pinuppin-up1 winmostbetmostbet az casino

 PASTI BAHAGIA TANPA KETENANGAN?

Allah SWT berfirman:

ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ وَتَطۡمَىِٕنُّ قُلُوبُهُم بِذِكۡرِ ٱللَّهِۗ أَلَا بِذِكۡرِ ٱللَّهِ تَطۡمَىِٕنُّ ٱلۡقُلُوبُ

“(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan mengingati Allah. Ketahuilah dengan mengingat Allah itu, tenang tenteramlah hati manusia.” (Surah al-Ra’d: 28)

Sejatinya, makna sederhana daripada kata “ketenangan jiwa” ialah keadaan di mana jiwa itu sudah berada pada tahap ketenangan sejati, rasa lapang, tidak ada tekanan, menerima kenyataan, berpasrah diri kepada Sang Khaliq, merasakan manisnya iman, boleh mengendalikan diri dan hawa nafsu, jauh daripada kebencian, tenteram dan hati menjadi luas serta lapang.

Setiap daripada kalangan kita pasti pernah merasakan saat-saat masalah yang kita hadapi tiada jalan keluar atau penyelesaian. Ketika masalah itu muncul, hati kita dilanda kegelisahan, stres dan depresi yang mana boleh mendatangkan pelbagai penyakit kepada kita. Terkadang masalah yang kita hadapi tak kunjung selesai bukan kerana tiada solusinya, melainkan kerana kita tidak cukup tenang untuk berfikiran jernih.

Salah seorang ulamak salaf berkata:

“Sungguh kasihan orang-orang yang cinta dunia, mereka (pada akhirnya) akan meninggalkan dunia ini, padahal mereka belum merasakan kenikmatan yang paling besar di dunia ini.” Maka ada yang bertanya, “Apakah kenikmatan yang paling besar di dunia ini?” Ulamak ini menjawab, “Cinta kepada Allah, merasa tenang ketika mendekatkan diri kepada-Nya, rindu untuk bertemu dengan-Nya, serta merasa bahagia ketika berzikir dan mengamalkan ketaatan kepada-Nya.

Islam adalah agama yang tenteram, agama yang memberikan ketenangan, agama yang memberikan kedamaian. Berikut beberapa kunci dalam mencari ketenangan yang dianjurkan dalam Islam:

  • Berzikir kepada Allah (mengingati Allah)

Firman Allah SWT dalam al-Quran tentang seorang munafik tidak akan mengingati Allah dengan banyak kecuali apabila Allah mengiktirafnya itu seorang muslim.

  • Bersyukur dengan apa yang ada

Firman Allah yang bermaksud: “Maka ingatlah kamu kepada-Ku, nescaya Aku ingat pula kepadamu, dan bersyukurlah kepada-Ku, dan janganlah kamu mengingkari nikmat-Ku.” (Surah al-Baqarah: 152)

  • Taat kepada perintah Allah

Al-Imam Ibnul Qayyim berkata: “…Sesungguhnya, hati tidak akan merasakan ketenangan, ketenteraman dan kedamaian melainkan jika pemiliknya berhubung dengan Allah SWT dengan melakukan ketaatan kepada-Nya sehinggakan barangsiapa yang tujuan utama dalam hidupnya, kecintaannya, rasa takutnya, dan kebergantungannya hanya kepada Allah SWT, maka dia telah mendapatkan kenikmatan dari-Nya, kelazatan dari-Nya, kemuliaan dari-Nya, dan kebahagiaan dari-Nya untuk selama-lamanya.”

  • Solat

Kewajipan bagi setiap muslim ialah melaksanakan solat lima waktu kepada-Nya. Apabila solat yang kita kerjakan benar dan khusyuk, nescaya kita akan merasakan kepuasan dalam hati, ketenangan jiwa dan ketenteraman hidup.

  • Yakin terhadap pertolongan Allah

Sesulit apapun dan seberat apapun masalah yang kita hadapi, yakinlah bahawa Allah tidak akan uji hamba-Nya diluar kemampuan mereka. Allah SWT pasti akan memberikan pertolongan kepada kita jika menghadapi ujian tersebut dengan ikhlas, sabar serta bertawakal kepada-Nya.

Ketenangan seseorang tidak dapat dilihat mahupun diukur secara langsung. Oleh kerana itu, untuk mengetahui seseorang memiliki ketenangan jiwa atau tidak, ia dapat dilihat daripada beberapa aspek. Terdapat tiga aspek dalam ketenangan jiwa iaitu:

  • Memiliki solusi atau penyelesaian ketika berhadapan dengan masalah.
  • Memiliki rasa sabar.
  • Memiliki keyakinan serta percaya diri sendiri.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dialah yang telah menurunkan ketenangan ke dalam hati orang-orang beriman supaya keimanan mereka bertambah dan yakin berserta dengan keimanan mereka (yang telah ada). Dan kepunyaan Allahlah bala tentera langit dan bumi (untuk menolong mereka); dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.” (Surah al-Fath: 4)

Ingatlah, ketenangan itu bukanlah kebebasan dari badai tetapi kedamaian di tengah badai.

 

Wan Hajar Sofea binti Mokhtar
Kuliah Bahasa Arab,
Universiti al-Azhar.

Muat turun pdf Risalah Fajar Jumaat Siri 483 – Pasti Bahagia Tanpa Ketenangan

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Fill out this field
Fill out this field
Please enter a valid email address.

keyboard_arrow_up