pinuppin-up1 winmostbetmostbet az casino

KAHERAH, 15, 17, 18, 19, 20 & 21 JULAI 2021 – Bersempena dengan Hari Raya Aidiladha pada tahun ini, Keluarga Pelajar-pelajar Kelantan Mesir telah mengadakan satu program iaitu Sambutan Hari Raya Aidiladha 2021 (TADHIYAH ’21) bertemakan “Menghayati Pengorbanan, Mengukuhkan Keimanan” yang bertempat di Wisma Sultan Muhammad V, Wisma Tengku Mahkota Kelantan dan tempat sembelihan haiwan warga tempatan di kawasan Zahra.

Program TADHIYAH ’21 dianjurkan sebagai salah satu usaha untuk meningkatkan kecintaan ahli terhadap Islam serta menghayati erti pengorbanan dalam Islam dan sirah perjuangan para Anbiya’. Selain itu, program ini juga bertujuan untuk memupuk budaya tolong-menolong dan bekerjasama serta mengeratkan ukhuwah dalam kalangan ahli KPKM, di samping menjayakan usul dan pembawaan KPKM dalam setiap aktiviti yang dijalankan.

Tirai TADHIYAH ’21 dimulakan dengan Daurah Fiqh Korban iaitu pengisian kitab Risalah Korban yang berlangsung secara atas talian di laman rasmi Facebook Keluarga Pelajar-pelajar Kelantan Mesir selama tiga hari bermula pada tarikh 15, 17 dan 18 Julai 2021 yang bertempat di Wisma Tengku Mahkota Kelantan. Pengisian Daurah Fiqh Korban ini telah disampaikan oleh al-Fadhil Ustaz Muhamad Firdaus bin Burhan, Fasilitator KPKM 2020/2021. Antara objektif pengisian ini dijalankan adalah untuk memberi kefahaman kepada ahli berkaitan dengan hukum-hakam di sekitar ibadah korban. Pada akhir pengisian, pengarah program iaitu Ustaz Muhammad Nasrullah bin Mohd Asri telah menyampaikan cenderahati kepada pengisi sebagai tanda kenang-kenangan.

Pada hari Isnin, 19 Julai 2021 bersamaan dengan 9 Zulhijah 1442H, telah diadakan Malam Perutusan Raya. Majlis dimulakan dengan solat maghrib secara berjemaah dan takbir raya bertempat di Surau Wisma Sultan Muhammad V dan Surau Wisma Tengku Mahkota Kelantan. Seterusnya solat isyak diikuti dengan solat tasbih secara berjemaah yang diimamkan oleh imam yang telah dipilih oleh pihak program. Kemudian berlangsungnya Perutusan Aidiladha 1442H yang disampaikan oleh Ustaz Muhammad Adam bin Mohd Rasul selaku Yang Dipertua Keluarga Pelajar-pelajar Kelantan Mesir 2020/2021 yang juga diadakan secara siaran langsung di laman rasmi Facebook Keluarga Pelajar-pelajar Kelantan Mesir.

Kemudian, pihak penganjur telah mengadakan majlis akad wakil iaitu perjumpaan dua hala di antara pihak penganjur dengan penempah haiwan korban bertempat di Surau Wisma Sultan Muhammad V. Perjumpaan ini diadakan untuk memberi sedikit penerangan berkaitan perjalanan hari penyembelihan dan untuk mewakilkan segala urusan korban daripada pihak penempah kepada wakil pihak program.

​Pada hari Selasa, 20 Julai 2021M bersamaan 10 Zulhijah 1442H. Majlis bermula dengan mengadakan Solat Sunat Aidiladha secara berjemaah kemudian diikuti dengan bacaan Khutbah Hari Raya Aidiladha yang disampaikan oleh aktivis KPKM iaitu al-Fadhil Ustaz Afif Ab Fattah bin Mad Rozali bertempat di Surau Wisma Sultan Muhammad V dan al-Fadhil Ustaz Herman Hazwan bin Ismail bertempat di Wisma Tengku Mahkota Kelantan. Seterusnya, para penggerak program dan ahli yang terlibat membuat persiapan untuk ke tempat penyembelihan haiwan yang bertempat di Zahra. Sebanyak 35 ekor haiwan telah dibeli oleh pihak program, 25 ekor kambing dan 10 ekor khoruf telah dijadikan sebagai ibadah korban dan aqiqah.

Pada hari terakhir, dalam usaha bagi memeriahkan lagi Sambutan Hari Raya Aidiladha, pihak program telah mengadakan sebuah Pengisian Khas Ceramah “Menghayati Pengorbanan, Mengukuhkan Keimanan,” sesuai dengan tema program TADHIYAH ’21. Pengisian ini telah disampaikan oleh al-Fadhil Ustaz Asri bin Mat Daud, yang merupakan Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan. Pengisian ini juga diadakan secara siaran langsung di laman rasmi Facebook KPKM. Seterusnya majlis diakhiri dengan kalam penutup yang dirasmikan oleh Ustaz Muhammad Nasrullah bin Mohd Asri, Pengarah Program Sambutan Hari Raya Aidiladha 2021 (TADHIYAH ’21), sejurus selepas tamat sahaja pengisian khas ceramah. Antara perkara yang ditekankan dalam ucapan beliau ialah berkenaan dengan ukhuwah islamiah sesama ahli KPKM. Ahli diseru untuk mengeratkan lagi ukhuwah islamiah tanpa mengira perbezaan umur dan darjat kerana dengan berukhuwahlah dapat sama-sama menampung segala kekurangan dan kelemahan yang ada pada seseorang ahli itu.

Mudah mudahan dengan adanya program ini, objektif utama program dapat dicapai oleh semua ahli iaitu supaya ahli menghayati erti pengorbanan dalam Islam disamping dapat melahirkan lebih ramai ahli yang rela berkorban untuk melakukan gerak kerja Islam secara keseluruhan khususnya di medan KPKM sesuai dengan usul KPKM yang telah disepakati di dalam muktamar tempoh hari iaitu menjadikan KPKM sebagai medan dalam melaksanakan gerak kerja Islam secara keseluruhan serta rujukan bagi mahasiswa Kelantan di Mesir.

Disediakan oleh:
Mohamad Fahim Hamidi bin Yahya
Setiausaha Sambutan Hari Raya Aidiladha 2021 (TADHIYAH ’21),
Keluarga Pelajar-pelajar Kelantan Mesir 2020/2021

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Fill out this field
Fill out this field
Please enter a valid email address.

keyboard_arrow_up