pinuppin-up1 winmostbetmostbet az casino

12, 13, 15 & 16 FEBRUARI 2020, KAHERAH – Bazar Tok Guru anjuran Lajnah Ekonomi KPKM 2019/2020 bertemakan “Ekonomi Islam Diperkukuh, Amal Islami Diperkasa” telah diadakan di Wisma Sultan Muhammad V. Program bermula pada jam 12:30 tengahari dan berakhir pada jam 10:00 malam.

Program Bazar Tok Guru dianjurkan sebagai salah satu usaha untuk menjana dan meningkatkan kewangan KPKM bagi meneruskan kelangsungan KPKM sebagai organisasi yang berkebajikan terhadap ahlinya dalam setiap aspek. Selain itu, program ini juga bertujuan untuk mengeratkan ukhuwah sesama ahli serta individu luar, memupuk konsep kerjasama dalam kalangan ahli KPKM, mewujudkan dan membudayakan muamalat patuh syariat serta menyediakan medan kepada ahli untuk menjana pendapatan.

Bazar Tok Guru menyajikan beraneka jenis pilihan makanan yang sangat menarik lagi menyelerakan dengan harga yang sangat berpatutan kepada para pengunjung. Terdapat 8 petender yang mengambil bahagian untuk membuka gerai jualan makanan dalam bazar pada kali ini dan tidak ketinggalan juga Gerai KPKM yang menyediakan pelbagai menu minuman, air batu campur (ABC), cendol pulut tapai special (CPT special), bingsu serta roti canai. Selain itu, terdapat juga booth yang dibuka seperti booth Lajnah Ekonomi, booth Lajnah Penerbitan, booth Unit Biah Solehah, booth Unit Bait Muslim, booth Unit Hisbah, booth Unit Kajian Aplikasi dan Bahasa (UKAB) dan booth Unit Fotografi, Audio & Video (UFO).

Pihak penganjur mengambil kesempatan berinteraksi dan melayani pimpinan BKAN lain yang hadir dengan mengadakan temu ramah mesra melalui deejay. Para pengunjung dapat membuat seleksi lagu nasyid pilihan serta membuat ucapan khusus kepada sahabat dan kenalan yang ada di kaunter Unit TTK. Program ini turut dimeriahkan lagi dengan permainan dan aktiviti yang tidak kurang menariknya seperti teka citarasa, gusti lengan, sepak penalti, timbang bola, maskat surat khabar, musang berjanggut, gubahan, bola angin, tiup belon, non-stop talking, tulis jawi serta lilit serban dan teka gaya bagi kategori mutazawwijin. Selain itu, Lajnah Penerbitan turut menganjurkan pertandingan Wallpaper dan penulisan artikel sempena Ulang Tahun KPKM kali ke-55 sempena Bazar Tok Guru.

Turut hadir bersama Duta Besar Malaysia di Republik Arab Mesir dan Palestin, Tuan Yang Terutama Mohd Haniff bin Abdul Rahman dan beberapa pegawai kedutaan Malaysia serta Pegawai Kebajikan Pelajar Kelantan Timur Tengah, Ustaz Khairul Anuar bin Ismail dan isteri termasuk pegawai kedutaan Brunei yang turut menjayakan program Bazar Tok Guru pada kali ini.

Hari terakhir bazar menyaksikan Wisma Sultan Muhammad V dibanjiri pengunjung yang cukup ramai yang datang untuk menikmati keenakan dan keunikan makanan yang ada. Acara kemuncak Bazar Tok Guru iaitu majlis penutup bermula pada pukul 8.30 malam dan dimulakan dengan ucapan pengarah program, Ustaz Mohammad Haizat bin Mohd Rashid yang juga merupakan Ketua Lajnah Ekonomi KPKM 2019/2020. Majlis diteruskan dengan penyampaian hadiah kepada para pemenang bagi setiap pertandingan yang telah dianjurkan, termasuklah pemenang anugerah Gerai Terbaik yang bertujuan untuk memberikan galakan dan motivasi serta sebagai tanda penghargaan kepada semua yang telah bertungkus lumus dalam menjayakan program mega ini.

Majlis penutup Bazar Tok Guru telah dirasmikan oleh Yang Di-pertua  KPKM 2019/2020, al-Fadil Ustaz Sayyidi Muizzuddin bin Mohamad Sabri. Majlis diakhiri dengan persembahan nasyid daripada kumpulan nasyid KPKM dan juga tayangan video Bazar Tok Guru yang memaparkan rakaman momen-momen sepanjang program berlangsung.

Mudah-mudahan pencapaian objektif utama program ini dianjurkan, iaitu untuk menjana kewangan KPKM sedikit sebanyak dapat membantu mengukuhkan ekonomi KPKM bagi meneruskan kelangsungan KPKM sebagai badan yang berkebajikan terhadap ahlinya dalam setiap aspek yang telah sekian lamanya menaungi anak-anak Kelantan di bumi Mesir. Semoga melalui pelaksanaan program ini juga ukhuwah sesama ahli KPKM dapat dikukuhkan lagi.

 

Disediakan oleh:
Muhammad Shamie bin Che Mahamood,
Setiausaha Bazar Tok Guru,
Lajnah Ekonomi, Keluarga Pelajar-pelajar Kelantan Mesir 2019/2020

1 Comment. Leave new

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Fill out this field
Fill out this field
Please enter a valid email address.

keyboard_arrow_up