu.
Trauma: Penderaan fizikal, keganasan rumah tangga dan pembulian. Temperament/personality: ‘Perfectionist’ terhadap gerak tindakan dan pengurusan masa.
Relationship: Konflik dalam perhubungan kekeluargaan mahupun persahabatan. Rehat yang tidak mencukupi serta aktiviti fizikal yang terbatas.
Ekonomi yang terjejas: Hilang pekerjaan dan sumber pendapatan. Ekspektasi (dalaman dan luaran)
Sistem pendidikan: Sosial media. Self control dan self esteem yang rendah dan kurang keyakinan diri.

 

Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah, ayat 154-156, yang bermaksud:

“Sesungguhnya, Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar: (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.”

Antara tip-tip penjagaan kesihatan mental ialah SMILE:

  1. Self-control, Skills, Self-talk.
  • Bijaksana menganalisa masalah, tenang, mempunyai kawalan diri serta emosi yang stabil dalam menangani stress atau tekanan.
  • Persediaan kemahiran komunikasi, pengurusan tekanan emosi, masa dan latih diri untuk bercakap atau melakukan perkara yang positif, serta tidak lupa untuk menghargai diri sendiri.
  1. Muslim First, Mindful Gym, Me Time
  • Tingkatkan kecerdasan spiritual dan sangkaan baik terhadap Allah SWT.
  • Banyakkan zikrullah, relaksi, manfaatkan masa dengan hobi kegemaran.
  1. Ilmu, Idea
  • Ilmu merupakan perisai diri dan membantu pengurusan hidup harian di samping bijak menjaga hubungan baik sesama manusia.
  1. Look, Listen, Link
  • Kenali sahabat, bahasa kasih sayang dalam hubungan dan kenali tanda-tanda
  • Jadi pendengar yang baik, beri kepercayaan dan dapatkan bantuan nasihat daripada kaunselor/doktor sekiranya gejala semakin serius dan menganggu fungsi harian.
  1. Kawalan Emosi, Empati, Ekspresi
  • Selami perasaan atau empati dengan keadaan orang lain, luahkan perasaan dan dapatkan bantuan nasihat.
  • Cari ‘positive circle’ dan ‘support system’ serta belajar merasa bahagia dalam memberi.

Masalah kesihatan mental tidak seharusnya dipandang remeh kerana ia mampu meragut nyawa sekiranya tidak mendapatkan rawatan dan pantauan pakar. Sekiranya anda mendapati sahabat mahupun ahli keluarga mengalami tekanan hidup, sekurang-kurangnya hulurkanlah bantuan, pinjamkan telinga  mendengar rintihannya dan cuba cari solusi penyelesaian masalah yang dihadapi.

Pernahkah kalian mendengar perkataan swacinta? Swacinta ialah perbuatan menghargai diri, mengutamakan kebahagiaan diri, kesihatan mental dan fizikal melebihi apapun. Pesananku buat diri dan sahabat seperjuangan, dalam kita berkorban dan memanifestasi erti menjadi sebaik-baik manusia, jangan lupa tentang kesihatan diri. Mana mungkin diri yang sakit dapat terus berbakti dan memberi yang terbaik. Moga Allah reda.

Aimi Syuhada binti Mizam
Tahun 4 Kuliah Perubatan
Universiti Al-Azhar

Muat turun PDF Risalah Kesihatan Siri 103 – Sihatkah Saya