pinuppin-up1 winmostbetmostbet az casino

MUKTAMAR SANAWI KPKM KALI KE-26

KAHERAH, 21 Oktober 2021 – Telah berlangsung Muktamar Sanawi Keluarga Pelajar-Pelajar Kelantan  Mesir Kali Ke-26 bertempat di Wisma Sultan Muhammad Ke-V. Muktamar Sanawi pada kali ini bertemakan “Bersama Bersatu Menjaga Warisan”. Muktamar Sanawi berlangsung selama sehari bermula jam 7.30 pagi sehingga 10.45 malam, dengan penjagaan SOP sebagaimana yang telah ditetapkan oleh pihak berwajib.

Antara objektif yang telah digariskan adalah mengumpulkan ahli seluruh Mesir untuk berbincang bagi kebaikan KPKM pada masa akan datang. Kedua, melahirkan ahli yang proaktif dan kritis dalam menyuarakan pendapat dan komentar. Ketiga, menyedarkan pimpinan dan ahli akan tanggungjawab serta tugas yang terpundak di bahu masing-masing. Keempat, mendidik pimpinan dan ahli melalui kefahaman medan muktamar sebagai salah satu medan tarbiah. Kelima, mengeratkan ukhuwah dan menyatukan fikrah ahli dan pimpinan dalam menjayakan pembawaan yang bakal dibawa oleh pimpinan akan datang. Dan yang terakhir, memberi pengalaman berorganisasi kepada ahli dan pimpinan bagi melahirkan generasi kepimpinan yang berkredibiliti.

Muktamar Sanawi ini dirasmikan oleh Ustaz Khairul Anuar bin Ismail, Pegawai Kebajikan Pelajar Kelantan Timur Tengah. Seterusnya, majlis disambung dengan sesi kedua iaitu pada jam 9.15 pagi sehingga 12.30 tengahari. Majlis dimulakan dengan sesi pelantikan Setiausaha Sidang MS kali ke-26 bagi kedua-dua belah pihak ikhwah dan akhawat kemudian diteruskan dengan Pembentangan Ucapan Dasar Yang Dipertua oleh Ustaz Muhammad Adam bin Mohd Rasul, Yang Dipertua KPKM 2020/2021. Setelah selesai pembentangan Ucapan Dasar YDP, agenda diteruskan lagi dengan slot Perbahasan Ucapan Dasar YDP daripada muktamirin dan muktamirat yang mengemukakan hujah dan sokongan terhadap Ucapan Dasar YDP.

Sesi ketiga bermula pada jam 1.30 tengahari dan majlis diteruskan lagi dengan Pembentangan Laporan Aktiviti Tahunan dan Laporan Kewangan sesi 2020/2021 setelah Peringatan MS Kali Ke-25 diluluskan. Selepas itu, majlis diteruskan lagi dengan sesi soal jawab antara ahli dan pimpinan. Pembentangan dimulakan dengan Lajnah Kebudayaan, Kesenian dan Sukan dan berakhir dengan laporan Yang Dipertua.

Sesi keempat bermula sekitar jam 6.45 petang, majlis diteruskan dengan sesi Pembentangan Usul yang diterima, oleh Ustaz Muhamad Yusuf bin Hasani dengan usul yang berbunyi “Menjadikan KPKM Sebagai Medan Dalam Pelaksanaan Gerak Kerja Islam Secara Keseluruhan Dan Mengoptimumkan Peranan Ahli Dalam Menjayakan KPKM Secara Bersama”. Seterusnya, Pengerusi Sidang memberi ruang kepada muktamirin dan muktamirat untuk membahaskan usul ini supaya para ahli yang hadir dapat memahami item yang ingin dibawa bersama pada sesi hadapan. Setelah itu, majlis beralih kepada Pembentangan Usul Kedua yang diterima, oleh Ustazah Sofiah Az Zahrah binti Norizam dengan usul “Memperkasakan Keterlibatan Mahasiswi KPKM Dalam Medan Amal Islami Mengikut Acuan Islam”. Pembentangan ini juga diteruskan dengan sesi perbahasan usul oleh muktamirin dan muktamirat bagi menyokong pembawaan usul tersebut untuk sesi akan datang.

Kemudian, majlis disambung  dengan pemilihan Pengerusi Tetap MS Kali Ke-27 dan Juru Audit KPKM sesi 2021/2022. Setelah dicadang dan disokong maka dilantik dua orang Pengerusi Tetap dan dua orang Juru Audit serta seorang juru audit simpanan KPKM 2021/2022. Selepas itu, majlis diteruskan dengan penyampaian hadiah bagi pemenang Pertandingan Syaqah Idaman yang dianjurkan oleh Lajnah Perumahan, Anugerah Musyrif Terbaik serta Anugerah Emas KPKM juga turut diadakan sebagai tanda penghargaan daripada KPKM. Seterusnya, penyampaian ucapan daripada Yang Dipertua dan Ketua HEWI KPKM 2020/2021, mewakili saf kepimpinan Ahli Jawatankuasa Tertinggi dan HEWI KPKM 2020/2021 sebagai ucapan terakhir, kemudian diringi penyampaian cenderamata tanda penghargaan atas khidmat yang disumbangkan.

Akhirnya, majlis diserahkan kepada Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Keluarga Pelajar-Pelajar Kelantan Mesir bagi mengumumkan Ahli Jawatankuasa Tertinggi dan HEWI, Keluarga Pelajar-Pelajar Kelantan Mesir 2021/2022 dan sesi taaruf. Setelah selesai taaruf barisan saf kepimpinan 2021/2022, majlis diakhiri dengan ucapan penangguhan dan bacaan doa oleh Yang Dipertua KPKM 2021/2022.

Disediakan oleh:

Nur Awatif binti Mohamad Zulkifli
Setiausaha III, Muktamar Sanawi KPKM Kali Ke-26,
Keluarga Pelajar-pelajar Kelantan Mesir 2020/2021.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Fill out this field
Fill out this field
Please enter a valid email address.

keyboard_arrow_up