pinuppin-up1 winmostbetmostbet az casino

SEJARAH BAHASA ARAB

BAHASA ARAB

Bahasa Arab merupakan salah satu daripada tiga bahasa dunia yang terpenting dan luas penggunaannya pada hari ini, manakala dua bahasa lagi ialah bahasa Inggeris dan bahasa Sepanyol. Walau bagaimanapun, bahasa Arab telah memainkan peranan yang besar dan berkesan sebagai penghubung antara warisan tamadun silam dengan tamadun moden hari ini apabila ia telah mencerna warisan peradaban Yunani, Greek, Parsi, Hindu dan sebagainya. Kemudian dipersembahkan kepada tamadun Barat pada zaman Kebangkitan Eropah melalui pusat-pusat Kebudayaan Islam di Baghdad, Kaherah, Granada dan lain-lain.

PERKEMBANGAN BAHASA ARAB

Zaman selepas kedatangan Islam.

Kedatangan Islam dan turunnya al-Quran di dalam bahasa Arab formal menjadikan bahasa Arab satu bahasa yang penting dan lebih menarik perhatian masyarakat khususnya umat Islam sendiri. Semakin ramai yang memeluk Islam, semakin meluas pengaruh bahasa Arab formal ini sampai pada kehidupan kalangan orang awam. Sesuai dengan dorongan jiwa dan semangat keagamaan, umat Islam lebih cenderung dengan bahasa ini untuk memahami Islam dan untuk memahami isi al-Quran itu sendiri melalui amal ta’abud (ibadah), tilawah (bacaan) dan lain-lain lagi. Oleh sebab itu, bahasa Arab ini mempunyai keterikatan yang kuat dengan agama Islam dan menjadi bahasa agama serta kebudayaan bagi dunia Islam.

Perkembangan Bahasa Arab di Zaman Bani Umaiyyah.

Pada zaman ini, berlaku perubahan sosial di dalam masyarakat Islam kerana orang-orang Arab saling bergaul dan berkomunikasi dengan orang asli (Badwi) demi memenuhi keperluan kehidupan. Pada waktu ini, anak-anak muda ditekankan untuk mempelajari bahasa Arab formal daripada golongan bangsa Arab Badwi berbanding dialek-dialek percakapan seharian mereka untuk melayakkan mereka memegang jawatan yang tinggi dari sudut pentadbiran dan sebagainya. Antara faktor lain adalah kerana bahasa Arab formal ini telah diangkat menjadi bahasa rasmi negara Islam di samping turut menjadi bahasa yang dituturkan di peringkat pentadbiran pemerintahan serta penghasilan syair (puisi).

Perkembangan Bahasa Arab di Zaman Bani Abbasiah.

Walaupun pemerintahan Arab (Bani Umaiyyah) telah jatuh namun tidak pada bahasa Arab. Sejak mula Bani Abbasiah memang mengetahui dan yakin bahawa pengaruh dan kekuasaan mereka bergantung pada perkembangan dan kemajuan agama, maka semestinya al-Quran dijadikan sebagai panduan. Pada zaman ini, pembelajaran bahasa Arab bagi para pemuda amatlah dititikberatkan. Pencampuran antara bangsa Arab dan bukan Arab pada waktu itu menyebabkan wujudnya bahasa Arab Ammiyyah yang dijadikan sebagai bahasa komunikasi di antara mereka. Pada pertengahan abad ke-3 Hijrah, bahasa Ammiyyah berkembang sehingga memasuki urusan penting jabatan dan politik pemerintahan. Dikatakan juga, para Ahli Nahu sendiri turut menggunakan bahasa Arab Ammiyyah dalam percakapan seharian mereka. Namun, langkah selamat telah dilakukan oleh ahli pemikir zaman itu dengan menghasilkan penulisan-penulisan tentang penggunaan bahasa Arab yang sebenar. Dengan kehadiran buku-buku tersebut berjaya memajukan semula bahasa Arab formal sehingga tidak perlu mempelajarinya daripada bangsa Arab Badwi dan menjadikan buku- buku tersebut sebagai buku rujukan.

Perkembangan Bahasa Arab selepas abad ke-4 Hijrah.

Selepas dunia Arab berpecah-belah dan diperintah oleh pemerintah bukan Arab, bahasa Arab ini tidak lagi dijadikan sebagai bahasa politik dan pentadbiran pemerintahan. Sebaliknya, bahasa Persia yang diangkat menjadi bahasa rasmi bagi sesetengah negara. Bahasa Arab hanya dianggap sebagai bahasa agama semata-mata dan mengalami kemunduran yang agak teruk. Pada tahun 459 Hijrah, sebuah madrasah ditubuhkan iaitu madrasah al-Nadhamiyyah bagi menangani kemunduran ini. Hal ini mendapat perhatian kerana mereka berpendapat bahawa bahasa Arab perlu dipelihara kerana ianya kunci untuk mendalami agama Islam daripada al- Quran dan as-Sunnah.

Bahasa Arab di Zaman Moden.

Disebabkan keadaan yang aman, selama pemerintahan Uthmaniyyah, maka bahasa Arab pada waktu itu juga dapat diperkukuhkan, tidak berkembang mengikut kemajuan hidup moden yang dibawa oleh zaman selepas terjadinya kebangkitan di Eropah. Selepas kekuasaan politik Perancis mula menjajah Mesir akibat dari berhasilnya serbuan Napoleon, Mesir mula bangkit dan maju dengan landasan ilmu pengetahuan moden serta munculnya dalam kelompok masyarakat Mesir, golongan intelektual Eropah. Mereka mewujudkan pelbagai kemudahan yang mendorong perkembangan ilmu pengetahuan di Mesir seperti perpustakaan, sekolah, surat khabar dan lain-lain. Sekolah-sekolah dibuka untuk mempelajari pelbagai bidang seperti kedoktoran, bahasa, terjemahan dan lain-lain. Bahasa Arab adalah bahasa pengantar bagi sekolah-sekolah tersebut. Inilah satu langkah yang berhasil dalam usaha mengatasi keterbelakangan bahasa Arab.

Kesimpulan:

Kita haruslah menghargai dan memelihara bahasa Arab kerana bahasa Arab merupakan bahasa al-Quran. Sayyidina Umar r.a. berkata: “Pelajarilah bahasa Arab kerana sesungguhnya bahasa Arab adalah sebahagian dari agamamu.”

Rujukan :
journal.uin.alauddin.ac.id. Sejarah Pertumbuhan dan Perkembangan Bahasa Arab |Salim|

Diwan :
Jurnal Vol. 3 Nombor 1/2017

 

Disediakan oleh:
Nur Ezzatul Hannan Binti Hasmadi,
Kuliah Syariah Islamiah,
Universiti Al-Azhar, Kaherah

Muat turun PDF Risalah Nadi Ukkaz 02 Sejarah Bahasa Arab

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Fill out this field
Fill out this field
Please enter a valid email address.

keyboard_arrow_up