pinuppin-up1 winmostbetmostbet az casino
­­KEISTIMEWAAN SYAWAL BUAT UMAT ISLAM

Ramadan melambai pergi,
Syawal menyingkap minta dirai,
Bulan kemenangan fitrah insani,
Setelah sebulan mentarbiah diri.

Sebagaimana bulan Ramadan, bulan Syawal juga turut memiliki keistimewaan yang tersendiri. Kehadirannya sangat dinanti oleh seluruh umat Islam kerana ia merupakan simbolik kemenangan kita setelah sebulan berpuasa dan melatih diri melakukan amal kebaikan. Walaupun Ramadan telah berlalu, umat Islam perlu meneruskan momentum kebaikan dalam diri supaya tidak terlepas dari keistimewaan yang terdapat pada bulan Syawal.

BULAN KEMENANGAN

Syawal cukup sinonim dengan bulan kemenangan buat umat Islam. Hari Raya Aidilfitri disambut dengan kegembiraan dan kesyukuran sebagai tanda meraikan kejayaan kita melaksanakan ibadah puasa wajib serta mengharungi ujian dan cabaran lain sepanjang Ramadan.

Melihat kepada sejarah perkembangan Islam juga, pada bulan ini terdapat banyak peperangan yang dimenangi oleh umat Islam dalam menentang pihak musyrikin. Antaranya, perang Bani Qainuqa’, perang Khandak dan perang Hunain. Kemenangan Nabi SAW dan para sahabat di medan perang pada bulan Syawal ini melipatgandakan kegembiraan dan kesyukuran mereka kepada Allah SWT.

BULAN SILATURAHIM

Islam mengajar umatnya menjaga silaturahim untuk menerapkan nilai kesatuan dalam jiwa orang mukmin. Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Sesiapa yang suka dilapangkan rezekinya dan dipanjangkan umurnya, maka hendaklah dia menyambung tali kasih sayang”

(HR Bukhari dan Muslim)

          Uniknya bulan Syawal berbanding bulan yang lain adalah, ia menjadi satu wasilah yang dapat menyatukan kita. Jarang sekali kita dapati pada bulan lain, suasana masyarakat yang saling menziarahi dan bertanya khabar sebagaimana pada bulan Syawal.

Negara kita kebiasaannya meraikan hari raya paling kurang dua hari dan boleh mencapai sehingga sebulan. Tak lain tak bukan, untuk kita saling menziarahi dan mengadakan majlis bagi merapatkan lagi ukhuwah sesama kita. Walaupun teknologi komunikasi semakin maju, tetapi tetap ada dalam kalangan kita yang gagal bertanya khabar ahli keluarga walaupun sebulan sekali. Jadi, di bulan ini kita dapat lihat ramai yang berpeluang untuk berjumpa dan berhubung bagi merapatkan kembali silaturahim yang kian menjauh.

GANJARAN PUASA SATU TAHUN

Istimewanya lagi pada bulan Syawal, kita dianugerahkan dengan ibadah puasa sunat selama 6 hari yang ganjarannya seperti melakukan puasa setahun penuh. Daripada Abu Ayyub al-Ansori, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Barangsiapa yang berpuasa Ramadan kemudian berpuasa enam hari di bulan Syawal, maka dia berpuasa seperti setahun penuh”

(HR Muslim)

          Tidak ternilai hebatnya kasih sayang Allah SWT kepada kita. Mungkin ada dalam kalangan kita yang keluar dari Ramadan, tetapi masih belum diampunkan dosanya dan amal kebaikannya pula tidak bertambah, maka Allah SWT masih memberi peluang untuk kita tebus kembali dengan berpuasa 6 hari pada bulan Syawal yang pahalanya berlipat kali ganda.

BULAN PEMBUKTIAN TAKWA

Walaupun pada bulan Ramadan yang lalu, kita telah berpuasa penuh, berusaha mengkhatamkan bacaan al-Quran serta banyak melakukan kebaikan, kejayaan madrasah Ramadan dinilai juga dengan prestasi kita pada bulan-bulan yang mendatang. Jadikan Syawal sebagai satu indikator awal kepada keberhasilan madrasah Ramadan dalam mendidik jiwa kita agar lebih patuh kepada Allah SWT.

Pada bulan Syawal ini, kita perlu buktikan bahawa kita merupakan insan yang lebih baik. Berusahalah untuk terus istiqamah dengan amal-amal kebaikan yang kita lakukan pada bulan Ramadan. Buktikan bahawa kita adalah hamba Allah SWT yang sejati tanpa mengira masa dan bukannya hamba yang rajin beribadah pada bulan Ramadan sahaja. Manfaatkan momentum kebaikan dalam diri yang sedang berada pada tahap yang tinggi sekarang sebelum ia terus berkurang seiring dengan kelalaian kita.

          Daripada Saidatina Aisyah RA beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Amalan yang paling dicintai oleh Allah Ta’ala adalah amalan yang berterusan walaupun jumlahnya sedikit”

(HR Bukhari)

          Marilah sama-sama kita meneruskan amal-amal kebaikan yang dilakukan pada bulan Ramadan sebagai satu manifestasi cinta kita kepada Allah SWT. Buktikan bahawa kita merupakan seorang hamba yang bersyukur dengan nikmat yang diberi.

Lebih-lebih lagi nikmat keamanan negara sehingga membolehkan kita melakukan ibadah tanpa halangan, bukan sebagaimana yang berlaku kepada saudara seakidah kita di bumi Palestin. Jangan lupa untuk selitkan doa kepada mereka agar diberi kekuatan dan kemenangan. Semoga Allah SWT meredai segala amal kita. Wallahua’lam.

Anis Nazirah binti Ismail
Kuliah Bahasa Arab,
Universiti al-Azhar al-Syarif

Muat turun PDF Risalah Fajar Jumaat Siri 474 – Keistimewaan Bulan Syawal Buat Umat Islam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Fill out this field
Fill out this field
Please enter a valid email address.

keyboard_arrow_up