pinuppin-up1 winmostbetmostbet az casino

Pernahkah anda melihat serangga kecil yang secara zahirnya kelihatan seperti semut, tetapi mempunyai badan berbelang berwarna hitam dan oren? Jika ya, serangga inilah yang disebut sebagai semut kayap. Dalam kalangan masyarakat Melayu, serangga ini turut masyhur dengan nama semut semai atau Charlie. Namun pada hakikatnya, Charlie bukanlah dikategorikan dalam spesies semut, tetapi haiwan ini merupakan sebahagian daripada keluarga kumbang (Staphylinidae). Kumbang Rove (Rove Beetle) ini secara saintifiknya dinamakan Paederus littoralis, bersaiz kecil kurang daripada 1 cm serta mempunyai kepala yang berwarna gelap. Kebiasaannya, kumbang ini akan merangkak di kawasan sekeliling dengan menyembunyikan sayapnya. Dalam situasi tertentu, sekiranya merasa terancam, kumbang ini akan mengangkat abdomennya ke atas menyerupai kala jengking untuk menakutkan musuhnya.

Walaupun hanya bersaiz kecil, namun serangga ini mampu memberi kesan yang teruk kepada manusia sekiranya terkena bisanya. Dalam badan kumbang ini tersimpan cecair hemolimf atau toksin yang disebut sebagai ‘pederin’ (C24H43O9N). Toksin ini dikatakan 12 kali ganda lebih berbisa berbanding bisa ular tedung (Cobra). Malah, kumbang ini walaupun setelah dikeringkan dan disimpan selama 8 tahun masih kekal beracun. Toksin ini sekiranya terkena pada bahagian kulit tubuh badan manusia, akan menyebabkan ‘dermatitis linearis’, ‘paederus (kumbang rove/ staphylinidae) dermatitis’. Penyakit paederus dermatitis seringkali disalah anggap sebagai penyakit herpes simplex, herpes zoster atau impetigo bulosa disebabkan tanda-tandanya yang kelihatan sama secara luaran.

Namun, kumbang ini tidaklah menyengat atau menggigit tetapi mengeluarkan toksinnya apabila dipicit atau ditekan. Toksinnya juga boleh dirembeskan pada tempat-tempat lain seperti cadar, baju atau pakaian lain. Sekiranya anda melihat kumbang ini hinggap di tangan, jangan menjerit atau berteriak kerana ini akan menyebabkan kumbang ini merasa terancam dan merembeskan toksin secara automatik. Sebaiknya kumbang ini ditiup sehingga pergi atau dibuang menggunakan alat atau tangan yang ditutupi plastik. Setelah itu, basuh tangan anda dengan air dan sabun. Antara kesan setelah terkena toksin adalah apabila anda merasa gatal-gatal dan kulit anda berubah menjadi merah dan bernanah. Sekiranya keadaan menjadi lebih teruk, anda dinasihatkan supaya berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan selanjutnya.

Untuk mengelakkan gangguan serangga ini, pelbagai langkah pencegahan boleh diambil. Antaranya, tutup semua pintu dan tingkap serta matikan lampu apabila tidak digunakan. Hal ini disebabkan kumbang ini sangat suka tempat yang terang dan bercahaya. Selain itu, elakkan daripada memakai pakaian yang terlalu terdedah untuk mengelakkan sentuhan secara langsung dengan serangga ini. Aerosol anti serangga, perangkap berpelekat dan kelambu nyamuk yang halus juga boleh digunakan.
Secara tuntasnya, semut kayap ini bukanlah sekadar serangga biasa. Serangga ini mampu menyebabkan penyakit yang serius sekiranya tidak ditangani dengan baik. Jadi, bertindaklah dengan bijak sekiranya anda ternampak serangga ini pada masa akan datang.

Siti Fatimah binti Mohd Ghani Basri,
Perubatan Universiti Al-Azhar.

Muat turun PDF Risalah Kesihatan siri 76

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Fill out this field
Fill out this field
Please enter a valid email address.

keyboard_arrow_up