Category: Multimedia

RISALAH MULTIMEDIA SIRI 43 – CARA MENJIMATKAN PENGGUNAAN STORAGE

Pengenalan dan fungsi penggunaan storan

Dulu sebelum wujudnya jaringan komputer, data disimpan pada pita rakaman(record tape) untuk merekod audio dan memainkan semula bunyi seperti rakaman suara dan lagu. Dunia dihubung dengan gelombang radio dalam penyebaran maklumat.

Setelah dunia komputer diperkenalkan, permintaan alat penyimpanan data menjadi meningkat, serta ia dapat menyimpan data dengan tahap kualiti yang pantas. Jadi kali ini kita akan kenali ‘apa itu storage dan memory’.

Istilah ini merujuk kepada suatu bahagian pemprosesan komputer yang menerima dan mengekal keadaan fizikal data yang dikandung untuk suatu masa yang tertentu, sebaik sahaja diarahkan walaupun jika kuasa elektrik ke komputer itu dimatikan.

Biasanya istilah “ingatan”(memory) digunakan untuk peranti yang lebih laju, manakala “storan”(storage) untuk peranti yang lebih perlahan.

Tahukah anda terdapat pelbagai jenis storan di dalam komputer, antaranya;

1. Cakera optikal, iaitu sama ada CD-ROM, DVD-ROM atau cakera Blu-ray. Mempunyai saiz storan yang besar iaitu 650 MB (cakera padat), 4.7 GB (DVD), dan 25 GB (cakera Blu-ray).
2. Pemacu kilat USB(flash drive USB) adalah jenis peranti storan yang popular bagi menggantikan disket, saiz fizikalnya  kecil tetapi mampu menyimpan data yang jauh lebih besar. Malah mempunyai pelbagai saiz storan bermula 2 GB sehingga 256 GB. Ia juga boleh dipadam atau ditulis semula data dengan pantas.
3. RAM(random-access-memory) digunakan untuk menyimpan data atau program untuk sementara semasa komputer sedang menggunakannya. Ia berfungsi dengan laju,namun segala maklumat di dalamnya akan hilang apabila komputer dimatikan.
4. Ingatan Cache, dipasang terus pada mikropemprosesan,cakera keras atau peranti lain. Ia merupakan satu ingatan kecil berkelajuan tinggi yang menyimpan salinan data supaya pemproses boleh bekerja dengan pantas tanpa menunggu peranti lain yang perlahan.
5. Cakera keras (Hard disk), yang menyimpan program dan fail pengguna. Ia boleh menyimpan data walaupun tanpa bekalan kuasa dan mempunyai muatan yang besar.

Cara menjimatkan penggunaan storan

Apabila anda mengalami masalah storan dalaman peranti berkurangan, yang menyebabkan sistem pemprosesan data menjadi perlahan serta fail yang tersimpan tidak dapat diakses. Anda akan banyak menghabiskan masa dalam menyusun dan mengorganisasi semula data-data anda.

Di sini kami akan kongsikan beberapa tips mudah cara bagaimana untuk meminimumkan penggunaan memori di peranti anda.

1. Lihat Storan di Tetapan peranti. Ini kaedah yang paling mudah, anda hanya perlu pergi ke bahagian Tetapan(setting) peranti dan klik pada Storan. Lihat kenal pasti fail atau data yang menggunakan memori yang banyak dan anda boleh Hapus(delete) secara manual dengan klik pada bahagian tersebut.

2. Muatnaik fail gambar ke Dropbox, Google Drive, Cloud. Penggunaan storan awan amatlah digalakkan untuk telefon pintar. Ia bukan sahaja dapat menjimat ruangan memori malah menyimpan data dengan lebih selamat serta boleh diakses di mana sahaja.
3. Buang Aplikasi yang tidak diguna. Kebanyakan telefon pintar yang baru sudah tersedia aplikasi yang kita tidak pernah menggunakannya. Anda boleh membuang dengan pergi ke aplikasi tersebut di bahagian Tetapan dan pilih aplikasi yang mahu dibuang klik pada butang Uninstall.
4. Buang Data yang menggunakan File Manager. Kaedah ini adalah dengan membuang file yang tidak perlu menggunakan File Manager.
5. Buang Data dengan menggunakan PC atau Laptop. Mungkin agak sukar untuk anda membuka folder ke satu folder untuk mencari file yang tidak digunakan di telefon pintar. Cara yang paling mudah adalah dengan sambungkan smartphone terus ke PC melalui kabel USB. Ia memudahkan anda mencari dan membuang file yang tidak perlu.
6. Bersihkan Cache, Temp dan Junk files. File ini banyak tersimpan dalam telefon pintar anda tanpa disedari serta menggunakan banyak ruangan memori. Anda boleh membuang file ini dengan menggunakan aplikasi khas seperti ‘Clean Master’ yang boleh dimuat turun secara percuma.
7. Factory Reset. Sekira cara-cara yang disebut tidak berjaya, anda boleh menggunakan kaedah terakhir dengan setkan semula telefon pintar pada FACTORY SETTING. Tetapi kaedah ini akan menghapus atau membuang semua data anda termasuk aplikasi-aplikasi yang sedia ada. Sebelum menggunakan cara ini, pastikan anda backup data penting terlebih dahulu.

 

Saranan kami gunakan storan anda dengan berhemah,hapuskan file imej, audio, video dan pdf yang tidak diperlukan. Juga simpan fail-fail data penting di storan awan ataupun di Hard disk tambahan untuk mengelakkan daripada  file tidak dapat diakses atau hilang datanya.

Muhaimin bin Mohd Asri,

Kuliah Syariah Islamiah,

Universiti al-Azhar.

Rujukan: https://ms.m.wikipedia.org/wiki/Storan_data_komputerhttps://www.mesramobile.com/cara-untuk-menjimatkan-memori-android/

Muat Turun PDF RISALAH MULTIMEDIA SIRI 43 – CARA MENJIMATKAN PENGGUNAAN STORAGE

RISALAH MULTIMEDIA SIRI 42 – EBOOK BAHAN BACAAN HUJUNG JARI

Ebook Bahan Bacaan Hujung Jari

Apa itu ebook? Ebook ialah singkatan daripada perkataan Bahasa Inggeris, electronic book yang membawa maksud buku yang dicetak secara digital untuk dibaca menggunakan alat peranti moden seperti telefon pintar, tablet dan komputer. Seiring dengan kemajuan teknologi yang membangun pesat pada hari ini, kita dapat lihat bahan bacaan seperti buku telah dibawa masuk ke dalam peranti elektronik bagi membolehkan manusia mengakses bahan bacaan dengan lebih mudah. Hal ini sekali gus telah berjaya menarik minat golongan ulat buku untuk menggunakan aplikasi ini secara lebih meluas.

Sebelum kita berbincang dengan lebih lanjut tentang kebaikan ebook dalam kehidupan manusia, kita lihat terlebih dahulu satu corak penurunan ketara pada aktiviti membaca khususnya dalam kalangan anak muda pada hari ini. Kepelbagaian aplikasi sosial dalam telefon pintar seperti Facebook, Instagram dan Twitter telah menyebabkan buku yang telah sekian lama menjadi sumber utama manusia mencari ilmu pengetahuan dan sumber inspirasi semakin dilupakan. Perkara ini harus menjadi kebimbangan buat kita semua kerana gaya hidup seperti ini bakal menyebabkan kesedaran masyarakat akan kepentingan ilmu kian pudar.

Kelebihan Ebook :

Tidak dinafikan bahawa perpustakaan ialah lokasi utama untuk mencari bahan bacaan tertentu dan mengisi masa lapang. Namun melihatkan kepada gaya kehidupan manusia era moden yang bergerak pantas dan mempunyai jadual kehidupan yang agak padat, ebook boleh menjadi alternatif buat mereka yang mempunyai kekangan masa untuk mengunjungi perpustakaan. Hal ini sinonim dengan golongan pekerja yang sudah menghabiskan masa berjam-jam di pejabat lalu perlu pulang segera ke kediaman untuk bersama keluarga. Ada kalanya mereka juga ingin mencari sedikit masa untuk membaca karya-karya daripada penulis yang mereka minati. Konklusinya, golongan ini digalakkan untuk memuat turun ebook ke dalam telefon pintar mereka supaya tidak perlu bersusah payah untuk mengunjungi perpustakaan.

Jika anda merupakan seorang ulat buku dan mempunyai hobi minat membaca, ebook adalah satu aplikasi yang dicipta khas untuk anda. Pengguna ebook boleh memuat turun bahan bacaan yang mereka inginkan dari serata dunia pada bila-bila masa. Tidak kisah di mana pun anda berada, sama ada di atas pengangkutan awam seperti bas, kereta api mahupun kapal terbang, ebook merupakan aplikasi yang mampu dicapai selama mana peranti elektronik ada bersama dengan anda. Gaya hidup sebegini bakal melahirkan kumpulan masyarakat yang berintelektual dan suka mengisi masa terluang dengan perkara yang bermanfaat.

Ebook juga menyediakan pelbagai bahan bacaan yang ditulis oleh pengkarya hebat dari serata dunia yang sudah tentu bakal membentuk daya pemikiran anda ke arah yang lebih matang dan relevan. Buku-buku yang bertaburan di perpustakaan kadangkala akan membuatkan anda ragu-ragu untuk memilih bahan bacaan yang sesuai dengan minat anda. Ebook ialah jalan penyelesaian terbaik kerana aplikasi ini membolehkan anda menyingkirkan mana-mana kategori bahan bacaan yang anda tidak gemari. Tambahan pula, ebook juga adalah satu teknologi yang memungkinkan anda untuk memuat turun ratusan bahkan ribuan buku ke dalam telefon pintar dalam tempoh yang singkat.

Kita sedang hidup di era yang sangat mengambil berat akan kepentingan ilmu dan pendidikan.

Bagi memastikan kita mampu untuk terus mengekori arus keilmuan yang membangun pesat saat ini, kita memerlukan satu peranti yang berkemampuan untuk menjadi medium bagi mendapatkan maklumat secara segera dan pantas.

Aplikasi ebook ialah kunci utama untuk menyelesaikan permasalahan ini. Kemampuan untuk mencari maklumat dalam tempoh sesaat jelas menunjukkan ia merupakan aplikasi yang diperlukan oleh generasi era moden. Situasi ini jelas agak berbeza jika anda mengunjungi perpustakaan yang memerlukan banyak masa untuk mencari bahan bacaan tertentu. Semudah dengan menaip kata kunci kepada maklumat yang anda inginkan, ebook akan memaparkan segala rujukan maklumat kepada anda.

Penggunaan kamus di hujung jari

Kamus telah menjadi alat rujukan kepada mereka yang ingin mempelajari dan mendalami sesuatu bahasa sejak sekian lama. Namun dengan adanya aplikasi ebook, penggunaan kamus telah mengalami satu evolusi yang membolehkan pengguna mencari maksud perkataan sepantas kilat. Anda hanya perlu menaip perkataan yang sukar dan jarang didengari pada papan kekunci, lalu ebook akan membuat pencarian untuk anda secepat mungkin. Anda tidak perlu lagi membelek satu muka surat ke muka surat yang lain hanya untuk mencari perkataan yang anda inginkan. Hal ini jelas sesuai dengan gaya hidup orang moden sekaligus akan menjimatkan banyak masa anda.

Melihatkan kepada apa yang kita telah bincangkan tentang manfaat aplikasi ebook, jelaslah ia membawa banyak manfaat untuk kehidupan manusia pada hari ini. Namun jangan pula kita jadikan kemudahan ini sebagai alasan untuk bermalas-malasan daripada mengunjungi perpustakaan. Ebook hanyalah sebagai pemudah cara kepada mereka yang ingin membaca secara mudah dan segera. Ia tidak akan sesekali mampu untuk menggantikan buku di perpustakaan yang mengandungi maklumat dan informasi yang lebih banyak dan mungkin juga tidak terkandung di dalam ebook. Sebagai kesimpulan, jadilah seorang pengguna yang bijak dan jangan terlalu tenggelam dalam arus teknologi dunia masa kini.

Abid Iman bin Hasmady,

Kuliah Syariah Islamiah,

Universiti Al-Azhar, Kaherah.

Muat Turun PDF Risalah Multimedia Siri 42 – Ebook Bahan Bacaan Hujung Jari

RISALAH MULTIMEDIA SIRI 41 – PERANTI APPLE iPAD

 PERANTI APPLE iPAD

 Pengenalan 

Ketika mendengar produk Apple dipromosikan, anda langsung terus terfikir akan iPhone, kerana iPhone sudah menjadi pilihan ramai pengguna saat ini. Apa itu iPad? iPad adalah komputer tablet paparan multisentuh yang direka dan dibangunkan oleh syarikat Apple Inc. Ia menggunakan sistem pengendalian IOS dan prototaipnya dibangunkan pada tahun 2002.

Senang cerita iPad ini seperti iPhone dengan paparan layar yang besar dan pemprosesan seperti komputer, bahkan mudah dibawa kemana-mana dan cepat untuk akses kerja yang diinginkan.

iPad pertama dikeluarkan pada 3 April 2010 serta berjaya dijual sebanyak 300,000 unit sehingga mencecah 3 juta unit pada pertengahan tahun itu. iPad mula memasuki pasaran Malaysia pada 30 November 2010 dan negara-negara lain. Ia juga adalah pelengkap kepada iPhone dan komputer riba.

Pada tahun 2011 Apple mengumumkan iPad 2 yang lebih pantas, nipis dengan harga yang sama. Pada Mac 2012 pula iPad generasi ketiga diumumkan, unit ini dilengkapi dengan skrin paparan retina yang selesa untuk mata pengguna. Manakala pada bulan Oktober, Apple sekali lagi mengeluarkan iPad generasi keempat dan iPad Mini yang mana saiz paparan multisentuh lebih kecil daripada iPad.

Penerimaan dan Kesan

Kemunculan iPad disambut dengan baik walaupun penganalisis dan media ragu dengan keupayaan iPad kerana ia dianggap sebagai iPhone yang diperbesarkan dan harga juga dianggap tinggi.

Kesan sejak kemunculannya, arena pengkomputeran dan gaya hidup banyak berubah. Pelbagai laman sesawang mula dibangunkan seperti perisian media sosial, fotografi dan videografi, perisian pembelajaran, e-dagang dan sebagainya. Namun begitu, ramai pengguna beralih ke iPad daripada mengguna komputer riba, dan bagi syarikat komersial ia dianggap sebagai satu penyelesaian murah dalam bidang aplikasi elektronik.

Kelebihan iPad untuk Pengguna

Jika anda seorang pelajar atau penuntut universiti iPad sangat membantu anda dalam melaksana tugasan, membaca fail format PDF dan mencari bahan rujukan kajian di laman sesawang dengan mudah. Malah anda boleh mencatat atau menyalin nota dengan senang.

Ia juga amat sesuai kepada content creator untuk menghasilkan pelbagai kerja seperti sunting gambar dan video, melukis di atas paparan digital, menghasilkan poster, banner dan sebagainya. Syarikat Apple juga menawarkan lima jenis variasi iaitu iPad, iPad Mini, iPad Air, iPad Pro 11.0 dan iPad Pro 12.9.

Penutup

Saban tahun Apple Inc. menambah baik dan membuat pembaharuan ke atas peranti gajet yang lebih canggih serta mengikuti kehendak semasa pengguna dengan teknologi yang kian maju dan tidak terbatas jaringan. Kita sebagai pengguna mesti membuat pilihan yang bijak mengikut kemampuan diri bukan mengikut kemahuan tanpa tujuan. Sekian.

 

Rujukan: Wikipedia iPad

Muhaimin bin Mohd Asri
Kuliah Syariah Islamiah,
Universiti al-Azhar.

 Muat turun PDF Risalah Multimedia Siri 41 – Peranti Apple iPad

 

RISALAH MULTIMEDIA SIRI 40 – PENGENALAN FOTOGRAFI MUDAH ALIH (MOBILE PHOTOGRAPHY)

PENGENALAN FOTOGRAFI MUDAH ALIH (MOBILE PHOTOGRAPHY)

Fotografi mudah alih (mobile photography) merupakan satu genre fotografi baharu yang didatangkan di dalam telefon pintar. Ia termasuk teknik fotografi yang dapat diakses secara mudah dan segera.

Masyarakat hari ini tidak mengira peringkat usia, umumnya pasti mempunyai telefon pintar. Hal yang demikian, ia menjadikan fotografi mudah alih ini sangat mudah diakses terutamanya oleh mereka yang baru mula berjinak di dalam dunia fotografi. Ramai anak muda hari ini yang menunjukkan minat mendalam di dalam seni fotografi mudah alih, bahkan ada juga di antara mereka yang menjadikannya sebagai hobi.

Walaupun fotografi mudah alih dikategorikan sebagai salah satu genre fotografi, namun di dalamnya terdapat pelbagai perkakas pilihan yang dapat menghasilkan genre fotografi yang berlainan. Mudah kata, serba boleh.

Sejak dua dekad yang lalu, telefon bimbit telah mula dimasuki peralatan kamera. Pada awal kemunculannya, gambar yang dihasilkan di dalam telefon bimbit ini tidaklah begitu berkualiti. Namun hari ini, telefon bimbit telah melalui evolusi yang cukup pesat dan dimasuki pelbagai teknologi moden lalu menghasilkan gambar yang lebih baik.

Seiring dengan perkembangan teknologi kamera di dalam telefon pintar, ia juga tidak turut ketinggalan melalui proses pemodenan dan telah menjadi satu unsur penting yang terkandung di dalamnya. Hal ini membuka ruang kepada para pengguna telefon pintar untuk menceburi bidang fotografi tanpa perlu menghabiskan wang dengan mendapatkan kamera yang dijual di pasaran.

Oleh hal yang demikian, satu perkara yang kita tidak boleh nafikan adalah kamera yang terdapat di dalam telefon pintar ini masih tidak mampu menandingi kehebatan kualiti kamera DSLR. Fotografi mudah alih ini tidak menuntut anda menyelidik secara mendalam tentang bahagian dalam kamera tetapi cukup sekadar untuk mengambil gambar sahaja.

Ramai di antara mereka yang masih baharu di dalam dunia fotografi mendakwa agak sukar untuk membawa kamera mereka ke setiap tempat. Hal ini menjadikan fotografi mudah alih ini sebagai satu alternatif yang memudahkan urusan mereka. Tambahan lagi, dengan adanya kamera di dalam telefon pintar, mereka dapat mengambil gambar kenangan secara spontan dan segera di mana-mana tempat dan pada bila-bila masa sahaja. Perkara ini mungkin agak sukar untuk dilakukan oleh kamera biasa.

Mempelajari teknik dan tip di dalam seni fotografi mudah alih sangat membantu untuk menjadikan anda seorang jurugambar yang berkemahiran. Pencahayaan, titik fokus dan sudut yang betul merupakan komponen utama yang perlu dititikberatkan di dalam seni fotografi. Semoga bermanfaat.

Rujukan: photoshootgoals.com

Abid Iman bin Hasmady
Kuliah Syariah Islamiah,
Universiti Al-Azhar

Muat turun pdf Risalah Multimedia Siri 40 – Pengenalan Fotografi Mudah Alih (Mobile Photography)

SEJARAH PERKEMBANGAN TELEFON PINTAR

SEJARAH PERKEMBANGAN TELEFON PINTAR

Pastinya apabila bercerita tentang telefon, maka sudah tidak asing lagi nama tokoh terkemuka Alexander Graham Bell yang pertama kali mencipta telefon. Kajiannya terhadap alat bantu pendengaran demi menolong isteri dan ibunya yang pekak telah berjaya membawa kepada penghasilan telefon yang pertama pada 7 Mac 1876.

Kemudian, apabila diteliti pada kemunculan telefon bimbit yang pertama, maka kita akan menemukan sejarah pada tarikh 3 April 1973, di mana syarikat Motorola telah mengeluarkan telefon bimbit yang pertama seberat 1.1 kg. Alat bantu komunikasi jarak jauh ini menawarkan durasi panggilan selama 30 minit dan memerlukan 10 jam untuk dicas penuh.

Penggunaan telefon bimbit mula dipopularkan menjelang tahun 90-an yang mana menurut suatu kajian, sebanyak 11 juta pengguna telah memiliki dan menggunakan peranti ini di seluruh dunia. Beberapa tahun pada era ini melihat pelbagai kemunculan variasi telefon bimbit daripada syarikat-syarikat ternama seperti Nokia, Samsung dan banyak lagi.

TELEFON PINTAR PERTAMA

Sebelum mendalami sejarah telefon pintar, haruslah kita mengetahui apakah yang dimaksudkan dengan telefon pintar. Telefon pintar (Bahasa Inggeris: Smartphone) adalah telefon bimbit yang mempunyai ciri pengkomputeran maju dan ketersambungan berbanding dengan telefon bimbit biasa. Telefon pintar membolehkan penggunanya memasang aplikasi canggih di dalamnya berasaskan pelantar telefon seperti Symbian, Android, iOS atau Windows Phone. Ia juga menggunakan sistem pengendalian yang menyediakan satu pelantar untuk pembina aplikasi.

Pada tahun 1992, telefon pintar pertama iaitu IBM’s Simon mula diperkenalkan dan ia mula memasuki pasaran pada tahun 1994. Peranti ini menawarkan beberapa fungsi baru seperti touchscreen, on-screen keyboard dan beberapa aplikasi dalaman yang memikat hati pengguna untuk memilikinya. Telefon pintar ini dijual dengan harga USD 1,100 seunit dan berjaya mencapai pasaran sebanyak 50,000 unit terjual setelah 6 bulan dikeluarkan.

“Simon” juga tidak hanya menjadi sebuah telefon bimbit yang biasa, malah juga memiliki kalendar, buku telefon, jam dunia, tempat mencatat, e-mel, keupayaan menghantar dan menerima faks serta terdapat pemasangan aplikasi permainan.

Seterusnya, sekitar tahun-tahun ini jugalah terdapat pelbagai inovasi yang ditemukan pada telefon pintar seperti flip phone, slider phone, mod getaran, servis emel, skrin berwarna, pemain MP3 dan macam-macam lagi.

TEKNOLOGI INTERNET MENEMUI TELEFON PINTAR

Menurut kamus dewan edisi keempat, perkataan internet boleh didefinisikan sebagai rangkaian komputer antarabangsa yang membolehkan pengguna komputer di seluruh dunia berhubung antara satu sama lain dan mencapai maklumat pangkalan data dari seluruh dunia.

Bermula pada tahun 2000, telefon pintar mula dihubungkan dengan jaringan internet 3G yang membolehkan komunikasi internet tanpa wayar kabel diperluaskan. Inovasi pada peranti mudah alih inilah yang membuka ruang kepada pelbagai jenis lagi penemuan-penemuan baharu pada zaman kini. Hal yang demikian ini juga dapat menyumbang kepada perkembangan teknologi telefon pintar sehingga membolehkannya untuk menghantar pesanan emel yang bersaiz lebih besar, memaparkan tayangan video, menyediakan servis melayari internet dan lain-lain lagi.

Seterusnya, tahun demi tahun berlalu dan kecanggihan teknologi telefon pintar semakin berkembang bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Pada tahun 2007, tokoh ternama syarikat Apple iaitu Steve Jobs melancarkan iPhone yang pertama yang menggegarkan pasaran seluruh dunia. Kini, dunia teknologi melihat bermacam-macam kecanggihan daripada pelbagai jenama unggul seperti Samsung, Google, Xiaomi, Sony, Oppo dan sebagainya bahkan lebih banyak peranti mudah alih yang diperkenalkan seperti komputer riba dan tablet. Sehingga hari ini, boleh dikatakan hampir setiap orang memiliki telefon pintar untuk kemudahan harian daripada pelbagai sudut seperti pendidikan, ekonomi, berita, media sosial dan lain-lain lagi.

Antara kata-kata Steve Jobs yang memberi inspirasi kepada anak muda:

“Your work is going to fill a large part of your life, and the only way to be truly satisfied is to do what you believe is great work. And the only way to do great work is to love what you do. If you haven’t found it yet, keep looking. Don’t settle. As with all matters of the heart, you’ll know when you find it.”

Rujukan:
        1. Artikel History of smartphones daripada laman web simpletexting.com
2. Artikel Cell phone history daripada laman web versus.com
3. Wikipedia

 

Muhammad Khairul Amri bin Mohd Nasir
Kuliah Dirasat Islamiah,
Universiti al-Azhar, Kaherah.

Muat turun PDF Risalah Multimedia Siri 39 – Sejarah Perkembangan Telefon Pintar

TIP-TIP MEMILIH LAPTOP

TIP-TIP MEMILIH LAPTOP

      Laptop adalah peranti elektronik yang memanipulasi maklumat atau data serta mempunyai keupayaan untuk menyimpan, mengambil dan memproses data. Seperti yang diketahui, kita boleh menggunakan laptop untuk menaip dokumen, mengirim e-mel, bermain permainan video dan melayari internet. Laptop menjadi salah satu perkara yang penting pada zaman teknologi moden ini, tambahan pula musim pandemik yang menyebabkan semua pergerakan kerja atau belajar terpaksa dilakukan di rumah. Namun begitu, terdapat banyak laptop di pasaran yang menawarkan pelbagai jenis model spesifikasi.

Berikut adalah beberapa perkara yang perlu anda ketahui apabila ingin membeli sesebuah laptop:

1. Memilih laptop yang sesuai dengan penggunaan utama

Apabila anda rasa laptop yang diperlukan hanya untuk kerja-kerja yang ringan seperti menaip dokumen dan melayari internet, maka pilihlah laptop yang berspesifikasi pertengahan. Manakala, jika penggunaan lebih kepada kerja-kerja berat seperti video editing, maka pilihlah laptop yang berspesifikasi tinggi.

2. Jenis Processor

Pada setiap perangkat laptop tentunya terdapat prosesor yang berperanan sebagai otak dari perangkat tersebut. Anda harus bijak dalam memilih jenis prosesor yang sesuai dengan keperluan. Sehingga hari ini, terdapat dua syarikat yang mengeluarkan prosesor iaitu Intel dan Amd.

Prosesor daripada intel dilambangkan dengan huruf “i” sebagai penanda dan diikuti nombor siri yang menunjukkan tahap kelajuan contohnya i3, i5, i7 dan i9. Manakala amd menggunakan lambang AMD Ryzen dituruti nombor selepasnya yang menunjukkan generasi.

3. Read Access Memory (RAM)

Penggunaan RAM pada perangkat laptop sangatlah berguna untuk dapat melakukan multitasking serta membuka aplikasi yang berat. Sebagai contoh, penggunaan RAM bagi aplikasi Google Chrome adalah hampir mencecah 1GB, maka digalakkan untuk memilih RAM yang sekurang-kurangnya 4GB.

Tetapi laptop sekarang sudah banyak yang menyediakan slot tambahan pada bahagian RAM untuk anda menambah kapasiti RAM. Biasanya pada laptop akan menyediakan dua buah slot yang dapat digunakan ketika ingin menambah kapasiti RAM pada laptop.

4. Jenis dan Saiz Storan Penyimpanan Data

Jenis storan penyimpanan yang digunakan pada perangkat laptop juga menjadi sebuah pertimbangan yang harus diperhatikan sebelum membeli laptop. Kebanyakan laptop pada zaman sekarang sudah menggunakan SSD sebagai storan penyimpanannya. Tentunya hal ini sangatlah bagus jika dibandingkan dengan HDD yang mempunyai kecepatan access read and write data yang lebih rendah berbanding SSD.

Pada bahagian ini, anda disarankan untuk mengutamakan kecepatan daripada saiz storan, kerana 128 GB SSD akan lebih baik jika dibandingkan dengan 500GB HDD. Biasanya, laptop keluaran terbaru akan menyediakan slot tambahan untuk pengguna agar dapat menambah media penyimpanan seperti HDD atau HDD tambahan.

5. Unit Pemprosesan Grafik (GPU)

GPU ialah suatu cip yang bertugas untuk memproses data grafik yang dihantar oleh CPU sebelum dipaparkan ke monitor. Kalau penggunaan biasa, built in kad grafik sudah memadai, manakala penggunaan lebih kepada rekabentuk poster dan edit video disarankan untuk memilih laptop yang menawarkan kad grafik AMD atau Nvidia.

Setelah berbincang cukup panjang, kita dapat simpulkan daripada tip diatas kepada dua golongan pengguna, iaitu golongan pertama yang menggunakan laptop sekadar kerja-kerja ringan seperti menaip di microsoft word, video call dan melayari internet manakala golongan kedua yang menggunakan laptop untuk kerja-kerja berat seperti rekacipta poster, editing video dan permainan video.

PERKARA GOLONGAN PERTAMA GOLONGAN KEDUA
Prosesor Intel Core i3 atau AMD Ryzen 3 dan ke bawah Intel Core i5 atau AMD Ryzen 5 dan ke atas
RAM Maksima 4 GB Minima 8 GB
STORAN HDD SSD
GPU Built in AMD atau Nvidia

Rujukan:
1. Nugropedia.com
2. Wikipedia.org

Muhammad Asyiq bin Amran
Kuliah Usuluddin
Universiti Al-Azhar, Kaherah

Muat turun PDF Risalah Multimedia Siri 38 – Tip-tip memilih Laptop

JENIS-JENIS MICROSOFT OFFICE DAN KEGUNAANNYA

Jenis-Jenis Microsoft Office dan Kegunaannya.

Pada era perkembangan teknologi, aplikasi seperti Microsoft Word, Excel dan PowerPoint tentunya sudah tidak asing lagi dalam kerja kepejabatan, bahkan menjadi satu keperluan kepada para pelajar dan mahasiswa. Aplikasi ini merupakan bahagian daripada Microsoft Office dan ia diusahakan oleh sebuah syarikat gergasi iaitu Microsoft Corporation. Microsoft Office keluaran terkini ialah MS Office 2019, namun dijangkakan akan keluar versi yang terbaharu pada pertengahan tahun 2021. Persoalannya, apakah jenis-jenis aplikasi dalam Microsoft Office dan kegunaannya?

Microsoft Word.

Aplikasi ini digunakan untuk membuat dokumen seperti proposal, surat dan dokumen-dokumen lain. Hasil daripada aplikasi ini akan terbentuknya format (.docx). Pada versi 2003 dan 2007, namanya ialah Microsoft Office Word namun telah ditukarkan menjadi Word bermula Microsoft Office 2013.

Antara fungsinya ialah: membuat surat, jadual, dokumen, menghasilkan tulisan pelbagai variasi (Word Art) dan memasukkan gambar.

Microsoft Excel.

Aplikasi ini diperkenalkan pada tahun 1985, yang merupakan sebuah perisian jenis hamparan dengan menggunakan interface grafik. Menurut Investopedia (sebuah syarikat digital Forbes), Excel merupakan satu alat yang tidak ternilai bagi pengurus portfolio, peniaga dan akauntan. Selain itu, Excel juga menjadi pilihan ramai untuk kegunaan analisis mudah dan keperluan dalam sesebuah pejabat.

Antara fungsinya ialah: memproses data secara automatik dalam bentuk pengiraan asas, formula, fungsi dan lain-lain serta menyiapkan tugasan berkaitan perakaunan dan perekodan. Excel juga boleh menjadi kalkulator, alat persembahan grafik dan analisis kewangan.

Microsoft PowerPoint.

PowerPoint merupakan pilihan para pelajar dan pekerja untuk membuat dokumen persembahan dalam bentuk slaid. Hal ini kerana, ia mudah untuk digunakan, mempunyai butang untuk persembahan slaid serta dapat menghasilkan efek visual yang lebih baik dan membantu penyampaian maklumat dengan lebih berkesan. Ini menjadi faktor utama pemilihan aplikasi ini dalam kehidupan seharian.

Microsoft PowerPoint mempunyai banyak kelebihan, antaranya: membuat slaid, mempunyai banyak pilihan tema dan memudahkan persembahan slaid. Anda juga boleh menambahkan gambar, teks, klip audio, video atau carta mengikut kesesuaian.

Microsoft OneNote.

Umum mengetahui bagaimanakah cara mencatat nota dalam sebuah buku nota fizikal. Namun tahukah anda bahawa anda boleh mencatat dan mengumpul nota digital seperti teks, gambar, fail, lukisan, klip audio dan video dalam sebuah buku nota digital yang dibawa dalam peranti anda? Bukan itu sahaja, anda juga boleh berkongsi dan berkolaborasi dengan sumber luar apabila diperlukan.

OneNote menyediakan fungsi mencatat nota dengan cepat, membuat buku nota dan membantu menyediakan bahagian/sekatan dalam buku nota digital anda. Aplikasi ini membantu pengumpulan maklumat dengan pantas dan berkesan dalam sesuatu mesyuarat dan penyuntingan dalam talian.

Microsoft Access.

Microsoft Access merupakan satu aplikasi yang dapat membantu proses pembuatan, pemprosesan dan pengurusan data sehingga mudah difahami. Tambahan lagi, Access berupaya menjadi pangkalan data, mengumpulkan jumlah pekerja atau pelajar, merekod gaji, merekod kehadiran, mengira stok barang dan boleh juga menjadi pangkalan data kewangan.

Microsoft Outlook.

Microsoft Outlook menawarkan fungsi membaca e-mel secara luar talian atau secara jaringan internet, serta memudahkan pembuatan dan pengiriman e-mel. Outlook membantu anda untuk mengelola personal address ataupun alamat e-mel. Selain itu, ia berfungsi sebagai kalendar dan anda pasti tidak akan terlupa sesuatu mesyuarat atau janji temu dengan orang yang penting.

Terdapat banyak lagi aplikasi yang ditawarkan oleh Microsoft Corporation yang sesuai digunakan oleh semua lapisan masyarakat seperti OneDrive dan Publisher. OneDrive berfungsi seperti Dropbox dan Google Drive serta ia mempunyai 5GB storan percuma. Manakala Publisher pula, sesuai dengan namanya dapat membantu anda menerbitkan pelbagai produk seperti kad ucapan, risalah ataupun majalah.

Kesimpulannya, semua aplikasi yang dikembangkan sama ada untuk sistem operasi (OS) Windows ataupun Mac adalah untuk membantu pengguna mengoptimumkan hasil kerja dan tidak terhad kepada satu aplikasi sahaja serta boleh memanfaatkan media elektronik untuk kepentingan dakwah. Semua pengguna seharusnya mengetahui serba sedikit tentang aplikasi Microsoft Office, supaya boleh dijadikan sebagai suatu nilai tambah dan membantu anda terpilih sebagai seseorang yang kompeten dan berdaya saing.

Sumber:

  1. https://ms.bestcomputerdirectory.com/versiones-microsoft-office
  2. http://tyfontechsdnbhd.blogspot.com/2018/02/pengertian-fungsi-dan-sejarah-microsoft.html?m=1

Iffah binti Zulkifli
Kuliah Syariah Islamiah
Universiti Al-Azhar Kaherah

Muat turun PDF Risalah Multimedia Siri-37 – Jenis-jenis Microsoft Office dan Kegunaannya

MULTIMEDIA SEBAGAI WASILAH DAKWAH ISLAM   

MULTIMEDIA SEBAGAI WASILAH DAKWAH ISLAM

Multimedia merupakan gabungan antara dua perkataan iaitu Multi dan media. Multi bermaksud banyak manakala media pula bermaksud tempat, sarana atau alat yang digunakan untuk menyampaikan informasi. Di sini dapat kita fahami maksud ‘multimedia’ secara umumnya adalah merupakan satu wadah atau penyatuan beberapa media yang kemudian didefinisikan sebagai elemen-elemen pembentukan multimedia. Elemen-elemen pembentukan multimedia tersebut adalah  seperti teks, gambar, suara, animasi dan video. Multimedia merupakan suatu konsep atau teknologi baru bagi bidang teknologi informasi, yang mana informasi dalam bentuk teks, gambar, suara, animasi dan video dapat disatukan dalam satu komputer untuk disimpan, diproses dan dipersembahkan.

Peranan Multimedia

Globalisasi kini, multimedia dilihat menjadi suatu keperluan kepada manusia dalam mendapatkan informasi dan maklumat. Tambahan pula kehidupan manusia kini yang tidak terlepas dengan teknologi sama ada dari sudut pendidikan, kesihatan, perindustrian dan sebagainya secara tidak langsung telah  meningkatkan  perkembangan multimedia kepada kehidupan manusia,  Malahan ianya juga dimanfaatkan di setiap sektor untuk pelbagai keperluan. Antaranya ialah:-

1. Sektor Pendidikan

Proses pembelajaran yang lebih menarik, interaktif, jumlah waktu belajar dapat dikurangkan, kualiti belajar dapat ditingkatkan dan proses belajar dan mengajar dapat dilakukan di mana-mana dan bila-bila masa sahaja, serta sistem pembelajaran dapat ditingkatkan.

Selain itu, manfaat yang dapat diperoleh dari sebuah multimedia untuk pendidikan adalah:-

  1. Memperbesarkan benda yang sangat kecil dan dapat dilihat dengan mata kasar seperti kuman, bakteria, virus dan sebagainya.
  2. Memperkecilkan benda yang sangat besar yang tidak dapat dibawa ke tempat pembelajaran seperti gajah, rumah, gunung dan sebagainya.
  3. Mempersembahkan benda atau peristiwa yang kompleks, rumit dan pergerakan cepat atau lambat sesuatu benda seperti sistem tubuh manusia, pergerakan suatu mesin, peredaran planet, berkembangnya bunga dan sebagainya
  4. Mempersembahkan benda atau peristiwa yang jauh dari pandangan mata seperti bulan, bintang dan sebagainya
  5. Mempersembahkan benda atau peristiwa yang berbahaya seperti letusan gunung berapi, harimau, racun dan sebagainya.
  6. Meningkatkan minat sekaligus menarik perhatian pelajar untuk belajar 

 2. Sektor Kesihatan

Dewasa ini, dunia dikejutkan dengan kehadiran suatu wabak yang membadai  ke seluruh dunia iaitu wabak Corona Virus (Covid-19). Disini kita dapat melihat peranan yang cukup besar yang akan dimainkan oleh multimedia untuk tujuan pengkajian. Pengkajian dengan menggunakan multimedia bagi memeriksa tubuh manusia yang terkena wabak Corona Virus, dan kemudiannya mengembangkan teknik dan cara yang paling tepat  bagi membasmi penularan wabak ini.

3. Sektor Perindustrian

Disektor industri, multimedia digunakan sebagai cara untuk memberikan informasi bagi membantu pemegang saham, rakan kerja dan usahawan. Multimedia ini juga bermanfaat untuk memberikan latihan karyawan, pengiklanan dan penjualan produk di seluruh dunia tanpa batasan melalui web.

Sumbangan Multimedia Terhadap Islam

Menyampaikan dakwah Islam tidak hanya terhad di masjid atau surau bahkan ianya dapat dimanfaatkan dengan adanya multimedia bagi meluaskan lagi penyampaian ke seluruh dunia. Justeru, setiap masyarakat Islam perlu memainkan peranan penting dalam menguasai teknologi multimedia, bukan sekadar menjadi pengguna biasa sahaja bahkan boleh membangunkan sistem maklumat atau perisian sendiri berasaskan acuan Islam dan yang pentingnya dapat menggarap segala bentuk teknologi mengikut tasawwur Islam. Sebagai kesimpulan, multimedia ini sememangnya menjadi satu rahmat kepada umat Islam sesuai dengan risalah Islam sebagai agama yang mendukung penggunaan dan penyebaran maklumat serta pengetahuan.

 

Sumber:
1. https://salamadian.com/pengertian-multimedia/
2. https://didikwirasamodra.wordpress.com/2008/09/05/multimedia%C2%A0pembelajaran%C2%A0interaktif/
3. http://an-nuur98.blogspot.com/2018/03/multimedia-dari-perspektif-al-quran.html?m=1

 

Disediakan oleh:
Nik Ilham Darwish bin Mohd Yuazhar
Kuliah Bahasa Arab, Universiti al-Azhar

Muat turun PDF Risalah Multimedia siri ke-36

KAITAN ANTARA DAIE DAN MEDIA

KAITAN ANTARA DAIE DAN MEDIA

1. Mencungkil sejarah media zaman Rasulullah SAW

Sebelum mengetahui mengapa media menjadi wasilah dakwah, lebih baik kita mengetahui apa itu media. Media adalah suatu alat untuk menyampaikan informasi ke seluruh pelusuk dunia. Media juga telah digunakan semenjak zaman Rasulullah SAW iaitu dalam metode lisan dan tulisan. Kini media telah berkembang luas daripada lisan dan tulisan kepada metode yang semakin canggih dan pelbagai seperti video, audio, animasi dan grafik.

Media zaman Rasulullah SAW hanya terhad kepada orang tertentu sahaja dan kemungkinan ada yang tidak sampai dakwah Rasulullah SAW kepadanya kerana keterbatasan masa dan tempat. Metode lisan yang digunakan pada zaman Rasulullah SAW juga terhad kerana dakwah tersebut hanya sampai kepada orang sekeliling sahaja, manakala orang yang tidak ada pada waktu tersebut tidak sampai dakwah kepadanya. Metode lisan ini hanya diaplikasikan apabila manusia berkumpul di pasar, di masjid atau di rumah para sahabat. Manakala, metode tulisan pula hanya sampai kepada orang tertentu sahaja iaitu melalui surat yang dikirim oleh Rasulullah SAW.

Namun, dunia Islam hari ini telah pun berubah dan berkembang maju. Media yang digunakan untuk menyebarkan dakwah telah pun berubah menjadi lebih canggih. Media telah pun disambungkan ke seluruh pelusuk bumi tanpa sambungan wayar yang menghubungkan di antara manusia iaitu internet. Kini, pelbagai metode digunakan untuk menyebarkan dakwah dengan cara yang lebih cepat,  maju dan berkesan iaitu melalui media massa seperti Blog, Facebook, Twitter, Skype, Youtube dan banyak lagi.

2. Kenali metode dakwah untuk mad’u

Sebelum kita menyampaikan dakwah kepada mad’u, terlebih dahulu kita perlu mengetahui setiap metode yang akan digunakan dan sejauh mana keberkesanannya ke atas mad’u. Antara cara-cara untuk menguji metode yang berkesan adalah dengan mengenali mad’u melalui perkara yang diminati dan kecenderungannya dalam sesuatu perkara. Contohnya,  jika mad’u ialah seorang yang gemar membaca, maka kaedahnya adalah melalui penulisan. Manakala jika mad’u gemar menonton filem, rancangan-rancangan televisyen dan lebih tertarik dengan gambar-gambar, maka sampaikanlah dakwah melalui video grafik atau animasi.

Oleh itu, cara dakwah melalui media yang berkesan dapat diringkaskan kepada dua:

  1. Mengenali minat dan kecenderungan mad’u
  2. Menyampaikan dakwah menggunakan metode yang bersesuaian.

3. Syarat-syarat kepada para daie yang menggunakan media

Terma dan syarat bukan sahaja untuk sesebuah pekerjaan, tetapi media juga tertakluk dengan terma dan syaratnya tersendiri. Syarat ini dijadikan sebagai garis panduan kepada daie agar dakwah yang disampaikan tidak terpesong daripada matlamat yang sebenar. Antara syarat-syarat kepada para daie dalam menggunakan media untuk berdakwah adalah:

  1. Seorang daie hendaklah memperbetulkan niatnya dalam menyampaikan dakwah adalah semata-mata kerana Allah.  Sebagaimana tercatat dalam hadis arbain, Rasulullah SAW bersabda mafhumnya:

    “Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung pada niat.”

    Ini menunjukkan bahawa niat itu penting dalam setiap amalan yang dilakukan. Apatah lagi dalam membawa agama Allah yang mulia ini. Benarnya niat menatijahkan yang baik,  jika sebaliknya ia akan menatijahkan sebaliknya juga.

  2. Perkara yang diterbitkan mestilah tidak menyalahi syarak kerana menyebarkan dakwah melalui media adalah sebagai taklifan fardu kifayah. Maka setiap perkara yang diterbitkan di media mestilah sesuatu yang mendatangkan manfaat kepada orang lain dan tidak bersalahan dengan syariat Islam. Seterusnya, dakwah melalui media itu mestilah tidak mencetuskan pergaduhan,  perdebatan dan sebagainya. Malah menimbulkan wadah kesatuan umat melalui media dapat membuktikan bahawasanya agama Islam tidak jumud, malah semakin maju dengan teknologi-teknologi moden.
  3. Menguasai media dengan baik. Penguasaan media yang baik oleh daie dalam menyampaikan dakwah dapat membantu Islam untuk terus berkembang luas. Hal ini kerana manusia zaman kini lebih banyak menghabiskan masa dengan media seperti internet, televisyen dan lain-lain. Oleh itu, para daie perlu menguasai media sepenuhnya untuk menyampaikan dakwah kepada semua orang dalam pelbagai metode yang berkesan. Jika bukan umat Islam yang menguasai, maka orang bukan Islam lah yang akan menguasai dan menyebarkan dakyah-dakyah mereka yang menyebabkan umat Islam akan lebih jauh daripada ajaran Islam yang sebenar.

Akhir kalam, kita sebagai pelajar yang berpendidikan dan seorang daie yang bijak haruslah menguasai media agar mampu melakukan kebaikan dan mampu mencegah kemungkaran di alam maya. Jika bukan kita siapa lagi yang akan menguasai media ini? Ayuh kita sama-sama menjadi insan yang dapat memanfaatkan diri untuk agama dan ummah.

 

Disediakan oleh:
Azdah Khairatussyifa binti Mohd Nordin
Kuliah Usuluddin (Akidah dan Falsafah), Universiti Al-Azhar, Kaherah

Muat turun PDF Risalah Multimedia siri ke 35

POWER BANK: TIP PEMBELIAN DAN PENJAGAAN

POWER BANK: TIP PEMBELIAN DAN PENJAGAAN

Telefon pintar pada hari ini boleh dianggap sebagai teman rapat manusia. Hampir setiap aktiviti harian manusia tidak terlepas daripada menggunakan telefon pintar sebagai alat untuk berkomunikasi, mencari maklumat, menjalankan urusan pembelian atas talian dan lain-lain. Dunia pada era revolusi perindustrian 4.0 masa kini segalanya diakses menggunakan hujung jari.

Mengikut satu kajian, rata-rata pengguna menghabiskan masa lebih daripada tiga jam sehari dengan telefon pintar mereka. Ini menyebabkan kadar bateri telefon pintar menjadi berkurang, maka setiap pengguna semestinya mahukan peranti mereka dicas semula untuk mengembalikan kuasanya. Bagi mereka yang kerap tinggal di rumah, perkara ini mungkin tidak menjadi masalah kerana hanya perlu menyambungkan peranti dengan pengecas soket. Tetapi bagaimana pula dengan mereka yang kerap berada di luar rumah? Semestinya mereka memerlukan power bank bagi memastikan peranti sentiasa dalam hayat. Ciri-cirinya yang mudah dibawa kemana-mana dan mampu menyimpan kapasiti kuasa yang besar menjadikannya pilihan ramai.

TULEN VS TIRUAN

Aspek yang terpenting dalam pemilihan untuk membeli sebuah power bank adalah memastikan ketulenan pembuatannya. Namun, melihat kepada lambakan jualan power bank di pasaran menimbulkan sedikit kekeliruan bagi membezakan produk tersebut tulen atau tiruan. Langkah pertama sebelum membeli power bank adalah merujuk kepada laman sesawang pengeluar power bank yang terkemuka; antaranya jenama Pineng, Xiaomi, Aukey, Anker, Pisen dan Tronsmart.

Kod power bank – Pastikan kod yang terdapat pada model atau jenis power bank yang ingin dibeli menepati kod yang terdapat di laman sesawang pengeluar power bank tersebut bagi memastikan ketulenannya.

Harga Kesemua jenama yang disebutkan di atas menawarkan harga yang agak kompetitif mengikut kapasiti bateri. Sebagai contoh, bagi power bank yang berkapasiti 20 ribu mAH, yang tulen biasanya dijual dalam lingkungan RM50 ke atas (berbeza mengikut jenama dan jenis pengecasan) dan bagi produk tiruan pula dalam lingkungan harga RM20.

Bahan pembuatan – Produk tulen biasanya diperbuat daripada bahan plastik yang berkualiti manakala produk tiruan pula hanya berkerangkakan plastik yang murah dan nipis menyebabkannya tidak selesa digenggam dan panas ketika dicas.

Berat power bank – Setelah melihat pada luaran, isi dalamannya juga penting. Cara untuk mengetahuinya adalah dengan merasakan berat power bank. Produk tiruan terasa ringan bila dipegang berbanding produk tulen kerana isi dalamannya hanyalah litar mudah dan beberapa plat besi atau kampit kecil pasir berperanan sebagai pemberat.

Bungkusan – Power bank yang tulen dibungkus dengan rapi di dalam kotak yang premium manakala yang tiruan hanya dibungkus ala kadar di dalam kotak yang murah dengan warna yang pudar dan tidak menarik. Sesetengah pengeluar meletakkan pelekat pengesahan jenis hologram atau lapisan perak pada kotak pembungkusan mereka. Pembeli perlu menggores lapisan tersebut dan memasukkan nombor siri di laman sesawang yang disediakan oleh pengeluar. Jika nombor siri disahkan wujud dalam pangkalan data, ia adalah tulen manakala sebaliknya, ia adalah tiruan.

Tempoh jaminan – Peniaga atau pengedar power bank yang tulen memberikan tempoh jaminan selama setahun atau lebih kepada pengguna. Berbeza pula bagi produk tiruan, peniaga hanya memberi tempoh jaminan 1-3 bulan sahaja.

Kenapa perlu membeli produk yang tulen?

Saranan untuk mendapatkan power bank yang tulen adalah kerana keselamatan. Produk yang tulen dilengkapi dengan sistem perlindungan litar yang lengkap supaya jangka hayat power bank lebih lama di samping mengelakkan kemalangan litar pintas berlaku. Antara sistem perlindungan tersebut ialah perlindungan cas berlebihan (overcharge), voltan berlebihan, discas berlebihan dan perlindungan terhadap suhu dan haba.

Power bank tiruan pula tidak mempunyai sistem sedemikian. Antara impak negatif padanya ialah:

  1. Power bank mengambil masa yang terlalu lama untuk dicas; contohnya memakan masa sehingga 24 jam.
  2. Kehilangan banyak kuasa walaupun tidak digunakan.
  3. Power bank yang rosak tidak dapat digantikan dengan yang baru kerana tidak terdapat jaminan yang sah atau terlalu singkat.
  4. Paling tragis, ianya boleh meletup dan terbakar seterusnya menjejaskan keselamatan pengguna.

PENJAGAAN

Bagi memastikan power bank tahan lama, tidak cukup dengan membeli produk yang tulen, bahkan cara penjagaan yang betul juga amat signifikan. Tip berikut boleh diamalkan:

  1. Jangan biarkan power bank tidak digunakan dalam tempoh yang lama.
    Sebab: Menyebabkan berlaku discas (cas mengalir keluar) dan memendekkan jangka hayat power bank.
  1. Jangan cas power bank terlalu lama atau sekejap.
    Sebab: Mengelakkan cas berlebihan (overcharge) atau gangguan litar.
  1. Tidak meletakkan power bank di dalam ruangan yang terlalu kedap seperti di dalam kereta atau di bawah cahaya matahari.
    Sebab: Mengelakkan power bank memerangkap haba yang boleh mengakibatkan letupan.
  1. Menggunakan kabel pengecasan yang tulen atau yang bersesuaian dengan power bank.
    Sebab: Mengelakkan peranti mengalami voltan berlebihan dan kerosakan seperti ‘ghost touch’ (skrin bergerak sendiri tanpa disentuh).

 

Disediakan oleh:
Wan Muhammad Afiq bin Wan Azli
Kuliah Syariah Islamiah, Universiti Al-Azhar, Kaherah

Muat turun PDF Risalah Multimedia siri ke 34