pinuppin-up1 winmostbetmostbet az casino

MAJLIS SAMBUTAN HARI RAYA AIDILFITRI 2023 (LEBARAN ‘23)

KAHERAH, 20 APRIL 2023 – Keluarga Pelajar-pelajar Kelantan Mesir 2022/2023 dengan kerjasama Pejabat Pegawai Kebajikan Pelajar Kelantan Timur Tengah telah menganjurkan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2023 (LEBARAN ‘23) yang bertempat di Wisma Sultan Muhammad V. Majlis ini dianjurkan bagi meraikan seluruh anak-anak Kelantan yang berada di bumi Mesir sekaligus merapatkan ukhuwah menerusi aktiviti yang diadakan.

Pada 20 April 2023 bersamaan 30 Ramadan 1444H, program dimulakan dengan solat sunat tasbih secara berjemaah yang diimamkan oleh Ustaz Muhammad Atiqullah bin Ahmad dan Ustaz Ahmad Syuraih Fiqhi bin Mohd Saa’ufi. Setelah itu, program diteruskan dengan Takbir Raya. Kemudian diakhiri dengan slot Perutusan Hari Raya Aidilfitri yang disampaikan oleh Ustaz Muhammad Haizat bin Mohd Rashid, selaku Yang Dipertua, Keluarga Pelajar-pelajar Kelantan Mesir 2022/2023.

Keesokkannya, iaitu pada 21 April 2023 bersamaan dengan 1 Syawal 1444H, ahli KPKM beramai-ramai telah menunaikan solat sunat Hari Raya Aidilfitri yang bertempat di Masjid Musa Nusair, Hayyu Sabiek. Sejurus selepas solat sunat Aidilfitri, diadakan pula Majlis Musalsal Aidilfitri yang disampaikan oleh Sheikh Muhammad Ali Al-Azhari yang bertempat di Surau Wisma Sultan Muhammad V. Kemudian diakhiri dengan slot Riang Ria Raya bersama ahli KPKM, dengan menjemput beberapa wakil dari kalangan ikhwah dan akhawat serta mutazawwijin bagi memberi sedikit ucapan tentang perasaan dan cara sambutan hari raya di Mesir.

Pada sebelah malam, telah diadakan aktiviti gotong-royong lapahan dan merewang di Wisma Sultan Muhammad V yang dihadiri oleh ahli KPKM untuk persediaan Jamuan Hari Raya pada esok hari.

Pada hari ketiga, iaitu pada 22 April bersamaan dengan 2 Syawal 1444H, telah berlangsung Majlis Perasmian Program dan Forum Hari Raya Aidilfitri. Majlis bermula dengan slot Forum: Secangkir Kopi Raya yang disampaikan oleh dua orang panel, Ustaz Mohamad Lukman bin Mat Daud dan Ustazah Nurnasihah binti Shahril , serta moderator, Ustaz Muhamad ‘Abid Safiy bin Mohd Shani. Kemudian majlis ditangguhkan sebentar bagi memberi laluan kepada ahli untuk menunaikan solat zohor secara berjemaah.

Seterusnya, majlis diteruskan dengan slot Perasmian Program yang dipengerusikan oleh Ustaz . Majlis dimulakan dengan alunan nasyid Asmaul Husna dan bacaan ayat-ayat suci al-Quran oleh Ustaz Mohamad. Majlis diteruskan dengan mendengar ucapan ringkas daripada Ustaz Ahmad Syuraih Fiqhi bin Mohd Saa’ufi selaku pengarah LEBARAN ’23, seterusnya ucapan perasmian yang disampaikan oleh Ustaz Che Khairuleffendi bin Che Kamaruzaman, Pegawai Kebajikan Pelajar Kelantan Timur Tengah selaku perasmi program sekaligus merasmikan LEBARAN ’23 dengan penyempurnaan gimik program. Setelah itu, majlis diteruskan dengan Jamuan Hari Raya diselangi dengan ucapan raya ahli, persembahan nasyid dan dikir barat. Kemudian majlis ditangguhkan sebentar bagi memberi laluan kepada ahli untuk menunaikan solat zohor secara berjemaah.

Seterusnya, majlis diteruskan dengan slot Gegey Gegok Rayo Anok Klate. Slot ini dimulakan dengan cabutan bertuah, kemudian diikuti dengan penyampaian hadiah kepada para pemenang yang terlibat dengan pertandingan yang dianjurkan oleh program. Selepas itu, aktiviti diteruskan dengan pembahagian duit raya kepada cucu-cucu KPKM dan tayangan video program. Majlis diakhiri dengan sesi bergambar dan menunaikan solat maghrib secara berjemaah.

Semoga majlis ini dapat mengeratkan lagi ukhuwah antara ahli KPKM dan diberkati oleh Allah SWT. Tidak dilupakan, sekalung penghargaan dan tahniah diucapkan kepada AJK pelaksana program yang telah bertungkus lumus bagi menjayakan program ini serta ahli KPKM yang turut sama mengambil bahagian memeriahkan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri(LEBARAN ’23) pada tahun ini. Moga Allah Taala mengampunkan segala dosa kita serta menerima segala amal soleh dan kebajikan kita.

“Syawal Dinanti, Ukhuwah Ditauti”

 Disediakan oleh:

Maryam Husna Rabbani binti Mazlan

Timbalan Setiausaha Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2023(LEBARAN ’23),

Keluarga Pelajar-pelajar Kelantan Mesir 2022/2023 dengan Kerjasama Pejabat Pegawai Kebajikan Pelajar-pelajar Kelantan Timur Tengah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Fill out this field
Fill out this field
Please enter a valid email address.

keyboard_arrow_up