pinuppin-up1 winmostbetmostbet az casino

MAJLIS SAMBUTAN HARI RAYA AIDILFITRI (FITRAH ’20)

23 DAN 24 MEI 2020, KAHERAH – Keluarga Pelajar-pelajar Kelantan Mesir  telah menganjurkan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri (FITRAH ’20) yang bertempat di Wisma Sultan Muhammad V, Wisma Tengku Mahkota dan kediaman ahli KPKM. Majlis sambutan hari raya pada tahun ini berlangsung selama dua hari, bermula pada 30 Ramadan dan berakhir pada petang 1 Syawal. Sambutan majlis hari raya pada tahun ini terdapat sedikit kelainan jika dibandingkan dengan tahun-tahun sebelum ini, dek kerana norma baharu yang diamalkan bagi membendung penyebaran wabak COVID-19. Kebanyakan aktiviti dilaksanakan oleh ahli KPKM di kediaman masing-masing dan pengisian program juga disiarkan secara atas talian di media rasmi KPKM.

“Kemenangan Dirai, Melestari Kesucian Fitrah”, merupakan tema yang dibawa bagi program kali ini, dan diantara objektif utama penganjuran majlis ini adalah supaya ahli KPKM menghayati hari kebesaran Islam sekaligus menambahkan pengetahuan kepada ahli. Selain itu, ia juga bertujuan bagi menerapkan usul dan pembawaan KPKM ke dalam setiap aktiviti yang dilaksanakan.

 FITRAH ’20 disingkapkan tirainya dengan takbir raya oleh anak-anak Kelantan di wisma dan rumah-rumah sewa. Usai takbir, majlis diteruskan dengan Perutusan Aidilfitri tahun 1441 Hijrah yang disampaikan oleh Ustaz Sayyidi Muizzuddin bin Mohamad Sabri, Yang Dipertua KPKM sesi 2019/2020 secara atas talian di halaman Facebook KPKM. Di antara isi penting yang disampaikan oleh YDP adalah, semua ahli KPKM perlu meneruskan sambutan hari raya dengan berpandukan kebiasaan baharu yang telah disusun dan disebarkan oleh pihak bertanggungjawab, biarpun sambutan pada tahun berbeza, tetapi nilai-nilai murni dan akhlak islamiah perlu dihayati dan diterapkan dalam diri.

Warna-warni Aidilfiti diteruskan lagi dengan persiapan hari raya oleh ahli KPKM di kediaman masing-masing. Semangat kerjasama dan gotong-royong  dapat dilihat secara jelas dipamerkan oleh ahli KPKM dalam menjayakan dan memeriahkan sambutan Aidilfitri. Kekangan norma baharu tidak menghalang mereka daripada meraikan kejayaan melaksanakan perintah Allah SWT.

Keheningan pagi 1 Syawal dipecahkan dengan takbir raya yang bergema di setiap kediaman, solat sunat Aidilfitri dilaksanakan secara sederhana dan para ahli KPKM memanfaatkan media sosial dalam mengeratkan hubungan dan merapatkan silaturrahim dalam kalangan ahli keluarga dan sahabat handai.

Kuliah dhuha khas sempena hari raya Aidilfitri oleh Ustaz Ahmad Subhi bin Zainal Abidin, Anggota Lembaga Penasihat KPKM 2019/2020 berlangsung pada jam 6.15 pagi. Pelbagai isi dan peringatan menarik disampaikan oleh Ustaz Subhi, antaranya beliau menyebutkan bahawa erti kemenangan yang sebenar bagi orang yang beriman adalah istiqamah dalam meneruskan amal ibadat yang dilaksanakan pada bulan Ramadan hingga ke bulan-bulan seterusnya. Selain itu beliau menyatakan juga bahawa hasil utama yang kita mahukan daripada tarbiah Ramadan ini adalah bertambahnya ketaqwaan kita, selari dengan perintah dan janji Allah SWT.

Kemeriahan majlis hari raya diteruskan lagi dengan jamuan hari raya yang disediakan hasil keringat dan kreativiti ahli KPKM sendiri. Pelbagai juadah dan menu menarik yang sedia untuk disantap terhidang di rumah-rumah ahli KPKM. Biarpun sambutan hari raya kali ini agak sederhana tetapi ia tetap bermakna dan bakal menjadi ingatan yang sukar untuk dilupakan.

Kemeriahan majlis hari raya diteruskan lagi dengan jamuan hari raya yang disediakan hasil keringat dan kreativiti ahli KPKM sendiri. Pelbagai juadah dan menu menarik yang sedia untuk disantap terhidang di rumah-rumah ahli KPKM. Biarpun sambutan hari raya kali ini agak sederhana tetapi ia tetap bermakna dan bakal menjadi ingatan yang sukar untuk dilupakan.

Tirai FITRAH ’20 dilabuhkan dengan majlis perasmian FITRAH ’20 oleh Ustaz Syed Ahmad Ridwan bin Sayed Md Zain, Pengerusi Anggota Lembaga Penasihat KPKM 2019/2020 dan Ustaz Muhammad Arif bin Che Hamid selaku Pengarah program. “Kembalinya kita kepada fitrah kita yang suci, hasil mujahadah melawan hawa nafsu sebulan lamanya, merupakan sebab utama kita meraikan kemenangan ini, kerana pada asalnya manusia adalah bersih, tetapi terpalit dengan kekeruhan dunia” merupakan antara ucapan menarik yang disebut oleh al-Fadhil Ustaz Syed Ahmad Ridwan.

Penganjuran program FITRAH ’20 ini diharapkan menjadi satu titik permulaan contoh yang baik dalam pelaksanaan program masa hadapan mengikut standard operating procedure (SOP) yang baharu. Semoga kesatuan dan tautan di antara ahli KPKM tetap teguh bahkan semakin kuat biarpun dalam suasana norma baharu ini.

Sekalung penghargaan diucapkan kepada AJK pelaksana program yang telah bertungkus-lumus bagi menjayakan program pada kali ini, tidak dilupakan juga semua ahli KPKM yang turut sama mengambil bahagian memeriahkan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri (FITRAH ’20) pada tahun ini. Moga Allah taala mengampunkan kita serta menerima segala amal soleh dan kebajikan kita.

Disediakan oleh:
Muhamad Amirul Asyraf bin Azman
Setiausaha Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri (FITRAH ’20),
Keluarga Pelajar-pelajar Kelantan Mesir 2019/2020

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Fill out this field
Fill out this field
Please enter a valid email address.

keyboard_arrow_up