pinuppin-up1 winmostbetmostbet az casino

Qal’ah (kubu) Sultan Salahuddin al-Ayubi atau lebih dikenali sebagai benteng Salahuddin al-Ayubi kelihatan amat menarik berada di tengah-tengah Kota Kaherah yang menjadi tumpuan pelancong dalam atau luar negara. Benteng ini juga terletak bersebelahan Bukit Muqattam dan berhampiran dengan Medan Sayyidah Aisyah. Idea pembinaan ini merupakan hasil cetusan Sultan Nasir Salahuddin al-Ayubi sendiri dan pembinaannya dilakukan pada tahun 1183 M. Ia pernah menjadi pusat pentadbiran kerajaan iaitu pada 700 tahun yang lalu. Pembinaan kubu yang terletak di atas bukit ini memerlukan asas dan bahan yang kukuh serta utuh bagi memastikan ia kekal zaman berzaman. Panglima Salahuddin al-Ayubi telah mengarahkan supaya mengambil batu yang terdapat di Piramid, Giza, untuk dijadikan sebagai batu asas kubu tersebut. Kubu ini dikelilingi pagar yang tinggi untuk mengelakkan musuh menceroboh masuk.

Selain itu, kubu ini mempunyai beberapa pintu utama antaranya pintu Fath, pintu Nasr, pintu Khalk dan pintu Luq. Kemudian terdapat saliran air sebagai bekalan untuk kegunaan tentera pada masa itu. Saliran ini bermula dari sungai Nil hingga ke kubu Sultan Salahuddin al-Ayubi. Banyak kesan sejarah yang terdapat di kubu tersebut yang dibina pada zaman pemerintahan kerajaan Ayubiah dan diluaskan pada zaman kerajaan Uthmaniyyah. Di dalamnya terdapat Masjid Mohammed Ali Pasha yang terletak di bahagian utara kubu ini. Masjid ini diperbuat daripada Alabester atau marmar putih yang diambil dari perkampungan Aswan. Di tengah-tengahnya terdapat tempat mengambil wudhu’ yang dihiasi dengan seni ukiran yang menarik. Terdapat juga di dalam kawasan kubu ini Muzium Polis, Muzium Tentera, Qasrul Jawhara (Muzium Permata) yang mengandungi perhiasan raja-raja Mesir, Muzium Penjara Citadel di mana merupakan tempat banduan dikurung di situ.

Seterusnya, terdapat Mathaf al-Fan al-Islami (Muzium Kesenian Islam) yang terletak di pintu Khalk yang menyimpan sekitar ribuan barang yang melambangkan kesenian Islam semenjak zaman Nabi Muhammad SAW sehingga sekarang. Antaranya adalah surat Rasulullah yang diutuskan kepada pemimpin Mesir ketika itu bernama Maqauqis agar beliau mentauhidkan Allah SWT. Disebalik pelbagai muzium ini, ianya mempunyai peristiwa sejarah yang tersendiri. Akhir kalam, Qal’ah Salahuddin ini menjadi satu tempat bersejarah bagi para pelancong. Ramai pengunjung yang tertarik melihat kubu yang masih tersergam indah dan kukuh seni binanya. Malahan, ianya juga menjadi salah satu tempat yang wajib dikunjungi ketika berada dibumi Mesir ini.

Nor Aisyah binti Mohamed,

Kuliah Usuluddin, Universiti al-Azhar, Kaherah

Muat turun PDF Risalah Fajar Jumaat siri 450

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Fill out this field
Fill out this field
Please enter a valid email address.

keyboard_arrow_up