pinuppin-up1 winmostbetmostbet az casino

PERSIAPAN MENUJU MEDAN IMTIHAN

Imtihan atau ujian adalah sunnatullah yang ditetapkan dalam perjalanan kehidupan seseorang sama ada kita suka mahupun benci, tetap perlu hadapinya. Bahkan ujian demi ujian yang dilalui itulah yang menjadi kayu ukur keimanan orang yang  beriman terhadap qada’ dan qadar sang Pencipta di samping membentuk jati diri kita hari ini.

Ujian yang pelbagai sudah tentu telah menyapa mereka yang sentiasa mengejar kejayaan dan berusaha untuk mengecapi kebahagiaan dalam hidup sebagaimana pepatah Arab menyebut

“الطريق إلى النجاح ليس مفروشا بالورد”

yang bermaksud jalan menuju kejayaan tidak direntang dengan bunga mawar.

Dalam sedar tak sedar, minggu peperiksaan telah pun tiba. Wajarlah setelah saban hari berulang alik menghadiri muhadarah kuliah, sudah tiba masa sebagai pelajar kita diberi imtihan bagi mengukur tahap kefahaman ilmu yang telah dipelajari bersama pensyarah. Oleh yang demikian, apakah perkara utama yang perlu dititikberatkan untuk menuju medan imtihan ini? Iaitu memperbaharui niat. Niat menjadi komponen penting dalam menentukan halatuju atau tujuan bagi setiap amalan selain mendapat ganjaran di sisi Allah SWT. Dalam hal ini, niatkan bahawa peperiksaan ini menjadi wasilah taqarrub kita dengan Azza Wa Jalla dan juga niatkan belajar kerana mengharapkan kefahaman dan reda-Nya dan bukanlah demi meraih segulung ijazah semata.

Selain itu, antara persiapan menuju medan imtihan adalah persiapan fizikal. Biasanya dalam tempoh atau situasi yang kritikal begini, pelajar akan mula panik dan kurang memberi perhatian kepada kesihatan diri dek kerana terlalu mengejar sukatan peperiksaan dan sebagainya. Kita perlu menjaga kesihatan diri dengan mengambil pemakanan yang berzat dan berkhasiat di samping tidur yang mencukupi. Penjagaan kesihatan diri sangat memberi kesan semasa waktu belajar kita kerana badan akan lebih bertenaga malah tumpuan akan lebih berfokus tanpa ada masalah gangguan kesihatan. Aktiviti bersenam atau riadah juga perlu untuk memastikan otak kita sentiasa bergerak bukan statik pada satu keadaan sahaja.

Pada masa yang sama, pengurusan mental atau rohani yang baik pada fatrah imtihan ini juga penting kerana pengabaiannya boleh menyebabkan kesan negatif pada diri seseorang kerana tindakan yang terhasil tersebut boleh melangkaui akal fikiran kita. Pada hal ini, kalam semangat dan motivasi diri perlu dipertingkatkan melalui diri sendiri mahupun orang sekeliling seperti ibubapa dan guru. Tambahan itu, penjagaan hubungan dengan Allah dan sesama manusia juga boleh memberi kesan positif kepada diri kerana dengannya jiwa tenang dan bahagia. Sekiranya kita mahukanAllah beri apa yang kita suka, maka dahulukan apa yang Allah suka hambanya lakukan seperti menjaga solat lima waktu, mengelakkan perbuatan maksiat dan meminta hanya padaNya. Manakala, menjaga hubungan sesama manusia seperti menjaga hak antara satu sama lain, membantu memudahkan urusan sahabat dalam kesusahan dan sebagainya.

Keadaan emosi yang stabil menatijahkan tindakan yang memberi manfaat sekiranya disalurkan dalam bentuk positif kerana ia adalah suatu komponen yang tidak boleh dipendam. Sebagai contoh, dengan persiapan emosi yang baik kita boleh bina semangat kerjasama bersama sahabat seperjuangan iaitu saling bertukar pendapat dan sesi tunjuk ajar pada subjek yang kurang diminati atau sebagainya. Amalkan sifat sabar dan tenang dalam usaha menjaga emosi diri.

Seterusnya, persediaan teknikal juga merupakan antara faktor terbesar persiapan diri menuju ke medan imtihan. Berbaki sedikit masa menuju imtihan ini, sahabat-sahabat boleh mengambil langkah untuk mengemaskini nota-nota subjek dengan kemas dan jelas. Hal ini memudahkan kita mengulangkaji semua topik pada masa yang singkat dan dimana sahaja. Selain itu, menjadi kemestian untuk kita merujuk atau menyemak soalan tahun lepas agar kita dapat mengetahui kekerapan dan bentuk soalan yang ditanya dalam peperiksaan. Langkah ini juga boleh dilakukan semasa perbincangan bersama sahabat study group kerana medan ini menimbulkan pelbagai pendapat yang boleh dikeluarkan dan dibincangkan bersama. Di samping itu, ruang pembelajaran yang selesa juga boleh melancarkan urusan belajar kita agar lebih efektif.

Sebagai penutup, kejayaan tidak akan datang bergolek tanpa ada usaha-usaha yang dilakukan dari kita sendiri. Oleh yang demikian, kita perlulah menyedari hakikat persiapan hari ini menentukan pencapaian hari esok. Apabila kita gagal dalam persiapan maka bersiaplah untuk gagal dalam menghadapi natijah. Namun demikian, konsep tawakkal kepada Allah setelah usaha bersungguh-sungguh jangan kita ketepikan kerana Allah yang mengizinkan semuanya. Sesuai firman Allah dalam surah Ali Imran ayat 159:

(فإذا عزمت فتوكل على الله إن الله يحب المتوكلين)

Maksudnya: “…Apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakkallah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepada-Nya.”

 

Nur Awatif binti Mohamad Zulkifli

Graduanita Kuliah Bahasa Arab

Universiti al-Azhar.

Muat turun PDF Risalah Fajar Jumaat Siri 497 – Persiapan Menuju Medan Imtihan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Fill out this field
Fill out this field
Please enter a valid email address.

keyboard_arrow_up