pinuppin-up1 winmostbetmostbet az casino

 IHYA TARBAWI RAMADAN 2022 (IHTIRAM `22)

KAHERAH, 2 MEI 2022 – Keluarga Pelajar-pelajar Kelantan Mesir telah menganjurkan Program Ihya Tarbawi Ramadan 2022 (IHTIRAM `22) di bawah Lajnah Dakwah dan Tarbiah KPKM 2021/2022, bertempat di Wisma Sultan Muhammad V, Wisma Tengku Mahkota Kelantan, rumah KPKM serta rumah sewa ahli KPKM yang berada di sekitar Kaherah. Program ini bertujuan untuk menghidupkan bulan Ramadan dengan pengisian yang bermanfaat, memberi kefahaman yang sebenar berkaitan konsep ibadah, melahirkan modal insan yang kuat dari sudut rohani, jasmani, emosi dan intelek, serta mengukuhkan ukhuwah islamiah dalam kalangan ahli dan BKAN Taakhi. Program ini berlangsung selama sebulan bermula 2 April sehingga 1 Mei 2022M bersamaan 1 sehingga 30 Ramadan 1443H.

Majlis Perasmian IHTIRAM `22 didahulukan sebagai acara pembuka tirai IHTIRAM ’22 yang berlangsung pada 31 Mac 2022 yang bertempat di Surau Wisma Sultan Muhammad V. Majlis ini dimulakan dengan ucapan pengarah IHTIRAM `22, Ustaz Mohamad Aziem bin Mohd Zaid seterusnya dirasmikan oleh Ustaz Muhamad Firdaus bin Burhan, Anggota Lembaga Penasihat, Keluarga Pelajar-pelajar Kelantan Mesir 2021/2022. Majlis ini turut disempurnakan dengan gimik perasmian serta tayangan video aktiviti sepanjang IHTIRAM yang lalu.

Program IHTIRAM ’22 dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti yang dijalankan secara rutin harian, mingguan dan aktiviti-aktiviti khas sempena bulan Ramadan. Antara aktiviti harian yang telah dilaksanakan ialah pengisian tazkirah tarawih, tadarus al-Quran, solat sunat tarawih secara berjemaah di Wisma Sultan Muhammad V dan Wisma Tengku Mahkota Kelantan dengan diserikan lagi jemputan imam Shoubra setiap malam Jumaat.

Seterusnya, pihak IHTIRAM’22 telah melaksanakan aktiviti secara mingguan seperti qiamullail, sahur beramai-ramai, tukaran juadah antara ahli dan dimeriahkan lagi dengan kuiz spontan yang dilontarkan selepas kuliah subuh setiap hari Jumaat. Selain itu, pihak program turut mengatur aktiviti-aktiviti ziarah rumah negeri ke rumah sewa di sekitar Kaherah. Di samping itu, pihak program membuka peluang kepada mahasiswi KPKM untuk menunaikan solat tarawih di masjid-masjid pilihan di sekitar Kaherah. Penyertaan aktiviti ziarah masjid dibuka seramai 39 orang. Masjid terpilih yang dikunjungi ialah Masjid Tantawi, Hayyu Sabiek dan Masjid Musyer Tantawi, Tajammuk Khamis.

Didatangkan juga aktiviti menarik yang julung kali diadakan sempena bulan Ramadan tahun ini seperti Pertandingan Syarahan Badar Kubra dan Nuzul Quran yang bertempat di WSMV bagi lelaki dan WTMK bagi perempuan. Pertandingan ini berlangsung pada 14 April 2022.

Pada 17 Ramadan bersamaan 18 April 2022 pula, pihak program mengambil peluang untuk mengadakan Ceramah Nurul al-Quran dengan menjemput sekitar 700 orang ahli KPKM untuk menghadiri ceramah Nuzul al-Quran serta Majlis Berbuka Puasa Bersama BKAN Taakhi (Iftar Ma’an) bersama Badan Kebajikan Pelajar Pulau Pinang Mesir (BKPPPM) dan Dewan Perwakilan (MAQAZ) Shoubra. Diselangi dua hari selepas itu program diteruskan lagi aktiviti pertandingan hafazan al-Quran yang terbuka kepada semua mahasiswa dan mahasiswi yang berada di Mesir.

Pada 10 Ramadan yang terakhir, aktiviti-aktiviti program IHTIRAM’22 digandakan dengan melaksanakan qiamullail secara harian dan sahur secara berjemaah pada setiap malam-malam ganjil. Pada tanggal 27 April 2022, program IHTIRAM’22 melabuhkan tirai program tahunan ini dengan mengadakan Majlis Perasmian Penutup berserta Iftar Jamaie Anak-anak Kelantan. Majlis Khatam Al-Quran juga berjaya dilakukan pada 30 Ramadan 1443H bertempat di Surau Wisma Sultan Muhammad V dan surau Wisma Tengku Mahkota Kelantan. Seterusnya majlis memberi ruang kepada ahli untuk membuat persiapan Hari Raya Aidilfitri untuk menghias dan mendekorasi kawasan-kawasan wisma.

Semoga aktiviti-aktiviti Ihya Tarbawi Ramadan 2022 (IHTIRAM ’22) di bawah Lajnah Dakwah dan Tarbiah KPKM ini dapat melahirkan modal insan yang hebat dari sudut rohani, jasmani, emosi dan intelektual serta dapat menjadikan program ini sebagai lubuk pahala pada bulan Ramadan.

” رمضان كريم,الله أكرم”

Disediakan oleh:

Ahmad Sakini Bin Najemudin
Setiausaha Ihya’ Tarbawi Ramadan 2022 (IHTIRAM ’22),
Keluarga Pelajar-pelajar Kelantan Mesir 2021/2022

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Fill out this field
Fill out this field
Please enter a valid email address.

keyboard_arrow_up