pinuppin-up1 winmostbetmostbet az casino

SAMBUTAN HARI RAYA AIDILADHA 2020 (LABBAIK ’20)

KAHERAH, 30 & 31 JULAI DAN 1 & 2 OGOS 2020 – Sambutan Hari Raya Aidiladha 2020 (LABBAIK ’20) anjuran Keluarga Pelajar-pelajar Kelantan Mesir 2019/2020 dengan kerjasama Pejabat Atase Pendidikan Kelantan Mesir bertemakan “Menyahut Seruan Ilahi” telah diadakan di Wisma Tengku Mahkota Kelantan. Program LABBAIK ’20 pada kali ini bermula pada hari Khamis 30 Julai 2020 bersamaan 9 Zulhijah 1441 Hijrah dengan Solat Sunat Tasbih dan tayangan Takbir Raya yang dilaksanakan di Wiswa Tengku Mahkota Kelantan pada jam 9:00 malam. Tayangan ini dibuat secara siaran  langsung di laman rasmi ‘facebook’  KPKM beserta dengan Ucapan Perutusan Aidiladha yang disampaikan oleh Yang Dipertua KPKM 2019/2020, al-Fadhil Ustaz Sayyidi Muizzuddin bin Mohamad Sabri pada jam 9:45 malam.

Program LABBAIK ’20 diteruskan lagi dengan pelaksanaan Solat Sunat Aidiladha pada hari Jumaat 31 Julai 2020 bersamaan 10 Zulhijah 1441 Hijrah. Antara perkara menarik pada kali ini ialah Solat Sunat Aidiladha telah dilaksanakan sendiri oleh pihak penganjur bersama ahli KPKM di Wisma Tengku Mahkota Kelantan. Ini mamandangkan pihak kerajaan Mesir masih tidak membenarkan Solat Sunat Aidiladha diadakan di masjid pada tahun ini. Sepanjang Solat Sunat Aidiladha, ahli jemaah telah mematuhi etika penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka  bagi menjaga daripada berlakunya penularan pandemik ‘COVID-19’. Khutbah Aidiladha telah disampaikan oleh Ketua Lajnah Ekonomi KPKM 2019/2020, al-Fadhil Ustaz Muhammad Haizat bin Mohd Rashid yang menyentuh mengenai erti pengorbanan yang sebenarnya dan hakikat manusia untuk kembali kepada fitrah.

Pada hari berikutnya iaitu pada hari Sabtu 1 Ogos 2020 bersamaan 11 Zulhijah 1441 Hijrah, para penggerak program LABBAIK ’20 telah menguruskan penyembelihan korban para penempah korban beserta dengan agihan daging korban yang juga dibuat pada hari yang sama. Pada hari sembelihan pihak penganjur mengambil inisiatif dengan mengupah orang Arab sendiri untuk melakukan lapahan daging korban atas kekangan ahli KPKM untuk turut serta menyertai acara lapahan disebabkan oleh pandemik ‘COVID-19’. Kemeriahan program Aidiladha kali ini masih tetap berseri dengan pihak penganjur juga mengambil kesempatan menziarahi ahli-ahli KPKM yang masih berada di Mesir sambil mengagihkan daging korban.

Program Sambutan Hari Raya Aidiladha 2020  (LABBAIK ’20) dianjurkan sebagai salah satu usaha untuk menghayati erti pengorbanan dan kecintaan terhadap Islam serta menghayati sirah perjalanan para Anbiya. Pada masa yang sama ia bagi memupuk budaya saling tolong-menolong dan kerjasama dalam kalangan ahli bagi mengeratkan lagi ukhuwah islamiah dalam kalangan ahli KPKM khususnya.

Walaupun dengan penularan ‘COVID-19’, penyertaan untuk menyertai bahagian korban pada kali ini dilihat masih mendapat sambutan yang menggalakkan daripada para penempah korban apabila 20 ekor kambing dan khoruf telah berjaya dikorbankan. Pada masa yang sama, kerjasama dan ukhuwah yang erat masih lagi dapat dilihat pada  semua ahli KPKM sepanjang berlangsungnya program. Ini kerana, kita dapat melihat bahawa isu pandemik ‘COVID-19’ ini langsung tidak menghalang seluruh ahli KPKM untuk mengambil bahagian bagi menjayakan program Sambutan Hari Raya Aidiladha pada tahun ini.

Majlis penutup Sambutan Hari Raya Aidiladha 2020 (LABBAIK ’20) telah dirasmikan oleh Pengarah Sambutan Hari Raya Aidiladha 2020 (LABBAIK ’20), al-Fadhil Ustaz Ahmad Irham bin Ismail. Majlis diakhiri dengan acara “Diskusi: Maqasid Haji dan Umrah” bersama Pegawai Kebajikan Pelajar Kelantan Timur Tengah iaitu al-Fadhil Ustaz Khairul Anuar bin Ismail. Dalam diskusi ini, Ustaz Khairul Anuar menyentuh hakikat tujuan pelaksaan ibadah haji dan umrah serta pengertiannya dengan disebutkan juga empat maqasid utama pelaksanaan ibadah tersebut.

Kesimpulannya, semoga objektif utama program yang dianjurkan dapat dicapai, iaitu bagi membumikan erti pengorbanan yang sebenarnya dalam kalangan ahli KPKM. Sebagai harapan dengan pelaksanaan program ini juga, semoga ukhuwah sesama ahli KPKM dapat dieratkan lagi dengan budaya tolong-menolong dan bekerjasama terus dipupuk dalam program-program yang mendatang. Semoga KPKM terus dijaga oleh Allah SWT sebagai badan yang menjaga kebajikan terhadap ahlinya dalam setiap aspek yang telah sekian lamanya menaungi anak-anak Kelantan di bumi Mesir.

 

 

Disediakan oleh:
Aqib Fahmi bin Mohd Abdul Salam
Setiausaha, Sambutan Hari Raya Aidiladha 2020 (LABBAIK ‘20),
Keluarga Pelajar-pelajar Kelantan Mesir 2019/2020 dengan kerjasama Pejabat Atase Pendidikan Kelantan Mesir

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Fill out this field
Fill out this field
Please enter a valid email address.

keyboard_arrow_up