pinuppin-up1 winmostbetmostbet az casino

AMAR MAKRUF NAHI MUNGKAR KEWAJIPAN BERSAMA

MAKSUD AMAR MAKRUF NAHI MUNGKAR
Berasal daripada peristilahan ayat al-Quran yang bermaksud ‘mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran’.

Menurut pendapat ulama: ‘Nahi mungkar’ adalah mengharamkan segala bentuk kekejian, sedangkan ‘amar makruf’ bererti menghalalkan semua yang baik, kerana itu yang mengharamkan yang baik termasuk yang dilarang oleh Allah SWT.

DALIL

Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.” (Surah Ali-Imran: 104)

Sabda Nabi SAW yang bermaksud:

“Barangsiapa di antara kalian melihat suatu kemungkaran, hendaklah ia mencegahnya dengan tangannya dan jika ia tidak mampu, maka dengan lisannya, dan jika tidak mampu juga, maka dengan hatinya, yang demikian itu adalah selemah-lemah iman.” (HR. Muslim)

KEPENTINGAN AMAR MAKRUF NAHI MUNGKAR

Manusia dilahirkan ke muka bumi ini bersama tanggungjawab yang berat iaitu membawa risalah Allah SWT. Tanggungjawab yang dimaksudkan adalah menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.

Hasil daripada melaksanakan tuntutan ini, maka akan melahirkan masyarakat yang beriman kepada Allah dengan sebenar-benarnya.

Syeikh al-Nawawi al-Bantani di dalam kitab beliau iaitu Tafsir Munir, berkata:

“Amar makruf nahi mungkar merupakan fardhu kifayah. Ia tidak boleh dilakukan kecuali oleh orang yang betul-betul mengetahui keadaan dan siasah masyarakat agar ia tidak terus menjerumuskan orang yang diperintah atau orang yang dilarang dalam perbuatan dosa kepada lebih parah. Kerana sesungguhnya orang yang bodoh malah terkadang mengajak kepada perkara yang batil, memerintahkan perkara yang mungkar, melarang perkara yang makruf, terkadang bersifat keras di tempat yang seharusnya bersikap halus dan bersikap halus di tempat yang seharusnya bersikap keras.”

Selain itu, kita perlulah mengetahui serta mendalami method atau cara yang betul dalam melaksanakan amar makruf nahi mungkar sebagaimana kata-kata Syeikh Abdul Hamid al-Syarwani di dalam kitabnya, Hasyiah al-Syarwani:

والواجب على الأمر والناهي أن يأمر وينهى بالأخف ثم الأخف. فإذا حصل التغيير بالكلام اللين فليس له التكلم بالكلام الخشن وهكذا كما قاله العلماء.

“Wajib bagi orang yang melakukan amar makruf nahi mungkar untuk bertindak yang paling ringan dulu kemudian yang agak berat. Sehingga, ketika kemungkaran sudah bisa hilang dengan ucapan yang halus, maka tidak boleh dengan ucapan yang kasar. Dan begitu seterusnya.”

SYARAT-SYARAT DALAM MELAKSANAKAN AMAR MAKRUF NAHI MUNGKAR

Terdapat lima syarat atau kriteria amar makruf nahi mungkar yang dikemukakan oleh Syeikh Abd al-Qadir al-Jailani al-Hasani dalam kitabnya al-Gunyah li-Thalibi Thariq al-Haq.

Pertama: ia mengetahui sesuatu yang diperintahkan dan sesuatu yang dilarang.

Kedua: Amar makruf nahi mungkar yang dilakukan adalah bertujuan untuk mengecapi reda Allah dan meluhurkan agama-Nya, serta meninggikan kalimat-Nya, bukan kerana riyak, sum`ah dan kebanggaan bagi diri sendiri.

Ketiga: Perintah dan larangannya dilakukan dengan lemah-lembut, ramah dan penuh kasih sayang. Nasihat disampaikan dengan cara yang baik, bukan dengan keras dan marah-marah, agar ia tidak menyamakan musuhnya dengan syaitan yang terkutuk.

Nabi SAW bersabda:

“Tidaklah patut bagi seseorang yang menyeru kepada kebaikan dan melarang kepada kemungkaran, sehingga di dalam dirinya dipenuhi tiga perkara iaitu memahami apa yang diperintahkan, memahami apa yang dilarang dan lemah lembut terhadap sesuatu yang diperintah dan yang dilarang.”

Keempat: Ia mestilah seorang yang penyabar, murah hati, bertoleransi, rendah hati, mampu mengawal hawa nafsu, bijak, dan pemimpin yang memberikan petunjuk.

Kelima: Ia melaksanakan sesuatu yang diperintahkan, menjauhi sesuatu yang dilarang dan tidak berlumuran dengan sesuatu yang dilarang tersebut yang menjadikannya hina dan tercela dihadapan Allah SWT.

Ironinya, amar makruf nahi mungkar adalah suatu kewajipan yang sangat penting. Kewajipan ini terpundak pada semua umat Nabi Muhammad SAW dan bukan pada individu yang tertentu. Ia merupakan tanggungjawab bersama dalam pembinaan modal insan demi melahirkan generasi yang hebat dan berharga bagi masa depan sesebuah tamadun.

Justeru, pembinaan modal insan ini hendaklah dipupuk dari awal lagi seperti kata pepatah “melentur buluh biarlah dari rebungnya”.

“Perjalanan dakwah tiada penghujung. Kita bukan pemula bukan juga pengakhir tetapi penyambung. Jangan berhenti, teruskan berjalan.”


Nor Azreen binti Nor Jamidi

Kuliah Bahasa Arab,
Universiti al-Azhar, Kaherah.

Muat turun pdf Risalah Fajar Jumaat Siri 484 – Amar Makruf Nahi Mungkar Kewajipan Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Fill out this field
Fill out this field
Please enter a valid email address.

keyboard_arrow_up