pinuppin-up1 winmostbetmostbet az casino

PROGRAM KEMAHIRAN SKILLS’22

KAHERAH, 20 dan 23 FEBRUARI 2022 – Keluarga Pelajar-Pelajar Kelantan Mesir telah mengadakan Program Kemahiran SKILLS’22 bertempat di Wisma Sultan Muhammad ke-V dan Wisma Tengku Mahkota. Program ini diadakan bertujuan untuk melahirkan ahli KPKM yang mahir dalam pelbagai bidang dan kemahiran. Program ini berlangsung dua hari, 20 dan 23 Februari 2022. Program dilaksanakan dengan penjagaan SOP sepertimana ditetapkan oleh pihak berwajib. Terdapat lima bengkel yang diadakan sepanjang program ini berlangsung iaitu Bengkel Adobe Premiere Pro, Bengkel Fotografi, Audio dan Video, Bengkel Penulisan, Bengkel Vokasional dan Bengkel Adobe Photoshop.

Pada hari pertama, program dimulakan dengan pembentangan Bengkel Adobe Premiere Pro di surau Wisma Sultan Muhammad ke-V. Pada jam 8.30 pagi, para peserta mendaftarkan diri sebelum mendengar taklimat program. Bengkel Adobe Premiere Pro dibentangkan oleh Ustaz Ahmad Nasharuddin Wafri, Ketua Unit Multimedia KPKM disusuli slot latihan pada jam 10.30 pagi. Bengkel ini berakhir dengan penyampaian cenderahati kepada pengisi dan penyampaian hadiah kepada peserta terbaik.

Program diteruskan pada jam 1.00 petang dengan pembentangan Bengkel Fotografi, Audio dan Video oleh pengisi berpengalaman, Ustaz Muhammad Ikmal bin Rakeman, Unit Mentor Graphic Visual, Kelab Karyawan Islam KPKM. Bengkel dimulakan dengan sesi pendaftaran beserta sesi taklimat program. Slot pengisian bengkel ini berlangsung selama satu jam setengah disusuli slot praktikal yang dikendali oleh beberapa orang mentor. Slot ini terbahagi kepada dua kumpulan iaitu kumpulan video dan audio sebelum kedua-dua kumpulan saling bertukar item pengisian. Bengkel berakhir dengan sesi penyampaian cenderahati kepada pengisi dan penyampaian hadiah kepada peserta terbaik program.

Pada hari yang sama, telah berlangsung Bengkel Penulisan di Dewan Dr Tengku Mahkota Fa-ia Petra, Wisma Tengku Mahkota. Bengkel ini terbahagi kepada dua slot utama iaitu slot asas, format dan peraturan dalam penulisan dan slot kedua pula ialah slot penulisan laporan, artikel dan cerpen. Slot pertama disampaikan oleh Ketua Jabatan Fasilitator KPKM, Ustaz Muhammad Fikri bin Basri. Pengisi memberi kefahaman kepada peserta tentang teknik-teknik asas dalam penulisan. Slot pertama berakhir dengan penyampaian cenderahati kepada pengisi. Bengkel diteruskan lagi dengan slot kedua yang dibentangkan oleh Ustazah Nasirah binti Yussoff, Ketua Biro Penerbitan KPKM pada jam 9.30 pagi. Para peserta didedahkan dengan kaedah menulis laporan, artikel dan cerpen dengan betul. Pengisi menyampaikan pembentangan dengan kaedah dua hala yang membuatkan perjalanan pembentangan menjadi lebih mudah dan memfokuskan kepada kefahaman dan permasalahan.

Pada Hari Berikutnya, Program Kemahiran SKILLS’22 diteruskan lagi dengan Bengkel Vokasional dan Bengkel Adobe Photoshop. Bengkel Vokasional telah diadakan di surau Wisma Sultan Muhammad ke-V. Program ini dimulakan dengan pembentangan kertas kerja dan kemudiannya disusuli dengan praktikal yang disampaikan oleh Ketua Lajnah Perumahan KPKM, Ustaz Muhammad Azim Muzhafar bin Mohd Asri. Para peserta didedahkan dengan cara pemasangan pemanas air, kipas, lampu dan paip di kedua-dua belah bahagian ikhwah dan akhawat.

Sementara itu di Dewan Dr. Tengku Mahkota Fa-iz Petra, Wisma Tengku Mahkota telah berlangsung Bengkel Adobe Photoshop. Bengkel ini terbahagi kepada tiga slot utama. Slot pertama iaitu slot Pengenalan Adobe Photoshop & Basic Tools yang telah disampaikan oleh Ustaz Muhammad Asyiq bin Amran, Setiausaha Lajnah Penerbitan KPKM. Slot kedua pula ialah slot Bedah Karya, Teknik Design Berkesan & Latihan yang disampaikan oleh Ustaz Muhammad Amirul Asyraf bin Azman dan juga telah dikendali oleh beberapa orang mentor. Para peserta telah didedahkan kaedah membuat design yang berkualiti dan baik. Selepas berlalu sesi pengisian selama dua jam, bengkel diteruskan dengan slot praktikal dan slot komentar. Pengisi dan mentor memberikan komentar kepada hasil kerja para peserta agar kekurangan dan kelemahan dapat diperbaiki dan dibaik pulih. Bengkel ini diakhiri dengan penyampaian cenderahati kepada pengisi dan hadiah kepada dua orang peserta terbaik.

Semoga para peserta dapat mengambil manfaat sebaik mungkin daripada program yang telah dianjurkan oleh KPKM dan memberi khidmat dengan menjadi pelapis kepada persatuan ini kelak. Tidak dilupakan juga sekalung penghargaan dan tahniah diucapkan kepada eksekutif dan ajk pelaksana program yang telah berhempas pulas menjayakan program serta semua ahli KPKM yang mengambil bahagian menyertai bengkel yang dianjurkan. Semoga Allah Taala mengampunkan segala dosa kita serta menerima segala amal kebajikan kita.

“Mahasiswa Berilmu dan Berkemahiran”

Disediakan oleh :

Abid Iman bin Hasmady
Setiausaha Program Kemahiran SKILLS’22,
Keluarga Pelajar-Pelajar Kelantan Mesir 2021/2022

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Fill out this field
Fill out this field
Please enter a valid email address.

keyboard_arrow_up