pinuppin-up1 winmostbetmostbet az casino

Sudahkah Kita Bersyukur?

Jika ditanya seberapa banyak nikmat yang telah kita peroleh setiap detik, minit, jam dan hari, maka jawabnya sebagai hamba yang lemah, kita sesekali tidak akan mampu untuk menghitung nikmat yang dianugerahkan oleh Allah SWT kepada kita.  Sebaliknya, kita sering sahaja mengeluh, lupa untuk bersyukur dan berasa apa yang kita inginkan belum dipenuhi oleh Allah dan Dia tidak berlaku adil kepada kita.

Firman Allah SWT yang bermaksud:

Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, nescaya kamu tidak dapat menghitung jumlahnya. Sesungguhnya Allah benar-benar maha pengampun lagi maha penyayang.” (Surah an-Nahl: 18)

“Alhamdulillah” merupakan satu ungkapan ringkas sebagai tanda dan bukti kesyukuran kita kepada Allah SWT terhadap nikmat dan rezeki yang dikurniakan oleh-Nya. Tahukah kalian bahawa sifat syukur berada pada martabat tertinggi kerana tidak ramai yang mampu mencapai tahap syukur ini. Allah mengingatkan kita dalam firmanNya:

{ قُلۡ هُوَ ٱلَّذِیۤ أَنشَأَكُمۡ وَجَعَلَ لَكُمُ ٱلسَّمۡعَ وَٱلۡأَبۡصَـٰرَ وَٱلۡأَفۡـِٔدَةَۚ قَلِيلاࣰ مَّاتَشۡكُرُونَ }

Maksudnya: Katakanlah wahai Muhammad “Allah yang menciptakan kamu (dari tiada kepada ada), dan mengadakan bagi kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (untuk kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur.”[Surah al-Mulk: 23]

Ibnu Kathir dalam tafsirnya menyebutkan: Sedikit sekali ketiga-tiga nikmat ini iaitu penglihatan, pendengaran dan hati digunakan untuk melaksanakan ketaatan, melaksanakan perintah dan menjauhi larangan Allah SWT sebagai tanda bersyukur. Begitu juga di dalam kitab Hilyatul Auliya’ ada menyebutkan:

كل نعمة لا تقرب من الله عز وجل، فهي بلية

Maksudnya:Setiap nikmat yang tidak digunakan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT itu hanyalah musibah.”

Justeru, menjadi kewajipan bagi setiap hamba untuk bersyukur atas segala nikmat yang dikurniakan sama ada nikmat pendengaran, penglihatan mahupun hati agar kita sentiasa taat serta menjauhi dosa dan maksiat. Bersyukur juga adalah dengan cara menzahirkan kesan nikmat melalui lidah, hati dan anggota badan. Lidah memuji, hati mengiktiraf dan anggota badan bertindak mengikut apa yang diredhai-Nya.

Bertitik tolak pada itu, diantara cara-cara kita bersyukur ialah dengan:

1. Sentiasa memuji Allah atas nikmat yang dianugerahkan

Firman Allah SWT:

{ وَأَمَّا بِنِعْمَةِ رَبِّكَ فَحَدِّثْ }

Maksudnya:Adapun nikmat Tuhanmu, maka hendaklah engkau sebut-sebutkan (dan zahirkan) sebagai bersyukur kepadaNya.” (Surah ad-Dhuha:11)

Imam al-Qurtubi dalam mentafsirkan ayat ini berkata: “Sebarkanlah apa yang Allah SWT kurniakan kepada kamu dengan perasaan syukur dan pujian kepada Allah. Menyebut-nyebut pelbagai nikmat Allah dan mengiktiraf nikmat tersebut adalah satu bentuk kesyukuran.”

Nikmat yang dianugerahkan kepada kita bukan untuk disebut-sebut dengan penuh rasa bangga, tetapi sebagai tanda kesyukuran kita kepada Allah kerana Dia telah mengurniakan nikmat tersebut.

2. Melakukan amal soleh

Sebagai bukti rasa kesyukuran, kita juga diperintahkan untuk melakukan amal soleh. Firman Allah SWT:

{ اعْمَلُوا آلَ دَاوُودَ شُكْرًا ۚ وَقَلِيلٌ مِنْ عِبَادِيَ الشَّكُور }

Maksudnya:Beramallah kamu wahai keluarga Daud untuk bersyukur (kepada Allah). Dan sedikit sekali dari hamba-hambaKu yang bersyukur.” (Surah Saba’: 13)

Ibn Kathir berkata: Kami katakan kepada mereka:  “Beramal lah kamu sebagai tanda bersyukur atas segala nikmat yang diberikan kepada kamu dalam agama dan dunia. Syukur itu boleh dilakukan dengan perbuatan serta perkataan dan niat.”

3. Menunaikan solat malam

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Aisyah RA, Nabi SAW solat (malam) sehingga pecah kedua kaki Baginda. Lalu beliau bertanya kepada Baginda SAW: “Kenapa engkau lakukan ini, hai Rasulullah? Bukankah Allah SWT telah mengampunkan dosamu yang telah lalu dan akan datang? Lalu Baginda SAW menjawab:

يَا عَائِشَةُ أَفَلاَ أَكُونُ عَبْدًا شَكُورًا

Maksudnya: “Wahai Aisyah, Apakah salah aku menjadi hambaNya yang bersyukur.” (HR Bukhari)

Oleh itu sahabat, marilah kita mengintrospeksi diri masing-masing. Setiap hari, adakah kita lebih banyak bersyukur atau mengeluh? Kita buktikan rasa syukur dengan melakukan amal solih atau dengan sering melakukan maksiat? Tepuk dada tanya iman.

Sahabatku, sentiasalah bersyukur walaupun terasa susahnya perjalanan hidup dengan segala beban yang tergalas dibahu. Jangan hanya melihat kehidupan orang  yang lebih daripada kita. Tetapi, lihatlah kehidupan orang di bawah dan kurang berbanding kita. Orang-orang yang serba kekurangan, orang yang mungkin fiziknya tampak kurang sempurna, atau mereka yang hidup sendirian. Berkeluh kesah hanya akan membuatkan kita tidak bersyukur kepada Allah.

Maka perbanyakkan rasa syukur, setidak-tidaknya kita masih dikurniakan nikmat oleh Allah. Sejujurnya, bukan bahagia yang menjadikan kita bersyukur, tetapi dengan bersyukur akan menjadikan hidup kita bahagia. Jadi, bersyukurlah!

Sumber rujukan:

– Al-Quran

– Hadis Bukhari

– Madarij as-Salikin

– Hilyatul Auliya’

– Al-Jami’ li Ahkamil Quran

Siti Zulaikha binti Abdullah,

Kuliah Bahasa Arab,

Universiti Al-Azhar Kaherah, Mesir.

 

Muat turun PDF RISALAH FAJAR JUMAAT SIRI 501 – SUDAHKAH KITA BERSYUKUR

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Fill out this field
Fill out this field
Please enter a valid email address.

keyboard_arrow_up