pinuppin-up1 winmostbetmostbet az casino

Secara umumnya, hadis dari sudut hukum terbahagi kepada dua kategori, iaitu bahagian yang diterima (maqbul) yang diwakili oleh hadis sahih dan hadis hasan, manakala bahagian ditolak (mardud) pula diwakili oleh hadis lemah (dhaif) dan hadis palsu (maudhu’). Walaupun secara asasnya dari pembahagian ini hadis dhaif diletakkan bersama hadis maudhu’ dalam satu kategori, namun jika diperincikan perbahasan berkenaannya ternyata kedudukan antara hadis dhaif dengan hadis maudhu’ sangat jauh jurang bezanya. Ertinya, hadis dhaif memanglah tiada kepastian (thabit) ianya dari Rasulullah SAW, namun tidak sesekali ianya palsu!

Di dalam kitab Al-Majmuk Syarh Al-Muhazzab karangan Imam An-Nawawi dan Tadrib Ar-Rawi bagi Imam As-Suyuti, dinyatakan para ulama telah bersepakat bahawa hadis dhaif tidak boleh dibuat hujah (istidlal) khususnya melibatkan perkara aqidah dan hukum-hakam. Tetapi para ulama berbeza pandangan berkaitan hukum beramal dengan hadis dhaif khususnya pada perkara-perkara seperti cerita, kelebihan amalan, dorongan kepada kebaikan dan ancaman kepada keburukan selama mana ianya berstatus tidak terlalu dhaif (dhaif jiddan / syadid ad-dha’f).

Pandangan para ulama hadis (Muhaddisin) dalam persoalan ini secara mudahnya terbahagi kepada tiga aliran:

1. Aliran pertama: Tidak boleh sama sekali beramal dengan hadis dhaif sekali pun statusnya tidak sampai ke peringkat terlalu dhaif dan juga dalam perkara yang berkait dengan kelebihan amalan sekali pun. Pandangan ini dipelopori antaranya oleh Imam Muslim, Syeikhul Islam Imam Ibn Taimiyyah, Imam Syaukani, Imam Abu Bakr Ibn Al-Arabi dan Syeikh Ahmad Muhammad Syakir. Imam Al-Bukhari juga dikatakan cenderung kepada aliran ini.

Antara hujah aliran ini yang berpandangan tidak boleh beramal secara mutlak dengan hadis dhaif ialah kerana telah memadai bagi setiap muslim itu
beramal dengan seluruh isi kandungan Al-Quran dan hadis yang sahih dan hasan. Kesemua itu telah pun merangkumi nilai-nilai kelebihan amalan, peringatan, dorongan kepada kebaikan dan ancaman kepada keburukan.

2. Aliran kedua: Dibolehkan beramal dengan hadis dhaif tanpa sebarang syarat dalam perkara-perkara yang berkait dengan kelebihan amalan, peringatan, dorongan kepada kebaikan, ancaman kepada keburukan dan seumpamanya. Pendapat ini diwakili antaranya oleh Imam Abu Dawud, Imam Ahmad Ibn Hanbal, Imam Ibn Mahdi, Imam Abdullah Ibn Mubarak, Imam Nasaie dan Imam At-Tibi.

Antara hujah bagi pendapat aliran ini ialah; hadis dhaif itu lebih kuat dan lebih baik dari perkataan orang soleh yang menggesa kepada amalan kebaikan dan pengampunan. Berkata Imam At-Tibi, “Boleh untuk tidak menyatakan status dhaifnya hadis yang bersifat peringatan, cerita, dan kelebihan amalan selagi mana ianya tidak sampai ke peringkat maudhu’ dan tidak berkait dengan sifat-sifat Allah dan hukum halal haram.”

3. Aliran ketiga: Dibolehkan beramal dengan hadis dhaif dengan disertakan beberapa syarat, iaitu:

a) Hadis itu tidak terlalu dhaif. Bahkan ianya bebas dari perawi pembohong, dituduh sebagai pembohong, fasiq dan perawi yang sentiasa melakukan salah dan silap.

b) Tidak berpendirian berpegang hanya dengan sikap cermat dan langkah berjaga-jaga (ihtiyat).

c) Hadis itu mestilah berada di bawah naungan umum nas-nas Al-Quran dan hadis sahih (ma’thur) dan berada dalam jumlah perkara yang sudah diketahui umum diamalkan. d) Teks (matan) hadis itu tidaklah beraneka ragam dan melampau sehingga ianya ditolak oleh waras akal, syarak dan laras bahasa.

e) Hadis itu mestilah tidak bercanggah dengan dalil atau nas syar’ie yang lebih kuat darinya.

Dua syarat akhir ini (d dan e) ditambah oleh Imam Al-Qaradhawi.

Pandangan aliran ketiga ini adalah pendirian majoriti (jumhur) ulama dan ia dijejaki antaranya oleh Sultanul Ulama Imam Izzuddin Abdussalam, Imam Ibn Daqiq Al-‘Aid, Al-Hafiz Ibn Hajar AlAsqolani, Imam An-Nawawi, Al-Hafiz Ibn Abd AlBarr, Imam Sufyan Ath-Thauri, Imam Sufyan ‘Uyainah, Prof. Dr. Yusuf Al-Qaradhawi dan ramai lagi di kalangan ulama-ulama lain masa kini.

Bahkan Imam Jamaluddin Al-Qasimi menyebut dalam kitabnya Qawaid At-Tahdith bahawa pendirian aliran ini adalah muktamad di sisi para imam hadith. Imam An-Nawawi juga menisbahkan pandangan aliran ini kepada muhaddisin, fuqaha’ dan selainnya.

Perselisihan ijtihad para ulama dalam perkara seperti ini tidaklah terkeluar sehingga menjejak ke premis kebatilan. Sekali gus ia memberi ruang kepada kita untuk berkhilaf dengan penuh berakhlak, berlapang dada dan menjaga ukhuwwah. Berpeganglah dengan pendapat yang didasari dalil dan hujah terkuat lagi diyakini serta mendamaikan hati. Sebaiknya bagi penuntut dan ahli ilmu berusaha tidak berpegang dengan pendapat yang longgar pendalilannya apa lagi ianya dipegang semata-mata hanya untuk menjadi pelapik dan pelepas diri bagi membenarkan sesuatu tindakan atau amalan tertentu yang biasanya menjadi perselisihan tajam tentangnya.

Semoga Allah SWT menjadikan kita di kalangan mereka yang mendengar setiap pendirian dan hujahan, seterusnya berpegang dan mengikuti apa yang terbaik.

اللهم اجعلنا من الذين يستمعون القول فيتبعون أحسنه

Dengan segala kelemahan dan kekurangan diri, nota ringkas yang saya kemukakan ini hanyalah setitik dari lautan luas perbahasan ilmu hadis yang dibahas halus lagi teliti dengan kehebatan dan titik peluh para ulama yang mesti bagi kita penuntut ilmu terus mengkaji dan menerokainya. Apa lagi ianya dikenali sebagai metod (manhaj) ilmu yang paling susah dan paling luas berbanding ilmu-ilmu lain.

Muhd Fakhruddin Amin bin Mohd Ramli

Kuliah Usuluddin (Hadis & Ulum Hadis) Universiti Al-Azhar, Dumyat

Muat turun PDF Risalah Fajar Jumaat siri 423

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Fill out this field
Fill out this field
Please enter a valid email address.

keyboard_arrow_up