pinuppin-up1 winmostbetmostbet az casino

Ramadan adalah satu-satunya bulan Islam yang mewajibkan setiap Muslim untuk berpuasa selama sebulan dan ia juga dikenali sebagai bulan ibadah. Sudah menjadi tradisi masyarakat Arab apabila menjelangnya bulan Ramadan, amalan-amalan seperti bacaan al-Quran, solat sunat, bersedekah dapat dilihat di merata tempat.

Jibril pernah berdoa, mafhumnya; Sesiapa yang menemui bulan Ramadan dan kemudian mati dan tidak diampuni (dosanya), maka dia akan dimasukkan ke dalam neraka dan Allah akan mengabaikannya (jauh dari-Nya). Dan doa ini telah diaminkan oleh junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Mesir secara umumnya terkenal dengan kemeriahan sambutan bulan mulia ini dengan kepadatan jemaah ketika solat sunat tarawih di masjid-masjid, daurah dan muhadharah mengenai bulan Ramadan oleh para masyaikh, tidak ketinggalan juga kepelbagaian juadah yang menarik dan unik. Jadi, kupasan pada kali ini akan membawa anda mendalami budaya Arab Mesir ketika sahur, berbuka puasa serta kemeriahan suasana ibadah di sini.

Kacang ful, to’miyyah, kurma dan tamar hindi (asam jawa) adalah sebahagian daripada makanan tradisi masyarakat Mesir dan juga merupakan makanan ruji bagi masyarakat tempatan di sini. Selain harganya yang murah, makanan masyarakat Mesir kaya dengan khasiat yang tinggi sesuai dengan budaya masyarakat Mesir yang bekerja keras. Tidak dilupakan juga manisan istimewa yang khusus pada bulan Ramadan seperti Basbousah, Kunafah dan Qatayef. Qamar el-Din (jus aprikot) dan kurma wajib disediakan di kediaman mereka. Adakalanya mereka akan menambah Zabadi (yogurt), Medames (kacang fava) dan Mekhalel
(jeruk) sebagai pembuka selera mereka.

Suasana di masjid-masjid pada bulan Ramadan sentiasa hidup terutamanya pada waktu malam dengan aktiviti tahajud dan beriktikaf. Ada di antara mereka yang melakukan ibadah secara berjemaah dan ada juga yang melakukannnya secara bersendirian. Tetapi, apa yang menakjubkan adalah betapa ramainya bilangan yang hadir ke masjid dengan membawa satu niat dan tujuan yang sama walaupun ada di antara mereka berbeza bangsa dan negara.

Menjelang waktu dinihari, Musaharti mula menjalankan tugasnya. Musaharti merupakan pengejut sahur jalanan yang akan mengejutkan masyarakat di kawasan sekitarnya dengan mengetuk gendang kecilnya atau menyanyi untuk membangunkan mereka supaya bersahur. Budaya ini masih dipraktikkan oleh masyarakat Mesir. Dan inilah di antara keistimewaan Mesir dalam menjaga budaya Ramadan walaupun berada di zaman milenium inI.

Seperti kebiasaan masyarakat di negara lain, masyarakat Mesir turut mengamalkan aktiviti bersahur dan berbuka puasa. Kebiasaannya masyarakat Melayu akan menikmati juadah yang berat ketika bersahur, tetapi bagi masyarakat Mesir mereka lebih menggemari makanan yang berkhasiat dan mudah disediakan. Antara makanan yang menjadi kebiasaan mereka adalah makanan yang berasaskan produk tenusu seperti keju atau yogurt serta kacang ful yang akan dimakan bersama dengan roti ‘isy. Walaupun hanya berbekalkan juadah yang ringan, itu sudah cukup untuk menampung budaya kerja seharian mereka.

Waktu berbuka puasa adalah waktu yang paling dinantikan oleh masyarakat Mesir kerana di sinilah adanya keistimewaan yang paling dinantikan iaitu Maidatur Rahman. Maidatur Rahman adalah tempat berbuka puasa yang disumbangkan oleh golongan bangsawan kepada golongan yang tidak berkemampuan secara percuma. Maidatur Rahman boleh dijumpai di setiap kawasan dan juadah yang disediakan berbeza mengikut tempat. Bagi golongan mahasiswa di Mesir, Maidatur Rahman merupakan peluang bagi mereka mencipta dan merasai pengalaman berbuka bersama masyarakat tempatan Mesir.

Pengalaman menyambut Ramadan di Mesir tidak akan sama dengan negara-negara yang lain, kerana Mesir memiliki keunikan dan keistimewaannnya yang tersendiri. Pepatah Arab ada mengatakan, anda belum melihat perayaan jika belum melihat Ramadan di Mesir. Tuntasnya, marilah kita bersama-sama menghayati dan mendalami budaya dan tradisi bumi piramid ini.

Aisyah binti Kamarul Zaman
Kuliah Usuluddin, Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir.

Muat turun PDF Risalah Fajar Jumaat siri ke 461

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Fill out this field
Fill out this field
Please enter a valid email address.

keyboard_arrow_up