pinuppin-up1 winmostbetmostbet az casino

Dunia dakwah merupakan satu cabaran baru kepada segenap lapisan pendakwah. Fenomena kecelaruan masyarakat dalam mendekati Islam dan menghayatinya berlaku di semua peringkat kehidupan manusia. Ini disebabkan oleh pemikiran barat telah dikembangkan di tengah-tengah kehidupan masyarakat umat Islam dengan membawa ideologi Islam liberal. Tetapi malangnya, umat Islam pada zaman kini tidak kira alim ulama atau masyarakat awam lebih menyibukkan diri dengan permasalahan khilafiah yang akan membawa kepada perpecahan di antara umat Islam sendiri tanpa mengambil cakna terhadap ideologi yang kian menular dalam kalangan umat islam. Persoalannya, apakah yang dimaksudkan dengan Islam liberal ini?

Istilah Islam liberal terdiri daripada dua perkataan ‘Islam’ dan ‘liberal’. ‘Islam’ bermaksud agama Islam yang diturunkan oleh Allah kepada nabi Muhammad SAW. Manakala ‘liberalisme’ pula merupakan satu istilah asing yang diambil daripada bahasa inggeris, yang bererti kebebasan. Perkataan ini kembali kepada perkataan “liberty” dalam bahasa inggerisnya, atau “liberte” menurut bahasa Perancis, yang bermakna bebas. Istilah ini berasal dari negara Eropah. Para ilmuan telah berselisih pandangan dalam mendefinisikan pemikiran ini. Namun seluruh definisi ini kembali kepada pengertian kebebasan pada pandangan Barat. The World Book Encyclopedia telah menjelaskan perbahasan tentang Liberalisme, bahawa istilah ini masih di anggap samar-samar pada pengertiannya kerana pengertian dan perilaku ahlinya berubah dalam bentuk dan waktu yang tertentu.

Setelah dua perkataan ini disusun, ianya memberi maksud Islam yang liberal atau bebas. Gerakan Islam liberal ini, tujuannya adalah untuk membebaskan (liberating) umat Islam dari belenggu keterbelakangan dan kejumudan. Menurut Owen Chadwik, perkataan ‘liberal’ secara harfiah bererti bebas (free) dan keterbukaan, ertinya ‘bebas dari pelbagai batasan’ (free from restraint). Sekiranya kita menyifatkan perkataan ini secara umum maka ia adalah benar kerana di dalam agama Islam. Tetapi ia tidak membawa maksud kebebasan secara syumul seperti yang dinyatakan oleh golongan ini kerana Islam itu sendiri telah membawa maksud pasrah dengan tunduk serta patuh mengikuti syariat yang telah diperintahkan oleh Allah dan yang telah dibawa oleh nabi Muhammad SAW.

Islam liberal pada mulanya diperkenalkan di dalam buku ‘Liberal Islam : A Source Book’ yang ditulis oleh Charles Kuzman (London, Oxford University Press, 1988) Charles Kurzman adalah seorang professor Sosiologi di University of North Carolina di Chapel Hill dan Co-director Pusat Carolina untuk Kajian Timur Tengah dan Peradaban Islam. Dia adalah penulis beberapa buah buku seperti buku Demokrasi Ditolak, 19051915 (2008), dan buku (Islam Liberal: A source book (1998), Islam Modernis dan 1840-1940 (2002). Beliau juga telah mendefinisikan dengan jelas tentang Islam liberal dengan menyatakan terdapat di dalamnya beberapa perkara, iaitu pluralisme, demokratisasi dan sekularisasi, feminisme dan kesetaraan gender, serta re-interpretasi fiqh (syari’ah) dengan interpretasi yang liberal.
Fahaman Islam liberal ini dengan beberapa ciri lainnya seperti menolak ketetapan hukum syariat dalam kehidupan dengan mengangkat kehidupan yang sekular iaitu pemisahan agama dari kehidupan bernegara, memperjuangkan hak wanita sehingga wanita benar-benar setara dengan lelaki, menyatakan
bahawa semua agama adalah baik dan benar, menolak hukum-hukam fiqh yang tiada khilaf di dalamnya serta menganggap al-Quran sebagai sesuatu budaya bukan wahyu yang diturunkan.
Terdapat beberapa asas pemikiran liberal secara umumnya. Asas liberalisme terbahagi kepada tiga asas iaitu kebebasan, individualisme, rasionalis (‘aqlani, mendewakan akal). Kebebasan yang dimaksudkan adalah setiap individu bebas melakukan perbuatan yang diingini tanpa ada batasan. Sesebuah negara tidak memiliki hak mengatur dan mentadbir undang-undang yang digubal sendiri, dan tidak terikat dengan aturan agama. Sehingga asas ini memberikan kebebasan kepada manusia untuk berbuat, berkata-kata, berkeyakinan, dan berhukum sesukanya tanpa dibatasi oleh syari’at Allah. Manusia menjadi tuhan untuk dirinya dan penyembah hawa nafsunya. Manusia terbebas dari hukum, dan tidak diperintahkan untuk mengikuti ajaran Ilahi. Padahal Allah SWT berfirman di dalam al-Quran yang bermaksud katakanlah: “Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta alam, tiada sekutu bagi-Nya; dan demikian itulah yang diperintahkan kepadaku dan aku adalah orang yang pertamatama menyerahkan diri (kepada Allah).” [Surah al-An’am, ayat 6:162-163].

Keduanya adalah individualism (al-fardiyah). Dalam hal ini meliputi dua pengertian. Pertamanya, adalah dalam pengertian ananiah (keakuan) dan cintakan diri sendiri. Pengertian inilah yang menguasai pemikiran masyarakat Eropah sejak masa kebangkitannya hingga abad ke-20 Masihi. Keduanya, dalam pengertian kemerdekaan peribadi. Ini merupakan pemahaman baru dalam fahaman liberal yang dikenali sebagai pragmatisme.

Asas ketiga ialah rasionalisme (aqlaniyyun, mendewakan akal). Ianya bermaksud akal bebas dalam mengetahui dan mencapai kemaslahatan dan kemanfaatan tanpa memerlukan kepada kekuatan diluarnya.

Kesimpulannya liberalisme adalah pemikiran asing yang masuk ke dalam Islam. Pemikiran ini menafikan adanya hubungan kehidupan dengan agama sama sekali. Pemikiran ini menganggap agama sebagai rantai pengikat kebebasan hingga harus dibuang sejauh-jauhnya dalam kehidupan. Para perintis dan pemikir liberal telah menyusun teras-teras ajarannya dengan meletakkan liberal berada diluar garis seluruh agama yang ada dan tidak seorang pun dari mereka yang mengakui adanya hubungan dengan satu agama tertentu walaupun yang menyimpang. Liberalisme dalam pandangan Islam sangat jauh dari sebuah nilai-nilai Islam tentang semangat kemaslahatan secara kaffah. Kerana liberalisme adalah sebatas semangat kebebasan dalam cara pandang tentang menterjemahkan sebuah ajaran Islam. Sedangkan Islam mengajarkan tentang semangat mencari kemaslahatan, bukan sebuah kebebasan tanpa melihat dari sisi kemaslahatan secara kaffah. Wallahualam.

Ustaz Muhammad Hasif bin Mohamad,

Kuliah Ulum Islamiah, Universiti Al-Azhar, Kaherah.

Muat turun PDF Risalah Fajar Jumaat siri 454

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Fill out this field
Fill out this field
Please enter a valid email address.

keyboard_arrow_up