pinuppin-up1 winmostbetmostbet az casino

“Saat ditimpa ujian, seseorang itu akan dimuliakan atau dihinakan?”

Demikianlah kalam orang bijaksana.

Saat diuji, manusia sebenarnya mempunyai dua pilihan; untuk meninggikan darjat dan meningkatkan keimanannya atau membiarkan ujian menjatuhkan semangat dan membuat imannya tampak semakin lemah.

Kerap kali saat diuji, kita mempersoal mengapa kita? Persoalan yang sering terbit dari hati yang tidak dapat bersabar dengan hadiah ujian kiriman Pencipta. Sedangkan di dalam al-Quran, surah al-Baqarah ayat 286, Allah SWT telah berfirman yang bermaksud:

“Allah tidak membebankan seseorang melainkan sesuai dengan kemampuannya. Dia mendapat pahala daripada kebajikan yang diusahakannya dan dia mendapat seksa dari kejahatan yang dikerjakannya…”

Manusia kadang-kadang lebih memilih untuk berburuk sangka sebelum memandang optimis dengan setiap ujian yang mereka hadapi. Ujian bukan sekadar menguji keimanan, bahkan memberi peringatan buat hati-hati yang lalai mengingati Tuhan.

Oleh yang demikian, sebagai seorang mukmin yang meyakini bahawa kehidupan di dunia ini tidak lain hanyalah tempat persinggahan sementara sebelum kembali ke hari akhirat, segala ujian yang datang menimpa dalam hidup perlulah dihadapi dengan beberapa sikap yang mulia dan terhormat.

Antara sikap yang perlu ada pada seseorang mukmin ketika ditimpa ujian ialah optimis dan menyakini bahawa pertolongan Allah akan datang kepada kita. Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat.”
(al-Baqarah: 214)

Selain itu, apabila kita didatangi musibah, segera mengucapkan ‘Innalillahi wa inna ilaihi raji’un’ yang bermaksud, sesungguhnya dari Allah kita datang dan kepada-Nya kita dikembalikan. Seterusnya, kita seharusnya bertawakal kepada Allah SWT iaitu dengan berserah diri sepenuhnya kepada Allah dalam segala urusan.

Kadar penyerahan diri seorang hamba kepada Tuhannya ialah mengikut kadar keimanan mereka. Kita sebagai seorang mukmin yang diuji dengan kesusahan atau keperitan sebuah ujian pasti akan meletakkan pergantungan yang tinggi kepada Allah SWT. Dengan demikian, kita akan menjadi tenang sehingga dapat menerima apa jua ujian yag hadir dalam hidup kita dengan berlapang dada.
Akhir sekali, hikmah terbesar di sebalik musibah dan ujian yang menimpa adalah dihapuskan dosa dan diberi ganjaran pahala oleh Allah SWT. Nabi Muhammad SAW bersabda:

“Sungguh pahala yang besar bersama ujian yang besar. Apabila Allah mencintai seseorang, Dia memberi ujian kepadanya, siapa yang redha maka Allah redha padanya, dan siapa yang murka maka Allah murka padanya.” (Sahih Riwayat Al-Tirmidzi)

Jadi, ayuh bersabar dengan ujian, nescaya besar ganjaran.

Nur Hanun Binti Rusdi,

Kuliah Syariah Islamiah, Universiti al-Azhar, Kaherah, Mesir.

Sumber: https://khazanah.republika.co.id/berita/dunia-islam/islam-nusantara/17/04/09/oo4rct313-sabar-dan-tawakaldalam-menghadapi-ujian-dari-allah

Muat turun PDF Risalah Fajar Jumaat siri 460

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Fill out this field
Fill out this field
Please enter a valid email address.

keyboard_arrow_up