pinuppin-up1 winmostbetmostbet az casino

Firman Allah SWT dalam kalam sucinya :
يرفع الله الذين ءامنوا منكم والذين ءاتوا العلم درجت

Mafhumnya : Allah akan mengangkat orang-orang yang beriman diantaramu dan orangorang yang diberi ilmu beberapa darjat.
Keberatan kaki memijak bumi yang diselimuti debu-debu pasir di pergunungan sahara serta sinaran sang suria tepat menggigit kepala. Cabaran ini tidak menjadi alasan kepada Azhari dan Azhariah yang mengambil pengajian dirosat mahupun pengajian perubatan. Bahkan, menempuhinya dengan penuh gagah, bersahabatkan ilmu dan hujah sebagai senjata bagi merungkai setiap persoalan pada imtihan akhir ini. Kini kalendar masihi sudah memasuki pertengahan bulan lima manakala taqwim hijrah memasuki bulan Syaaban. Sebentar lagi imtihan bakal melabuhkan tirainya.

Sebelum tirai dilabuhkan, ayuh semua kita soroti kembali, usul yang telah diperkasakan oleh KPKM pada Muktamar Thanawi baru-baru ini. “Kecemerlangan Pendidikan Pencetus Pelapis Ummah” . Inilah antara judul usul yang menjadi tarikan perbahasan para tampuk kepimpinan bersama angkatan ahlinya.

Secara ringkasnya, pendidikan memberi maksud segala pengalaman yang diperoleh melalui pancaindera yang memberi kesan kepada pemikiran manusia. Pengetahuan, kemahiran dan nilai murni akan diwarisi dari generasi ke generasi dalam proses membangunkan ketamadunan Negara secara berterusan. Pendidikan tidak akan berdiri utuh tanpa bertunjangkan kepada prinsip hidup beragama, khususnya pengajaran yang terdapat di dalam Al-Quran dan As-Sunnah. Al-Quran dan As-Sunnah akan meningkatkan potensi rohani yang cemerlang. Rohani atau jiwa yang tenang adalah anugerah daripada Allah SWT.

Sumber pendidikan yang benar dapat membangunkan insan yang berkualiti. Apabila insan itu baik dengan sendirinya ilmunya akan cemerlang dan sikapnya akan harmoni dengan fitrah yang dianugerahkan oleh Allah SWT. Insan yang berilmu dan beriman akan menghiasi kehidupannya dengan akhlak yang terpuji dan tingkah laku yang beradab. Justeru, pendidikan mestilah berlandaskan kepada Al-Quran dan As-Sunnah. Agama hendaklah menjadi paksi dan rujukan kepada keseluruhan sistem dan amalan pendidikan.

Hakikatnya, kalimah pendidikan itu sendiri, mempunyai skop yang sangat luas. Jika dilihat melalui pendidikan di Jamiah, kebiasaannya wujud dua aliran pengajian iaitu fakulti pengajian Islam seperti kuliah Bahasa Arab, kuliah Syariah Islamiah dan kuliah Usuluddin manakala fakulti perubatan bagi medik Azhar dan Azhariah. Persoalannya, bagaimanakah ingin melahirkan seorang penuntut Azhar bukan sahaja cemerlang dari segi sahsiahnya malah cemerlang dalam pendidikannya?

Ayuh kita perhatikan beberapa rahsia yang boleh dipraktikkan dalam kehidupan :
1) Mulakan dengan Taqarrub. Sentiasalah mendekatkan diri kepada Allah, pencipta sekalian makhluk. Jangan bazirkan titisan air mata kepada perkara yang sia-sia. Ingatlah, Allah rindu rintihan hambanya yang bangun sepertiga malam dikala manusia lena dibuai mimpi. Syukurlah kerana bumi Mesir masih lagi dihuni oleh masyarakat beriman yang mendorong kita melakukan perkara maaruf dan mencegah kemungkaran.

2) Mujahadah setiap saat Sebelum diri melangkah keluar dari perut burung gergasi, hati telah membayangi, suasana Mesir pasti seakan-akan London. Namun, apa yang dilihat sebaliknya. Tambahan pula, sistem pendidikan yang longgar menyebabkan sebahagian daripadanya tidak menghadiri kuliah. Antara hujahnya, “ kalau pergi pun bukan ambil kehadiran bahkan bukannya faham pun apa yang doktor syarahkan ”. Inilah mentaliti salah, mungkin kita tidak memahaminya namun ada keberkatan dari setiap ilmu yang dipertuturkan. Mujahadahlah sehingga lelah kerana disebaliknya, keberkatan yang membuahkan ketenangan. Lantaran itu, dunia ini tempat berjuang dan bercucuk tanam, hasilnya bakal kita tuai di akhirat kelak.

3) Muhasabah penyempurna usaha Lazimilah, seorang penuntut ilmu untuk bermuhasabah setiap masa. Fitrah manusia sentiasa melakukan kekhilafan. Namun, adakah ingin berada dalam kesilapan selamanya. Oleh itu, ambil sedikit masa untuk bermuhasabah dari segi amal perbuatan kita, muamalah sesama makhluk serta tingkah laku seharian kita. Kemudian, fikirkan rawatan yang perlu diambil bagi memantapkan lagi stamina di sudut ruhiah serta jasmani. Usahalah langkah penambahbaikan sehabis daya. Apaapa yang di luar kemampuan kita, pohonlah bantuan daripada Allah. Sekali lagi! Allah tidak pernah mengecewakan.
Hasilnya, kecemerlangan pendidikan melahirkan pencetus pelapis ummah yang menjadi impian dan dambaan masyarakat dalam sesebuah Negara. Masyarakat Malaysia amnya, menunggu kepulangan generasi Azhari yang produktif dalam penguasaan ilmu yang diceburi, juga pembentukan sahsiah yang dihiasi dengan mutiara keimanan dan permatapermata akhlak yang unggul pekertinya. Persis kalam yang telah dinukilkan dari Saidina Ali Bin Abi Thalib : Kecantikan bukan terletak pada pakaian yang dipakai tetapi ia bergantung kepada keelokan akhlak dan budi pekerti.

Sebagai seorang Azhari atau Azhariah tidak dapat tidak untuk mengambil setiap peluang dan ruang masa yang ada, dengan bertalaqqi ilmu bersama Sheikh serta bersahabat dengan para ulama’ di Al-Azhar ini. Sertailah kelas-kelas tafaqquh yang disediakan oleh KPKM . Ianya juga adalah sebahagian daripada wasilah dan pemudah cara bagi seseorang penuntut Azhar yang tidak berkelapangan. Antara kelebihan kelas tafaqquh ini adalah memberi peluang kepada para pelajar medik menguasai ilmu-ilmu asas agama Islam seperti ilmu Feqah, ilmu Tauhid, ilmu Tajwid dan sebagainya. Bukan sahaja mahir dalam bidang mereka sahaja.

Teladanilah kewarakan Rasulullah SAW dan para sahabat baginda. Jadikanlah sirah baginda sebagai satu penguat dalam menempuh kehidupan yang berduri di sepanjang persimpangan jalan. Warisilah setiap tugas yang telah ditinggalkan oleh para nabi dan rasul dalam menyeru manusia ke arah mentauhidkan Allah SWT sebagai Pencipta. Hindari diri ini dek sikap mementingkan diri sendiri dari mengambil berat perihal ummat. Hadirkanlah perasaan gembira serta bahagia apabila melihat ummat Islam telah menerima risalah dakwah yang diperjuangkan. Sedarlah, kita mempunyai satu amanah yang besar harus dipikul, iaitu menjulang Islam hingga hembusan nafas terakhir.
Tuntasnya, bertepatanlah dengan slogan yang menjadi nadi kebangkitan kepada penuntut Al-Azhar sekalian, iaitu “ Kecemerlangan Pendidikan Pencetus Pelapis Ummah ”. Bangkitlah berusaha dengan sepenuh jiwa dan raga bagi menjadi pelapis yang bakal mendokong Negara serta rakyatnya ke arah mencari Redha Allah SWT. Kutiplah sebanyak mungkin ilmu di bumi barakah ini untuk di bawa pulang isinya ke tanah air kelahiran kita iaitu Negara Malaysiaku Tercinta.

Renungilah Hadis Rasulullah SAW :
* الناس هالكون الا العالمون، والعالمون هالكون الا العاملون، والعاملون هالكون الا المخلصون *
Maksudnya : Manusia akan musnah melainkan orang yang berilmu, manakala orang yang berilmu akan musnah melainkan orang yang beramal, dan orang yang beramal akan musnah melainkan orang yang ikhlas.

Nur Qurrataa’ina Bt Mohd Ruslan
Kuliah Bahasa Arab,
Universiti Al Azhar Syarif.

Muat turun PDF Risalah Fajar Jumaat siri 422

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Fill out this field
Fill out this field
Please enter a valid email address.

keyboard_arrow_up