pinuppin-up1 winmostbetmostbet az casino

PERSEDIAAN KE GERBANG IMTIHAN

 

Perasaan resah bercampur hiba,
Banyak buku belum dibaca,
Imtihan bakal menjelma tiba,
Bersediakah kita untuk menghadapinya?

Musim imtihan sudah semakin menghampiri. Persoalannya, adakah kita sudah mempersiapkan diri dan bekalan yang cukup untuk menghadapi imtihan? Persiapan yang rapi sangat penting dan mungkin masih ramai yang teraba-raba dalam hendak merancang apa yang perlu dilakukan dahulu sebagai bentuk persediaan menghadapi imtihan.

Oleh hal yang demikian, masih belum terlambat untuk kita melakukan anjakan paradigma. Di sini akan dinyatakan beberapa bentuk persediaan yang boleh dilakukan. Persediaan menghadapi imtihan ini merangkumi dua sudut utama iaitu kerohanian dan jasmani. Dalam erti kata lain, seorang pelajar cemerlang perlu ada persediaan mental dan fizikal yang baik.

Perkara asas utama yang wajib diterapkan bagi seorang pelajar ialah memperbetulkan niat kerana niat yang ikhlas kerana Allah merupakan syarat amalan seseorang itu diterima. Sandarkan niat mendalami ilmu kerana Allah, bukan sekadar mahu lulus. Oleh itu, keberkatan ilmu akan dapat dirasai dan akan memperoleh ganjaran yang baik di sisi Allah.

Selain itu, kita mestilah menjaga hubungan dengan Allah dan manusia. Sudah tentu ini suatu perkara lazim bagi setiap individu dan perlu dititikberatkan terutamanya dalam menempuhi imtihan. Antara bentuk menjaga hubungan dengan Allah adalah dengan menjaga amalan fardu kita, melazimi amalan-amalan sunat manakala hubungan dengan manusia pula adalah dengan menjalinkan hubungan yang baik tanpa menyakiti dan memusuhi orang lain.

Persediaan yang seterusnya ialah memohon restu dan doa ibu bapa.

Sabda Nabi SAW:

قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: رضا الله في رضا الوالد وسخط الله في سخط الوالد

Maksudnya: “Keredaan Allah itu terletak pada keredaan kedua ibu bapa dan murka Allah itu terletak pada kemurkaan kedua ibu bapa”.  (HR. al-Tirmizi)

Hadis ini menggambarkan betapa pentingnya keberkatan serta keredaan ibu bapa dalam kehidupan lebih-lebih lagi dalam menghadapi imtihan. Pada masa yang sama, kita hendaklah bermunajat kepada Allah dengan berdoa, melakukan solat sunat hajat dan sebagainya kerana kejayaan itu datangnya daripada Allah. Pintalah dengan Sang Pemilik kejayaan dengan penuh rasa pengharapan kepada-Nya.

Di samping itu, minda yang positif juga sangat penting dalam persiapan menuju imtihan. Elakkan stres dalam mengulang kaji silibus imtihan. Stres perlu dikawal dan harus ditangani dengan betul kerana stres secara tidak langsung boleh memberi impak negatif kepada badan manusia. Oleh itu, cubalah cari solusi terbaik dalam belajar tanpa rasa tertekan, lebih-lebih lagi dalam hendak menghadapi imtihan yang sudah dekat. Contoh solusi terbaik dalam mengelakkan stres adalah dengan mencari sahabat yang boleh membantu kita, pelbagaikan cara belajar dan lain-lain lagi.

Seterusnya, mari beralih pula pada persediaan dari sudut jasmani atau fizikal. Antara perkara yang perlu dilakukan ialah belajar secara bijak dan sistematik.

Ada sebuah petikan Inggeris yang berbunyi:

“Study smarter not harder”

Terdapat pelbagai teknik belajar yang baik dan berkesan dan ia bergantung kepada diri pelajar mengikut keselesaannya. Antara contoh teknik belajar yang boleh dikongsikan ialah ‘teknik pomodoro’. Secara ringkasnya, teknik ini menggunakan kaedah menetapkan masa dalam belajar iaitu selama 25 minit paling kurang dan diselangi masa rehat selama 5 minit. Sebagai contoh, masa yang diambil untuk mengulang kaji satu topik perbahasan selama 25 minit, setelah itu ambillah masa untuk berehat selama 5 minit dan ulangi langkah tersebut sebanyak 4 hingga 5 set. Mengikut kajian, otak manusia hanya fokus sepenuhnya pada 20 minit pertama sahaja. Oleh itu, teknik ini berkesan kerana dapat membantu otak untuk rehat selama 5 minit dan kembali fokus pada 25 minit berikutnya.

Membuat nota ringkas dan padat juga boleh dilakukan sebagai persediaan menghadapi imtihan. Cuba fahami dan ringkaskan maklumat penting dalam bentuk ringkasan dan menarik. Kaedah ini memudahkan kita sekaligus dapat menjimatkan masa untuk ulang kaji secara pantas di saat akhir sebelum memasuki dewan imtihan.

Selain itu, kita hendaklah menjaga kesihatan diri dengan mengamalkan pemakanan yang seimbang bagi mengelakkan diri sakit di musim imtihan. Segelintir pelajar mengabaikan penjagaan kesihatan kerana terlalu sibuk dalam belajar.

Pepatah Arab ada menyatakan:

العقل السليم في الجسم السليم

Maksudnya: “Akal yang cerdas pada tubuh badan yang sihat”.

Apabila badan berada dalam keadaan tidak sihat, bagaimana otak hendak memberi tumpuan kepada pelajaran? Apatah lagi semasa menduduki imtihan. Jangan memandang remeh terhadap kesihatan diri kerana ia akan mempengaruhi otak.

Akhir sekali, kita mestilah mengamalkan konsep tawakal setelah usaha.

Allah SWT berfirman dalam Surah Ali-Imran ayat 122:

وَعَلَى ٱللَّهِ فَلْيَتَوَكَّلِ ٱلْمُؤْمِنُونَ

Maksudnya: “Kepada Allah sahajalah hendaknya orang-orang beriman itu bertawakal (menyerah diri)”

Jelaslah daripada dalil tersebut bahawa disamping usaha bersungguh-sungguh dalam mempersiapkan diri seiring dengan doa dan amalan, kita seharusnya menyerahkan segala ketentuan kepada yang Maha Esa. Imtihan itu sendiri hakikatnya sebuah ujian untuk menilai sejauh mana pergantungan kita kepada Allah. Ingatlah, lulus atau gagal dalam imtihan bukan penamat kepada segala-galanya. Ia adalah wasilah untuk menggerakkan jiwa kita untuk mencari ilmu.

Selamat menuju ke gerbang imtihan. Semoga kita semua dikurniakan kejayaan dunia dan akhirat.

 

Nur Alina Syafiqah binti Sakri
Kuliah Syariah Islamiah,
Universiti Al-Azhar

Muat turun PDF Risalah fajar Jumaat Siri 488 – Persediaan ke Gerbang Imtihan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Fill out this field
Fill out this field
Please enter a valid email address.

keyboard_arrow_up