pinuppin-up1 winmostbetmostbet az casino

Ramai dalam kalangan kita sudah sedia maklum apakah itu usrah, lebih-lebih lagi bagi mereka yang berada dalam persatuan yang berteraskan Islam. Namun, ada juga dalam kalangan kita yang masih belum memahami akan makna usrah ini terutamanya bagi mereka yang masih baru dalam persatuan. Alhamdulillah, Keluarga Pelajar-pelajar Kelantan Mesir (KPKM) merupakan salah satu daripada Persatuan Islam yang amat menitikberatkan akan kelangsungan dan keberkesanan usrah ini. Pelbagai cara dilakukan bagi memastikan ahli KPKM mendapat pendedahan tentang usrah dan dapat merealisasikan usrah dalam kehidupan, antaranya adalah melalui risalah.

KEPENTINGAN USRAH

Usrah merupakan langkah terawal dalam dakwah perkembangan agama Islam. Penghulu kita Sayyidul Mursalin Nabi Muhammad S.A.W merupakan pengasas usrah. Hal ini dibuktikan dengan perkumpulan para sahabat yang terawal memeluk Islam di rumah al-Arqam bin Abi al-Arqam bagi mendengarkan dakwah baginda pada malam hari bagi mengelakkan daripada dikesan oleh kafir Quraisy. Peristiwa ini menjadi bukti bahawa tunjang dakwah adalah melalui usrah. Daripada usrah kecil-kecilan inilah lahirnya para sahabat yang bermati-matian mempertahankan agama Islam yang suci ini daripada tangan-tangan taghut durjana yang ingin menghalang perkembangan dakwah.

Firman Allah S.W.T di dalam al-Quran yang bermaksud: Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela agamaNya, dalam barisan yang tersusun kukuh. (Surah as-Saff : 4)
Telah berkata Sayyidina Ali Karramallahu wajhah: “Kebatilan yang tersusun akan mengalahkan kepada kebenaran yang tidak tersusun”

Usrah merupakan salah satu cara untuk menegakkan agama Allah secara tersusun. Usrah disusun mengikut manhaj yang memberi manfaat kepada Islam. Contohnya: Bacaan al-Quran dan hadis, Sirah Nabawiyyah dan Gerakan Islam. Usrah disusun bermatlamat untuk mendekatkan diri kepada Allah, merapatkan Ukhuwwah Islamiah, memberi galakkan serta bimbingan dalam ibadah, meledakkan potensi diri yang sebenar dan lain-lain lagi. Banyak pendedahan yang dibuat dalam perbincangan usrah antaranya: Bacaan al-Quran, Tafsir, Fiqh, Aqidah, Isu-isu semasa dan banyak lagi. Di samping itu, hubungan silaturrahim dalam kalangan ahli menjadi lebih erat dan mampu meningkatkan keberanian ahli dalam menyampaikan pendapat dan berhujah di depan ahli yang lain.
Secara jelas, usrah dapat memupuk semangat juang Islam kerana usrah adalah satu kaedah yang sangat penting dalam menerapkan nilai-nilai Islam dalam kalangan ahli. Lihatlah bagaimana para pejuang agama Islam berkorban masa dan tenaga demi menyebar luaskan agama Islam sehingga ramai daripada mereka yang mati syahid. Apakah kekuatan mereka ? Bagaimana mereka mampu bertahan sedemikian rupa ? Jawapannya adalah usrah, kerana usrah merupakan tunjang kekuatan perjuangan mereka. Oleh itu, marilah kita sama-sama memberikan sepenuh komitmen kepada usrah, terapkan dalam diri kita akan nilai-nilai Islam melalui garis panduan yang telah ditetapkan oleh ulama silam, iaitu usrah.

TIP USRAH BERKESAN

Di sini saya kemukakan beberapa cara yang dapat membuahkan usrah yang berkesan, kerana melalui usrah yang berkesan inilah dapat melahirkan para pejuang yang cakna akan Islam dan dapat menyumbang kepada Islam seperti yang disebutkan di atas.
1) Naqib hendaklah memastikan agar perjalanan usrahnya diatur rapi dan kemas tapi jangan sampai kepada membosankan ahli-ahli usrah.

2) Isi usrah hendaklah tidak dijumudkan hanya kepada pembacaan teks dan hafalan semata-mata tetapi hendaklah dipelbagaikan bertepatan dengan ciri-ciri tarbiyah seperti rehlah, riadhah, jaulah maqam, qiamullail dan lain-lain.

3) Bersifat mutawassil (berterusan) kerana sesuatu pembentukan yang terputus-putus dan tidak berskala akan membantutkan proses penghayatan dan perkembangan yang lebih berkesan. Hal ini tidak akan mencapai kesan yang diharapkan.

4) Usrah hendaklah mempunyai perancangan yang rapi dalam semua sudut.

5) Kesungguhan semua pihak yang terlibat samada nuqaba’ mahupun ahli. Semua pihak hendaklah memberi komitmen yang tinggi bagi mencapai objektif usrah yang efektif dan dapat memberi sumbangan kepada agama Islam dari segenap sudut.

CIRI-CIRI KEBERKESANAN SESUATU USRAH

Di sini saya selitkan juga akan ciri-ciri keberkesanan sesuatu usrah agar lebih jelas kepada kita akan gambaran usrah yang berkesan. Terdapat banyak ciri-ciri keberkesanannya, antaranya ialah :
1) Sejauh mana peningkatan ahli dalam penghayatan Islam 2) Sejauh mana konsep At-Taawun (bekerjasama) dalam kalangan ahli dalam membantu proses penghayatan Islam. 3) Sejauh mana ikatan yang terbentuk pelaksanaannya dalam bentuk amalan.
Kesimpulannya, usrah merupakan asas terpenting dalam pembentukan dan pembinaan Fardul Muslim yang berkualiti. Usrah merupakan tulang belakang tarbiyyah dan dakwah agama Islam. Oleh itu, marilah samasama kita wajibkan diri kita menghadiri usrah yang diadakan setiap minggu sebagaimana KPKM telah menetapkan bahawa hari Jumaat adalah hari usrah. Semoga kita dapat menerapkan nilai-nilai Islam dalam jiwa kita dan tergolong dalam kalangan mereka yang memperjuangkan agama Islam, In Syaa Allah.

Mohammad Haikal ‘Azim bin Hashimy

Kuliah Usuluddin, Universiti al – Azhar, Kaherah

Muat turun PDF Risalah Fajar Jumaat siri 447

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Fill out this field
Fill out this field
Please enter a valid email address.

keyboard_arrow_up