pinuppin-up1 winmostbetmostbet az casino

KONSEP SYURA: KESATUAN UMMAH

  • PENGERTIAN SYURA

Kalimah syura ini berasal daripada perkataan al-Istisyarah yang bermaksud satu perundingan atau perbincangan atau kerja berkumpulan untuk mencari penyelesaian bagi sesuatu masalah dan ia akan diputuskan apabila telah diketahui jalan atau cara penyelesaiannya.

Daripada sudut istilah: Mesyuarat yang diadakan oleh sekumpulan ulama atau umat Islam dalam segala perkara berkaitan kepentingan dan kebajikan berdasarkan keimanan dan ketakwaan. Istilah syura juga didefinisikan oleh ramai cendekiawan Islam antaranya Ibnu al-Arabi al-Maliki mendefinisikannya dengan berkumpul untuk meminta pendapat (pada suatu permasalahan) dan ahli syura saling mengeluarkan pendapat yang dimiliki.

  • DALIL SYURA

Perintah melaksanakan syura telah disebutkan oleh Allah SWT di dalam al-Quran dengan berfirman:

{وَٱلَّذِینَ ٱسۡتَجَابُوا۟ لِرَبِّهِمۡ وَأَقَامُوا۟ ٱلصَّلَوٰةَ وَأَمۡرُهُمۡ شُورَىٰ بَیۡنَهُمۡ وَمِمَّا رَزَقۡنَـٰهُمۡ یُنفِقُونَ}

Maksudnya: “Dan juga (lebih baik dan lebih kekal bagi) orang-orang yang menyahut dan menyambut perintah Tuhannya serta mendirikan sembahyang dengan sempurna; dan urusan mereka dijalankan secara bermesyuarat sesama mereka; dan mereka pula mendermakan sebahagian dari apa yang Kami beri kepadanya” (Surah al-Syura: 38)

  • CONTOH SYURA PADA ZAMAN RASULULLAH SAW DAN SAHABAT TERDAHULU

Syura merupakan satu ciri penting dalam pemerintahan dan pentadbiran Islam.  Antara contoh syura yang berlaku pada zaman Rasulullah SAW dan sahabat terdahulu:

1) Syura telah dipraktikkan sejak zaman Nabi Muhammad SAW dan ketika itu, baginda bermusyawarah bersama tentera Islam dalam peperangan Uhud. Baginda berbincang dengan para sahabatnya mengenai strategi peperangan yang terbaik sama ada bertahan di Madinah atau keluar menyerang. Dan pandangan tersebut mendapat pandangan majoriti yang mengatakan keluar menyerang lebih baik dari bertahan. Walaupun pendapat tersebut tidak dipersetujui oleh baginda dan beberapa orang sahabat, baginda tetap mengikut pendapat majoriti dan keluar menuju ke tempat peperangan.

2) Rasulullah SAW pernah bermusyawarah dengan para sahabat pada waktu perang Badar mengenai keberangkatan menghalang pasukan kafir Quraisy. Baginda bermusyawarah untuk menentukan lokasi perkhemahan dan beliau menerima pendapat al-Mundzir bin ‘Amr RA yang menyarankan untuk berkhemah di hadapan pasukan musuhnya.

3) Rasulullah SAW bermesyuarat bersama para sahabat dalam menentukan cara mempertahankan kota Madinah dalam perang Khandak. Pada ketika itu, Rasulullah SAW menerima pandangan Salman al-Farisi iaitu menggali parit dikeliling kota Madinah bagi menghadapi musuh.

4) Syura yang pertama diadakan di Saqifah Bani Sa’idah di Madinah ketika pelantikan Sayidina Abu Bakar sebagai khalifah pertama bagi menggantikan Rasulullah SAW yang telah wafat. Kemudian, berlaku perbincangan antara orang Muhajirin dan Ansar dalam menentukan khalifah umat Islam pada ketika itu. Rasulullah SAW tidak mewasiatkan bakal penggantinya kerana baginda ingin umat Islam menentukan sendiri bakal pemimpin mereka berdasarkan panduan yang ditetapkan oleh Islam dalam pemilihan pemimpin.

  • KEBAIKAN MENGAMALKAN KONSEP SYURA

1) Keputusan yang diputus menjadi lebih berkesan berdasarkan logik akal.

2) Dapat memantapkan keputusan yang dibuat hasil perbincangan yang lebih matang dan mendalam.

3) Kekeliruan dan ketidakfahaman dapat dielakkan.

4) Memanfaatkan mereka yang berilmu, berpengalaman dan berkemahiran.

5) Memperoleh solusi yang tepat dan idea yang bernas.

6) Menyatukan banyak hati.

7) Terjaga daripada celaan.

Kesimpulannya, konsep syura ini merupakan aspek penting yang perlu ditekankan dalam sistem kepimpinan Islam kerana ia dituntut oleh al-Quran dan al-Sunah dan memang tidak dapat dinafikan lagi bahawa kebaikan dan kelebihan yang diperoleh sebagaimana berlaku di zaman Rasulullah SAW dan para sahabat.Tanpa syura, umat Islam akan kehilangan kemaslahatan dan kekuatan.

Bertepatan dengan fatrah sekarang bahawasanya Keluarga Pelajar-pelajar Kelantan Mesir akan mengadakan Muktamar Sanawi KPKM kali ke-27 yang tidak lama lagi. Muktamar merupakan salah satu wasilah tarbiah dan ia merupakan medan untuk kita sama-sama bersyura, saling memberi pandangan, muhasabah mahupun cadangan untuk kebaikan akan datang. Ayuh kita mempraktikkan konsep syura ini di dalam muktamar akan datang.

 

Nasirah binti Yussoff
Kuliah Bahasa Arab,
Universiti al-Azhar

Muat turun PDF Risalah Fajar Jumaat Siri 494 – Konsep Syura: Kesatuan Ummah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Fill out this field
Fill out this field
Please enter a valid email address.

keyboard_arrow_up