pinuppin-up1 winmostbetmostbet az casino

DI SEBALIK UJIAN YANG MENIMPA, ADA KEKUATAN YANG DIBINA

 HAKIKAT SEBUAH UJIAN

Firman Allah SWT:
“Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya…”
(Surah al-Baqarah: 286)

Sesungguhnya dunia ini merupakan gelanggang ujian buat kita. Pastinya, sebagai hamba kita akan diuji dengan pelbagai dugaan dan masalah. Sebagai seorang muslim, kita harus ingat bahawa ujian ini tidak semestinya pahit malah kesenangan dan kegembiraan juga satu ujian buat diri yang bergelar hamba Allah.

Apabila diuji kita mungkin rasa terbeban, tetapi ketahuilah di sebalik ujian itu ada sesuatu yang telah Allah persiapkan untuk kita.Tiada ujian yang datang tanpa terselit kebaikan.Berwasilahkan ujian, kita tumbuh menjadi insan yang lebih kuat dan matang jika kita hadapinya dengan penuh adab.

ANTARA ADAB-ADAB KETIKA DITIMPA UJIAN DAN MUSIBAH

  • Mengucapkan Lafaz Istirjaa`

إنا لله وإنا إليه راجعون

Yang bermaksud:
“Sesungguhnya kami ini adalah kepunyaan Allah dan kepada-Nyalah kami akan kembali”

  • Berlapang Dada dan Bersangka Baik Dengan Allah

– Seorang muslim harus berlapang dada dan bersangka baik dengan segala ketentuan Allah  sekalipun bertentangan dengan keinginan dan kehendak.
– Kadangkala apa yang kita rancang tidak berjalan seperti yang diharapkan, lantas kita bertanya kepada diri dimanakah silapnya?
– Apabila kita tidak menemui puncanya kita mula menyalahkan Allah yang merupakan perancang yang lebih hebat.
– Ingatlah, di saat apa yang kita dapat tidak seperti yang dirancang, jangan mudah mengeluh dan berputus asa tetapi yakin dan percaya serta berbaik sangka bahawa apa sahaja yang ditakdirkan Tuhan itulah yang terbaik walaupun perkara itu tidak kita sukai.

Sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh al-Bazar yang bermaksud:

“Kebahagian manusia ialah memohon pilihan kepada tuhannya dan bersikap reda  terhadap ketentuan. Tanda  daripada kecelakaan manusia ialah meninggalkan usaha istikharah dan tidak reda terhadap ketentuan yang diterimanya.”

  • Bersabar

– Sikap sabar dan reda ketika musibah menunjukkan seseorang itu memIliki keimanan yang tinggi. Mereka yang bersabar akan mendapat ganjaran yang besar daripada Allah. Hipotesisnya, semakin besar ujian yang menimpa, semakin besar pahala yang akan diberikan jika kita bersabar menghadapinya.
– Sabda Nabi SAW: “Sesungguhnya besarnya pahala sebanding dengan besarnya cubaan. Sesungguhnya jika Allah mencintai sesuatu kaum, maka Allah akan menguji mereka. Sesiapa yang reda maka baginya keredaan Allah. Sedangkan sesiapa yang murka maka baginya kemurkaan Allah.”

  • Berfikiran Positif Dan Menyakini Bahawa Setiap Kesusahan Pasti Ada Kemudahan

– Allah berfirman dalam surah  al-Insyirah ayat 5 hingga 6 yang bermaksud: “Oleh itu, maka sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan, bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.”
– Allah menegaskan bahawa sesiapa yang berusaha, Allah akan memberikan hasil yang setimpal dengan usahanya.

Maka ketahuilah, disebalik ujian itu pasti ada sejuta hikmah yang terselit. Tidak lambat, tidak cepat tetapi tepat pada waktunya.

ANTARA HIKMAH-HIKMAH DI SEBALIK UJIAN YANG MENIMPA

  • Allah Meningkatkan Darjat Dan Keimanan

– Setiap ujian yang datang akan mendekatkan diri dan kebergantungan hanya kepada Allah SWT. Yakin dan percaya bahawa setiap apa yang terjadi itu adalah dengan kehendak Yang Maha Pencipta.

  • Memberikan Iktibar Dan Pengajaran Kepada Orang Lain

– Setiap ujian yang berlaku terselit pelbagai rahsia, maksud dan peringatan tidak hanya kepada yang ditimpa musibah tetapi buat seluruh umat manusia. Bagi mereka yang ingin berfikir dan mahu mengambil pengajaran maka mereka pasti akan lebih bersyukur dan bertakwa kepada Allah kerana ujian dan musibah boleh menimpa sesiapa sahaja yang dikehendakinya.

  • Tanah Subur Bagi Mereka Yang Mahu Menyemai

– Ujian dan musibah yang menimpa orang lain membuka peluang kepada mereka yang berharta untuk menghulurkan bantuan.  Jika mereka ikhlas, pastinya akan mendapat balasan yang berlipat kali ganda daripada Allah. Sebagaimana yang diketahui, dunia merupakan tempat bercucuk tanam sebagai bekalan di kemudian hari.

Begitulah hebatnya Allah SWT mendidik jiwa hamba-Nya. Di sebalik ujian, dugaan dan musibah itu tersembunyi pelbagai nikmat dan rahmat yang besar. Hanya hati yang celik sahaja mampu melihat apa yang tersirat di sebalik yang tersurat.

“Setelah Anda Menuruni Lembah Yang Terdalam, Barulah Anda Akan Mengetahui Keindahan Gunung Yang Tertinggi.”
– Richard Nixon –


Nor Azreen binti Nor Jamidi
Kuliah Bahasa Arab,
Universiti Al-Azhar, Kaherah

Muat turun PDF Risalah Fajar Jumaat Siri 493 – Disebalik Ujian Yang Menimpa, Ada kekuatan Yang Dibina

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Fill out this field
Fill out this field
Please enter a valid email address.

keyboard_arrow_up