pinuppin-up1 winmostbetmostbet az casino

LAPORAN PERTEMUAN KPKM BERSAMA PEGAWAI

(Gambar Kunjung Hormat Pimpinan KPKM bersama Pegawai, 4 November 2019)

KAHERAH, 30 Mei 2020 – Pimpinan Keluarga Pelajar-pelajar Kelantan Mesir yang diketuai oleh Ustaz Sayyidi Muizzuddin bin Mohamad Sabri, Yang Dipertua KPKM 2019/2020 telah mengadakan satu perjumpaan bersama Ustaz Khairul Anuar bin Ismail, Pegawai Kebajikan Pelajar Kelantan Timur Tengah bertempat di Bilik Mesyuarat, Wisma Tengku Mahkota Kelantan, Hayyu Sabie. Turut hadir pada perjumpaan tersebut Ustaz Ahmad Subhi bin Zainal Abidin, Anggota Lembaga Penasihat KPKM 2019/2020.

Pada pertemuan ini telah dibentangkan laporan kebajikan anak Kelantan di bumi Mesir termasuk laporan keberadaan anak Kelantan di Kaherah dan luar Kaherah serta laporan kesihatan pelajar yang telah pulang ke Malaysia dan perkembangan kesihatan mereka.

Antara perkara yang telah dibincangkan dalam pertemuan ini adalah:

1. Pihak pegawai dan KPKM bersetuju untuk menyusun semula penempatan penghuni Wisma Sultan Muhammad V dan Wisma Tengku Mahkota Kelantan. Oleh itu beberapa langkah akan dikuatkuasakan:

(a) Semua penghuni WSMV akan dipindahkan ke WTMK.
(b) Pemindahan akan berlaku secara berperingkat bermula selepas 16 Jun 2020.
(c) Bil elektrik dan air masih berjalan seperti biasa pada bulan Jun.
(d) WSMV akan dikunci sepenuhnya.
(e) Penyusunan wakil AJKT untuk memantau keselamatan di WSMV.
(f) Aktiviti pembersihan dan proses pembaikan WSMV akan dilakukan secara berperingkat.

2. Tambahan, pihak KPKM juga mengadakan perbincangan mengenai syarat permohonan baru penghuni wisma. Tindakan ini bagi membantu pihak pegawai dalam usaha menyusun semula perkara tersebut.

3. Selain itu, peruntukan dan bantuan khusus kepada rumah sewa yang sedang dikuarantin. Antara bentuk sumbangan yang akan diberikan adalah alatan disinfeksi seperti cecair antiseptik (cecair Dettol), cecair pembasmi kuman (Clorox) dan botol penyembur. Makanan juga turut disumbangkan bagi membantu sepanjang tempoh kuarantin para pelajar.

4. Agihan makanan asasi kali ketiga bagi anak-anak Kelantan yang masih berada di Mesir. Pembahagian ini akan dilaksanakan dalam pertengahan bulan Jun.

5. Di samping itu, Yang Dipertua KPKM juga turut membentangkan laporan terkini keadaan ahli-ahli serta mengutarakan beberapa cadangan kepada pihak pegawai berkaitan kebajikan anak-anak Kelantan yang masih berada di Mesir khususnya bagi menghadapi tempoh ini.

6. Dalam pertemuan ini, turut diadakan perbincangan berkaitan persediaan dari segi keselamatan sekiranya pihak universiti memaklumkan tarikh peperiksaan bagi pelajar tahun akhir.

7. Pihak KPKM sentiasa bekerjasama dengan pihak pegawai dalam menyalurkan maklumat serta memberikan laporan semasa berkaitan COVID-19 kepada pihak Kerajaan Negeri Kelantan dan Kedutaan Besar Malaysia Kaherah.

8. Akhir sekali, Pegawai Kebajikan Pelajar Kelantan Timur Tengah turut menasihati anak-anak Kelantan Mesir agar mengikuti nasihat serta saranan daripada pihak Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (KBMK) dan sentiasa berwaspada serta peka terhadap ancaman penyakit yang berbahaya ini dan terus mengambil tindakan pencegahan setiap masa sebagaimana berikut:

(a) Meningkatkan tahap kebersihan serta penjagaan kesihatan yang tinggi pada setiap masa seperti kerap mencuci tangan dengan menggunakan air dan sabun atau pensanitasi tangan.
(b) Sentiasa mengamalkan jarak sosial dan etika kesihatan apabila berada di khalayak ramai dengan memakai pelitup muka bagi mencegah penularan wabak pandemik COVID-19.

Keluarga Pelajar-pelajar Kelantan Mesir mengucapkan ribuan terima kasih kepada Pegawai Kebajikan Pelajar Kelantan Timur Tengah yang sentiasa mengambil berat kebajikan pelajar di sini dan kami semua sangat mengharapkan kerjasama daripada para pelajar untuk mengamalkan langkah penjagaan kesihatan yang lebih ketat dan sentiasa mengikuti perkembangan yang dikeluarkan oleh pihak berautoriti.

“Belajar dan Beramal”
“Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan”
#BersamaBersatu
#BersatuHatiMembinaUmmah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Fill out this field
Fill out this field
Please enter a valid email address.

keyboard_arrow_up