pinuppin-up1 winmostbetmostbet az casino

TALIAN HAYAT KE SYURGA

Dalam satu hadis Nabi Muhammad SAW:

“Apabila penghuni syurga masuk ke syurga dan mereka tidak mendapati sahabat-sahabat yang selalu ada bersama mereka, lalu mereka bertanya kepada Allah SWT. Ya Allah, kami tidak melihat sahabat kami yang dahulunya solat bersama kami, berpuasa dan menunaikan haji. Lalu Allah berfirman: pergilah ke neraka dan keluarkan sahabatmu yang mana dalam hati mereka ada iman walau sebesar zarah’’. (Hadis Riwayat Ibnu Mubarak)

Maka disini jelas bahawa satu persahabatan atau ikatan perhubungan antara manusia menjadi sebab kepada pengampunan Allah SWT untuk hambanya sebagai syafaat di akhirat kelak.

Saidina Umar al-Khattab berkata: “Tidaklah seseorang diberikan kenikmatan setelah Islam, yang lebih baik daripada kenikmatan memiliki saudara (semuslim) yang soleh. Apabila engkau menemui salah seorang sahabat yang soleh maka pegang lah erat-erat“.

Sheikh Abdul Fattah Abu Ghuddah menyatakan dalam kitabnya ‘Nilai Masa Disisi Ulama’, bahawa Allah SWT menjadikan nikmat ataupun pemberian itu kepada dua bahagian iaitu usul (dasar atau besar) dan furu’ (bahagian/kecil) dan diantara nikmat yang besar itu ialah sahabat seperjuangan.

Maka di sini Allah SWT mendatangkan manusia yang lain sebagai teman, rakan penolong dan sebagainya ialah untuk sama-sama saling membantu ke arah kebaikan dan takwa.

Makna asal persahabatan ialah satu hubungan di mana dua hati atau lebih, saling berhalaqah atau bertemu sehingga boleh menjalinkan sesuatu bentuk kerja dengan mudah dan saling memahami antara satu sama lain yang mana tidak ada pada luar daripada hubungan persahabatan.

Saya memetik kata-kata Ustaz Dr Izhar Aliff, yang menyebutkan ada tujuh jenis persahabatan yang digariskan dalam Islam:

  1. Baru kenal: Persahabatan yang terjalin secara kebetulan seperti bertemu di sesuatu tempat atau sebagainya.
  2. Berjiran: Persahabatan yang terjalin kerana faktor sejarah misalnya teman sekampung dan seumpamanya.
  3. Berkepentingan: Persahabatan yang terjalin kerana faktor kepentingan tertentu seperti rakan bisnes.
  4. Berkongsi minat: Persahabatan yang terjalin kerana faktor hobi umpama teman futsal atau badminton.
  5. Rakan sekerja: Persahabatan yang terjalin kerana faktor kerjaya misalnya sama-sama guru.
  6. Mengambil kesempatan: Persahabatan tetapi musuh berupa talam dua muka, seperti firman Allah SWT:

“Kalau kamu mendapat kebaikan atau kesenangan, ia menyakitkan hati mereka, bila kamu ditimpa musibah, mereka senang hati”. (Surah Ali Imran : 120)

  1. Kasih dan cinta antara keduanya: Ikatan persahabatan yang lahir daripada cinta dan sayang kerana Allah SWT, saling menasihati dan mendorong, berdoa dan boleh jadi tidak bertemu akan tetapi saling mendoakan.

Diantara tujuh jenis persahabatan ini, enam daripadanya musnah dan hanya satu yang kekal iaitu persahabatan yang dijalinkan kerana Allah SWT atas dasar iman dan taqwa.

Sabda Nabi Muhammad SAW: Ada tujuh golongan yang dilindungi oleh Allah SWT pada hari kiamat dimana tiada perlindungan selain perlindunganNya. Antaranya iaitu dua orang yang saling mencintai kerana Allah SWT, mereka berteman bersahabat berkasih sayang kerana Allah SWT, dan mereka berpisah kerana Allah SWT.

Imam Baijuri meringkaskan ada tiga peringkat pada persahabatan antara manusia:-

  • Sahabat

Yang gembira dengan gembiramu, dan sedih dengan kesedihanmu.

  • Khalil / Kekasih

Yang gembira dengan gembiramu, dan sedih dengan kesedihanmu, dan mencintai apa yang ada padamu.

  • Habib/ Jantung hati

Yang gembira dengan gembiramu, dan sedih dengan kesedihanmu, dan mencintai apa yang ada padamu dan sanggup memberimu apa yang dia ada.

Saidina Umar al-Khattab berkata: “Sahabat sejatimu adalah yang senantiasa jujur (kalau salah diingatkan), bukan yang senantiasa membenarkanmu”.

Jalinkan ikatan dengan sesiapapun, kerana kita tidak tahu sahabat yang manakah yang dapat membantu kita diakhirat nanti, jika kita tidak berjaya menemui sahabat yang membantu dalam ketaatan, maka kitalah yang perlu menjadi sahabat tersebut.

“Persahabatan itu apabila bersama saling berkasih sayang,dan apabila berpisah saling mendoakan”

 

Muhammad Nasrullah Bin Mohd Asri
Kuliah Syariah Islamiah,
Universiti al-Azhar, Kaherah.

Muat turun PDF Risalah Fajar Jumaat Siri 471 – Talian Hayat Ke Syurga

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Fill out this field
Fill out this field
Please enter a valid email address.

keyboard_arrow_up