pinuppin-up1 winmostbetmostbet az casino

MASA DAN KEHIDUPAN

  Masa merupakan satu nikmat tidak terhingga yang dikurniakan Allah SWT kepada hamba-Nya. Setiap orang dikurniakan 24 jam sehari, 168 jam seminggu, 720 jam sebulan, 8,640 jam setahun tanpa dikurangkan atau dilebihkan atau dilebihkan sedikitpun daripada makhluk lain. Nikmat masa ini disebutkan oleh Nabi Muhammad SAW di dalam hadis baginda yang bermaksud:

“Ada dua nikmat yang manusia sering lupa dan tertipu dengannya iaituwaktu sihat dan waktu lapang”.

(Hadis Riwayat al-Bukhari)

Berdasarkan hadis ini, jelas digambarkan kepada kita tentang nikmat masa yang telah diberikan kepada manusia. Waktu sihat dan waktu lapang adalah waktu yang sangat penting kepada kita. Waktu yang perlu kita manfaatkan sebaiknya, akan tetapi kealpaan kita kepada kehidupan dunia menjadikan kita lupa akan nikmat besar ini. Menyedari akan kepentingan waktu kepada kita, perlulah disusuli dengan penyusunan yang rapi.

Di dalam muwasofat tarbiah ada menekankan berkenaan penyusunan waktu ataupun secara mudahnya difahami dengan waktu yang tersusun. Individu muslim perlu menyusun waktu dalam kehidupannya dengan teratur dan rapi. Penyusunan waktu yang efektif dalam kerja seharian akan meringankan beban kita untuk melaksanakan kerja yang banyak.

Tertarik dengan kata-kata Syeikh Sayyid Qutb di dalam tafsir beliau, Tafsir Fi Zilal al-Quran. Beliau berkata, “Kehidupan dunia apabila diukurkan dengan ukuran dunia dan ditimbangkan dengan neraca dunia, maka ia akan dilihat dan dirasakan sebagai satu kehidupan yang amat agung dan besar. Akan tetapi, apabila diukur dengan ukuran alam buana dan ditimbangkan dengan neraca akhirat, maka ia akan kelihatan sangat kecil dan kerdil”.

Jika ditilik dengan masa yang kita ada serta kewajipan kita diatas muka bumi ini, nescaya kita tidak akan mampu untuk melaksanakan semua kewajipan. Hal ini kerana, kewajipan lebih banyak daripada masa yang kita ada. Oleh sebab itu, para ulama telah meletakkan fiqh aulawiyat dalam kita mengurus kewajipan kita. Ini semua dapat menjadi panduan kepada kita dalam menguruskan kehidupan seharian kita berbekalkan masa yang diberikan.

Kemewahan, kesenangan, kekayaan antara pendorong utama kepada kita dalam mensia-siakan waktu yang ada. Kita merasakan waktu kita banyak sehingga menunda-nunda dalam melakukan amal dan kebaikan. Kita merasakan waktu kita hanya untuk kita sehingga melupakan tanggungjawab kita kepada masyarakat sekeliling.

Sewajarnya kita faham akan kepentingan masa kepada diri dan masyarakat agar mampu menjadikan kita seorang yang cakna dengan peredaran masa. Firman Allah SWT yang bermaksud, “Demi masa. Sungguh, manusia berada dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran”.

Dalil ini jelas menunjukkan kepada kita golongan yang waktu mereka tidak rugi. Selain daripada surah al-Asr, ada beberapa surah yang lain yang menunjukkan kepada masa. Ini menjadi dalil yang jelas tentang kepentingan masa di dalam sebuah kehidupan.

Para ulamak sangat menitikberatkan berkenaan masa. Ada di antara mereka yang tidak menjamah makanan sehingga disuap barulah dimakan demi menelaah kitab. Ada juga diantara mereka yang menyuruh muridnya membacakan kitab sedang dia ada keperluan lain. Ada diantara mereka yang hanya tidur sekadar tersengguk demi menelaah kitab. Ini semuanya merupakan himmah dan kecaknaan mereka terhadap waktu yang ada.

Kesimpulannya, jagalah masa yang diberikan kepada kita sebaiknya. Semua manusia tidak sempurna kecuali para nabi AS, tetapi kita mampu buat sebaik mungkin. Jadikan kisah hidup para nabi AS, sahabat RA dan para ulamak sebagai panduan untuk kita mengatur masa sebaiknya. Merekalah sebaik-baik panduan dan ikutan.

Rujukan:
-Al-Kafi #1059: Sifat Kehidupan Dunia (Tafsir Surah al-Hadid ayat 20)
-الوقت في الحياة المسلم: شيخ يوسف القرضاوي

Syed Mohammad A’tif bin Syed Ali,
Kuliah Syariah Islamiah,
Universiti Al-Azhar, Kaherah.

Muat turun PDF Risalah Fajar Jumaat siri 478 – Masa dan Kehidupan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Fill out this field
Fill out this field
Please enter a valid email address.

keyboard_arrow_up