pinuppin-up1 winmostbetmostbet az casino

17, 18, 19 & 20 FEBRUARI 2019, KAHERAH – Bazar Kelate ’19 anjuran Lajnah Ekonomi KPKM 2018/2019 bertemakan “Kekuatan Ekonomi Pemangkin Keunggulan Organisasi” telah diadakan di Wisma Sultan Muhammad V. Program bermula pada jam 12:30 tengahari dan berakhir pada jam 10:00 malam.

Program Bazar Kelate ’19 dianjurkan sebagai salah satu usaha untuk menjana dan meningkatkan kewangan KPKM bagi meneruskan kelangsungan KPKM sebagai organisasi yang berkebajikan terhadap ahlinya dalam setiap aspek. Selain itu, program ini juga bertujuan untuk mengeratkan ukhuwah sesama ahli serta individu luar, memupuk konsep kerjasama dalam kalangan ahli KPKM, mewujudkan dan membudayakan muamalat patuh syariat serta menyediakan medan kepada ahli untuk menjana pendapatan.

Bazar Kelate ’19 menyajikan beraneka jenis pilihan makanan yang sangat menarik lagi menyelerakan dengan harga yang sangat berpatutan kepada para pengunjung. Terdapat 8 petender yang mengambil bahagian untuk membuka gerai jualan makanan dalam bazar pada kali ini dan tidak ketinggalan juga Gerai KPKM yang menyediakan pelbagai menu minuman, air batu campur (ABC), cendol pulut tapai special (CPT special), bingsu serta roti canai. Selain itu, terdapat juga booth yang dibuka seperti booth Lajnah Ekonomi, booth Lajnah Penerbitan, booth Unit Biah Solehah, booth Unit Bait Muslim, booth Unit Hisbah dan booth Unit Fotografi, Audio & Video (UFO).

Pihak penganjur mengambil kesempatan berinteraksi dan melayani pimpinan BKAN lain yang hadir dengan mengadakan temu ramah mesra melalui deejay. Para pengunjung dapat membuat seleksi lagu nasyid pilihan serta membuat ucapan khusus kepada sahabat dan kenalan yang ada di kaunter Unit TTK. Program ini turut dimeriahkan lagi dengan permainan dan aktiviti yang tidak kurang menariknya seperti teka kacang, gusti lengan, dart, tiup belon berhalangan, bowling angin, pop-up, alihan berwaspada, celik hati celik mata, rangkaian nombor, lompat sibola lompat, dan lilit serban bagi kategori mutazawwijin. Selain itu, Lajnah Penerbitan turut menganjurkan pertandingan Wallpaper sempena Ulang Tahun KPKM kali ke-54 sempena Bazar Kelate ’19.

Hari terakhir bazar menyaksikan Wisma Sultan Muhammad V dibanjiri pengunjung yang cukup ramai yang datang untuk menikmati keenakan dan keunikan makanan yang ada. Acara kemuncak Bazar Kelate ’19 iaitu majlis penutup bermula pada pukul 9:00 malam dan dimulakan dengan ucapan pengarah program, Ustaz Ahmad Nabil Bin Ahmad Fauzi yang juga merupakan Ketua Lajnah Ekonomi KPKM 2018/2019. Majlis diteruskan dengan penyampaian hadiah kepada para pemenang bagi setiap pertandingan yang telah dianjurkan, termasuklah pemenang anugerah Gerai Terbaik yang bertujuan untuk memberikan galakan dan motivasi serta sebagai tanda penghargaan kepada semua yang telah bertungkus lumus dalam menjayakan program mega ini.

Majlis penutup Bazar Kelate ’19 telah dirasmikan oleh Yang Di-pertua  KPKM 2018/2019, al-Fadil Ustaz Muhammad Asrol Hasnan bin Mohd Zain yang mana menjadi lebih istimewa dan bermakna kerana diserikan lagi dengan gimik memotong kek sempena sambutan ulang tahun KPKM kali ke-54. Majlis diakhiri dengan persembahan nasyid daripada kumpulan nasyid KPKM dan juga tayangan video Bazar Kelate ’19 yang memaparkan rakaman momen-momen sepanjang program berlangsung.

Mudah-mudahan pencapaian objektif utama program ini dianjurkan, iaitu untuk menjana kewangan KPKM sedikit sebanyak dapat membantu mengukuhkan ekonomi KPKM bagi meneruskan kelangsungan KPKM sebagai badan yang berkebajikan terhadap ahlinya dalam setiap aspek yang telah sekian lamanya menaungi anak-anak Kelantan di bumi Mesir. Semoga melalui pelaksanaan program ini juga ukhuwah sesama ahli KPKM dapat dikukuhkan lagi.

Disediakan oleh:
Muhamad Yusri bin Abdullah,
Setiausaha Bazar Kelate  ‘19,
Lajnah Ekonomi, Keluarga Pelajar-pelajar Kelantan Mesir 2018/2019

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Fill out this field
Fill out this field
Please enter a valid email address.

keyboard_arrow_up