pinuppin-up1 winmostbetmostbet az casino

Ebook Bahan Bacaan Hujung Jari

Apa itu ebook? Ebook ialah singkatan daripada perkataan Bahasa Inggeris, electronic book yang membawa maksud buku yang dicetak secara digital untuk dibaca menggunakan alat peranti moden seperti telefon pintar, tablet dan komputer. Seiring dengan kemajuan teknologi yang membangun pesat pada hari ini, kita dapat lihat bahan bacaan seperti buku telah dibawa masuk ke dalam peranti elektronik bagi membolehkan manusia mengakses bahan bacaan dengan lebih mudah. Hal ini sekali gus telah berjaya menarik minat golongan ulat buku untuk menggunakan aplikasi ini secara lebih meluas.

Sebelum kita berbincang dengan lebih lanjut tentang kebaikan ebook dalam kehidupan manusia, kita lihat terlebih dahulu satu corak penurunan ketara pada aktiviti membaca khususnya dalam kalangan anak muda pada hari ini. Kepelbagaian aplikasi sosial dalam telefon pintar seperti Facebook, Instagram dan Twitter telah menyebabkan buku yang telah sekian lama menjadi sumber utama manusia mencari ilmu pengetahuan dan sumber inspirasi semakin dilupakan. Perkara ini harus menjadi kebimbangan buat kita semua kerana gaya hidup seperti ini bakal menyebabkan kesedaran masyarakat akan kepentingan ilmu kian pudar.

Kelebihan Ebook :

Tidak dinafikan bahawa perpustakaan ialah lokasi utama untuk mencari bahan bacaan tertentu dan mengisi masa lapang. Namun melihatkan kepada gaya kehidupan manusia era moden yang bergerak pantas dan mempunyai jadual kehidupan yang agak padat, ebook boleh menjadi alternatif buat mereka yang mempunyai kekangan masa untuk mengunjungi perpustakaan. Hal ini sinonim dengan golongan pekerja yang sudah menghabiskan masa berjam-jam di pejabat lalu perlu pulang segera ke kediaman untuk bersama keluarga. Ada kalanya mereka juga ingin mencari sedikit masa untuk membaca karya-karya daripada penulis yang mereka minati. Konklusinya, golongan ini digalakkan untuk memuat turun ebook ke dalam telefon pintar mereka supaya tidak perlu bersusah payah untuk mengunjungi perpustakaan.

Jika anda merupakan seorang ulat buku dan mempunyai hobi minat membaca, ebook adalah satu aplikasi yang dicipta khas untuk anda. Pengguna ebook boleh memuat turun bahan bacaan yang mereka inginkan dari serata dunia pada bila-bila masa. Tidak kisah di mana pun anda berada, sama ada di atas pengangkutan awam seperti bas, kereta api mahupun kapal terbang, ebook merupakan aplikasi yang mampu dicapai selama mana peranti elektronik ada bersama dengan anda. Gaya hidup sebegini bakal melahirkan kumpulan masyarakat yang berintelektual dan suka mengisi masa terluang dengan perkara yang bermanfaat.

Ebook juga menyediakan pelbagai bahan bacaan yang ditulis oleh pengkarya hebat dari serata dunia yang sudah tentu bakal membentuk daya pemikiran anda ke arah yang lebih matang dan relevan. Buku-buku yang bertaburan di perpustakaan kadangkala akan membuatkan anda ragu-ragu untuk memilih bahan bacaan yang sesuai dengan minat anda. Ebook ialah jalan penyelesaian terbaik kerana aplikasi ini membolehkan anda menyingkirkan mana-mana kategori bahan bacaan yang anda tidak gemari. Tambahan pula, ebook juga adalah satu teknologi yang memungkinkan anda untuk memuat turun ratusan bahkan ribuan buku ke dalam telefon pintar dalam tempoh yang singkat.

Kita sedang hidup di era yang sangat mengambil berat akan kepentingan ilmu dan pendidikan.

Bagi memastikan kita mampu untuk terus mengekori arus keilmuan yang membangun pesat saat ini, kita memerlukan satu peranti yang berkemampuan untuk menjadi medium bagi mendapatkan maklumat secara segera dan pantas.

Aplikasi ebook ialah kunci utama untuk menyelesaikan permasalahan ini. Kemampuan untuk mencari maklumat dalam tempoh sesaat jelas menunjukkan ia merupakan aplikasi yang diperlukan oleh generasi era moden. Situasi ini jelas agak berbeza jika anda mengunjungi perpustakaan yang memerlukan banyak masa untuk mencari bahan bacaan tertentu. Semudah dengan menaip kata kunci kepada maklumat yang anda inginkan, ebook akan memaparkan segala rujukan maklumat kepada anda.

Penggunaan kamus di hujung jari

Kamus telah menjadi alat rujukan kepada mereka yang ingin mempelajari dan mendalami sesuatu bahasa sejak sekian lama. Namun dengan adanya aplikasi ebook, penggunaan kamus telah mengalami satu evolusi yang membolehkan pengguna mencari maksud perkataan sepantas kilat. Anda hanya perlu menaip perkataan yang sukar dan jarang didengari pada papan kekunci, lalu ebook akan membuat pencarian untuk anda secepat mungkin. Anda tidak perlu lagi membelek satu muka surat ke muka surat yang lain hanya untuk mencari perkataan yang anda inginkan. Hal ini jelas sesuai dengan gaya hidup orang moden sekaligus akan menjimatkan banyak masa anda.

Melihatkan kepada apa yang kita telah bincangkan tentang manfaat aplikasi ebook, jelaslah ia membawa banyak manfaat untuk kehidupan manusia pada hari ini. Namun jangan pula kita jadikan kemudahan ini sebagai alasan untuk bermalas-malasan daripada mengunjungi perpustakaan. Ebook hanyalah sebagai pemudah cara kepada mereka yang ingin membaca secara mudah dan segera. Ia tidak akan sesekali mampu untuk menggantikan buku di perpustakaan yang mengandungi maklumat dan informasi yang lebih banyak dan mungkin juga tidak terkandung di dalam ebook. Sebagai kesimpulan, jadilah seorang pengguna yang bijak dan jangan terlalu tenggelam dalam arus teknologi dunia masa kini.

Abid Iman bin Hasmady,

Kuliah Syariah Islamiah,

Universiti Al-Azhar, Kaherah.

Muat Turun PDF Risalah Multimedia Siri 42 – Ebook Bahan Bacaan Hujung Jari

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Fill out this field
Fill out this field
Please enter a valid email address.

keyboard_arrow_up